Saturday 8 June 2013

Tip Anak Cepat Membaca

Teks: Ashikin Hashim



Ramai juga ibu bapa yang resah kerana anak masih tidak pandai membaca pada umur 6 tahun. Maka pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan anak mereka masuk ke tahun satu dengan kemahiran membaca yang baik. Jika tidak bagi mereka, anak mereka akan ketinggalan dalam pelajaran.

Kerisauan itu perlu dan normal. Namun tidak adillah jika beban ini dipasakkan hanya pada bahu anak sahaja. Mereka dipaksa membaca dalam masa yang lama dan jika tidak dapat, maka akan dimarahi. Tindakan sebegini akan hanya melambatkan proses pembelajaran. Anak akan bosan dan menganggap membaca itu adalah aktiviti yang langsung tidak menarik.

Beberapa perkara perlu diambil kira jika anak anda yang masih belum boleh membaca pada usia 6 tahun.

1. Adakah anda sebagai ibu bapa sudah mendedahkan pembacaan kepada anak-anak seawal yang mungkin? Jika anda mengharapkan anak membaca tetapi hanya memperkenalkan bacaan pada usia 6 tahun, usahlah harap mereka mahir membaca dalam waktu terdekat. Kemahiran membaca mempunyai proses tertentu dan kadangkala mengambil masa yang panjang. Ia bergantung kepada kebolehan seseorang anak itu.

2. Adakah anak anda membesar dengan normal? Tidak mempunyai penyakit atau seauatu yang menghalangnya daripada membaca? Contohnya Autisme, ADHD, Dyslexia dan sebagainya. Minta nasihat doktor jika anda rasa ada sesuatu yang tidak kena kepada anak anda. Tindakan awal boleh membantu anak anda.

3. Adakah anak anda membesar dalam keluarga yang berpecah? Penceraian ibu bapa boleh menjadi sebab proses pembelajaran anak terganggu. Ini semua perlu diambil kira.

4. Adakah kita konsisten? Membaca adalah satu proses yang berterusan. Bukan haya seminggu atau sebulan sekali. 10 ke 15 minit sehari sudah cukup untuk anak-anak berlatih. Tetapi perlu konsisten!

5. Adakah anak anda pemain tegar permainan video? Adakah anda mengawal jadual permainan anak? Mungkinkah jadual bermainnya tidak seimbang denhan latihan membacanya? Mari kita periksa! Dan apa pula kenis permainan yang diminatinya?

6. Adakah anak anda sudah bersekolah?

Setelah anda mengambil kira perkara di atas, senarai semak di bawah mungkin dapat membantu anda untuk mengambil tindakan selanjutnya.

1. Mulakan dengan niat yang baik. Niat yang baik untuk menjadikan anak seorang yang berilmu untuk kepentingan agama. Menjadikannya insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

2. Positif. Sematkan di dalam diri sebagai ibu bapa yang positif supaya nanti anak-anak pun akan positif ketika mempelajati sesuatu.

3. Mula mencari kaedah-kaedah membaca bagi membantu anak-anak membaca.

4. Pelbagaikan aktiviti-aktiviti yang boleh menggalakkan anak membaca seperti membaca tajuk-tajuk utama akhbar, membaca penunjuk arah atau kain rentang, membaca tulisan yang ada di kotak-kotak makanan dan banyak lagi.

5. Konsisten. Buat jadual supaya anda akan dapat memantau perkembangan anak. Seorang anak tidak memerlukan berjam-jam untuk mahir membaca. 10 ke 15 minit sehari untuk anak membaca adalah mencukupi tetapi mestilah secara konsisten.

6. Jadikan buku sebagai perhiasan utama di dalam rumah kita. Di mana-mana sahaja ada buku dan anak mudah untuk mencapainya.

7. Memberikan hadiah berbentuk buku.

8. Jika anak anda sudah bersekolah, sentiasa berkomunikasi dengan guru anak untuk mengetahui perkembangan anak di dalam membaca.

9. Jangan berputus asa. Membaca bagi sesetengah anak mengambil masa. Sentiasa beri galakkan agar anak pun semangat membaca setiap hari.

10. Ibu bapa yang rajin membaca dan menunjukkan minat membaca secara tidak langsung akan menggalakkan anak untuk sama-sama membaca.

Semoga tip di atas dapat memberikan sedikit panduan kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang mempunyai masalah di dalam membaca.

Semoga kita disayang Allah.

No comments:

Post a Comment