Thursday 12 December 2013

Perkukuh Institusi Kekeluargaan.

Teks: Ashikin Hashim
Foto: Google


Sebuah keluarga memainkan peranan yang sangat penting bagi melahirkan generasi yang baik. Jika baik negaranya, maka baiklah rakyatnya, jika baik rakyatnya, maka baik pulalah keluarganya. Begitu hebat fungsi sebuah keluarga sehingga ianya menjadi salah satu elemen terpenting dalam membina sebuah daulah yang diberkati Allah s.w.t.

Di dalam pendidikan awal kanak-kanak, penglibatan ibubapa adalah sangat penting. Kita dapat melihat betapa ibubapa yang sangat prihatin dan mengambil perhatian terhadap pembelajaran anak, akan membantu anak untuk lebih cepat membaca, menulis serta mengira.

Keluarga adalah unit terkecil dari masyarakat yang terdiri daripada ketua keluarga dan beberapa orang yang terkumpul dan tinggal di suatu tempat di bawah satu bumbung dalam keadaan saling bergantung antara satu sama lain. Keluarga juga sebagai kumpulan sosial terdiri daripada sejumlah individu, mempunyai hubungan antara individu, terdapat ikatan, dan tanggungjawab di antara individu tersebut.

Keluarga adalah merupakan struktur asas bagi keseluruhan sistem sosial dan kebudayaan di dalam Islam. Ia adalah merupakan satu institusi yang menjamin kestabilan sosial dan kebudayaan masyarakat keseluruhannya. Ia mengekalkan kehidupan manusia dan kebudayaan, meneruskan peranan manusia sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini bergantung kepada berkesannya jentera yang menjamin pembiakan umat manusia.

“ Hai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri dan daripadanya Allah menciptakan isterinya dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah An-Nisa: 1)

Sebuah keluarga tidak akan sempurna tanpa adanya  proses yang dinamakan pentarbiyyahan atau pendidikan. Di dalam proses inilah kita mendidik ahli-ahlinya tentang ibadah dan akhlak. Tiada institusi atau kumpulan yang lain yang dapat mengambil alih tugas hebat ini kerana ianya adalah satu proses yang berterusan. Kehebatan fungsi kekeluargaan ini diasaskan oleh rasa amanah dan tanggungjawab di kalangan ahli keluarga.

“ Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (Al-Tahrim:6)

Kes Jenayah Yang Meruncing

Kita sering kali membaca di dada-dada akhbar dan mendengar berita di televisyen tentang keparahan masyarakat seperti meningkatnya kes juvana, kes membunuh, kes buli, kes merompak dan sebagainya. Kisah membuang bayi dan melahirkan anak luar nikah pula seperti sudah menjadi rencah dalam kehidupan di Malaysia.

Dari keluarga bermula segala-galanya. Setiap keluarga mempunyai nilai dan maruah yang dipertahankan oleh ahli keluarganya sendiri. Keharmonian kekeluargaan dicapai melalui hubungan baik antara semua ahli keluarga. Perhubungan spiritual seperti agama, emosi seperti kasih sayang , sikap hormat – menghormati dan bertanggungjawab.  Oleh itu institusi kekeluargaan  adalah institusi yang terpenting dalam proses pembentukan individu yang sihat dari segi mental dan fizikal.

Dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global tanpa sempadan hari ini, banyak berlaku limpahan budaya negatif yang melanda negara di seluruh dunia. Masyarakat kita pada hari ini bukan sahaja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi mereka juga semakin diresapi budaya hedonisme - suka berpoya-poya dan berhibur dengan keterlaluan, terjebak dalam amalan seks bebas ( berzina ), buang bayi, ketagih rokok, judi, arak, bahan porno (lucah ), bunuh, rogol dan banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan.

Laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan penglibatan dalam gejala sosial bermula seawal umur 10 tahun lagi.

Keluarga memainkan peranan yang sangat penting di dalam pembangunan siasah serta akhlak seseorang anak itu. Cukup membimbangkan jika di awal usia, anak sudah dilepas bebas ke sana ke mari dan membuat sebarang keputusan dalam hidup tanpa mengambil kira pendapat serta pandangan ibubapanya.

Sebagai ibubapa yang prihatin, sejak anak itu lahir lagi, kita selalu memerhatikan perkembangan dan apakah yang selalu mereka lakukan. Kita memberikan jalan serta tunjuk ajar. Kita sebagai orang dewasa bertanggungjawab ke atas setiap perlakuan serta tingkah laku mereka.

Pentingnya Seorang Ayah

Sebuah keluarga pasti mempunyai seorang ayah. Seorang ayah yang masih hidup dan mampu, wajib memberikan keperluan kepada keluarganya. Bukan sahaja wang, makan serta pakaian. Keperluan rohani juga wajib diberikan kepada setiap penghuni yang berada di bawah tanggungjawabnya.

Seorang pakar sosiologi, Dr David Popenoe di dalam kajiannya mengatakan bahawa, seorang ayah bukan sekadar orang dewasa di dalam sebuah rumah. Ia lebih daripada itu. Seorang ayah memberikan impak yang besar kepada keperibadian seorang anak. Kajian di luar Negara juga banyak menunjukkan bahawa, keluarga tanpa didikan ayah akan menyumbang banyak gejala sosial  di dalam masyarakat.

Pepatah Arab ada menyatakan: Al waladu sirru abiihi. Maksudnya, seorang anak itu adalah bayangan ayahnya.

 

Pentingkah seorang ayah di dalam pendidikan anak-anak? Masyarakat sering mengaitkan mendidik anak-anak hanya terletak kepada seorang ibu sahaja. Walhal amanah serta tanggungjawab ini adalah tanggungjawab bersama.

Mengapa ayah penting kepada anak-anak?

 

1. Komunikasi seorang ayah adalah berbeza dengan seorang ibu. Ayah itu adalah pelengkap kepada pentarbiyyah serta pendidikan anak-anak. Jika ibu tidak berjaya menasihati anaknya, mungkin komunikasi ayah yang berbeza dapat membantu.

 

2. Seorang ayah membina jati diri dan keyakinan anaknya. Lihat sahaja contohnya ketika anak belajar menaiki basikal. Saya sebagai seorang ibu sangat takut melepaskan anak di jalan tetapi suami sayalah yang memberikan semangat serta keyakinan kepada anak-anak saya untuk berani berbasikal. Jika hanya saya yang berkata-kata, entah bila anak saya akan pandai berbasikal.

 

3. Seorang ayah mendisiplinkan anaknya dengan cara yang berbeza. Perbezaan memang perlu dalam beberapa perkara. Berbeza dengan ibu bukan bermakna cara didikan ibu itu berbeza dan tidak bersetuju dengan didikan itu, tetapi ianya saling melengkapkan

 

4. Ayah ialah contoh kepada anak-anak. Cara ayah makan, berpakaian, mencari rezeki akan dicontohi anak. Jika tanpa ayah, maka anak-anak tiada rujukan dan panduan. Tempanglah sebuah keluarga. Longgarkan sebuah institusi.

 

Ketika ibu sedang sibuk di dapur atau sedang membasuh pakaian, siapakah yang akan memerhati serta berbual-bual dengan anak-anak? Pastilah ayah. Ayah melengkapkan sebuah keluarga. Ayah itu role model. Ayah itu raja. Ayah itu cerminan akhlaq anaknya.

Seorang ayah yang baik, menjadikan solat itu sebagai tiang kepada keutuhan rumahtangganya. Anak-anak diimaminya dan masjid menjadi rumah keduanya. Anak-anak disantuni sebaiknya dan dihormati agar dia juga dihormati oleh anak-anak. Alangkah hebatnya dunia jika setiap anak mempunyai ayah yang begini.

Ikat Anak Dengan Al-Qur’an

Diriwayatkan oleh Ath-Thabarani daripada Saidina Ali karamallahu wajhah, bahawasaya Nabi s.a.w telah bersabda:

“ Didiklah anak-anak kamu atas tiga perkara: Cinta kepada Nabi kamu, cinta kepada kaun keluarganya serta membaca Al-Qur’an. Sesungguhnya para pembaca Al-Qur’an itu berada dalam naungan Arasy Allah pada hari tiada naungan selain naunganNya bersama-sama NabiNya.”

Ibnu Khaldun, Ibnu Sina dan Iman Al-Ghazali juga menyebut di dalam kitab-kitab mereka tentang peri penting mengajar anak-anak akan Al-Qur’an kerana Al-Qur’an itu terkandung pelbagai pengajaran dan panduan. Berdamping akrab dengan Al-Qur’an bermakna bercinta dengan Islam dan terjagalah diri dan keluarga.

Jadi Contoh Terbaik.

Tiada cara yang paling baik selain daripada menunjukkan akhlak yang baik terhadap anak-anak. Ibubapa adalah contoh tauladan yang terdekat dan menjadi panduan buat anak-anak. Rumahtangga yang harmoni bakal membina ahli keluarganya yang bahagia. Rumahtangga yang kucar kacir akan melampias kegoyahan itu kepada anak-anak dan seisinya.

Apa yang mereka bawa keluar adalah apa yang mereka bina, lihat dan lakukan di dalam rumah. Mereka sentiasa memerhati ayah dan ibu mereka berkelakuan di rumah. Keakraban ibubapa dengan anak, adalah kunci kepada kecemerlangan anak-anak di luar sana. Kenali rakan-rakan mereka kerana rakan memberi pengaruh yang besar terhadap anak-anak.

Bukan mudah mendidik anak-anak. Tidak cukup kita sekadar menghampar kemewahan, membekalkan Ipad seorang satu kepada anak. Ia lebih dari itu. Kasih sayang, penghargaan, penghormatan, kepercayaan, kesabaran, semuanya diadun menjadi resepi sebuah keluarga yang bahagia.

Wednesday 20 November 2013

Kepentingan Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Teks: Ashikin Hashim
Foto: Google

Bismillah.

Potensi anak perlu digali seawal mungkin


Duhai ibubapa yang bijaksana,

Cukupkah sekadar kita melahirkan seorang anak dari dalam rahim kemudian dia membesar begitu sahaja tanpa sebarang dorongan, didikan dan pentarbiyyahan?Tidakkah kita mahu anak kita hidup dengan penuh makna di setiap minit penghidupannya? Dia melihat burung, pokok dan ikan dan mengaitkan ia dengan kebesaran Allah lalu dia mengira bilangannya dan mengejanya pula dari gabungan huruf-huruf yang anda telah ajarinya?

 Subhanallah...

Allah telah berfirman di dalam kitab suci Al Qur'an:

Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”

 [As-Shafaat :100] 

 Melahirkan anak soleh memerlukan ibubapa yang bijaksana.Bijaksana itu adalah ibubapa yang soleh yang sudah tentunya berilmu. Kita tidak akan mensia-siakan amanah Allah swt. Kita mahu anak kita menjadi hamba Allah yang berguna di dunia dan juga di akhirat.

Pentingkah pendidikan awal kanak-kanak?

Ya, ianya sangat penting. Seorang anak yang hidup di dalam keluarga yang berilmu, soleh, sabar, penyayang, bercita-cita tinggi amatlah berbeza dengan seorang anak yang hidup di dalam keluarga yang porak peranda, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, tidak berkasih sayang dan tidak punya arah tuju.

Di dalam Islam, pendidikan awal anak bukan bermula daripada dia lahir.Tetapi ianya bermula daripada sebuah perkahwinan lagi. Seorang suami akan memilih seorang ibu yang baik untuk anaknya. Islam menganjurkan dan menggalakkan umatnya berkahwin adalah kerana perkahwinan itu adalah untuk menjaga maslahah kemasyarakatan.

1. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu untuk memelihara benih-benih manusia.

Allah berfirman di dalam surah An-Nisa' ayat 1:

Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu dari diri yang satu, lalu dijadikan daripadanya pasangan (suami isteri), lalu diperkembang biakkan daripada keduanya lelaki dan wanita yang banyak.

 
2. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu bagi memelihara keturunan.

Dengan sebuah perkahwinan yang barakah dan halal di sisi syariat Islam, seorang anak itu telah selamat daripada firnah dunia dan manusia. Mereka akan jadi tenteram kerana ada keturunan yang jelas. Ini dapat memelihara mereka daripada terjebak dengan masalah moral dan akhlaq.

 
3. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu bagi suami isteri membina keluarganya.

Dengan perkahwinan, suami isteri akan sentiasa bercita-cita untuk mendidik dan membangunkan rohani anak-anak. Suami akan berusaha keras mencari rezeki untuk memberi makan kepada anak-anak dan isteri pula akan berganding bahu memberikan pendidikan terbaik buat anak.

4. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu untuk menyemarakkan kasih sayang dan kecintaan.

Seorang isteri akan sentiasa merindu suaminya. Suami pula akan mencintai isteri. Ibubapa pula akan menyayangi dan mempunyai rasa belas kasihan terhadap anak-anaknya. Perasaan ini akan sentiasa wujud di dalam keluarga yang barakah dan berada di dalam redha Allah. Nilai kasih sayang yang tersebar di dalam sebuah keluarga akan membina keluarga yang bahagia. Apabila keluarga sudah saling sayang menyayangi, maka anak-anak akan membawa satu contoh tauladan kepada masyarakat di luar pula.

Begitulah hebatnya sebuah perkahwinan.Perkahwinan yang barakah dapat melahirkan insan yang hebat iaitu anak-anak anda sekarang.

Selepas berkahwin, maka suami isteri akan bercita-cita untuk mendapat seorang anak. Tiada yang lebih menggembirakan pasangan suami isteri apabila mereka diberitakan bakal menimbang cahaya mata. Namun perlu diambil kira, adab-adab ketika 'bersama' juga akan memberikan kesan terhadap anak yang dilahirkan. InsyaAllah saya akan sentuh berkenaan perkara itu di dalam post saya akan datang.

Apabila sudah lahir seorang bayi, maka bermulalah fasa pendidikan yang seterusnya.Tiga tahun pertama dalam kehidupan kanak-kanak merupakan waktu di mana perkembangan otak berlaku dengan pesat.Walaupun perkembangan otak terus berlaku selepas itu tetapi tiga tahun pertama merupakan waktu yang paling kritikal.Ketika ini otak lebih fleksibel dan bersedia untuk mempelajari sesuatu.Berat otak bayi ketika dilahirkan ialah 25% daripada berat otak orang dewasa. Ketika mencapai usia 3 tahun, otak bayi telah berkembang menjadi berjuta- juta sel (yang terdiri dari neurons dan sel-sel otak yang lain). Sel-sel ini kemudiannya bercantum untuk membentuk berjuta-juta “jalinan” (synapses). Jalinan antara sel ini kemudian membentuk pusat kawalan yang kompleks bagi perkembangan mental, emosi, fizikal dan spiritual.

 Segala perbuatan dan percakapan kita terhadap seorang anak walaupun masih kecil, akan mudah diserap oleh mereka. Jadi berhati-hatilah ketika anda berkata dan melakukan sesuatu.

Begitulah peri pentingnya pendidikan awal anak. Ini menentukan peribadinya pada masa akan datang.

Thursday 14 November 2013

Rangsang Anak Membaca

Teks: Ashikin Hashim

Wajdi sedang belajar menyebut huruf-huruf


Secara dasarnya, semua kanak-kanak suka membaca. Namun, jika kegemaran dan keinginan membaca itu tidak dirangsang, ia akan menyukarkan anak-anak untuk pandai membaca. Di dalam Islam itu sendiri, membaca dan menuntut ilmu itu adalah satu tuntutan yang sangat besar kesannya.

Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Alaq ayat 1-5:

“ Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Ayat inilah yang diajarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w semasa awal perintah dakwah kepada baginda. Intipati kejayaan dakwah baginda ini adalah bermula daripada tuntutan untuk pandai membaca, menuntut ilmu dan kemudian menyebarkannya.

Ruh inilah yang ingin kita ingin tanamkan kepada anak-anak, bahawa dengan membaca maka Islam akan jadi terkenal dengan dakwah lisan dan penulisan. Tanpa tahu membaca, mana mungkin untuk seorang anak yakin kepada dirinya sendiri, berani berhadapan dengan orang lain, berbicara, bercerita dan menulis.

Tahukah anda bahawa, semakin awal kita mendedahkan anak kepada pembacaan, semakin awal anak boleh membaca. Seawal mana dan waktu bilakah yang paling sesuai untuk kita mengajar anak membaca? Jawapannya seawal yang mungkin iaitu ketika bayi lagi.

Pada zaman moden ini, kemahiran membaca adalah amat penting dalam kehidupan manusia. Oleh itu, seseorang itu harus menyedari dan memiliki kemahiran membaca sejak dari awal lagi kerana tanpa kemahiran tersebut, seseorang itu akan mengalami pelbagai kesukaran untuk menjalani kehidupan harian di negara moden.

Pepatah ada menyatakan, ‘a good writer is also a good reader’ bermaksud ‘ penulis yang baik adalah juga seorang pembaca yang baik.’ Imam Syafie adalah seorang tokoh ulama’ contoh yang sangat dikagumi kerana ketokohannya dalam menulis dan bersyarah. Hanya dengan pembacaan yang baik, kita dapat merangsang anak-anak untuk menulis dan berbicara dengan baik.

Cuba kita bayangkan antara anak yang pandai membaca dan tidak mahir membaca? Mereka pasti berbeza dari segi keterampilan dalam menuntut ilmu. Anak yang pandai membaca sangat sensitif terhadap persekitarannya dan teruja untuk mengetahui banyak perkara. Mereka akan banyak bertanya dan mengumpul maklumat melalui pembacaannya.

Berbanding dengan anak yang tidak mahir membaca, mereka akan mudah merendah diri, tidak bergaul mesra dan kadangkala tidak mahu langsung bercampur dengan orang lain. Mereka akan rasa tersisih dan lambat mengetahui tentang sesuatu perkara.

Satu kajian telah dilakukan di Malaysia pada tahun 2009, hampir 90 peratus daripada 3,116,200 orang kanak-kanak bawah umur empat tahun ke bawah tidak mendapat pendedahan sebarang program pendidikan awal kanak-kanak yang sangat penting bagi merangsang perkembangan awal kanak-kanak.

Pelbagai langkah harus diambil bagi mengatasi masalah tersebut daripada berlanjutan di masa depannya. Antaranya ialah ibubapa dan guru perlu memberikan pendedahan awal untuk menggalakkan anak membaca. Oleh yang demikian, ibubapa dan guru boleh merancang aktiviti yang bersesuaian dengan anak.

Ibu bapa dan keluarga merupakan golongan yang paling rapat dengan kanak-kanak. Ini jelas terbukti melalui Teori Ekologi Bronfenbrenner (1979) yang mengatakan bahawa penglibatan keluarga dalam pendidikan awal kanak-kanak mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Jadi, pendedahan awal terhadap pembacaan anak seharusnya bermula dari rumah.

 
Apakah kelebihan membaca bagi anak-anak?

1.      Membaca melatih otak anak

Membaca adalah satu tugas yang lebih kompleks dari menonton televisyen. Dengan membaca, ia dapat menguatkan jalinan-jalinan di dalam otak.

2.      Membaca akan memperbaiki konsentrasi anak

Membaca memerlukan anak untuk duduk dan fokus. Jika ini dipraktikkan dan menjadi rutin, ia dapat melatih tahap konsentrasi anak.

3.      Membaca mengajar anak tentang dunia di sekelilingnya

Membaca membuka minda anak untuk mengetahui banyak perkara. Apabila membaca satu perkataan, dia mungkin bertanya pelbagai soalan.

4.      Membaca akan menambah perbendaharaan kata dan meningkatkan skil bahasa anak

Membaca akan mendedahkan anak dengan perbendaharaan kata yang lebih banyak dan ini akan meningkatkan skil membaca, menulis dan bercakapnya

5.      Membaca akan membina imaginasi anak

Membaca membuka dan meningkatkan imaginasi anak kerana anak suka membayangkan dan kemudian dia akan membina ayat dan pertanyaan.

6.      Membaca akan banyak membantunya ketika di sekolah

Anak yang mahir membaca adalah lebih Berjaya ketika di sekolah.

7.      Membaca juga adalah salah satu bentuk hiburan kepada anak

Membaca juga boleh menjadi salah satu bentuk hiburan dengan mempelbagaikan aktiviti membaca seperti puzzle, suaikan, kuiz dan sebagainya

8.      Membaca boleh merehatkan anak dan menenangkannya.

Membaca memerlukan anak duduk dengan tenang. Ia dapat merehatkan minda dan juga badan.

Bagaimana merangsang anak untuk membaca?

1.      Sebelum anak didedahkan kepada bahan-bahan bacaan, anak-anak didedahkan dahulu dengan proses perkembangan bahasanya. Di rumah kita bercakap dengan jelas kepada mereka dan menggunakan banyak perbendahaaraan kata. Ini akan membantu mereka di dalam proses membaca kerana mereka akan mudah menyebut perkataan-perkataan yang mereka pernah dengar dan praktikkan.

2.      Dedahkan minat membaca ini sejak dari awal lagi iaitu ketika anak masih bayi. Bukanlah sesuatu yang mustahil untuk mengajar anak membaca ketika bayi. Bercakap dengan kerap kepada bayi anda adalah satu proses awal sebelum mendedahkan mereka kepada buku bacaa. Jadi mulakannya dari sekarang!

3.      Galakkan anak-anak untuk bercakap seperti memberikan pandangan dan pendapat. Ini membantu mereka untuk mempraktikkan perkataan-perkataan yang mereka dengar.

4.      Mulakan pembacaan awal dengan buku bergambar. Kita ceritakan tentang gambar tersebut dan kemudian galakkan pula anak untuk bercerita tentang gambar tersebut.

5.      Lakukan aktiviti pembacaan dalam susasana yang gembira dan jauh dari tekanan. Ramai ibubapa yang ingin anak cepat membaca, namun lakukannya dalam cara yang tidak memaksa. Berilah anak kebebasan dan berikan dia sedikit ruang untuk belajar dalam keadaan yang menggembirakannya.

6.      Jadikanlah amalan membaca itu satu budaya di dalam keluarga. Jika kita adalah ibubapa yang suka membaca, maka anak-anak juga akan rasa terangsang dengan membaca. Tiada paksaan dan mereka akan dengan sendirinya memilih buku dan mula melihat gambar-gambar yang menarik.

7.      Adakan ruang khas seperti perpustakaan mini untuk anak. Beri mereka ruang untuk memilih sendiri buku kegemaran mereka. Tidak mengapa jika hanya memilih buku yang sama kerana ia juga bagus untuk langkah awal membaca.

Rangsangan berterusan amat perlu bagi memastikan anak dapat membaca seawal mungkin. Semoga dengan kemahiran membaca ini, anak akan lebih bijak, menjadi anak yang soleh dan solehah demi kepentingan Islam.
* Bengkel Keibubapaan 1: Merangsang Anak Membaca bakal diadakan pada 4hb Januari 2014. Kepada yang berminat, sila nyatakan minat anda dan anda akan mendapat harga Early Bird sebelum 30hb November 2013. Tempat adalah di PKNS BIZPOINT Seksyen 7 Shah Alam.

Saturday 9 November 2013

Mengatasi Anak Yang Takut ke Sekolah

Teks: Ashikin Hashim
Foto: Google

Bukan mudah untuk anak kita mengharunginya

Tidak lama lagi, musim persekolah 2014 bakal bermula. Mungkin sekarang ibubapa sedang sibuk membuat pendaftaran dan persediaan memasukkan anak-anak di tadika yang terpilih. Bagi anak-anak yang baru pertama kali bersekolah, ini adalah pengalaman yang mungkin sangat mengujakan atau mungkin juga menakutkan.
 
Adakah ia normal?
 
Pertama kali ke sekolah, anak menangis, memeluk erat ayah atau ibu dan tidak mahu lepas. Adakah ini normal? Sudah tentu ia adalah normal. Dalam rutin biasa mereka, mungkin mereka hanya di kelilingi ibu ayah, pembantu rumah, adik beradik, atau datuk dan nenek. Tiba-tiba pada suatu hari dia ditinggalkan di sebuah tempat yang sangat asing baginya. Tentu dia merasa sangat takut. Takut jika ibu dan ayahnya tidak kembali mengambilnya dan takut jika tidak dapat pulang ke rumah.
 
Bagaimana membantunya?
 
1. Dedahkan anak dari awal tentang sekolah barunya. Tunjukkan dan bawa anak ke sekolah.
 
2. Beli barang-barang sekolah bersama agar dia merasai keterujaan untuk pergi ke sekolah.
 
3. Selalu bercerita dengan anak tentang apa yang boleh dilakukan di sekolah - tentang buku, tentang guru dan tentang kawan-kawan
 
4. Selalu berikan anak jaminan bahawa di sekolah adalah selamat dan katakana kepadanya bahawa kita akan kembali mengambilnya
 
5. Jika anak masih takut, letakkan sesuatu seperti barang anda di dalam beg sekolahnya - contoh barang adalah seperti selendang ibu. Katakan kepada anak, jika dia rindu, pegang selendang tersebut.
 
6. Usah ambil lambat - sekali berjanji, mesti ditepati. Jika kita memungkirinya, anak mungkin sukar untuk mengatasi masalah ketakutannya.
 
7. Nasihat dan terus nasihat. Jangan berputus asa.
 
8. Berbincang dengan guru tentang tindakan dan perkembangan anak di sekolah.
 
9. Ibu dan bapa mesti positif dan kuat! - Anak mendapat kekuatan daripada ibu bapa mereka yang juga kuat.
 
Semoga ada manfaatnya.
 
 
 

Friday 1 November 2013

Tip Menahan Marah

Teks: Ashikin Hashim
Foto: Koleksi Keluarga

Menahan marah adalah satu perjuangan
Bukan mudah untuk menahan marah. Dengan pelbagai kerenah dan ragam anak - yang menangis, yang mengamuk, yang tidak mendengar kata, yang mengusik adik, yang berebut dengan adik - ia bisa mencabar iman dan emosi kita.

Ada beberapa tip yang boleh kita lakukan untuk mengawal rasa masa dan seterusnya dapat mengawal stress:

1. Tarik nafas dalam-dalam. Diam sebentar. Fikir sebentar.

2. Cari ruang untuk bersendirian. Jauh dari anak-anak dan orang lain. Sebentar sahaja.

3. Ambil wudhuk. Baca Al-Fatihah, Ayatul Qursi, 3 Qul dan surah Taha ayat 1-5. Niatkan semoga Allah lembutkan hati kita dan anak-anak.

4. Buat sesuatu yang dapat melupakan sebentar permasalahan kita seperti menulis, mencabut rumput di halaman rumah atas basuh pinggan mangkuk di dapur.

5. Kembali mendapatkan anak. Pandang wajahnya. Bercakap dengannya.

6. Setelah tenang semuanya. Cari punca. Selesaikan dengan tenang.

Semoga Allah sentiasa memberikan petunjukNya.

Thursday 31 October 2013

Pengalamanku | Anak Yang Mencabar

Teks: Ashikin Hashim
 
Anak yang 'chalengging' |

 Anakanda Wajdi (3 tahun) menangis. Ada yang tidak kena di matanya. Puas pujuk tidak menjadi.

Tiba-tiba telinga Ummi gatal.

" Aduh, telinga Ummi gatallah Wajdi. Tolong Ummi! Cuba Wajdi tengok ada apa."

Wajdi pun berhenti menangis. Sibuk menengok apa yang memasuki telinga Ummi....

 " Ish, ada cicak la Ummi!"

Eee...terus Ummi geli. Wajdi pun berhenti menangis dan sama-sama tergelak bila Ummi buat lagak geli gleeman.
 
_________________________________________________________________________________
 
Dari Huda Akmal:
 
Menahan amarah terhadap anak kecil adalah satu perjuangan dalaman. Semalam sewaktu azan Maghrib berkumandang, Kak Ngah Muna mengamuk mahukan gula-gula. Tangisan dan amukan yang bisa buat hati sang umi mendidih.
 
Dalam hati cuba beristighfar menahan kemarahan lantaran mengingatkan si syaitan sedang galak mengacum si ummi untuk terus memarahi si anak. Ya Allah bantulah aku. Tiba-tiba teringat akan helah yang dikongsi oleh kak Ashikin Hashim.
 
Saya cuba." Kak Ngah, telinga umi gatal. Cuba Kak Ngah tengok apa ada dalam telinga ummi." Bukan setakat Kak Ngah yang cuba mencari binatang kecil dalam telinga yang ummi maksudkan. Habis semua anak termasuk Kak Yong dan Kak Chik. Alhamdulillah amukan berakhir begitu sahaja. Tanpa amarah yang menguasai. Alhamdulillah

Saturday 12 October 2013

Penyusuan Ibu Eksklusif

Teks: Ashikin Hashim
 
 
Selalu niatkan untuk menyusukan bayi kita

Islam amat menggalakkan para ibu untuk menyusukan anak dengan susu ibu. Malah di dalam Al-Quran ada disebutkan tentang saranan agar anak-anak diberikan susu ibu sehingga berumur 2 tahun.
Malangnya, tidak ramai mama yang tahu tentang kepentingan serta kebaikan penyusuan ibu. Amat menyedihkan, umat Islam amat keterbelakang sekali di dalam ilmu penyusuan ini jika dibandingkan dengan orang barat yang bukan Islam. Mereka lebih mengetahui tentang kebaikan penyusuan ibu.

Sebelum memulakan penyusuan ibu, marilah kita lihat apakah kebaikan susu ibu kepada anak.
Susu ibu dapat melindungi bayi daripada masalah sistem pemakanan, masalah paru-paru dan jangkitan telinga. Bayi yang menyusu susu ibu jarang mendapat penyakit seperti cirit-birit yang biasa dihidapi oleh bayi yang minum susu formula. Kolostrum yang dihasilkan pada awal pengeluaran susu ibu pula dapat menghalang jangkitan kuman dengan cara pembentukan lapisan perlindungan pada lapisan mucus di hidung, tekak dan usus. Penyusuan ibu juga dapat melindungi bayi daripada radang usus.

Susu ibu dapat melindungi bayi daripada alahan. Penyusuan ibu selama 6 bulan atau lebih dapat mengelakkan bayi anda daripada mendapat alahan makanan atau pernafasan. Penyusuan eksklusif pula dapat mengurangkan risiko penyakit asma sebelum berumur 6 tahun. Asid lemak dan sistem imun seperti IgA di dalam susu ibu dapat mengelakkan reaksi alahan dengan menghalang protein luar daripada masuk ke dalam sistem bayi.

Protein di dalam susu lembu adalah salah satu alahan biasa yang menjadi penyebab kepada alahan bagi bayi yang menyusu susu lembu berbanding bayi yang menyusu susu ibu.
Susu ibu dapat meningkatkan kebijaksaan anak. Ada kajian yang menunjukkan kaitan antara susu ibu dengan tahap IQ yang tinggi. Asid lemak yang dihasilkan oleh susu ibu memainkan peranan yang besar di dalam perkembangan otak bayi.

Ada satu kajian yang masih dijalankan oleh pengkaji tentang kaitan susu ibu yang dapat mengurangkan risiko  daripada berlakunya barah seperti lymphoblastic dan myeloid leukemia. Kajian ini mendapati bahawa sistem antibodi di dalam susu ibu dapat meningkatkan sistem imun dalam badan bayi.
Susu ibu dapat membantu mama menurunkan berat badan kerana semasa proses penghasilan susu ibu, berlakunya pembakaran kalori dalam badan.

Susu ibu dapat menurunkan tahap tekanan ibu dan mengurangkan pendarahan yang berlaku selepas bersalin. Ini terjadi kerana semasa menyusukan bayi, satu hormon yang dinamakan oxytocin dilepaskan dan ini dapat memberikan ketenangan kepada ibu. Oxytocin juga dapat membantu rahim kembali kepada saiz asal.

Susu ibu juga dapat mengurangkan risiko kepada sebahagian barah. Semakin lama ibu menyusukan anak, semakin mereka terlindung daripada barah payudara dan ovari.
Ada beberapa perkara yang Mama perlu ambil kira bagi mengamalkan penyusuan secara eksklusif.

Niat. Tanamkanlah niat jika anda mahu menyusukan anak secara eksklusif. Niat yang baik ini perlu disertakan dengan usaha dan doa yang berpanjangan. Sebagai seorang Muslim, tuntutan Islam untuk menyusukan anak dengan susu ibu perlu dianggap sebagai satu kewajipan dan mama mesti mengusahakan agar anak dapat menyusu badan kerana itulah haknya.

Tambahkan ilmu. Menyusukan anak bukanlah sekadar menyusukan tanpa mama mengetahui tentang ilmu penyusuan. Mama perlu tahu tentang kebaikan, bagaimana ingin memberikan susu dengan cara yang betul, cara menyimpan susu yang telah dipam dan banyak lagi. Rajin-rajinlah mencari tentang ilmu penyusuan ini di dalam mana-mana majalah, buku dan internet. Mama juga perlu rajin bertanya kepada Mama senior yang lebih berpengalaman.

Apakah penyusuan eksklusif?
Penyusuan eksklusif adalah anda memberikan hanya susu ibu kepada bayi anda sekurang-kurangnya 6 bulan dan dilanjutkan sehingga 2 tahun tanpa mencampurkan ia dengan air atau makanan lain.

Sokongan. Suami, keluarga dan kawan sekerja anda andalah orang yang paling dekat dengan anda. Jadi, anda amat memerlukan sokongan daripada mereka bagi menjayakan penyusuan eksklusif. Tanpa sokongan suami contohnya, amatlah sukar bagi anda menyusukan anak kerana ketika anda menyusukan anak, anda pasti memerlukan suami yang ringan tulang untuk membantu menguruskan rumah. Begitu juga dengan rakan sekerja anda. Anda memerlukan waktu untuk mengepam ketika waktu kerja, jadi tanpa rakan kerja yang memahami akan menyukarkan anda untuk mengepam susu di pejabat.

Pam yang sesuai. Penyusuan eksklusif tidak berjaya tanpa menggunakan pam yang sesuai dan efektif. Carilah pam di pasaran yang mempunyai stimulasi yang sama dengan cara penyusuan anak. Anda memerlukan pam untuk mengepam susu anda ketika bayi anda tidak ada di sisi. Anda sudah boleh mula mengepam sewaktu anda masih lagi di dalam pantang dan bersedialah menyimpan stok susu bagi kegunaan semasa anda bekerja nanti.

Kemudahan peti sejuk. Peti sejuk amatlah penting untuk anda menyimpan stok susu ibu. Bukan sahaja di rumah, pastikan juga kemudahan peti sejuk ada di pejabat anda. Jika tiada, anda boleh menggunakan cooler bag sebagai tempat untuk menyimpan susu.

Bagaimana ingin memulakan?
Setiap kali ingin memulakan penyusuan, mulakanlah dengan kalimah basmallah dan mulakan dengan payudara kanan dahulu.
Penyusuan ibu perlu dimulakan seawal mungkin sejurus selepas melahirkan anak. Susu pertama ibu yang mengandungi kolostrum sangat baik untuk bayi kerana ia dapat melindungi bayi dari jangkitan.
Mama jangan terlalu panik. Penyusuan ibu menuntut kepada nilai kesabaran yang sangat tinggi. Penyusuan yang berjaya hanya dapat dilakukan dengan banyak berlatih. Mama dan anak melakukan latihan bersama dan jangan malu untuk bertanya kepada doktor atau jururawat untuk memberikan tunjuk ajar.

Bagi bayi pramatang, bayi akan diletakkan di dalam inkubator dan berada di dalam pengawasan doktor. Biasanya anak tidak dapat menyusu badan secara terus dari payudara mama pada waktu itu. Mama jangan risau. Apa yang mama boleh lakukakan adalah dengan mengepam susu anda dan beri susu kepada anak melalui botol atau tiub.

Mulut bayi anda seharusnya menutup bahagian besar aerola di bawah puting dan puting mama mestilah berada jauh ke dalam mulut bayi. Jika percubaan pertama menyakitkan mama, masukkan jari kecil mama ke dalam mulut bayi di antara gusi dan puting mama agar dia melepaskan puting mama dan cuba penyusuan sekali lagi.

Anda mesti menyusukan bayi anda sekerap yang mungkin. Semakin kerap mama menyusukan bayi, semakin cepat susu matang akan keluar dan semakin banyak susu yang akan dihasilkan. Kebiasaan bayi menyusu selama 15 minit untuk satu payudara dan 8 sehingga 12 kali setiap hari.

Bayi yang menangis adalah tanda terakhir yang menyatakan dia lapar. Jadi susuilah bayi anda sebelum dia menangis. Tanda awal bahawa bayi anda hendak menyusu seperti membuka mulutnya apabila dekat dengan payudara mama. Anda mesti mengejutkan bayi anda yang tidur jika dia tidak menyusu melebihi 4 jam.

Bagi memastikan anda menyusukan bayi anda dengan baik, anda mestilah menyusukan dia dalam posisi yang selamat dan selesa. Pegang bayi anda di dalam posisi yang tidak akan menyakitkan tangan dan belakang anda. Ada 4 posisi yang selamat dan selesa untuk anda menyusukan bayi iaitu;

The Cradle Hold: tampung kepala bayi dengan lengan mama dan baringkan bayi di atas peha. Tangan anda menyokong leher, belakang dan punggung bayi. Ini sesuai untuk kelahiran normal.

The Cross-Over Hold: jika menyusu sebelah kanan, gunakan tangan kiri mama dan lengan untuk memegang kepala bayi. Pusingkan bayi ke arah anda supaya dada dan perutnya menghadap mama. Dengan jari anda yang memegang kepala bayi, pandulah anak anda agar mulutnya menuju ke payudara mama. Cara ini sesuai untuk bayi yang kecil.

The Clutch or Football Hold: letakkan bayi anda di bawah lengan seperti pemain football atau membawa beg tangan. Bayi mesti menghadap mama dengan hidung mestilah sama dengan paras puting mama dan kakinya mengarah ke belakang mama. Sokong kepala dan belakang bayi dengan tangan mama. Cara ini sesuai untuk mama yang melahirkan melalui Caesarean.

Reclining Position: posisi ini mama menyusukan bayi dalam keadaan baring dan letaklah beberapa bantal di belakang anda bagi menyokong belakang anda. Dekatkan bayi anda ke arah anda dan tangan anda yang di atas merangkul kepala bayi dan tangan anda yang di bawa berada di bawah kepala anda.

Apakah yang Mama Perlu Makan?
Mama boleh makan seperti biasa iaitu dengan mengamalkan pemakanan yang berkhasiat seperti makan makanan berbijirin, buah-buahan, sayur-sayuran dan mengambil makanan yang mengandungi protin, kalsium dan zat besi. Hadkan mengambilan kafein, bercoklat dan pedas. Mama juga perlu minum dalam kuantiti yang banyak kerana hormon yang dikeluarkan semasa mama menyusukan bayi akan menyebabkan anda kehilangan banyak air dalam badan (dihidrasi).

Masalah Yang Bakal Mama Hadapi
Mama mungkin menghadapi masalah seperti bengkak susu dan puting luka. Bengkak susu akan berlaku 2 atau 3 hari selepas mama melahirkan anak. Mama akan mendapati payudara membengkak, sakit apabila dipegang dan seperti dicucuk-cucuk dan mama tidak selesa dengan keadaan payudara  yang terlalu penuh. Mama akan merasai bengkak melarat sehingga ke bawah lengan. Demam ringan juga akan berlaku kepada mama.

Bengkak susu ini berlaku kerana selepas bersalin, susu akan banyak dihasilkan dan sedia untuk diberikan kepada bayi. Darah akan semakin banyak mengalir ke payudara mama dan ini menyebabkan tisu payudara menjadi bengkak.

Mama perlulah bersikap positif apabila berlakunya bengkak susu kerana ini menandakan mama sedang menghasilkan susu kepada anak anda. Anak anda akan membantu anda mengatasi masalah ini dengan menghisap susu dan mama dapat menghasilkan susu dengan jumlah yang sesuai untuk bayi.
Pakailah pakaian dalam yang dapat menampung payudara mama dan susuilah anak mama seperti biasa iaitu 2 ke 3 jam sekali. Hindari anak mama daripada menghisap ketika aerola mama terlalu tegang kerana ia boleh menyebabkan kecederaan pada puting. Bagi melembutkan aerola mama, cuba mama pam dahulu sehingga aerola mama lembut. Mama juga boleh mengurut payudara atau pun meletakkan pek sejuk ke payudara bagi melancarkan pengaliran susu.

Cara menyimpan Susu
Pam susu setiap 2 ke 3 jam sekali ketika anda berada di pejabat.
Simpan susu anda ke dalam botol kaca atau plastik atau beg plastik khas untuk menyimpan susu.
Labelkan botol susu dengan nama anda dan tarikh ia dipam dan apabila hendak digunakan, gunakan susu yang dipam dahulu.
Mama boleh sejukkan susu di dalam peti sejuk (refrigerator) selama 3 ke 5 hari.
Jika disejuk beku (frozen), susu boleh disimpan selama 3 ke 6 bulan.
Susu yang disejuk beku, perlu dicairkan dahulu sebelum direndam dengan air suam. Jangan sekali-kali mama menyejukkan sekali lagi dan ia perlu dibuang jika tidak habis. Jadi, bagi mengelakkan pembaziran, pamlah mengikut kebiasaan anak menyusu (3 oz atau 4 oz dalam satu penyusuan)

Menyusukan anak dengan susu ibu adalah saat-saat indah yang mama tidak harus lepaskan. Berikanlah dia hak untuk menyusukan susu ibu kerana itulah yang terbaik buatnya. Selain daripada khasiat susu ibu yang banyak, mama dapat mengeratkan lagi kasih sayang mama dan anak.
Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakan penyusuannya (2:233)

Ceklist Mama:
*Saya sudah bersedia untuk kembali bekerja dan meneruskan penyusuan secara eksklusif
*Saya sudah membeli set pam penyusuan untuk kegunaan saya nanti
*Saya sudah mula menyimpan stok susu untuk diberikan kepada anak saya semasa ketiadaan saya nanti

Ingatan Buat Mama
Tahniah kepada Mama yang sudah pun memasang niat untuk menyusukan si manja dengan susu ibu. Bukan mudah bagi Mama untuk merealisasikan impian ini. Perkara penting yang Mama perlu ada adalah sentiasa positif  kerana jika Mama rasa tertekan, ia akan mengganggu proses penyusuan Mama. Bantuan dan sokongan daripada suami, saudara mara dan sahabat handai amatlah diharapkan oleh Mama.

Di samping itu juga Mama jangan mudah terpedaya dengan dakyah atau kata-kata negatif yang akan mematahkan semangat Mama. Kuatkan semangat dan selalu tingkatkan ilmu pengetahuan dalam penyusuan ibu ini.

FAKTA
Malaysia masih dikatakan jauh ketinggalan dalam meningkatkan pengetahuan penyusuan ibu jika dibandingkan negara-negara barat. Walhal Islam amat menggalakkan penyusuan ibu kerana ia banyak memberi faedah kepada ibu dan bayi.
Bagi ibu yang bekerja, masih banyak majikan yang tidak menyediakan ruang untuk Mama mengepam susu dan menyusu, begitu juga tempat-tempat awam seperti pusat membeli belah dan stesen-stesen minyak. Jika keperluan Mama dapat dipenuhi, pasti produktiviti dapat ditingkat kerana Mama akan lebih seronok bekerja.

Membina Perkahwinan Yang Barakah

Teks: Ashikin Hashim
Kebahagiaan didamba semua pasangan

Ingatlah bahawa:

Kehidupan berkahwin itu adalah satu destinasi indah yang perlu kita selusuri mengikut hukum yang telah Allah tetapkan. Hanya dengan barakah daripada Allah maka kita mendapat nilai-nilai ibadah di dalam perkahwinan.

Siapakah pasangan kita?
Persoalan ini sememangnya berat untuk difikirkan oleh insan yang ingin berkahwin. Bukan persoalan mudah malah tidak boleh langsung diambil ringan. Dua insan yang bakal disatukan perlulah hadir dalam keadaaan yang benar-benar baik rohani dan jasmaninya.

Sebelum berkahwin, kita perlu:
Bersiap sedia dari awal agar menjadi insan yang kaya jiwanya dengan ruh Islam. Sekurang-kurangnya anda mesti belajar untuk menjadi manusia yang diredhai oleh Allah swt.

Yakin bahawa persediaan anda untuk menjadi pasangan yang terbaik akan memudahkan jalan untuk mencari pasangan yang terbaik juga. Itu semua di atas ketentuan Allah yang Maha Esa.
Menyediakan pelan pembangunan keluarga yang merangkumi faktor ekonomi dan sosial keluarga anda kelak. Tanpa perancangan yang rapi, maka sukarlah bagi anda mengharungi cabaran di dalam alam rumahtangga.

Bersedia untuk menjadi mama dan papa kepada anak-anak anda kelak. Sebagai seorang Muslim, melahirkan generasi Islam adalah suatu ibadah dan sangat dituntut. Menyekat atau menafikan hak untuk menjadi ibubapa adalah sangat dilarang.
Sentiasa berdoa dan bertawakkal kepada Allah swt bahawa segala usaha kita untuk menjadi insan yang terbaik akan memudahkan pula untuk mencari pasangan hidup yang terbaik.

Pelan Pembangunan Keluarga Barakah

Pelan Pembangunan Keluarga Barakah ini adalah sangat penting bagi pasangan Muslim yang ingin memiliki keluarga yang bukan sahaja bahagia tetapi juga sentiasa diberkati oleh Allah swt.
Ianya merangkumi pelbagai aspek di dalam alam rumahtangga seperti rohani, ekonomi dan sosial. Sebagai pasangan Muslim, seharusnya kita sentiasa bersedia dan menyediakan keluarga dengan pelan pembangunan ini bagi memastikan keluarga mendapat kesejahteraan hidup di dunia juga di akhirat.
Sebelum membina keluarga iaitu dengan ikatan perkahwinan, kita perlulah tahu bahawa perkahwinan barakah itu bermula sebelum berkahwin lagi.

Pasangan yang ingin berkahwin perlu menjaga adab dan tatasusila walaupun sudah bertunang. Berpegangan tangan, berpelukan apatah lagi berzina amatlah dilarang dan haram di sisi Islam.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

Wahai golongan remaja, jika kamu mampu untuk berkahwin maka berkahwinlah kerana dengan berkahwin mampu mengawal pandangan mata dan kemaluan, bagi yang tidak mampu maka berpuasalah kerana dengan puasa mampu mengawal diri daripada menurut runtunan nafsu

Pelan Pembangunan Keluarga Barakah terdiri daripada:

Aspek Rohani
Di dalam aspek ini semua ahli di dalam keluarga wajib memainkan peranan mereka. Mereka wajib menunut ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah bagi memenuhi tuntutan rohani ini. Sebagai seorang suami, adalah menjadi tanggungjawabnya mengajar serta mendidik ahli keluarganya bagi mendalami ilmu Islam. Jika dia tidak mampu, maka wajib pula ke atasnya mencarikan guru untuk ahli keluarganya belajar tentang Islam.

Aspek Ekonomi
Pembangunan ekonomi di dalam sesebuah keluarga adalah aspek yang amat penting. Tanpa ekonomi yang baik dan kukuh, agak sukar bagi generasi Islam membangunkan keluarga dan seterusnya negara. Seorang suami perlu mempunyai pekerjaan tetap bagi menyara keluarganya. Jika isteri ingin membantu, maka perlu difikirkan pekerjaan yang sesuai dengan fitrahnya sebagai seorang isteri dan juga ibu.

Aspek Sosial
Keluarga yang diredhai Allah swt akan mempunyai hubungan yang baik dengan ciptaan Allah yang lain seperti saudara mara, sahabat handai, jiran tetangga, haiwan dan persekitarannya. Aspek sosial berkaitan juga bagaimana kita berkomunkasi dengan persekitaran agar ciptaan Allah swt yang lain dapat membantu kita membangunkan keluarga yang barakah.

Ceklist Suami :
*Saya boleh menjadi seorang Imam
*Saya sedang/sudah mendalami ilmu fardhu ain
*Saya boleh membaca al-Qur’an dengan baik
*Saya boleh mendidik isteri dan anak-anak
*Saya mempunyai pekerjaan tetap
*Saya sudah menyediakan

Ceklist Isteri :
*Saya sedang/sudah mendalami ilmu fardhu ain
*Saya boleh membaca al-Qur’an dengan baik
*Saya sudah menutup aurat dengan sempurna
*Saya bersedia membantu suami dari segi ekonomi
*Saya bersedia menjadi seorang mama
*Saya sudah menyediakan Pelan Pembangunan Keluarga Barakah

Renung seketika
Dari Abdullah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Hai para pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah sanggup memikul tanggungjawab berumahtangga, maka kahwinlah! Kerana perkahwinan itu dapat menundukkan mata dan kemaluan (dari dosa). Siapa yang belum sanggup, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat menundukkan nafsu berahi.” (Muslim)

Thursday 10 October 2013

Tidurlah Sayang! - Satu Pengalaman

Teks: Ashikin Hashim


Ramai ibubapa yang mengalami masalah untuk menidurkan anak lebih-lebih lagi yang sedang aktif seperti kanak-kanak yang berumur 2 hingga 4 tahun. Ada yang terpaksa berkejaran dengan anak yang enggan tidur dan tidak berhenti bermain. Puaslah memujuk tetapi mereka masih enggan tidur. Mungkin tip di bawah boleh membantu anda.
 
Ini adalah pengalaman saya sendiri. Anakanda Wajdi yang berumur 3 tahun adalah seorang anak yang aktif, sihat dan petah berkata-kata. Jika tiba waktu tidur, saya akan mengajaknya tidur dan biasanya memang tiada bantahan. Apakah tipnya?
1. Beri anak masa yang secukupnya untuk dia bermain. Hanya kita yang tahu bila waktu yang sesuai untuk dia berhenti dan tidur. Menghalang anak daripada bermain hanya akan membuatkan anak resah. Bermain adalah fitrahnya. Kadangkala dengan bermain sebentar, akan membuatkan dia letih dan lebih mudah untuk tidur.
 
2. Hentikan segala aktiviti yang boleh menggangunya tidur buat seketika seperti menutup televisyen.
 
3. Menyediakan bilik tidur yang baik dan selesa untuk anak. Suasan bilik tidur yang suram dan tidak terang akan membantunya untuk tidur.
 
4. Menyanyi dan bercerita. Ketika anak sudah berada di tempat tidurnya, baringlah di sebelah nyanyikan untuknya beberapa lagu dan cerita yang baik.
 
Pengalaman - Karekter Si Putih
 
 Inilah yang membuatkan Wajdi suka hendak tidur. Kerana Si Putih!
 
Siapakah Si Putih? Si Putih adalah karekter yang saya wujudkan di dalam penceritaan saya. Biasanya saya akan baring di sebelah Wajdi dan akan menyanyi beberapa buah lagu kanak-kanak yang disukai nya dan kemudian bercerita.
 
Si Putih adalah seekor kucing yang sangat baik. Cerita ini telah banyak membantu saya untuk membantu Wajdi menjadi anak yang baik di sekolah, di rumah dan di mana sahaja. Si Putih adalah karekter kucing yang suka pergi ke sekolah dan mempunyai ramai kawan.
 
Bagaimana saya mengaitkan karekter Si Putih dengan Wajdi dan kehidupannya. Contoh mudah adalah begini. Jika hari itu Wajdi didapati tidak mahu berkongsi barang dengan abang-abangnya mahupaun kawan-kawan, maka saya akan selitkan kisah berkongsi di dalam penceritaan saya.  Seperti:
 
".......Si Putih mempunyai sebiji kereta berwarna merah. Dia sangat menyukai keretanya itu. Pada suatu hari, abangnya, Si Tompok ingin meminjam kereta Si Putih.
 
" Putih...boleh tak saya meminjam kereta awak? " Si Putih seekor kucing yang baik hati dan tidak lokek.
 
" Boleh, apa salahnya. Kita main sama-sama ya!"
 
Di sinilah saya menyelitkan nasihat untuk Wajdi. Dia pasti akan terleka di samping sebelum itu terhibur dengan pelbagai bunyi lucu dari saya. Biasanya saya akan mengakhiri cerita saya dengan bacaan Al-Fatihah, Ayatul Kursi, 3 Qul dan surah Taha ayat satu hingga 5 untuk melembutkan hatinya..
 
Tip ini mungkin dapat membantu anda menyelesaiakan masalah anak yang tidak mahu atau susah tidur. Moga disayang Allah :)

Thursday 3 October 2013

Kolumnis Tetap Majalah Era Muslimah


Bismillah.
Alhamdulillah. Syukur kepada Allah kerana telah memberikan saya rezeki ini. Mulai Isu 19 Majalah Era Muslimah, saya telah menjadi kolumnis tetap majalah tersebut di ruangan Pendidikan Anak. Akhirnya perjuangan serta usaha saya menulis dalam pendidikan awal kanak-kanak ini diiktiraf dan mendapat tempat di hati editor yang dihormati Puan Nik Fauziah.
Semoga dakwah serta perkongsian saya ini menjadi asbab kebaikan dan saya dapat membantu ibubapa yang begitu prihatin tentang pendidikan awal kanak-kanak. Terima kasih di atas sokongan anda semua. Teruskan membaca.
Semoga disayang Allah!

Majalah Era Muslimah Isu 19

Majalah Era Muslimah Isu 18

Friday 27 September 2013

Apakah Pendidikan Awal Kanak-kanak?

Teks: Ashikin Hashim

Foto: Google


Tahun-tahun pertama adalah sangat penting


Pendidikan awal kanak-kanak adalah pendidikan formal yang diberikan kepada anak-anak yang berumur di bawah umur 8 tahun (definisi yang diberikan oleh National Association for the Education of Young Children). Dalam fasa ini, kanak-kanak biasanya belajar dengan cara bermain kerana kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak belajar dengan efisen melalui permainan.

Dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) menyatakan 'pendidikan prasekolah' (preschool education) bermaksud program pendidikan untuk kanak-kanak berumur dari empat hingga enam tahun. 'Tadika' (kindergarten) bermaksud tempat di mana menempatkan sejumlah kanak-kanak pendidikan prasekolah seramai sepuluh atau lebih. Manakala 'taska' (nursery) merujuk kepada Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) bermaksud program pendidikan untuk kanak-kanak di bawah umur empat tahun iaitu bermula dari lahir hingga empat tahun.

Walaupun ianya disebutkan sebagai pendidikan formal, tetapi para penyelidik di dalam pendidikan awal kanak-kanak percaya bahawa ibubapa adalah pendidik yang paling baik dan utama dalam fasa ini. Walaupun kebanyakan ibubapa menghantar anak ke tadika atau pusat jagaan mahupun pusat perkembangan anak-anak, namun adalah penting bagi ibubapa berperanan dalam pendidikan awal kanak-kanak ini.

Tahun-tahun pertama kanak-kanak adalah fasa kritikal kerana ketika inilah mereka belajar tentang pelbagai perkara dan mudah untuk dididik. Menurut kajian, kanak-kanak yang tidak mendapat didikan yang sewajarnya ketika tahun-tahun pertama ini akan ketinggalan apabila dia melangkah masuk ke alam persekolahan yang sebenar.

Pendidikan awal kanak-kanak tidaklah terikat kepada pendidikan di tadika sahaja, ianya merangkumi banyak cara dan sumber, seperti home-based ataupun school-based.

Apakah yang menentukan keberkesanan pendidikan awal kanak-kanak ini?

1. Kesedaran yang tinggi daripada ibubapa itu sendiri. Mereka tahu akan peri pentingnya pendidikan awal kanak-kanak ini dan berusaha untuk memberikan pendidikan awal yang terbaik untuk anak-anak.

2. Jika anak-anak dihantar ke mana-mana sekolah atau pusat perkembangan kanak-kanak, guru yang mendidik adalah guru yang berkualiti dan tahu tentang peri pentingnya pendidikan awal kanak-kanak ini.

3. Ibubapa adalah guru pertama bagi anak-anak. Setiap apa yang dilakukan oleh anak-anak memerlukan penglibatan ibubapa. Dan ianya adalah proses yang berterusan samada di sekolah mahupun di rumah.

Semoga kita dapat memberikan yang terbaik buat anak-anak demi menjamin masa depan yang baik untuk mereka.

Moga kita disayang Allah

Hubungi Ashikin Hashim untuk jemputan ceramah/motivasi pendidikan awal kanak-kanak untuk ibubapa dan guru tadika di 0193354522