Tuesday 10 September 2013

Hukum dan Denda Anak Dalam Islam

Teks: Ashikin Hashim



Ada yang bertanya, bolehkah kita pukul, denda atau tengking anak di dalam Islam?

Jika lihat di barat, gaya dan teknik keibubapaan yang disebut sebagai Positive Parenting memang sangat popular. Mereka tidak mengamalkan memarahi anak apatah lagi menghukum anak dan segala tindakan dan kata-kata sangat positif kerana bagi mereka tindakan yang positif akan menghasilkan anak yang positif dan sihat.

Bagaimana pula dalam Islam?

Di dalam kitab agung Tarbiyatul Aulad karangan Dr Abdullah Nasih Ulwan menyatakan tentang bagaimana kita mendidik anak-anak dan bagaimana pula cara untuk kita menegur kesalahan anak-anak. Suka untuk saya merangkumkan kesemua elemen ini daripada satu hadith yang sangat hebat.

Abu Daud dan Al-Hakim telah meriwayatkan daripada Umar bin Syu'aib daripada ayahnya, daripada datuknya, bahawa Rasulullah s.a.w telah berkata:

" Suruh anak-anak kamu mengerjakan sembahyang, sedang mereka pada usia tujuh tahun, dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang apabila telah mencapai umur sepuluh tahun dan pisahkan antara mereka di tempat tidur. "

Di dalam hadith ini, Rasulullah s.a.w menetapkan hanya pada umur 10 tahun anak dibenarkan untuk dihukum pukul kerana alasan tidak solat. Sebelum anak dijatuhkan hukum atau denda, adalah tidak adil jika mereka tidak diberikan ilmu serta pemahaman. Dalam kes solat, Nabi Muhammad s.a.w memberikan masa sehingga 9 tahun untuk mendidik anak tentang solat dan pemahaman mengenainya.

Di dalam Islam, memukul adalah tindakan paling akhir sekali sekiranya segala nasihat, tunjuk ajar serta ancaman tidak memberikan apa-apa kesan terhadap anak. Sebelum dijatuhkan hukuman, perkara-perkara berikut perlu diambil kira:

1. Mengambil tindakan terhadap kesalahan anak dengan lemah lembut dan belas kasihan.

Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan di dalam Al-Adab Al-Mufrad, sebuah hadith berbunyi:

" Hendaklah anda bersifat lemah lembut dan jangan sekali-kali bersikap keras dan jahat."

2. Mengambil tindakan terhadap kesalahan anak mengikut kepada sifat serta tabiat anak. Setiap anak mempunyai kelainan sikap dan cara yang berbeza untuk kita menegur kesalahan mereka. Ada yang kita hanya perlu besarkan mata, ada yang perlu nasihat dan sebagainya.

Ada sesetengah ulama' dalam pendidikan Islam seperti Ibnu Khaldun dan Ibnu Sina, tidak diharuskan menjatuhkan hukuman kecuali pada saat-saat yang sangat memerlukan. Dan tidak boleh memukul kecuali setelah diingatkan dan diancam.

3. Mengambil tindakan terhadap kesalahan anak secara berperingkat-peringkat. Mengenakan hukuman dan denda adalah jalan yang paling akhir sekali. Jadi, sebelum peringkat denda dan menghukum, anak-anak mesti melalui proses pemahaman dahulu. Mereka perlu ada contoh tauladan yang baik di rumah dan sentiasa mendapat tunjuk ajar daripada ibu bapa.

Jadi, sudah jelas di sini bahawa, di dalam Islam, ibu bapa dibenarkan untuk mendenda atau memukul anak tetapi mempunyai syarat-syarat yang telah dinyatakan di atas tadi.

Semoga kita mendidik anak dengan penuh rasa kasih sayang sehingga anak memandang kita sebagai ibu bapa yang penuh wibawa. Tidak mengenakan hukuman dan denda sewenangnya dan memastikan anak mendapat pentarbiyyahan sewajarnya kerana itulah selayaknya bagi mereka.

Moga kita di sayang Allah 

Hubungi Ashikin Hashim untuk jemputan ceramah/motivasi pendidikan awal kanak-kanak untuk ibubapa dan guru tadika di 0193354522


1 comment:

  1. Menarik,berguna dan tahniah di atas minat yang mendalam dan usaha yang bersungguh-sungguh...Semoga anda sentiasa berjaya.

    ReplyDelete