Friday 27 September 2013

Apakah Pendidikan Awal Kanak-kanak?

Teks: Ashikin Hashim

Foto: Google


Tahun-tahun pertama adalah sangat penting


Pendidikan awal kanak-kanak adalah pendidikan formal yang diberikan kepada anak-anak yang berumur di bawah umur 8 tahun (definisi yang diberikan oleh National Association for the Education of Young Children). Dalam fasa ini, kanak-kanak biasanya belajar dengan cara bermain kerana kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak belajar dengan efisen melalui permainan.

Dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) menyatakan 'pendidikan prasekolah' (preschool education) bermaksud program pendidikan untuk kanak-kanak berumur dari empat hingga enam tahun. 'Tadika' (kindergarten) bermaksud tempat di mana menempatkan sejumlah kanak-kanak pendidikan prasekolah seramai sepuluh atau lebih. Manakala 'taska' (nursery) merujuk kepada Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) bermaksud program pendidikan untuk kanak-kanak di bawah umur empat tahun iaitu bermula dari lahir hingga empat tahun.

Walaupun ianya disebutkan sebagai pendidikan formal, tetapi para penyelidik di dalam pendidikan awal kanak-kanak percaya bahawa ibubapa adalah pendidik yang paling baik dan utama dalam fasa ini. Walaupun kebanyakan ibubapa menghantar anak ke tadika atau pusat jagaan mahupun pusat perkembangan anak-anak, namun adalah penting bagi ibubapa berperanan dalam pendidikan awal kanak-kanak ini.

Tahun-tahun pertama kanak-kanak adalah fasa kritikal kerana ketika inilah mereka belajar tentang pelbagai perkara dan mudah untuk dididik. Menurut kajian, kanak-kanak yang tidak mendapat didikan yang sewajarnya ketika tahun-tahun pertama ini akan ketinggalan apabila dia melangkah masuk ke alam persekolahan yang sebenar.

Pendidikan awal kanak-kanak tidaklah terikat kepada pendidikan di tadika sahaja, ianya merangkumi banyak cara dan sumber, seperti home-based ataupun school-based.

Apakah yang menentukan keberkesanan pendidikan awal kanak-kanak ini?

1. Kesedaran yang tinggi daripada ibubapa itu sendiri. Mereka tahu akan peri pentingnya pendidikan awal kanak-kanak ini dan berusaha untuk memberikan pendidikan awal yang terbaik untuk anak-anak.

2. Jika anak-anak dihantar ke mana-mana sekolah atau pusat perkembangan kanak-kanak, guru yang mendidik adalah guru yang berkualiti dan tahu tentang peri pentingnya pendidikan awal kanak-kanak ini.

3. Ibubapa adalah guru pertama bagi anak-anak. Setiap apa yang dilakukan oleh anak-anak memerlukan penglibatan ibubapa. Dan ianya adalah proses yang berterusan samada di sekolah mahupun di rumah.

Semoga kita dapat memberikan yang terbaik buat anak-anak demi menjamin masa depan yang baik untuk mereka.

Moga kita disayang Allah

Hubungi Ashikin Hashim untuk jemputan ceramah/motivasi pendidikan awal kanak-kanak untuk ibubapa dan guru tadika di 0193354522

No comments:

Post a Comment