Friday 28 June 2013

Ketika Anak Mengamuk - Satu Pengalaman

Teks: Ashikin Hashim



Ini adalah pengalaman saya sendiri. Pengalaman yang sangat berharga, menjadi panduan dan rujukan saya di masa hadapan. Jauh di sudut hati saya, saya bertuah dan bersyukur kerana diberikan oleh Allah untuk melalui pengalaman ini. Sebagai seorang practitioner dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, pengalaman ini menjadi salah satu testimoni saya.

Inilah kisah anak kedua saya. Wasim nama diberi. Si kacak ini permata hati yang masa bayinya sangat mudah dijaga dan tidak banyak kerenah. Ini diakui oleh pengasuh yang menjaganya. Alhamdulillah.

Namun apabila umurnya menjangkau 2 tahun, dia mula mudah melampias tantrumnya. Pantang silap sedikit atau tidak mendapat sesuatu jika meminta. Dia aka menangis dan meronta sekuat hati. Hendak memujuk pula bukanlah mudah. Kadang-kadang, makin dipujuk makin menjadi pula tantrumnya.

Satu pengalaman yang ingin saya kongsikan, pernah pada satu ketika dia akan bangun di malam hari pada waktu yang sama dan mengamuk tanpa diketahui sebabnya. Mungkin dia mahu susu atau ingin saya di sebelahnya. Dia akan menangis tanpa henti dan pernah juga dia menghantuk kepalanya ke lantai. Ya Allah saya pernah rasa putus asa. Tidak tahu apa yang harus saya lakukan.

Masa tetap akan berlalu dan berjalan. Pengalaman harus ditempuh walau sebesar mana susah dan sukarnya. Apabila berlaku perkara begini, saya dan suami tetap berganding bahu dan sama mencari jalan penyelesaiannya. Saya dan suami menambah pembacaan dan mencari tip bagaimana untuk mengendali anak sebegini.

Apa yang kami dapat daripada pembacaan dan pengalaman, perlakuan sebegini hampir berlaku kepada kebanyakan kanak-kanak di antara umur 1 - 4 tahun. Ada sesetengah anak mengalami tantrum tidak lama tetapi ada yang mengambil masa untuk pulih.

Alhamdulillah kini Wasim sudah berumur 6 tahun. Dia sudah tidak seperti dulu. Semakin matang dan mudah dibawa berbincang. Di sekolah juga dia semakin mahir berkomunikasi dengan guru dan kawan-kawan. Saya akan kongsikan kepada anda apakah yang telah saya lakukan sepanjang tempoh Wasim mengalami tantrum.

1. Ketahuilah bahawa tantrum adalah normal dan berlaku hampir kepada semua kanak-kanak. Jangan risau. Ianya pasti berlalu. Itulah yang saya tanamkan dalam pemikiran saya.

2. Anak yang mengalami tantrum biasanya bersebab. Dia mungkin lapar, sakit, mahukan sesuatu, minta perhatian dan sebagainya. Dengan mengetahui sebab dan punca dia mengamuk dapat membantu kita mengendalikannya. Cegah sebelum ianya berlaku.

3. Anak yang mengamuk biasanya juga sedang membina kemahiran sosialnya dengan orang sekelilingnya. Dia juga sedang meningkatkan kemahiran bahasanya. Kadang dia mahukan sesuatu tetapi tidak tahu bagaimana untuk memintanya. Ibu dan bapa juga kadangkala tidak memahami apa yang dia ingin perkatakan. Jadi, apabila permintaan tidak difahami, maka berlakulah aksi seperti menangis, meronta atau pun menghentak-hentakkan kakinya. Bersabarlah wahai ibu bapa. Anak kita sedang melalui kehidupan yang sukar untuk dia menjadi lebih besar dan matang.

4. Anak yang masih kecil sebegini sedang membina dan belajar untuk sabar dan menunggu. Mereka masih belum matang. Mereka perlukan ibu bapa yang sabar untuk mendidik mereka bersabar juga. Inilah salah satu fasanya. Jika fasa ini gagal, maka usah kita harap mereka dapat mengendali diri sendiri bila mereka besar kelak.

5. Satu perkara penting yang saya belajar ketika berhadapan dengan anak yang mengamuk adalah kita sebagai ibu bapa jangan sesekali memukul mereka. Sabar adalah kunci kepada kejayaan kita mendidik serta mentarbiyyahnya. Memukul hanya akan memburukkan keadaan dan melambatkan proses kematangan anak.

6. Jika memujuk tidak berjaya, biarkanlah dia. Mungkin dia perlukan ruang untuk melampiaskan kemarahan dan kecewanya. Hanya pastikan tempat tersebut selamat dan tidak mempunyai barang-barang yang merbahaya.

7. Kerjasama di antara suami isteri amat penting. Salinglah berkomunikasi dan cari jalan penyelesaian bersama. Ini bukan tugas satu pihak sahaja. Jika suami kita tidak dapat menahan sabarnya, isteri fahamilah dan kendalikan anak dengan baik. Jika isteri pula sedang penat, suami ambil alih pula tugas tersebut.

8. Positif. Kekallah dalam keadaan positif bahawa anak kita pasti suatu hari nanti akan berubah. Jika kita negatif dan putus harap, maka ini tidak akan membantu.

9. Ketika perkara ini berlaku kepada Wasim, saya dan suami tidak lepas berdoa dan solat hajat. Kami bacakan al-Quran dan mohon kepada Allah moga pulihkan Wasim dan jauhkannya dari sebarang gangguan makhluk halus jika ada.

Alhamdulillah. Jika kami boleh, maka anda juga boleh. Yakinlah kepada Allah. Setiap yang berlaku pasti ada jalan penyelesaiannya.

Semoga kita disayang Allah.

No comments:

Post a Comment