Friday 28 June 2013

Ketika Anak Mengamuk - Satu Pengalaman

Teks: Ashikin Hashim



Ini adalah pengalaman saya sendiri. Pengalaman yang sangat berharga, menjadi panduan dan rujukan saya di masa hadapan. Jauh di sudut hati saya, saya bertuah dan bersyukur kerana diberikan oleh Allah untuk melalui pengalaman ini. Sebagai seorang practitioner dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, pengalaman ini menjadi salah satu testimoni saya.

Inilah kisah anak kedua saya. Wasim nama diberi. Si kacak ini permata hati yang masa bayinya sangat mudah dijaga dan tidak banyak kerenah. Ini diakui oleh pengasuh yang menjaganya. Alhamdulillah.

Namun apabila umurnya menjangkau 2 tahun, dia mula mudah melampias tantrumnya. Pantang silap sedikit atau tidak mendapat sesuatu jika meminta. Dia aka menangis dan meronta sekuat hati. Hendak memujuk pula bukanlah mudah. Kadang-kadang, makin dipujuk makin menjadi pula tantrumnya.

Satu pengalaman yang ingin saya kongsikan, pernah pada satu ketika dia akan bangun di malam hari pada waktu yang sama dan mengamuk tanpa diketahui sebabnya. Mungkin dia mahu susu atau ingin saya di sebelahnya. Dia akan menangis tanpa henti dan pernah juga dia menghantuk kepalanya ke lantai. Ya Allah saya pernah rasa putus asa. Tidak tahu apa yang harus saya lakukan.

Masa tetap akan berlalu dan berjalan. Pengalaman harus ditempuh walau sebesar mana susah dan sukarnya. Apabila berlaku perkara begini, saya dan suami tetap berganding bahu dan sama mencari jalan penyelesaiannya. Saya dan suami menambah pembacaan dan mencari tip bagaimana untuk mengendali anak sebegini.

Apa yang kami dapat daripada pembacaan dan pengalaman, perlakuan sebegini hampir berlaku kepada kebanyakan kanak-kanak di antara umur 1 - 4 tahun. Ada sesetengah anak mengalami tantrum tidak lama tetapi ada yang mengambil masa untuk pulih.

Alhamdulillah kini Wasim sudah berumur 6 tahun. Dia sudah tidak seperti dulu. Semakin matang dan mudah dibawa berbincang. Di sekolah juga dia semakin mahir berkomunikasi dengan guru dan kawan-kawan. Saya akan kongsikan kepada anda apakah yang telah saya lakukan sepanjang tempoh Wasim mengalami tantrum.

1. Ketahuilah bahawa tantrum adalah normal dan berlaku hampir kepada semua kanak-kanak. Jangan risau. Ianya pasti berlalu. Itulah yang saya tanamkan dalam pemikiran saya.

2. Anak yang mengalami tantrum biasanya bersebab. Dia mungkin lapar, sakit, mahukan sesuatu, minta perhatian dan sebagainya. Dengan mengetahui sebab dan punca dia mengamuk dapat membantu kita mengendalikannya. Cegah sebelum ianya berlaku.

3. Anak yang mengamuk biasanya juga sedang membina kemahiran sosialnya dengan orang sekelilingnya. Dia juga sedang meningkatkan kemahiran bahasanya. Kadang dia mahukan sesuatu tetapi tidak tahu bagaimana untuk memintanya. Ibu dan bapa juga kadangkala tidak memahami apa yang dia ingin perkatakan. Jadi, apabila permintaan tidak difahami, maka berlakulah aksi seperti menangis, meronta atau pun menghentak-hentakkan kakinya. Bersabarlah wahai ibu bapa. Anak kita sedang melalui kehidupan yang sukar untuk dia menjadi lebih besar dan matang.

4. Anak yang masih kecil sebegini sedang membina dan belajar untuk sabar dan menunggu. Mereka masih belum matang. Mereka perlukan ibu bapa yang sabar untuk mendidik mereka bersabar juga. Inilah salah satu fasanya. Jika fasa ini gagal, maka usah kita harap mereka dapat mengendali diri sendiri bila mereka besar kelak.

5. Satu perkara penting yang saya belajar ketika berhadapan dengan anak yang mengamuk adalah kita sebagai ibu bapa jangan sesekali memukul mereka. Sabar adalah kunci kepada kejayaan kita mendidik serta mentarbiyyahnya. Memukul hanya akan memburukkan keadaan dan melambatkan proses kematangan anak.

6. Jika memujuk tidak berjaya, biarkanlah dia. Mungkin dia perlukan ruang untuk melampiaskan kemarahan dan kecewanya. Hanya pastikan tempat tersebut selamat dan tidak mempunyai barang-barang yang merbahaya.

7. Kerjasama di antara suami isteri amat penting. Salinglah berkomunikasi dan cari jalan penyelesaian bersama. Ini bukan tugas satu pihak sahaja. Jika suami kita tidak dapat menahan sabarnya, isteri fahamilah dan kendalikan anak dengan baik. Jika isteri pula sedang penat, suami ambil alih pula tugas tersebut.

8. Positif. Kekallah dalam keadaan positif bahawa anak kita pasti suatu hari nanti akan berubah. Jika kita negatif dan putus harap, maka ini tidak akan membantu.

9. Ketika perkara ini berlaku kepada Wasim, saya dan suami tidak lepas berdoa dan solat hajat. Kami bacakan al-Quran dan mohon kepada Allah moga pulihkan Wasim dan jauhkannya dari sebarang gangguan makhluk halus jika ada.

Alhamdulillah. Jika kami boleh, maka anda juga boleh. Yakinlah kepada Allah. Setiap yang berlaku pasti ada jalan penyelesaiannya.

Semoga kita disayang Allah.

Tuesday 25 June 2013

Membina Keluarga Yang Bahagia dan Diredhai




Teks: Ashikin Hashim


Membina keluarga yang bahagia memerlukan ahli yang berada di dalamnya berada dalam keadaan yang bahagia. Orang yang mahukan kekayaan, maka dia akan mencari segala sumber dan mengerah segala tenaganya untuk mendapatkan kekayaan tersebut. Jadi bagi mendapat kebahagiaan, kita mestilah mengerah segala jiwa dan perasaan kita untuk saling mencintai dan menyayangi agar dapat membina kebahagiaan tersebut.

Kebahagiaan tidak dapat dibina jika suami dan isteri saling membenci di antara satu sama lain, ibu tidak menghargai anaknya, ayah tidak meluangkan waktunya untuk bermesra dan anak-anak pula saling bertingkah dan bermusuhan.

Ada beberapa tip yang boleh dikongsikan di sini bagi membina keluarga yang bahagia:

1. Ucaplah sayang dan cinta. Jadikan ini sebagai rutin kita daripada seorang suami kepada isterinya, isteri kepada suaminya, ibu kepada anaknya, ayah kepada anaknya, abang kepada adiknya. Ucapan sayang dan cinta ini akan mengukuhkan lagi kepercayaan dan jati diri kepada setiap ahli keluarga itu sendiri. Perbuatan tanpa ucapan akan membuatkan anak itu tertanya-tanya adakah ayah sayang kepadanya atau adakah isteri cinta kepada suaminya. Marilah kita amalkan untuk mengucapkan, ' Wafi, Ummi sayang Wafi. Moga Wafi jadi anak yang soleh di sekolah hari ini. ' Ini bakal memberikan satu impak dan aura positif kepada si anak itu nanti.

2. Peluklah dan sentuhlah dengan penuh kecintaan. Di dalam sebuah keluarga, jadikan amalan memeluk di antara satu sama lain kerana ianya dapat membina keyakinan dalam diri. Melalui pelukan, anak-anak akan rasa disayangi dan dilindungi. Begitu juga seorang suami yang sentiasa menyentuh dan memeluk isterinya. Yang penat akan hilang penatnya dan yang sedih akan mula kembali bersemangat untuk meneruskan kehidupan.

3. Usrah. Jadikanlah di dalam keluarga itu rutin berkumpul dan bapa sebagai ketua untuk bercerita dan saling menasihati. Konsep usrah ini dapat merapatkan lagi hubungan sesama ahli di dalam sesebuah keluarga. Semasa usrahlah seorang bapa mendengar masalah setiap ahli keluarganya atau pun memberitahu tentang rancangan masa hadapan.

4. Keluar bersama. Aktiviti ini adalah sangat bagus untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Tidak semestinya kita berbelanja besar untuk pergi bercuti. Cukup sekadar ke taman membawa anak-anak. Main bersama mereka. Saling berpegangan tangan dan ketawa bersama-sama. Ini cukup membahagiakan!

5. Hargailah mereka. Di dalam sebuah keluarga, seorang isteri memerlukan penghargaan suaminya, anak-anak pula memerlukan penghargaan ibubapanya. Penghargaan diberikan ketika anak membuat sesuatu pekerjaan yang baik atau pun membantu ibubapa di rumah. Ringan-ringankan mulut untuk memuji anak agar dia rada sentiasa dihargai.

6. Kuasa 'terima kasih'. Luaskan aura 'Terima Kasih' di dalam keluarga. Walaupun ianya nampak kecil tapi impaknya sangat besar kepada anak-anak. Latih anak-anak untuk mengucapkan terima kasih ketika ibu menyediakan makanan, terima kasih kepada bapa yang memberikan duit belanja sekolah dan terima kasih kepada abang yang sentiasa dapat bermain bersama.

7. Amalan memberi hadiah. Sesekali berilah hadiah kepada anak-anak. Bukan hanya ketika hari lahir mereka sahaja. Hadiah boleh juga diberikan jika mereka sangat berkelakuan baik pada hari tersebut. Ini bagi memberikan mereka motivasi dan rasa disayangi juga dihargai.

8. Menjadi pendengar yang baik. Kita sering mengabaikan anak kita yang selalu ingin berkongsi cerita bersama kita. Kita jarang menjadi pendengar yang baik. Dengarlah masalah yang dihadapi oleh anak-anak, dengarlah permintaannya dan dengarlah rintihan hatinya. Ini dapat membuatkan anak itu berasa lega selepas meluahkan apa yang ingin dia perkatakan.

9. Solat dan doa. Tidak ada senjata yang paling baik untuk membina keluarga yang bahagia selain menjadikan ahli keluarga orang yang menjalankan tanggungjawabnya dengan bersolat. Tanpa nur iman dan taqwa, mana mungkin kita dapat membina keluarga yang diredhai oleh Allah swt. Kita juga disarankan agar sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya mengurniakan sebuah keluarga bahagia dan diberkati sentiasa.

Mudah-mudahan dengan tip yang dinyatakan di atas, dapat memberikan panduan kepada kita semua untuk membina keluarga yang bahagia. InsyaAllah. Kita mahu nanti, kita saling berpegangan tangan, masuk ke dalam syurga dengan senyuman dan berjumpa semula dengan ahli keluarga kita. Ameen.

Monday 24 June 2013

Mendidik Anak Mencintai Rasulullah SAW




Teks: Ashikin Hashim


Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam buku agungnya Tarbiyatul Aulad ada menyebut tentang cara-cara pendidikan berkesan kepada anak. Beliau menyatakan salah satu caranya adalah dengan menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak. Siapa contoh tauladan yang paling baik untuk kita tunjukkan kepada anak-anak? Sudah tentulah Nabi kita iaitu Nabi Muhammad SAW.

Rasulullah SAW adalah contoh yang paling baik kerana baginda telah diutuskan kepada kita untuk baginda menunjukkan akhlaq dan memimpin kita ke arah kebenaran. Kita mendidik anak kita untuk mereka mencinta Rasulullah kerana atas sebab-sebab yang berikut:

1. Baginda adalah contoh yang paling baik dalam hal beribadah kepada Allah SWT. Baginda pernah diceritakan sebagai seorang yang apabila solat sangat khusyuk dan tawaddhuk sehingga kaki baginda bengkak.

Al-Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan daripada Al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya:

" Adalah Rasulullah SAW sentiasa bangun di waktu malam (bersembahyang) sehingga bengkak-bengkak kakinya. Apabila ditanya: Bukankah Allah telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang? Jawab baginda: Kalau begitu, bukankah patut aku menjadi hamba yang berterima kasih?!"

2. Baginda adalah contoh yang paling baik dalam bersedekah dan bermurah hati. Sangat dianjurkan di dalam Islam agar kita melazimkan bersedekah dan membantu insan yang memerlukan pertolongan.

Al-Hafizh Abu Asy-Syaikh telah meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya:

" Tidak pernah Rasulullah SAW diminta sesuatu apa pun atas nama Islam, melainkan baginda memberinya. Dan sesungguhnya telah datang seorang lelaki kepadanya dan memintanya, maka baginda telah memberinya sekumpulan kambing yang berada di antara dua bukit. Orang itu mengambilnya dan kembali kepada kaumnya bersama dengan kambing-kambing itu, seraya berkata: Wahai kaumku! Masuklah Islam! Sesungguhnya Muhammad itu memberi  dan orang yang tidak bimbangkan jatuh miskin. "

3. Baginda adalah contoh yang paling baik dalam zuhud. Dalam kehidupan serba moden dan canggih ini, manusia sentiasa berlumba untuk meraih kesenangan dan kemewahan. Adakah kita mengajar hidup bermewah-mewah atau bersederhana? 

Telah berkata Abdullah bin Mas'ud r.a:

" Saya telah datang kepada Rasulullah SAW dan baginda sedang berbaring di atas tikar, yang telah memberi bekas di bahagian belakangnya yang mulia itu. Maka saya pun berkata: Wahai Rasulullah! Apa kata kalau kita buatkan satu bantal yang diletakkan di antara engkau dan tikar itu, supaya ia tidak membekaskan belakangmu. Ujar baginda: Apalah daku, dan apalah dunia ini! Tiadalah aku dan dunia ini melainkan sebagai seorang penunggang yang berhenti berteduh sebentar di bawah satu pohon, kemudian dia akan berpergian lagi, dan meninggalkan tempat teduhan itu. "

Kezuhudan ini amat penting untuk kita ajarkan kepada anak-anak kita agar mereka mudah dan tahu untuk menolong orang yang susah dan melebihkan orang lain daripada diri sendiri. Baginda juga mengajar kita agar hidup dalam keadaan yang sederhana agar kita tidak dilalaikan dengan kesenangan dan kemewahan.

4. Baginda adalah contoh yang paling baik dalam tawaddhuk.

Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang sering memberi salam kepada sahabatnya, sentiasa mendengar dengan tekun apa yang diperkatakan oleh orang lain dan apabila berjabatan tangan, baginda tidak melepaskan sehinggan orang yang berjabat dengannya itu melepaskannya terlebih dahulu. Baginda juga tidak pernah sombong dan meninggi diri.

Allah telah menurunkan ayat ke atas Rasulullah SAW yang berbunyi:

" Rendahkanlah sayapmu (tawadhhukmu) kepada orang-orang yang mengikutimu dari kaum Mukminin. " (Asy-Syu'ara':215)

5. Baginda adalah contoh yang paling baik dalam sopan santun.

Ramai yang mengidamkan mempunyai anak yang beraklaq mulia dan sopan santun. Maka Rasulullah adalah contoh terbaik sebagai seorang yang bersopan santun di dalam kehidupan baginda. Pernah diceritakan tentang satu kisah wanita Yahudi yang sangat benci terhadap baginda.

Wanita tersebut akan menghalang baginda ketika baginda lalu di hadapan rumahnya. Dia akan meletakkan benda-benda tajam dan najis di laluan tersebut. Pada suatu hari, ketika baginda melalui jalan yang sama, tiada sebarang halangan di atas jalan tersebut. Baginda lalu bertanya kepada orang-orang di situ, di manakah wanita tersebut. Rupanya wanita tersebut sedang sakit. Dengan akhlaq yang mulia, baginda telah pergi menziarahi wanita tersebut.

Wanita tersebut sangat terharu dan menyesal dengan perbuatannya. Selepas kejadian tersebut, wanita tersebut pun memeluk Islam.

6. Baginda adalah contoh yang paling baik dalam keberanian.

Kita wajar mendidik anak kita agar mereka menjadi seorang yang berani. Kita mahukan anak kita berani dalam menegakkan keadilan, berani menyahut cabaran, berani menjadi orang yang paling hadapan dan sebagainya.

Allah berfirman di dalam Al-Qur'an:

" Adakah kamu takutkan mereka, maka Allahlah yang lebih patut kamu takut kepadaNya, kiranya kamu benar-benar orang-orang yang beriman. " (A-Taubah: 13)

Subhanallah! Hebatnya akhlaq Rasulullah. Marilah kita mengambil intipati akhlaq serta perjuangan dakwah Rasulullah agar dapat kita terapkan di dalam kehidupan kita sekeluarga. Jika kita benar-benar mengamalkannya maka yakinilah masalah sosial yang sedang melarat kini pasti dapat diselesaikan.


Wednesday 19 June 2013

Menggalakkan Anak Bercakap

Teks: Ashikin Hashim


Pernah seorang ibu mengadu kepada saya bahawa anaknya yang berumur 4 tahun masih tidak banyak bercakap dan lebih banyak berdiam diri. Saya dekati ibu dan anak berkenaan dan saya dapati ibu itu sendiri tidak banyak bercakap dan rumah mereka sunyi sepi tanpa gelak tawa dan perbualan keluarga.

Di sini ada beberapa tip bagaimana untuk kita menggalakkan anak bercakap:

1. Sentiasa wujudkan komunikasi dua hala. Kita bukan mahu menaggalakkan ibu bercakap sepanjang masa atau istilah membebel. Tetapi sangat perlu ibu dan bapa mewujudkan komunikasi dua hala di mana anak juga mengambil bahagian di dalam setiap perbualan ibu dan bapanya.

2. Sentiasa respon. Jika anak memanggil atau memulakan perbualan dengan kita, sambutlah panggilan tersebut dan panjangkan perbualan bagi menggalakkan anak untuk bercakap.

3. Rajin bercerita. Jadikan bercerita sebagai salah satu aktiviti wajib kita untuk anak-anak. Anak-anak amat menyukai sesi bercerita. Daripada situ mereka dapat meningkatkan mutu percakapan dan menambah bilangan perkataannya.

4. Rajin bertanya. memulakan hari anak anda dengan bertanya soalan tentang dirinya. Contohnya: ' Bagaimana sekolah hari ini.' 'Makan apa hari ini?'
5. Jangan bertanya soalan yang 'close-ended' . Elakkan hanya bertanya soalan yang hanya mempunyai jawapan 'Ya' atau 'Tidak' sahaja. Kembangkan soalan dan cerita anda.

6. Pilih rancangan yang sesuai. Ada rancangan yang tidak mengeluarkan suara seperti Mr Bean dan sesetengah rancangan kartun. Ini akan mempengaruhi anak-anak kita kerana mereka tidak dapat membina kemahiran mereka untuk bercakap.

7. Luaskan perbualan. Berbuallah di mana-mana sahaja. Di rumah, di dalam kereta, di pusat membeli belah dan di padang permainan. 

8. Bermain dengan mereka. Mainlah permainan 'telefon-telefon' dengan anak. Pasti mereka menyukainya!

Kemahiran bercakap adalah suatu kemahiran yang dapat meningkatkan keyakinan diri anak-anak. Jika kita tidak menggalakkan mereka bercakap, mereka akan rasa rendah diri dan menyendiri.

Semoga kita disayang Allah.

Monday 17 June 2013

Cara Merangsang Otak Bayi




Teks: Ashikin Hashim


Tahukah anda bahaya otak seorang bayi mempunyai berbilion neuron? Pada tahun pertama kelahirannya, otak seorang bayi telah menghubungkan trillion rangkaian pada sel otaknya. Subhanallah. Sebagai ibu bapa, kita tidak mahu, billion neuron ini akan hilang sedikit demi sedikit tanpa sebarang rangsangan terhadapnya.

Ada beberapa cara untuk kita merangsang perkembangan otak seorang bayi. Antaranya:

1. Amalkan cara hidup sihat sejak anak dalam kandungan lagi. Ibu yang sedang mengandung, amalkanlah pemakanan yang seimbang dan berkhasiat. Ini permulaan bagi melahirkan anak yang sihat.

2. Selalulah berkomunikasi dengan bayi anda. Respon kepada setiap bunyi yang dihasilkannya seperti berkata, 'Cantiknya anak Ummi ', ' Anak Ummi yang soleh' dan sebagainya.

3. Bermain dengan bayi anda. Seorang bayi secara semulajadinya membesar dan mengenali orang serta keadaan sekelilingnya dengan bermain.

4. Biasakan bayi dengan buku yang bersesuaian saiz dan rupa bentuknya dan juga warnanya.

5. Beri respon ketika bayi menangis. Ketika bayi menangis, pujuklah dengan mesra dan lembut.

6. Beri permainan yang bersesuaian dengan bayi. Banyak kini di pasaran permainan yang boleh merangsang minda seorang bayi.

7. Urutan badan. Urutan badan yang lembut dapat memberikan rangsangan kepada bayi. Bayi pra matang yang diurut akan lebih sihat berbanding dengan bayi yang tidak diurut.

8. Menyanyi bersama anak. Jadilah ibu yang periang dan selalu bahagia ketika di samping bayi anda. menyanyi bersamanya akan membuatkan bayi anda cepat belajar untuk bercakap dan berasa selamat dengan keadaannya ketika itu.

9. Waktu makan dan rehat yang positif. Alamilah waktu makan atau menyusu yang positif bukan dalam keadaan yang tertekan. Ketika bayi anda berehat, pasangkan muzik yang menenangkan atau bacaan ayat suci al-Quran.

Sunday 16 June 2013

Pengasuh Yang Disayang Allah

Teks: Ashikin Hashim


Ibu yang bekerja sering berada di dalam dilema. Dilema tentang di manakah anak mereka perlu ditempatkan ketika mereka keluar bekerja. Sudah tentulah kriteria pengasuh yang dicari adalah pengasuh yang baik dan dapat memenuhi kehendak serta keperluan ibu bapa yang bekerja.

Terlalu banyak pusat jagaan atau taska yang ada di Malaysia kini. Ada yang bagus, bersih dan mempunyai pengasuh yang baik. Namun ada juga taska yang sekadar mengutip untung dan menjaga anak-anak ala kadar sahaja.

Sudah banyak kejadian yang tidak kita ingini berlaku di taska mahupun rumah pengasuh. Antaranya kes dera, tidak menjaga kebersihan, tidak mesra, memberi ubat batuk kepada anak-anak supaya tidur dan sebagainya.

Sebagai ibu bapa, anda berhak mencari dan menentukan siapakah pengasuh yang akan mengasuh serta menjaga anak-anak anda. Kriteria di bawah mungkin boleh dijadikan panduan ibu bapa di luar sana.

1. Membuat tinjauan. Cari dan lawat taska atau rumah pengasuh yang anda rasa sesuai untuk anak anda. Minta izin daripada pengurus taska untuk anda meninjau kawasan taska.

2. Bertanya. Ibu mesti rajin bertanya kepada bakal pengasuh anak tentang taska dan pengasuh taska tersebut. Dengan bertanya maka segala persoalan bakal terjawab.

3. Taska dan pengasuh yang berdaftar. Pastikan taska yang anda pilih itu adalah berdatar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini bagi memastikan jika berlaku sesuatu ke atas anak anda, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh membantu anda.

4. Pengasuh yang baik. Tinjau-tinjau dan kenal-kenal pengasuh yang bakal mengasuh serta menjaga anak anda. Lihat pakaian dan percakapannya. Ini sangat penting kerana dialah yang akan memastikan segalanya terjaga dan terpelihara.

5. Lokasi. Lokasi taska adalah sangat penting. Mungkin anda serasi jika ia berdekatan dengan tempat kerja atau lokasi yang anda pilih mungkin berdekatan dengan klinik, balai polis dan sebagainya.

6. Selamat. Pastikan taska yang anda pilih adalah selamat. Selamat dari segi di mana ia terletak seperti tidak terletak berdekatan kilang atau tempat pendatang tanpa izin. Lihat juga lokasi dapur dan tempat anak anda bakal diletakkan dan juga peralatan yang digunakan di dalam taska tersebut.

7. Bayaran. Yuran penjagaan bayi adalah dari RM 250 sehingga RM 350 sebulan dan kanak-kanak adalah dari RM 150 sehingga RM 250 sebulan. Ia mungkin berbeza mengikut perkhidmatan yang diberikan oleh pihak taska.

8. Jumlah anak yang dijaga. Nisbah yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyatakat bagi bayi adalah 1:5 iaitu 1 pangasuh menjaga 5 orang bayi dan kanak-kanak pula 1:10 iaitu seorang pengasuh menjaga 10 orang kanak-kanak.

9. Makanan yang disediakan. Taska perlu menyediakan makanan sekurang-kurangnya 3 kali sehari untuk anak-anak jagaan mereka iaitu pagi, tengahari dan petang. Menunya pula mestilah yang halal, berkhasiat dan sesuai dimakan oleh bayi dan kanak-kanak.

Di sini juga disertakan kriteria pengasuh yang disayang Allah.

1. Pengasuh yang menjaga solat 5 waktu.

2. Pengasuh yang menutup aurat.

3. Pengasuh yang amanah.

4. Pengasuh yang mesra.

5. Pengasuh yang selalu meningkatkan ilmu penjagaan anak-anak.

6. Pengasuh yang selalu berkomunikasi dengan ibubapa.

7. Pengasuh yang melayani permintaan ibubapa dengan baik.

8. Pengasuh yang tidak marah membabi buta, memukul atau mencubit anak-anak yang berada di bawah penjagaannya.

9. Pengasuh yang prihatin.

10. Pengasuh yang selalu peka dan berhati-hati.

11. Pengasuh yang selalu berzikir dan membaca al-Qur'an.

12. Pengasuh yang tidak melepaskan kemarahannya terhadap orang lain terutamanya anak-anak.

Semoga ini akan menjadi panduan berguna buat kita semua.

Mengawal Anak Yang Mengamuk

Teks: Ashikin Hashim

Umur 0 hingga 6 tahun adalah tahun-tahun kritikal seorang anak. Pada umur beginilah mereka menyerap masuk segala input negatif dan positif di dalam otak dan pemikiran mereka. Beberapa kajian telah dilakukan tentang beberapa perkara yang sangat mempengaruhi anak pada umur sebegini. Antaranya:

1. Kajian pernah dilakukan iaitu pada umur begini adalah sangat mudah anak mempelajari pelbagai jenis bahasa. Semakin bertambah umur anak, semakin sukar untuk dia mempelajari bahasa.

2. Kajian juga pernah dilakukan terhadap anak yang tidak mendapat sentuhan serta didikan seorang ayah. Mereka lebih cenderung melakukan jenayah daripada anak yang mendapat didikan dan sentuhan seorang ayah.

3. Kajian pernah dijalankan ke atas anak-anak yang suka bermain permainan video pada umur kritikal akan menjadi anak yang menyendiri, tidak pandai bergaul dan mengalami masalah stres.

4. Kajian yang dilakukan terhadap anak yang selalu dipeluk dan disayangi ibu bapanya mempunyai IQ yang lebih tinggi daripada anak yang jarang dipeluk.

Banyak lagi kajian yang telah dilakukan ke atas kanak-kanak yang berumur di antara 0 hingga 6 tahun. Ini menunjukkan bahawa tahun-tahun ini adalah sangat penting bagi membangunkan seorang insan yang baik dan berguna suatu masa nanti.

Tajuk kali ini adalah bagaimana kita mengawal anak yang mengamuk. Tindakan serta cara kita mengendalikan anak sangat penting dalam pembentukkannya. Temper tantrum atau sindrom mengamuk sering berlaku di kalangan kanak-kanak kerana ini juga salah satu cara mereka berkomunikasi.

Anak-anak sebesar ini masih rendah tatabahasa dan bilangan perkataan yang diketahuinya. Cara mudah dan cepat untuk dia memberitahu sesuatu adalah dengan menangis dan mengamuk.

Bukan mudah mengendalikan anak yang mengamuk jika kita tidak tahu cara yang paling baik bagi menanganinya. Ramai juga di kalangan ibubapa yang mengambil jalan mudah dengan memukul, menjerit dan memarahi anak dengan harapan anak akan berhenti mengamuk. Namun cara begitu lebih banyak memberikan impak negatif kepada anak-anak.

Ada beberapa cara yang boleh kita lakukan jika anak mengamuk. Antaranya:

1. Hanya ibu bapa yang mengetahui bila anak akan mengamuk. Kenali tanda-tandanya dan anda akan lebih bersedia jika anak anda mula mengamuk.

2. Bertenang. Jika anak mula mengamuk, ibu bapa atau orang yang berada berdekatan dengannya perlu menunjukkan sikap bertenang. Jangan mudah melenting dan marah.

3. Cuba memujuk. Usaha dahulu memujuk dengan cara yang baik. Pegang atau dukung dengan lembut dan mesra. Itu petanda anda sedia untuk bekerjasama dan mendengar segala masalah yang sedang anak hadapi.

4. Alihkan perhatiannya. Jika anda sudah nampak tanda-tanda yang dia mahukan sesuatu dan anda tidak dapat memenuhi hajatnya itu dan akan mencetuskan kemarahannya, cepat-cepat alihkan perhatiannya.

5. Beri pilihan. Jika anak mula mengamuk, berikan dia pilihan, samada dia mahu bersikap baik dan tidak dimarahi anda. Katakan kepadanya jika dia bersikap baik, anda akan menjanjikan sesuatu seperti menonton televisyen atau membaca bersama.

6. Biarkan. Jika pujukan tidak menjadi dan anak anda terus menghentakkan kaki atau berguling di atas lantai, biarkan dia. Namun pastikan keadaan sekelilingnya selamat dari barang-barang yang membahayakan.

7. Nasihat. Anak yang mengamuk tidak akan mengamuk sepanjang hari. Dia pasti penat juga akhirnya. Pada waktu begini, anda belailah dia dan katakan kepadanya bahawa apa yang dia lakukan sebentar tadi adalah salah dan dia akan lebih disayangi jika dia bersikap baik dan mendengar kata.

Bolehkah anak kecil memahami apa yang dikatakan oleh kita?

Sudah tentu! Walaupun mereka kecil, mereka tahu ketika mana ibu bapanya marah, sayang, gembira, benci mahupun kecewa. Selalulah berkomunikasi dengan anak dan berbual dengan mereka tentang apa yang mereka dan anda suka. Nasihat yang berpanjangan akan mengurangkan temper tantrumnya.

Moga kita disayang Allah.

Saturday 15 June 2013

Mengapa Anak Saya Menangis

Teks: Ashikin Hashim



Sebagai ibu dan bapa, kita perlu tahu mengapa anak kita menangis. Ini akan membantu kita bagaimana untuk kita mengurus serta mengendalikannya. Anak yang berimur di antara 0 hingga 3 tahun masih lemah dari segi komunikasinya. Untuk menyampaikan sesuatu signal kepada ibu bapa atau orang sekelilingnya adalah dengan menangis. Antara sebab yang membuatkan anak kita menangis adalah:

1. Dia menangis mungkin kerana dia sakit. Sakit seperti demam, jangkitan telinga, mahu tumbuh gigi atau ruam lampin, sering terjadi kepada anak-anak yang berumur 0 hingga 3 tahun.

2. Dia menangis mungkin kerana dia lapar. Jika anda merasakan yang anak menagis kerana lapar, cuba suakan susu kepadanya. Jika dia mengarahkan mulutnya ke arah susu atau makanan yang diberikan, dia sememangnya sangat lapar!

3. Dia menangis mungkin kerana dia membuang air besar atau kecil. Ada sesetengah anak yang tidak selesa jika lampinnya penuh. Dia mahu segera dibersihkan dan dopakakan lampin baru.

4. Dia menangis mungkin kerana dia mahu bermain. Sesetenga anak sudah biasa dengan rutin hariannya. Jika pada waktu tertentu dia bermain, dia pasti ingin bermain dan dilayani oleh ibu bapanya. Anak sentiasa inginkan perhatian. Mereka juga perlukan waktu tertentu untuk bergembira dan bersuka ria.

5. Dia menangis mungkin kerana dia mahu tidur. Jika anda tahu itu watu tidurnya, angkat dan tidurkannya di mana dia biasa tidur. Hanya anda yang tahu rutin tidurnya. Jadikan dia selesa bagi memudahkan dia tidur dengan aman sentosa.

6. Dia menangis mungkin kerana dia penat. Manakan tidak, seharian berjalan atau bermain, dia juga ingin berehat sebentar. Baringlah bersama-sama dengannya sambil menonton televisyen atau memperdengarkan muzik atau bacaan Al Quran yang pasti menenangkan.

Inilah cara anak kita yang masih kecil berkomunikasi. Mereka tidak tahu menafsirkan tangisan mereka dengan kata-kata. Allah telah menciptakan tangisan dan airmata sebagai tanda terhadap sesuatu yang ingin disampaikan. Pelajari dan ketahui njenis tangisan anak kita dan ia akan memudahkan kita mengendalikannya.

Moga kita disayang Allah.

Saturday 8 June 2013

Tip Anak Cepat Membaca

Teks: Ashikin Hashim



Ramai juga ibu bapa yang resah kerana anak masih tidak pandai membaca pada umur 6 tahun. Maka pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan anak mereka masuk ke tahun satu dengan kemahiran membaca yang baik. Jika tidak bagi mereka, anak mereka akan ketinggalan dalam pelajaran.

Kerisauan itu perlu dan normal. Namun tidak adillah jika beban ini dipasakkan hanya pada bahu anak sahaja. Mereka dipaksa membaca dalam masa yang lama dan jika tidak dapat, maka akan dimarahi. Tindakan sebegini akan hanya melambatkan proses pembelajaran. Anak akan bosan dan menganggap membaca itu adalah aktiviti yang langsung tidak menarik.

Beberapa perkara perlu diambil kira jika anak anda yang masih belum boleh membaca pada usia 6 tahun.

1. Adakah anda sebagai ibu bapa sudah mendedahkan pembacaan kepada anak-anak seawal yang mungkin? Jika anda mengharapkan anak membaca tetapi hanya memperkenalkan bacaan pada usia 6 tahun, usahlah harap mereka mahir membaca dalam waktu terdekat. Kemahiran membaca mempunyai proses tertentu dan kadangkala mengambil masa yang panjang. Ia bergantung kepada kebolehan seseorang anak itu.

2. Adakah anak anda membesar dengan normal? Tidak mempunyai penyakit atau seauatu yang menghalangnya daripada membaca? Contohnya Autisme, ADHD, Dyslexia dan sebagainya. Minta nasihat doktor jika anda rasa ada sesuatu yang tidak kena kepada anak anda. Tindakan awal boleh membantu anak anda.

3. Adakah anak anda membesar dalam keluarga yang berpecah? Penceraian ibu bapa boleh menjadi sebab proses pembelajaran anak terganggu. Ini semua perlu diambil kira.

4. Adakah kita konsisten? Membaca adalah satu proses yang berterusan. Bukan haya seminggu atau sebulan sekali. 10 ke 15 minit sehari sudah cukup untuk anak-anak berlatih. Tetapi perlu konsisten!

5. Adakah anak anda pemain tegar permainan video? Adakah anda mengawal jadual permainan anak? Mungkinkah jadual bermainnya tidak seimbang denhan latihan membacanya? Mari kita periksa! Dan apa pula kenis permainan yang diminatinya?

6. Adakah anak anda sudah bersekolah?

Setelah anda mengambil kira perkara di atas, senarai semak di bawah mungkin dapat membantu anda untuk mengambil tindakan selanjutnya.

1. Mulakan dengan niat yang baik. Niat yang baik untuk menjadikan anak seorang yang berilmu untuk kepentingan agama. Menjadikannya insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

2. Positif. Sematkan di dalam diri sebagai ibu bapa yang positif supaya nanti anak-anak pun akan positif ketika mempelajati sesuatu.

3. Mula mencari kaedah-kaedah membaca bagi membantu anak-anak membaca.

4. Pelbagaikan aktiviti-aktiviti yang boleh menggalakkan anak membaca seperti membaca tajuk-tajuk utama akhbar, membaca penunjuk arah atau kain rentang, membaca tulisan yang ada di kotak-kotak makanan dan banyak lagi.

5. Konsisten. Buat jadual supaya anda akan dapat memantau perkembangan anak. Seorang anak tidak memerlukan berjam-jam untuk mahir membaca. 10 ke 15 minit sehari untuk anak membaca adalah mencukupi tetapi mestilah secara konsisten.

6. Jadikan buku sebagai perhiasan utama di dalam rumah kita. Di mana-mana sahaja ada buku dan anak mudah untuk mencapainya.

7. Memberikan hadiah berbentuk buku.

8. Jika anak anda sudah bersekolah, sentiasa berkomunikasi dengan guru anak untuk mengetahui perkembangan anak di dalam membaca.

9. Jangan berputus asa. Membaca bagi sesetengah anak mengambil masa. Sentiasa beri galakkan agar anak pun semangat membaca setiap hari.

10. Ibu bapa yang rajin membaca dan menunjukkan minat membaca secara tidak langsung akan menggalakkan anak untuk sama-sama membaca.

Semoga tip di atas dapat memberikan sedikit panduan kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang mempunyai masalah di dalam membaca.

Semoga kita disayang Allah.