Sunday 16 June 2013

Pengasuh Yang Disayang Allah

Teks: Ashikin Hashim


Ibu yang bekerja sering berada di dalam dilema. Dilema tentang di manakah anak mereka perlu ditempatkan ketika mereka keluar bekerja. Sudah tentulah kriteria pengasuh yang dicari adalah pengasuh yang baik dan dapat memenuhi kehendak serta keperluan ibu bapa yang bekerja.

Terlalu banyak pusat jagaan atau taska yang ada di Malaysia kini. Ada yang bagus, bersih dan mempunyai pengasuh yang baik. Namun ada juga taska yang sekadar mengutip untung dan menjaga anak-anak ala kadar sahaja.

Sudah banyak kejadian yang tidak kita ingini berlaku di taska mahupun rumah pengasuh. Antaranya kes dera, tidak menjaga kebersihan, tidak mesra, memberi ubat batuk kepada anak-anak supaya tidur dan sebagainya.

Sebagai ibu bapa, anda berhak mencari dan menentukan siapakah pengasuh yang akan mengasuh serta menjaga anak-anak anda. Kriteria di bawah mungkin boleh dijadikan panduan ibu bapa di luar sana.

1. Membuat tinjauan. Cari dan lawat taska atau rumah pengasuh yang anda rasa sesuai untuk anak anda. Minta izin daripada pengurus taska untuk anda meninjau kawasan taska.

2. Bertanya. Ibu mesti rajin bertanya kepada bakal pengasuh anak tentang taska dan pengasuh taska tersebut. Dengan bertanya maka segala persoalan bakal terjawab.

3. Taska dan pengasuh yang berdaftar. Pastikan taska yang anda pilih itu adalah berdatar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini bagi memastikan jika berlaku sesuatu ke atas anak anda, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh membantu anda.

4. Pengasuh yang baik. Tinjau-tinjau dan kenal-kenal pengasuh yang bakal mengasuh serta menjaga anak anda. Lihat pakaian dan percakapannya. Ini sangat penting kerana dialah yang akan memastikan segalanya terjaga dan terpelihara.

5. Lokasi. Lokasi taska adalah sangat penting. Mungkin anda serasi jika ia berdekatan dengan tempat kerja atau lokasi yang anda pilih mungkin berdekatan dengan klinik, balai polis dan sebagainya.

6. Selamat. Pastikan taska yang anda pilih adalah selamat. Selamat dari segi di mana ia terletak seperti tidak terletak berdekatan kilang atau tempat pendatang tanpa izin. Lihat juga lokasi dapur dan tempat anak anda bakal diletakkan dan juga peralatan yang digunakan di dalam taska tersebut.

7. Bayaran. Yuran penjagaan bayi adalah dari RM 250 sehingga RM 350 sebulan dan kanak-kanak adalah dari RM 150 sehingga RM 250 sebulan. Ia mungkin berbeza mengikut perkhidmatan yang diberikan oleh pihak taska.

8. Jumlah anak yang dijaga. Nisbah yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyatakat bagi bayi adalah 1:5 iaitu 1 pangasuh menjaga 5 orang bayi dan kanak-kanak pula 1:10 iaitu seorang pengasuh menjaga 10 orang kanak-kanak.

9. Makanan yang disediakan. Taska perlu menyediakan makanan sekurang-kurangnya 3 kali sehari untuk anak-anak jagaan mereka iaitu pagi, tengahari dan petang. Menunya pula mestilah yang halal, berkhasiat dan sesuai dimakan oleh bayi dan kanak-kanak.

Di sini juga disertakan kriteria pengasuh yang disayang Allah.

1. Pengasuh yang menjaga solat 5 waktu.

2. Pengasuh yang menutup aurat.

3. Pengasuh yang amanah.

4. Pengasuh yang mesra.

5. Pengasuh yang selalu meningkatkan ilmu penjagaan anak-anak.

6. Pengasuh yang selalu berkomunikasi dengan ibubapa.

7. Pengasuh yang melayani permintaan ibubapa dengan baik.

8. Pengasuh yang tidak marah membabi buta, memukul atau mencubit anak-anak yang berada di bawah penjagaannya.

9. Pengasuh yang prihatin.

10. Pengasuh yang selalu peka dan berhati-hati.

11. Pengasuh yang selalu berzikir dan membaca al-Qur'an.

12. Pengasuh yang tidak melepaskan kemarahannya terhadap orang lain terutamanya anak-anak.

Semoga ini akan menjadi panduan berguna buat kita semua.

No comments:

Post a Comment