Tuesday 25 June 2013

Membina Keluarga Yang Bahagia dan Diredhai




Teks: Ashikin Hashim


Membina keluarga yang bahagia memerlukan ahli yang berada di dalamnya berada dalam keadaan yang bahagia. Orang yang mahukan kekayaan, maka dia akan mencari segala sumber dan mengerah segala tenaganya untuk mendapatkan kekayaan tersebut. Jadi bagi mendapat kebahagiaan, kita mestilah mengerah segala jiwa dan perasaan kita untuk saling mencintai dan menyayangi agar dapat membina kebahagiaan tersebut.

Kebahagiaan tidak dapat dibina jika suami dan isteri saling membenci di antara satu sama lain, ibu tidak menghargai anaknya, ayah tidak meluangkan waktunya untuk bermesra dan anak-anak pula saling bertingkah dan bermusuhan.

Ada beberapa tip yang boleh dikongsikan di sini bagi membina keluarga yang bahagia:

1. Ucaplah sayang dan cinta. Jadikan ini sebagai rutin kita daripada seorang suami kepada isterinya, isteri kepada suaminya, ibu kepada anaknya, ayah kepada anaknya, abang kepada adiknya. Ucapan sayang dan cinta ini akan mengukuhkan lagi kepercayaan dan jati diri kepada setiap ahli keluarga itu sendiri. Perbuatan tanpa ucapan akan membuatkan anak itu tertanya-tanya adakah ayah sayang kepadanya atau adakah isteri cinta kepada suaminya. Marilah kita amalkan untuk mengucapkan, ' Wafi, Ummi sayang Wafi. Moga Wafi jadi anak yang soleh di sekolah hari ini. ' Ini bakal memberikan satu impak dan aura positif kepada si anak itu nanti.

2. Peluklah dan sentuhlah dengan penuh kecintaan. Di dalam sebuah keluarga, jadikan amalan memeluk di antara satu sama lain kerana ianya dapat membina keyakinan dalam diri. Melalui pelukan, anak-anak akan rasa disayangi dan dilindungi. Begitu juga seorang suami yang sentiasa menyentuh dan memeluk isterinya. Yang penat akan hilang penatnya dan yang sedih akan mula kembali bersemangat untuk meneruskan kehidupan.

3. Usrah. Jadikanlah di dalam keluarga itu rutin berkumpul dan bapa sebagai ketua untuk bercerita dan saling menasihati. Konsep usrah ini dapat merapatkan lagi hubungan sesama ahli di dalam sesebuah keluarga. Semasa usrahlah seorang bapa mendengar masalah setiap ahli keluarganya atau pun memberitahu tentang rancangan masa hadapan.

4. Keluar bersama. Aktiviti ini adalah sangat bagus untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Tidak semestinya kita berbelanja besar untuk pergi bercuti. Cukup sekadar ke taman membawa anak-anak. Main bersama mereka. Saling berpegangan tangan dan ketawa bersama-sama. Ini cukup membahagiakan!

5. Hargailah mereka. Di dalam sebuah keluarga, seorang isteri memerlukan penghargaan suaminya, anak-anak pula memerlukan penghargaan ibubapanya. Penghargaan diberikan ketika anak membuat sesuatu pekerjaan yang baik atau pun membantu ibubapa di rumah. Ringan-ringankan mulut untuk memuji anak agar dia rada sentiasa dihargai.

6. Kuasa 'terima kasih'. Luaskan aura 'Terima Kasih' di dalam keluarga. Walaupun ianya nampak kecil tapi impaknya sangat besar kepada anak-anak. Latih anak-anak untuk mengucapkan terima kasih ketika ibu menyediakan makanan, terima kasih kepada bapa yang memberikan duit belanja sekolah dan terima kasih kepada abang yang sentiasa dapat bermain bersama.

7. Amalan memberi hadiah. Sesekali berilah hadiah kepada anak-anak. Bukan hanya ketika hari lahir mereka sahaja. Hadiah boleh juga diberikan jika mereka sangat berkelakuan baik pada hari tersebut. Ini bagi memberikan mereka motivasi dan rasa disayangi juga dihargai.

8. Menjadi pendengar yang baik. Kita sering mengabaikan anak kita yang selalu ingin berkongsi cerita bersama kita. Kita jarang menjadi pendengar yang baik. Dengarlah masalah yang dihadapi oleh anak-anak, dengarlah permintaannya dan dengarlah rintihan hatinya. Ini dapat membuatkan anak itu berasa lega selepas meluahkan apa yang ingin dia perkatakan.

9. Solat dan doa. Tidak ada senjata yang paling baik untuk membina keluarga yang bahagia selain menjadikan ahli keluarga orang yang menjalankan tanggungjawabnya dengan bersolat. Tanpa nur iman dan taqwa, mana mungkin kita dapat membina keluarga yang diredhai oleh Allah swt. Kita juga disarankan agar sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya mengurniakan sebuah keluarga bahagia dan diberkati sentiasa.

Mudah-mudahan dengan tip yang dinyatakan di atas, dapat memberikan panduan kepada kita semua untuk membina keluarga yang bahagia. InsyaAllah. Kita mahu nanti, kita saling berpegangan tangan, masuk ke dalam syurga dengan senyuman dan berjumpa semula dengan ahli keluarga kita. Ameen.

No comments:

Post a Comment