Wednesday 3 July 2013

Panduan Pertama Kali ke Tadika



Teks: Ashikin Hashim
 

Sudah masuk bulan 7 kini, maka sudah ramai ibu bapa yang mula mencari-cari tadika terbaik untuk anak mereka tahun hadapan. Ibu bapa nampaknya lebih risau memilih tadika daripada sekolah rendah dan menengah. Mungkin kerana inilah permulaan kepada fasa pembelajaran mereka. Kata mereka, jika baik tadika itu, maka baik jugalah nanti penerimaan anak-anak. Mudahlah nanti untuk melangkah ke tahun satu. Mungkin benar!

Dengan pengalaman yang ada sebagai seorang pengetua dan ibu kepada 3 orang anak, saya ingin kongsikan kepada anda semua tentang persediaan anak-anak untuk mereka ke sekolah nanti. 

1. Berbual dan bercerita. Jika anak anda sekarang berumur 3 tahun dan bakal memasuki tadika pada umur 4 tahun di tahun hadapan, mulalah berbual-bual dengannya tentang alam persekolah. Dedahkannya tentang bentuk dan suasana sekolah dan apa yang bakal dia hadapi di sekolah kelak.

2. Pilih bersama. Anda pasti ingin membuat tinjauan tadika yang terbaik di internet atau berjalan-jalan di sekitar perumahan. Bawa anak bersama untuk memilih tadika yang sesuai untuk anak. Apabila anda sudah mempunyai pilihan, nyatakan pilihan itu kepada anak dan katakan kepadanya mengapa anda memilih tadika tersebut.

3. Bawa melawat. Ketika anda hendak mendaftar atau pun mengetahui lebih lanjut tentang sekolah yang telah dipilih, bawalah anak bersama ke sekolah tersebut. Mohon kebenaran pengetua untuk membawa anak meninjau keadaan tadika tersebut dan beri kebebasan kepada anak untuk bertanya. Tunjukkan kelas, tempat bermain, tandas, papan putih, buku dan lain-lain kepada anak. Semoga dia mendapat gambaran yang lebih jelas tentang tadika tersebut.

4. Ceritakan pengalaman anda dahulu. Ceritakan kepada anak tentang pengalaman anda bersekolah dahulu. Kongsikan kenangan manis dan bina sifat-sifat positif dalam diri anak supaya dia dapat rasakan bahawa sekolah itu adalah tempat yang seronok dan selamat.

5. Biasakan anak berdikari. Apabila bermula alam persekolahan maka bermulalah juga episod hidup tanpa ibu dan ayah di sisi. Sesekali tinggalkan anak kepada orang yang dikenali dan katakan kepadanya bahawa anda akan kembali. Inilah yang akan berlaku semasa anak anda mula bersekolah. Kepada yang baru melangkah ke alam persekolahan, ditinggalkan ibu adalah sesuatu yang ditakuti. Berikan kata-kata jaminan dan semangat kepada anak. Katakan kepadanya bahawa anda sayang kepadanya dan akan kembali mengambilnya.

6. Latihan ke tandas. Latihan ini sangat penting. Ke tandas adalah satu keperluan dan cikgu pasti tidak menang tangan untuk menemani anak anda ke tandas. Terangkan kepada anak tentang keselamatan ketika ke tandas dan berada di tandas. Begitu juga bagaiman menjaga kebersihan tandas.

7. Beli barang sekolah bersama. Bawa anak membeli barangan sekolah seperti beg dan alat tulis bersama. Berikan dia sedikit kebebasan untuk memilih warna yang dia suka. 

8. Ibu ayah mesti positif. Bukan anak sahaja yang mesti bersedia, ibu dan ayah juga mesti positif menerima perubahan bahawa anak anda sudah besar dan kini tiba masa untuk mereka bersekolah. Sentiasa positif bahawa anak anda mampu untuk ke sekolah.

9. Ibu ayah mesti faham. Bersekolah bermaksud anak akan mula belajar bergaul dengan kawan-kawan baru, bermain bersama, makan bersama, dan belajar juga bersama. Skil komunikasi anak ketika ini sedang berkembang pesat. Kadang-kadang mereka akan bergaduh, menangis dan kecewa. Fahamilah bahawa ini adalah proses bagi mereka. Bantu mereka untuk berhadapan dengan situasi begini dengan baik.

Semoga panduan ini dapat membantu anda mempersiapkan anak-anak yang baru mula melangkah ke alam persekolah.

Moga kita disayang Allah.

 Hubungi Ashikin Hashim untuk jemputan ceramah/motivasi pendidikan awal kanak-kanak untuk ibubapa dan guru tadika di 0193354522

1 comment:

  1. Terima kasih atas tips yang diberikan.
    Sedang mencari -cari tadika yang sesuai untuk anak yang kedua setelah permohonan ke prasekolah ditolak

    Melabur Sekarang untuk Masa Depan Yang Sihat

    ReplyDelete