Sunday, 16 June 2013

Mengawal Anak Yang Mengamuk

Teks: Ashikin Hashim

Umur 0 hingga 6 tahun adalah tahun-tahun kritikal seorang anak. Pada umur beginilah mereka menyerap masuk segala input negatif dan positif di dalam otak dan pemikiran mereka. Beberapa kajian telah dilakukan tentang beberapa perkara yang sangat mempengaruhi anak pada umur sebegini. Antaranya:

1. Kajian pernah dilakukan iaitu pada umur begini adalah sangat mudah anak mempelajari pelbagai jenis bahasa. Semakin bertambah umur anak, semakin sukar untuk dia mempelajari bahasa.

2. Kajian juga pernah dilakukan terhadap anak yang tidak mendapat sentuhan serta didikan seorang ayah. Mereka lebih cenderung melakukan jenayah daripada anak yang mendapat didikan dan sentuhan seorang ayah.

3. Kajian pernah dijalankan ke atas anak-anak yang suka bermain permainan video pada umur kritikal akan menjadi anak yang menyendiri, tidak pandai bergaul dan mengalami masalah stres.

4. Kajian yang dilakukan terhadap anak yang selalu dipeluk dan disayangi ibu bapanya mempunyai IQ yang lebih tinggi daripada anak yang jarang dipeluk.

Banyak lagi kajian yang telah dilakukan ke atas kanak-kanak yang berumur di antara 0 hingga 6 tahun. Ini menunjukkan bahawa tahun-tahun ini adalah sangat penting bagi membangunkan seorang insan yang baik dan berguna suatu masa nanti.

Tajuk kali ini adalah bagaimana kita mengawal anak yang mengamuk. Tindakan serta cara kita mengendalikan anak sangat penting dalam pembentukkannya. Temper tantrum atau sindrom mengamuk sering berlaku di kalangan kanak-kanak kerana ini juga salah satu cara mereka berkomunikasi.

Anak-anak sebesar ini masih rendah tatabahasa dan bilangan perkataan yang diketahuinya. Cara mudah dan cepat untuk dia memberitahu sesuatu adalah dengan menangis dan mengamuk.

Bukan mudah mengendalikan anak yang mengamuk jika kita tidak tahu cara yang paling baik bagi menanganinya. Ramai juga di kalangan ibubapa yang mengambil jalan mudah dengan memukul, menjerit dan memarahi anak dengan harapan anak akan berhenti mengamuk. Namun cara begitu lebih banyak memberikan impak negatif kepada anak-anak.

Ada beberapa cara yang boleh kita lakukan jika anak mengamuk. Antaranya:

1. Hanya ibu bapa yang mengetahui bila anak akan mengamuk. Kenali tanda-tandanya dan anda akan lebih bersedia jika anak anda mula mengamuk.

2. Bertenang. Jika anak mula mengamuk, ibu bapa atau orang yang berada berdekatan dengannya perlu menunjukkan sikap bertenang. Jangan mudah melenting dan marah.

3. Cuba memujuk. Usaha dahulu memujuk dengan cara yang baik. Pegang atau dukung dengan lembut dan mesra. Itu petanda anda sedia untuk bekerjasama dan mendengar segala masalah yang sedang anak hadapi.

4. Alihkan perhatiannya. Jika anda sudah nampak tanda-tanda yang dia mahukan sesuatu dan anda tidak dapat memenuhi hajatnya itu dan akan mencetuskan kemarahannya, cepat-cepat alihkan perhatiannya.

5. Beri pilihan. Jika anak mula mengamuk, berikan dia pilihan, samada dia mahu bersikap baik dan tidak dimarahi anda. Katakan kepadanya jika dia bersikap baik, anda akan menjanjikan sesuatu seperti menonton televisyen atau membaca bersama.

6. Biarkan. Jika pujukan tidak menjadi dan anak anda terus menghentakkan kaki atau berguling di atas lantai, biarkan dia. Namun pastikan keadaan sekelilingnya selamat dari barang-barang yang membahayakan.

7. Nasihat. Anak yang mengamuk tidak akan mengamuk sepanjang hari. Dia pasti penat juga akhirnya. Pada waktu begini, anda belailah dia dan katakan kepadanya bahawa apa yang dia lakukan sebentar tadi adalah salah dan dia akan lebih disayangi jika dia bersikap baik dan mendengar kata.

Bolehkah anak kecil memahami apa yang dikatakan oleh kita?

Sudah tentu! Walaupun mereka kecil, mereka tahu ketika mana ibu bapanya marah, sayang, gembira, benci mahupun kecewa. Selalulah berkomunikasi dengan anak dan berbual dengan mereka tentang apa yang mereka dan anda suka. Nasihat yang berpanjangan akan mengurangkan temper tantrumnya.

Moga kita disayang Allah.

1 comment:

  1. Anak saya 2 tahun..betul2 mencabar nak didik, especially bila dia dh masuk phase tantrum. Paling ketara bila saya marah, dan dia akan ikut pattern marah saya bila sedang tantrum..
    Jadi, untuk kawal tantrumnya, saya akan didik diri saya dulu, tidak tunjukkan kemarahan pada dia.
    Dan saya buat mindset bahawa kesabaran 5 -10minit boleh buat die berjaya 50 -100tahun..
    Semoga saya berjaya didik diri dan hadapi tantrum anak.

    ReplyDelete

Google+ Followers