Friday, 27 September 2013

Apakah Pendidikan Awal Kanak-kanak?

Teks: Ashikin Hashim

Foto: Google


Tahun-tahun pertama adalah sangat penting


Pendidikan awal kanak-kanak adalah pendidikan formal yang diberikan kepada anak-anak yang berumur di bawah umur 8 tahun (definisi yang diberikan oleh National Association for the Education of Young Children). Dalam fasa ini, kanak-kanak biasanya belajar dengan cara bermain kerana kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak belajar dengan efisen melalui permainan.

Dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) menyatakan 'pendidikan prasekolah' (preschool education) bermaksud program pendidikan untuk kanak-kanak berumur dari empat hingga enam tahun. 'Tadika' (kindergarten) bermaksud tempat di mana menempatkan sejumlah kanak-kanak pendidikan prasekolah seramai sepuluh atau lebih. Manakala 'taska' (nursery) merujuk kepada Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) bermaksud program pendidikan untuk kanak-kanak di bawah umur empat tahun iaitu bermula dari lahir hingga empat tahun.

Walaupun ianya disebutkan sebagai pendidikan formal, tetapi para penyelidik di dalam pendidikan awal kanak-kanak percaya bahawa ibubapa adalah pendidik yang paling baik dan utama dalam fasa ini. Walaupun kebanyakan ibubapa menghantar anak ke tadika atau pusat jagaan mahupun pusat perkembangan anak-anak, namun adalah penting bagi ibubapa berperanan dalam pendidikan awal kanak-kanak ini.

Tahun-tahun pertama kanak-kanak adalah fasa kritikal kerana ketika inilah mereka belajar tentang pelbagai perkara dan mudah untuk dididik. Menurut kajian, kanak-kanak yang tidak mendapat didikan yang sewajarnya ketika tahun-tahun pertama ini akan ketinggalan apabila dia melangkah masuk ke alam persekolahan yang sebenar.

Pendidikan awal kanak-kanak tidaklah terikat kepada pendidikan di tadika sahaja, ianya merangkumi banyak cara dan sumber, seperti home-based ataupun school-based.

Apakah yang menentukan keberkesanan pendidikan awal kanak-kanak ini?

1. Kesedaran yang tinggi daripada ibubapa itu sendiri. Mereka tahu akan peri pentingnya pendidikan awal kanak-kanak ini dan berusaha untuk memberikan pendidikan awal yang terbaik untuk anak-anak.

2. Jika anak-anak dihantar ke mana-mana sekolah atau pusat perkembangan kanak-kanak, guru yang mendidik adalah guru yang berkualiti dan tahu tentang peri pentingnya pendidikan awal kanak-kanak ini.

3. Ibubapa adalah guru pertama bagi anak-anak. Setiap apa yang dilakukan oleh anak-anak memerlukan penglibatan ibubapa. Dan ianya adalah proses yang berterusan samada di sekolah mahupun di rumah.

Semoga kita dapat memberikan yang terbaik buat anak-anak demi menjamin masa depan yang baik untuk mereka.

Moga kita disayang Allah

Hubungi Ashikin Hashim untuk jemputan ceramah/motivasi pendidikan awal kanak-kanak untuk ibubapa dan guru tadika di 0193354522

Tuesday, 24 September 2013

Tip Ajar Anak Solat

Teks: Ashikin Hashim


Solat adalah tiang agama


Solat adalah satu tanggungjawab yang amat besar bagi seorang Muslim. Tanggungjawab sebanyak 5 waktu dalam sehari inilah yang bakal Allah tanya terlebih dahulu daripada amal ibadah yang lain. Jika baik solat kita, maka baiklah amalan yang lainnya. Namun jika solat kita rapuh, maka usah mengharapkan amal dan penghidupan kita selebihnya akan baik.

"Batas antara seseorang dengan kekufuran adalah meninggalkan solat" (Riwayat Muslim)

"Perjanjian antara kita dengan mereka adalah solat , maka sesiapa yang meninggalkan solat bererti ia kafir." (Laporan al-Nasa'i, al-Tarmizi dan Ahmad)

Dalam konteks pendidikan awal anak-anak, tanggungjawab untuk mendidik anak untuk bersolat adalah satu amanah yang sangat besar dan berat. Mendidik dan mentarbiyyah anak-anak untuk solat tidak semudah kita mengajar anak ABC atau 123. Tanggungjawab yang besar ini datang dengan pelbagai ujian dan ini memerlukan ibubapa yang bijak.

Berikut adalah tip untuk mengajar anak solat:

1. Contoh tauladan yang baik.

    Ibubapa adalah contoh terbaik dan terdekat untuk diteladani oleh anak-anak. Ayah yang selalu ke masjid, ibu yang terus bersiap solat ketika mendengar azan dan mendedahkan kepada anak-anak tentang solat berjemaah adalah antara contoh terbaik buat anak-anak. Inilah adalah salah satu cara didikan berkesan yang dinyatakan oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam kitab agungnya, Tarbiyatul Aulad tentang peri pentingnya kita menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak.

2. 0 - 2 tahun - Wujudkan suasana yang solehah (Biah solehah)

    Walaupun anak masih kecil, tidak mengerti dan tidak faham, namun suasana yang baik dan solehah akan menjadikannya biasa. Dia biasa melihat ibu dan ayahnya solat di awal waktu, solat berjemaah, tahu tentang azan dan mendengar bacaan ayat-ayat al-qur'an. Berkata-katalah dan bercerita dengan anak seperti, " Tunggu sebelah Ummi ya, Ummi mahu solat." " Terima kasih sayang sebab tunggu Ummi solat."

3. 2 - 3 tahun - Ajak anak

    Usah jemu untuk selalu ajak anak solat. Biar mereka biasa dengan ajakkan. Walaupun mereka hanya mendengar dan tidak mengikuti, teruskan menyebut setiap kali kita hendak solat. " Jom ikut Ummi solat!"

4. 4 - 6 tahun - Mengapa kita solat?

    Sudah tiba masanya untuk ibubapa bercerita tentang kepentingan solat. Penerangan berbentuk cerita dapat memberikan gambaran yang jelas kepada anak-anak. 

Contohnya:

Ummi: Allah suka kalau kita solat.
Anak: Kenapa? (Dalam umur begini anak suka bertanya kenapa, bagaimana dan mengapa)
Ummi: Kalau kita solat, nanti Allah sayang. Ummi sayang. Abi sayang.

     Pada tahap ini juga, dedahkan anak-anak secara kerap tentang masjid. Ajak mereka ke masjid. Perkenalkan tentang adab-adabnya, solat jemaah, hubungan sosial dengan jemaah yang lain dan sebagainya. Pada umur begini juga ibubapa sudah boleh menghantar mereka ke tadika Islam yang mengajar mereka tentang solat agar mereka lebih faham dan seronok untuk solat.

5. 7 - 9 tahun - Penekanan dan tanggungjawab

    3 tahun yang kritikal. Ini adalah tahun-tahun pengukuhan bagi asas solat. Kita sudah menunjukkan contoh, ajakan dan pemahaman sejak lahir. Waktu ini anak seharusnya sudah tahu apa yang perlu dilakukan ketika azan, cara mengambil wudhuk, pergerakan dan bacaan dalam solat. Walaupun tidak lancar dan tidak cekap, sekurang-kurangnya mereka sudah ada asas. Mencapai umur 9 tahun, ibubapa sudah mula sedikit tegas dan selalu mengingatkan.

6. 10 tahun ke atas - Denda dan hukuman

    Dalam hadith tentang solat, Nabi membenarkan untuk kita memukul anak yang ingkar solat ketika dia berumur 10 tahun. Tetapi sebelum kita memukulnya, adakah kita telah memberikan pemahaman serta contoh terbaik buat mereka? Hanya kita sebagai ibubapa yang mengetahuinya. Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam buku Tarbiyatul Aulad menyebut bahawa memukul adalah jalan terakhir setelah ibubapa sudah putus harap. Tidak semudah itu untuk ibubapa menjatuhkan hukuman dan memukul anak. Semoga kita menjadi pemimpin yang adil dalam menentukan hukuman dan denda terhadap anak-anak.

7. Doa

    Selalulah amalkan doa Nabi Ibrahim ini:




Proses pentarbiyyah tidak terhenti setakat itu sahaja. Ianya adalah proses yang amat panjang. Usah jemu dalam proses pentarbiyyahan ini. Pelbagai teknik dan cara perlu diterapkan oleh ibubapa dalam mengajak anak bersolat. Kekerasan dan paksaan hanya akan membantutkan proses asas pemahaman solat ini. 

Semoga kita semua dapat melalui proses ini dengan baik dan saling berganding bahu bagi membina generasi yang mendirikan solat. Ameen.

Moga kita disayang Allah :)

Hubungi Ashikin Hashim untuk jemputan ceramah/motivasi pendidikan awal kanak-kanak untuk ibubapa dan guru tadika di 0193354522

Friday, 20 September 2013

How To Encourage Good Behaviour

Text: Ashikin Hashim


Children are our precious assets. We raise, teach, guide and love them with a hope that they will be the best people. Hence, that is not an easy task to mould and shape them. They will challenge us with their anxiety, excitement, tantrums and so many things. It is a very long way to go. In Islam, we are responsible to whatever we taught and Allah will ask what we have given and how we treat them. All are counted!

Here are the fun and enjoyable ways to encourage your children’s good behaviour:

1.      Show good examples

Parents are the closest examples that children could follow. They will see how their parents talk, walk or treat other people. In ibadah context, children will pray if they see their parents pray, they will be familiar with charity and helping needy people if their parents practice that.  So, show that good examples and it will encourage the good behaviour.


2.      Appreciate

If our children show good behaviour even a small good thing, appreciate them. We may give stars on their star chart, treat them ice cream, play with them or say to them how happy you are.


3.      Say thank you

Thank you is a magic word. Say it when we see them did a good manner. “ Thank you, Wafi for your help. You are a good boy. “

4.      Be proud

Always say to them how proud you are to have them in your life. 


 
Hubungi Ashikin Hashim untuk jemputan ceramah/motivasi pendidikan awal kanak-kanak untuk ibubapa dan guru tadika di 0193354522

Wednesday, 11 September 2013

Permainan Manipulatif (Manipulative)

Teks: Ashikin Hashim


Anakanda Wajdi sedang asyik menyusun mengikut warna sambil mengira

Tahukah anda apakah itu permainan manipulative?

Manipulative adalah satu bentuk permainan pembelajaran yang memerlukan anak untuk membina atau membentuk sesuatu dengan menyambung bahagian tertentu permainan tersebut. Permainan ini membantu anak untuk membina kemahiran moto halusnya terutama kordinasi tangan. Permainan ini juga melibatkan kordinasi otak dan mata anak.









Contoh permainan manipulative


Apakah kebaikan bermain manipulative?

1. Anak dapat melatih otot-otot halusnya terutama di bahagian jari jemari bagi membina kemahiran moto halusnya. Ini amat penting supaya anak akan mudah memegang pensil dan kemudian pandai menulis.

2. Anak akan cuba memberikan penumpuan terhadap permainannya kerana permainan ini memerlukan anak untuk menyambung, membentuk dan sebagainya. Ini melatih konsentrasi dan kordinasi otaknya.

3. Anak akan dapat memahirkan diri dalam menyelesaikan masalah dan memikirkan cara yang paling baik untuk menyambung dan membentuk.

4. Permainan ini baik untuk kordinasi matanya kerana dia mungkin akan melihat benda yang kecil dan berwarna.

5. Permainan ini akan mengenalkan anak kepada konsep bentuk, saiz, berat, ketinggian mahupun kelebarannya.

6. Anak juga dapat memahirkan diri dalam konsep mengira (matematik)

7. Kemahiran sosialnya juga akan meningkat kerana dia perlu bercakap untuk menghasilkan sesuatu atau meminta bantuan daripada orang lain.

Semoga ini dapat memberikan idea untuk anda membuat aktiviti bersama anak di rumah.

Moga disayang Allah :)

 Hubungi Ashikin Hashim untuk jemputan ceramah/motivasi pendidikan awal kanak-kanak untuk ibubapa dan guru tadika di 0193354522

Tip Cerai Susu Botol - Satu Pengalaman

Teks: Ashikin Hashim



Ini adalah pengalaman saya sendiri di mana apabila anak-anak cerai susu botol, maka mereka akan tidur lena dan senang dikendalikan. Ramai yang bertanya bilakah masa yang sesuai untuk cerai susu botol dan bagaimanakah caranya. InsyaAllah akan saya kongsikan di sini.

Pertamanya, mengapa kita harus memberhentikan botol susu kepada anak-anak yang berumur 2 tahun ke atas? Di bawah adalah keburukan botol susu bagi kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke atas:

1. Anak akan suka menyusu dan kurang makan kerana mereka sudah kenyang susu.

2. Kebanyakan ibubapa yang mempunyai anak yang menghisap susu botol, mereka akan menjadikan botol susu sebagai cara untuk mendiamkan anak atau menidurkan mereka. Jadi apabila terjaga malam, ibubapa akan memberikan susu untuk menidurkan mereka semula sedangkan itu bukan cara yang bagus untuk mereka.

3. Ibubapa terpaksa membawa peralatan menyusu ke sana sini termasuklah ketika melancong.

4. Tahap kesihatan anak yang menghisap susu botol juga tidak menentu jika ibubapa tidak menjaga kebersihan dengan sebaiknya. Penyakit yang selalu di hadapi adalah cirit birit.

5. Anak akan kerap bangun malam. Sebenarnya adalah normal bayi dan kanak-kanak bangun malam 4 hingga 6 kali. Tetapi jika kita memberikan susu setiap kali anak bangun supaya dia tidur semula maka dia tidak akan tidur semula selagi tidak mendapat susu.

Suatu Pengalaman - Tip Mudah Cerai Susu Botol

1. Ibu mesti bersedia dan yakin.

   " Ummi yakin Wajdi sudah besar dan bersedia untuk berhenti susu botol! "

2. Jangan tawarkan selagi anak tidak minta.

3. Lengahkan jika anak minta botol susu.

    " Ummi, nak susu! "

    " Boleh tapi Wajdi tolong Ummi dulu. Boleh? "

4. Kurangkan kuantiti susu. Jika kita biasa buat 200ml pada satu-satu masa, kurangkan sedikit demi sedikit.

     Malam minggu pertama: 200ml

     Malam minggu kedua: 150ml

     Malam minggu ketiga: 100ml dan seterusnya sehingga kita tidak menawarkan susu kepada anak.

5. Tidak membawa susu botol ketika berjalan. Tetapi ibu perlu maklumkan kepada anak supaya dia bersedia.

6. Gantikan sesi menyusu ketika sebelum tidur dengan aktiviti lain seperti bercerita atau menyanyi sambil menggosok lembut badan anak sehingga dia tertidur.

Kesan positif selepas berhenti susu

1. Anak akan mudah makan dan selera bertambah

2. Anak akan lebih berdikari

3. Anak tidak bangun malam/kurang bangun malam

4. Anak akan mudah diajar untuk tidak memakai lampin kerana kurang membuang air kecil

5. Ibu akan dapat tidur yang cukup juga!

Semoga ada manfaatnya untuk semua.


Hubungi Ashikin Hashim untuk jemputan ceramah/motivasi pendidikan awal kanak-kanak untuk ibubapa dan guru tadika di 0193354522


Tuesday, 10 September 2013

Hukum dan Denda Anak Dalam Islam

Teks: Ashikin Hashim



Ada yang bertanya, bolehkah kita pukul, denda atau tengking anak di dalam Islam?

Jika lihat di barat, gaya dan teknik keibubapaan yang disebut sebagai Positive Parenting memang sangat popular. Mereka tidak mengamalkan memarahi anak apatah lagi menghukum anak dan segala tindakan dan kata-kata sangat positif kerana bagi mereka tindakan yang positif akan menghasilkan anak yang positif dan sihat.

Bagaimana pula dalam Islam?

Di dalam kitab agung Tarbiyatul Aulad karangan Dr Abdullah Nasih Ulwan menyatakan tentang bagaimana kita mendidik anak-anak dan bagaimana pula cara untuk kita menegur kesalahan anak-anak. Suka untuk saya merangkumkan kesemua elemen ini daripada satu hadith yang sangat hebat.

Abu Daud dan Al-Hakim telah meriwayatkan daripada Umar bin Syu'aib daripada ayahnya, daripada datuknya, bahawa Rasulullah s.a.w telah berkata:

" Suruh anak-anak kamu mengerjakan sembahyang, sedang mereka pada usia tujuh tahun, dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang apabila telah mencapai umur sepuluh tahun dan pisahkan antara mereka di tempat tidur. "

Di dalam hadith ini, Rasulullah s.a.w menetapkan hanya pada umur 10 tahun anak dibenarkan untuk dihukum pukul kerana alasan tidak solat. Sebelum anak dijatuhkan hukum atau denda, adalah tidak adil jika mereka tidak diberikan ilmu serta pemahaman. Dalam kes solat, Nabi Muhammad s.a.w memberikan masa sehingga 9 tahun untuk mendidik anak tentang solat dan pemahaman mengenainya.

Di dalam Islam, memukul adalah tindakan paling akhir sekali sekiranya segala nasihat, tunjuk ajar serta ancaman tidak memberikan apa-apa kesan terhadap anak. Sebelum dijatuhkan hukuman, perkara-perkara berikut perlu diambil kira:

1. Mengambil tindakan terhadap kesalahan anak dengan lemah lembut dan belas kasihan.

Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan di dalam Al-Adab Al-Mufrad, sebuah hadith berbunyi:

" Hendaklah anda bersifat lemah lembut dan jangan sekali-kali bersikap keras dan jahat."

2. Mengambil tindakan terhadap kesalahan anak mengikut kepada sifat serta tabiat anak. Setiap anak mempunyai kelainan sikap dan cara yang berbeza untuk kita menegur kesalahan mereka. Ada yang kita hanya perlu besarkan mata, ada yang perlu nasihat dan sebagainya.

Ada sesetengah ulama' dalam pendidikan Islam seperti Ibnu Khaldun dan Ibnu Sina, tidak diharuskan menjatuhkan hukuman kecuali pada saat-saat yang sangat memerlukan. Dan tidak boleh memukul kecuali setelah diingatkan dan diancam.

3. Mengambil tindakan terhadap kesalahan anak secara berperingkat-peringkat. Mengenakan hukuman dan denda adalah jalan yang paling akhir sekali. Jadi, sebelum peringkat denda dan menghukum, anak-anak mesti melalui proses pemahaman dahulu. Mereka perlu ada contoh tauladan yang baik di rumah dan sentiasa mendapat tunjuk ajar daripada ibu bapa.

Jadi, sudah jelas di sini bahawa, di dalam Islam, ibu bapa dibenarkan untuk mendenda atau memukul anak tetapi mempunyai syarat-syarat yang telah dinyatakan di atas tadi.

Semoga kita mendidik anak dengan penuh rasa kasih sayang sehingga anak memandang kita sebagai ibu bapa yang penuh wibawa. Tidak mengenakan hukuman dan denda sewenangnya dan memastikan anak mendapat pentarbiyyahan sewajarnya kerana itulah selayaknya bagi mereka.

Moga kita di sayang Allah 

Hubungi Ashikin Hashim untuk jemputan ceramah/motivasi pendidikan awal kanak-kanak untuk ibubapa dan guru tadika di 0193354522


Tuesday, 3 September 2013

Pendidikan Berkesan Kepada Anak-anak Dalam Islam

Teks: Ashikin Hashim




Mendidik anak bukanlah satu perkara yang mudah. Anak yang baik adalah lahir dari kesan didikan ibubapanya sejak dari awal perkahwinan ibubapanya. Ianya tidak lahir sendiri dan membesar tanpa panduan dan didikan sesiapa. Ibu bapa seharusnya sejak awal lagi sudah bersiap siaga bagi memastikan amanah untuk mendidik iman dan juga moralnya, mental mahupun jasmaninya, rohani serta sosialnya memenuhi tuntutan Islam dan mereka membesar menjadi insan yang dibanggai Islam.

Dapatkah kita membayangkan anak-anak yang kita tarbiyyah itu membesar dengan begitu baik sekali. Mereka menghormati orang tua, mengerjakan solat, puasa, cemerlang di dalam akademik dan sebagainya. Bukankah itu suatu ketenteraman buat kita sebagai ibubapa? Kita akan sentiasa merasa tenang dan bahagia. 

Namun cuba kita bayangkan, jika anak-anak itu menjadi seorang pemberontak di rumah dan di sekolah, melawan, berlumba di jalanan, berpeleseran dan berfoya-foya. Tentu kita akan rasa tertekan serta gelisah. Jadi, bagaimana kita berperanan dengan sebaiknya bagi memastikan anak-anak yang Allah amanahkan ini menjadi saksi dan pembela di akhirat nanti?

a) Mendidik melalui contoh tauladan yang baik.

Antara cara mendidik yang sangat berkesan adalah dengan memberi dan menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak. Contoh-contoh tauladan yang baik banyak melengkapkan anak-anak dengan akhlaq yang baik dan membentuk rohani serta sosialnya.

Contoh tauladan yang baik di rumah adalah yang paling hampir dengan anak-anak. Jika contoh yang dilihat dan dipamerkan adalah tauladan yang baik, maka akhlaq yang bakal dipamerkan oleh anak juga adalah akhlaq yang baik. Namun jika contoh yang ditunjukkan di rumah adalah contoh buruk dan tidak elok untuk pembangunan akhlaq anak-anak maka tidak hairanlah jika di luar rumah, mereka mempamerkan akhlaq sebegitu juga.

Rasulullah sebagai contoh yang utama

Pernahkah kita menceritakan tentang hebat serta cantiknya akhlaq Rasulullah s.a.w kepada anak-anak? 


Ingatkah kita tentang cerita Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar ketika mereka bersembunyi di Thur? Cerita hebat tentang baiknya akhlaq Rasulullah dan  sahabat baginda boleh dijadikan contoh buat anak-anak. Begitu juga kisah akhlaq Rasulullah s.a.w ketika berhadapan dengan seorang wanita yang selalu mengganggu baginda. Duduk dan berceritalah dengan anak-anak.

Allah telah berfirman:

" Sesungguhnya bagi diri kamu dari Rasulullah itu contoh tauladan yang baik. " (Al-Ahzab:21)

Berapa ramaikah di kalangan kita dan anak-anak yang menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh tauladan? Tidak menghairankan jika hari ini kita mendengar anak-anak menjadikan artis dan superhero televisyen sebagai idola mereka. Kita sebagai ibubapalah yang sepatutnya membentuk pendirian mereka agar tahu memilih siapakah yang wajar dijadikan contoh tauladan.




b) Mendidik melalui nasihat dan bimbingan

Berdoa dan minta kepada Allah semoga kita sentiasa berlapang dada dan tidak bosan untuk selalu memberikan nasihat dan bimbingan kepada anak-anak. Anak-anak selalu inginkan ibubapanya membimbing mereka kerana mereka muda untuk memikirkan terlalu banyak cabaran serta dugaan kehidupan.

Ada beberapa cara untuk kita memberikan nasihat kepada anak:

1. Berilah nasihat ketika anak sedang bergembira.

2. Berikan nasihat dengan cara mendekati dirinya, menyentuh kulit dan memandang mata si anak

3. Memberikan nasihat dengan cara bercerita

4. Memberikan nasihat dengan bergambar

5. Memberikan nasihat ketika hendak masuk tidur

6. Memberikan nasihat dengan memberikan contoh-contoh yang ada di sekeliling


c) Mendidik dengan cara pemerhatian dan pengawasan

Sudah menjadi tanggungjawab ibu dan bapa untuk sentiasa mengawasi dan memerhatikan anak-anak mereka. Lihatlah apa yang terjadi keapada anak-anak yang dibiarkan begitu sahaja tanpa pengawasan dan pemerhatian. Mereka akan berkawan dengan sesiapa sahaja dan berpeleseran. Maka timbullah mat rempit, bohsia bohjan, dadah, rokok dan sebagainya.

Allah berfirman:

" Suruhlah ahlimu (keluargamu) supaya bersembahyang, dan bersabarlah atas mengerjakannya. " (Taha:132)

Apakah yang ingin kita perhatikan?

1. Memerhatikan pergaulan anak-anak

2. Memerhatikan solat anak-anak

3. Memerhatikan pembelajaran anak-anak terutamanya dalam mempelajari al-Qur'an

4. Memerhatikan tahap kesihatan anak-anak

Beginilah besarnya tanggungjawab untuk mendidik anak-anak. Namun haruslah diperhatikan apakah cara mendidik yang benar dan berkesan untuk anak-anak. Mudah-mudahan dengan cara didikan berkesan ini akan dapat mempersiapkan anak-anak kita ke arah insan yang diredhai Allah s.w.t

Cara mendidik yang berkesan yang seterusnya adalah mendidik dengan denda dan hukuman.
InsyaAllah akan dihuraikan dalam artikel selepas ini.

Moga kita disayang Allah.

Hubungi Ashikin Hashim untuk jemputan ceramah/motivasi pendidikan awal kanak-kanak untuk ibubapa dan guru tadika di 0193354522 

Google+ Followers