Wednesday 22 May 2013

Didiklah Anak Dengan Hikmah

Teks: Ashikin Hashim

Khas Buat Guru Pra-Sekolah



Mendidik anak-anak bukanlah satu tugas yang mudah. Kita sebagai ibubapa mahupun guru telah diamanahkan agar mendidik anak-anak di bawah jagaan kita dengan penuh hikmah. Anak-anak ini dilahirkan dengan tiada dosa dan kita sebagai guru seharusnya mendidik mereka dengan landas-landas syariat yang ditetapkan.

Apakah didikan yang dikatakan berhikmah itu?
Pertamanya, anda sebagai guru, mesti jauhi perkara-perkara di bawah ini.

  1. Jangan menggunakan kata-kata yang negatif kepada anak seperti ‘ Kenapa Adam NAKAL sangat ni’. ‘ Adam ni dah MELAMPAU LA. Berdiri atas kerusi!’
  2. Jangan mengugut seperti ‘ Kamu bising lagi cikgu akan panggil polis! ‘ atau kata-kata seperti ini ‘ Kalau kamu NAKAL, cikgu       tak bagi makan.’
  3. Jangan pilih kasih. Semua anak adalah sama dan sepatutnya mendapat layanan dan didikan yang serupa.
    4. Jangan lokek senyuman dan pelukan. Anak-anak di bawah umur 7 tahun seharusnya dididik dengan kemesraan dan kasih    sayang. Bercakap dengan mereka dengan senyuman dan sentuhan yang akan mesra. Inilah yang akan membantu anak yang nakal menjadi lembut.

    5. Jangan menjerit. Ramai guru yang tidak sedar ketika mereka marah, mereka akan mula meninggikan suara dan menjerit kepada anak-anak. Ini adalah tindakan yang tidak wajar.
    6. Jangan menghukum. Tidak sesuai bagi umur di bawah 7 tahun kita menghukum dia dengan berdiri di luar kelas, berdiri di atas kerusi, meninggalkan mereka di satu sudut dan memalukan mereka di hadapan kawan-kawan yang lain.

    Tindakan-tindakan di atas akan hanya melemahkan mereka dan tidak membina sahsiah diri.


    Tip menangani anak-anak yang mencabar (bukan nakal!):

    1. Pergi ke arah mereka. Jika anda ternampak mereka membuat sesuatu perkara yang tidak elok, jangan terus menjerit. Pergi ke arah mereka. Bercakap dengan mereka dan nasihati mereka dengan lembut.
      2. Selalulah mengulangi kata-kata nasihat. Jangan tunggu sehingga anak-anak ini buat masalah baru  nak nasihat. Nasihat ini sepanjang masa. Ketika anak sedang gembira adalah waktu yang sangat sesuai untuk menasihati mereka.

      3. Bercerita (story telling). Bercerita juga adalah salah satu cara yang baik untuk mendekati, menasihati dan bermesra dengan anak-anak.

4. Mulakan pembelajaran dengan mengambil wudhuk, berdoa kepada Allah agar memudahkan tugasan anda mendidik anak-anak.

5. Jika anda berada dalam keadaan yang sangat marah, minta bantuan cikgu yang lain untuk membantu anda menangani masalah ini.

Wahai guru yang dirahmati Allah, didiklah anak-anak jagaan kita dengan penuh kasih sayang. Usahkan mengugut, memarahi mereka dengan cara menjerit ataupun menghukum mereka. Mereka hanyalah anak kecil yang mungkin tidak mendapat perhatian di rumah. Di sekolah lah mereka ingin mendapat perhatian dan kasih sayang. Yang menghukum, mengeluarkan kata-kata negatif, biarlah kerja ibubapa di rumah.
Semoga kita akan jadi guru yang terbaik setiap hari.

Sebelum itu, hayati status Facebook saya ini:
Bicara Seorang Ummi | Memang tidak patut seorang anak murid meninggikan suara kpd gurunya. Tidak bermakna pula seorang guru boleh menjerit dan memarahi dgn cara yg tiada berhikmah terhadap anak muridnya.

Apa yg saya selalu katakan kpd guru-guru saya, biar lah kerja marah, kerja jerit, kerja rotan dan pukul, kerja mengugut diambil oleh ibubapa kerana itu anak mereka. Tapi di sini kami mengamalkan positive disipline yang menerapkan kasih sayang dan keseronokan ketika belajar. Kasihi mereka kerana jika mereka mati sblm baligh sudah tentu syurga tempatnya.
Sekian. Moga ada manfaatnya walau sedikit :)

Wassalam.

Ashikin Hashim

No comments:

Post a Comment