Monday 24 June 2013

Mendidik Anak Mencintai Rasulullah SAW




Teks: Ashikin Hashim


Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam buku agungnya Tarbiyatul Aulad ada menyebut tentang cara-cara pendidikan berkesan kepada anak. Beliau menyatakan salah satu caranya adalah dengan menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak. Siapa contoh tauladan yang paling baik untuk kita tunjukkan kepada anak-anak? Sudah tentulah Nabi kita iaitu Nabi Muhammad SAW.

Rasulullah SAW adalah contoh yang paling baik kerana baginda telah diutuskan kepada kita untuk baginda menunjukkan akhlaq dan memimpin kita ke arah kebenaran. Kita mendidik anak kita untuk mereka mencinta Rasulullah kerana atas sebab-sebab yang berikut:

1. Baginda adalah contoh yang paling baik dalam hal beribadah kepada Allah SWT. Baginda pernah diceritakan sebagai seorang yang apabila solat sangat khusyuk dan tawaddhuk sehingga kaki baginda bengkak.

Al-Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan daripada Al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya:

" Adalah Rasulullah SAW sentiasa bangun di waktu malam (bersembahyang) sehingga bengkak-bengkak kakinya. Apabila ditanya: Bukankah Allah telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang? Jawab baginda: Kalau begitu, bukankah patut aku menjadi hamba yang berterima kasih?!"

2. Baginda adalah contoh yang paling baik dalam bersedekah dan bermurah hati. Sangat dianjurkan di dalam Islam agar kita melazimkan bersedekah dan membantu insan yang memerlukan pertolongan.

Al-Hafizh Abu Asy-Syaikh telah meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya:

" Tidak pernah Rasulullah SAW diminta sesuatu apa pun atas nama Islam, melainkan baginda memberinya. Dan sesungguhnya telah datang seorang lelaki kepadanya dan memintanya, maka baginda telah memberinya sekumpulan kambing yang berada di antara dua bukit. Orang itu mengambilnya dan kembali kepada kaumnya bersama dengan kambing-kambing itu, seraya berkata: Wahai kaumku! Masuklah Islam! Sesungguhnya Muhammad itu memberi  dan orang yang tidak bimbangkan jatuh miskin. "

3. Baginda adalah contoh yang paling baik dalam zuhud. Dalam kehidupan serba moden dan canggih ini, manusia sentiasa berlumba untuk meraih kesenangan dan kemewahan. Adakah kita mengajar hidup bermewah-mewah atau bersederhana? 

Telah berkata Abdullah bin Mas'ud r.a:

" Saya telah datang kepada Rasulullah SAW dan baginda sedang berbaring di atas tikar, yang telah memberi bekas di bahagian belakangnya yang mulia itu. Maka saya pun berkata: Wahai Rasulullah! Apa kata kalau kita buatkan satu bantal yang diletakkan di antara engkau dan tikar itu, supaya ia tidak membekaskan belakangmu. Ujar baginda: Apalah daku, dan apalah dunia ini! Tiadalah aku dan dunia ini melainkan sebagai seorang penunggang yang berhenti berteduh sebentar di bawah satu pohon, kemudian dia akan berpergian lagi, dan meninggalkan tempat teduhan itu. "

Kezuhudan ini amat penting untuk kita ajarkan kepada anak-anak kita agar mereka mudah dan tahu untuk menolong orang yang susah dan melebihkan orang lain daripada diri sendiri. Baginda juga mengajar kita agar hidup dalam keadaan yang sederhana agar kita tidak dilalaikan dengan kesenangan dan kemewahan.

4. Baginda adalah contoh yang paling baik dalam tawaddhuk.

Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang sering memberi salam kepada sahabatnya, sentiasa mendengar dengan tekun apa yang diperkatakan oleh orang lain dan apabila berjabatan tangan, baginda tidak melepaskan sehinggan orang yang berjabat dengannya itu melepaskannya terlebih dahulu. Baginda juga tidak pernah sombong dan meninggi diri.

Allah telah menurunkan ayat ke atas Rasulullah SAW yang berbunyi:

" Rendahkanlah sayapmu (tawadhhukmu) kepada orang-orang yang mengikutimu dari kaum Mukminin. " (Asy-Syu'ara':215)

5. Baginda adalah contoh yang paling baik dalam sopan santun.

Ramai yang mengidamkan mempunyai anak yang beraklaq mulia dan sopan santun. Maka Rasulullah adalah contoh terbaik sebagai seorang yang bersopan santun di dalam kehidupan baginda. Pernah diceritakan tentang satu kisah wanita Yahudi yang sangat benci terhadap baginda.

Wanita tersebut akan menghalang baginda ketika baginda lalu di hadapan rumahnya. Dia akan meletakkan benda-benda tajam dan najis di laluan tersebut. Pada suatu hari, ketika baginda melalui jalan yang sama, tiada sebarang halangan di atas jalan tersebut. Baginda lalu bertanya kepada orang-orang di situ, di manakah wanita tersebut. Rupanya wanita tersebut sedang sakit. Dengan akhlaq yang mulia, baginda telah pergi menziarahi wanita tersebut.

Wanita tersebut sangat terharu dan menyesal dengan perbuatannya. Selepas kejadian tersebut, wanita tersebut pun memeluk Islam.

6. Baginda adalah contoh yang paling baik dalam keberanian.

Kita wajar mendidik anak kita agar mereka menjadi seorang yang berani. Kita mahukan anak kita berani dalam menegakkan keadilan, berani menyahut cabaran, berani menjadi orang yang paling hadapan dan sebagainya.

Allah berfirman di dalam Al-Qur'an:

" Adakah kamu takutkan mereka, maka Allahlah yang lebih patut kamu takut kepadaNya, kiranya kamu benar-benar orang-orang yang beriman. " (A-Taubah: 13)

Subhanallah! Hebatnya akhlaq Rasulullah. Marilah kita mengambil intipati akhlaq serta perjuangan dakwah Rasulullah agar dapat kita terapkan di dalam kehidupan kita sekeluarga. Jika kita benar-benar mengamalkannya maka yakinilah masalah sosial yang sedang melarat kini pasti dapat diselesaikan.


No comments:

Post a Comment