Tuesday 24 September 2013

Tip Ajar Anak Solat

Teks: Ashikin Hashim


Solat adalah tiang agama


Solat adalah satu tanggungjawab yang amat besar bagi seorang Muslim. Tanggungjawab sebanyak 5 waktu dalam sehari inilah yang bakal Allah tanya terlebih dahulu daripada amal ibadah yang lain. Jika baik solat kita, maka baiklah amalan yang lainnya. Namun jika solat kita rapuh, maka usah mengharapkan amal dan penghidupan kita selebihnya akan baik.

"Batas antara seseorang dengan kekufuran adalah meninggalkan solat" (Riwayat Muslim)

"Perjanjian antara kita dengan mereka adalah solat , maka sesiapa yang meninggalkan solat bererti ia kafir." (Laporan al-Nasa'i, al-Tarmizi dan Ahmad)

Dalam konteks pendidikan awal anak-anak, tanggungjawab untuk mendidik anak untuk bersolat adalah satu amanah yang sangat besar dan berat. Mendidik dan mentarbiyyah anak-anak untuk solat tidak semudah kita mengajar anak ABC atau 123. Tanggungjawab yang besar ini datang dengan pelbagai ujian dan ini memerlukan ibubapa yang bijak.

Berikut adalah tip untuk mengajar anak solat:

1. Contoh tauladan yang baik.

    Ibubapa adalah contoh terbaik dan terdekat untuk diteladani oleh anak-anak. Ayah yang selalu ke masjid, ibu yang terus bersiap solat ketika mendengar azan dan mendedahkan kepada anak-anak tentang solat berjemaah adalah antara contoh terbaik buat anak-anak. Inilah adalah salah satu cara didikan berkesan yang dinyatakan oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam kitab agungnya, Tarbiyatul Aulad tentang peri pentingnya kita menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak.

2. 0 - 2 tahun - Wujudkan suasana yang solehah (Biah solehah)

    Walaupun anak masih kecil, tidak mengerti dan tidak faham, namun suasana yang baik dan solehah akan menjadikannya biasa. Dia biasa melihat ibu dan ayahnya solat di awal waktu, solat berjemaah, tahu tentang azan dan mendengar bacaan ayat-ayat al-qur'an. Berkata-katalah dan bercerita dengan anak seperti, " Tunggu sebelah Ummi ya, Ummi mahu solat." " Terima kasih sayang sebab tunggu Ummi solat."

3. 2 - 3 tahun - Ajak anak

    Usah jemu untuk selalu ajak anak solat. Biar mereka biasa dengan ajakkan. Walaupun mereka hanya mendengar dan tidak mengikuti, teruskan menyebut setiap kali kita hendak solat. " Jom ikut Ummi solat!"

4. 4 - 6 tahun - Mengapa kita solat?

    Sudah tiba masanya untuk ibubapa bercerita tentang kepentingan solat. Penerangan berbentuk cerita dapat memberikan gambaran yang jelas kepada anak-anak. 

Contohnya:

Ummi: Allah suka kalau kita solat.
Anak: Kenapa? (Dalam umur begini anak suka bertanya kenapa, bagaimana dan mengapa)
Ummi: Kalau kita solat, nanti Allah sayang. Ummi sayang. Abi sayang.

     Pada tahap ini juga, dedahkan anak-anak secara kerap tentang masjid. Ajak mereka ke masjid. Perkenalkan tentang adab-adabnya, solat jemaah, hubungan sosial dengan jemaah yang lain dan sebagainya. Pada umur begini juga ibubapa sudah boleh menghantar mereka ke tadika Islam yang mengajar mereka tentang solat agar mereka lebih faham dan seronok untuk solat.

5. 7 - 9 tahun - Penekanan dan tanggungjawab

    3 tahun yang kritikal. Ini adalah tahun-tahun pengukuhan bagi asas solat. Kita sudah menunjukkan contoh, ajakan dan pemahaman sejak lahir. Waktu ini anak seharusnya sudah tahu apa yang perlu dilakukan ketika azan, cara mengambil wudhuk, pergerakan dan bacaan dalam solat. Walaupun tidak lancar dan tidak cekap, sekurang-kurangnya mereka sudah ada asas. Mencapai umur 9 tahun, ibubapa sudah mula sedikit tegas dan selalu mengingatkan.

6. 10 tahun ke atas - Denda dan hukuman

    Dalam hadith tentang solat, Nabi membenarkan untuk kita memukul anak yang ingkar solat ketika dia berumur 10 tahun. Tetapi sebelum kita memukulnya, adakah kita telah memberikan pemahaman serta contoh terbaik buat mereka? Hanya kita sebagai ibubapa yang mengetahuinya. Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam buku Tarbiyatul Aulad menyebut bahawa memukul adalah jalan terakhir setelah ibubapa sudah putus harap. Tidak semudah itu untuk ibubapa menjatuhkan hukuman dan memukul anak. Semoga kita menjadi pemimpin yang adil dalam menentukan hukuman dan denda terhadap anak-anak.

7. Doa

    Selalulah amalkan doa Nabi Ibrahim ini:




Proses pentarbiyyah tidak terhenti setakat itu sahaja. Ianya adalah proses yang amat panjang. Usah jemu dalam proses pentarbiyyahan ini. Pelbagai teknik dan cara perlu diterapkan oleh ibubapa dalam mengajak anak bersolat. Kekerasan dan paksaan hanya akan membantutkan proses asas pemahaman solat ini. 

Semoga kita semua dapat melalui proses ini dengan baik dan saling berganding bahu bagi membina generasi yang mendirikan solat. Ameen.

Moga kita disayang Allah :)

Hubungi Ashikin Hashim untuk jemputan ceramah/motivasi pendidikan awal kanak-kanak untuk ibubapa dan guru tadika di 0193354522

No comments:

Post a Comment