Wednesday 29 May 2013

Anugerah Yang Tidak Ternilai




Teks: Ashikin Hashim


Assalamu'alaikum wrt wbt

Jika ditanya, apakah hadiah yang paling bernilai buat pasangan suami isteri? Pasti jawapannya adalah anak. Anak adalah anugerah Allah swt kepada hambanya dan ianya tidak dapat ditukar ganti  dengan sesuatu yang lain. Berapa ramai pasangan suami isteri di dunia ini yang menginginkan anak tetapi tiada rezeki.  Berapa ramai juga yang diduga Allah dengan anak yang kurang upaya tetapi mereka tetap bersabar dan menjaga amanah Allah itu dengan penuh tanggungjawab.

Apabila lahirnya seorang anak di muka bumi ini, maka sudah menjadi tanggungjawab ibu bapanya untuk membentuk anak itu sebaik-baiknya. Allah bakal memperhitungkan amanah ini di akhirat kelak. Samada kita menjadikan dia beriman atau pun tidak.

Anak yang baru dilahirkan umpama sehelai kain putih yang menunggu saat untuk dicorakkan ibu bapanya. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Seorang anak itu dilahirkan tanpa sebarang dosa. Mereka lahir suci bersih dan selepas itulah ibu bapa yang akan mencorakkan kehidupannya. Dengan berbekalkan iman dan juga taqwa, maka anak itu akan menjadi insan yang solihin. Namun jika anak itu hidup tanpa panduan al Quran dan Sunnah, maka anak itu nanti akan terkapai-kapai mencari arah tuju penghidupannya.

Rasulullah SAW bersabda : “Orang-orang penyayang selalu disayang oleh ALLAH Yang Maha Penyayang. Sayangilah orang yang ada di bumi, maka kamu akan disayangi oleh yang ada di langit.” - Hadis Riwayat Thabrani

Kasihanilah, cintailah dan sayangilah anak-anak kita kerana mereka adalah antara punca dan penyebab untuk kita menuju redha dan syurga Allah.

Apakah hikmah anak?

1. Anak dapat memberikan kita ketenangan. Lihat sahaja ketika mereka gembira bermian dan ketika mereka tidur. Sungguh menenankan, bukan? Duduk dan bermain bersama mereka akan membuatkan kita hilang segala kedukaan.

2. Anak membuatkan seorang ayah itu untuk bekerja lebih kuat lagi. Seorang ayah akan berusaha keras untuk mencari nafkah halal dan mencukupi untuk diberikan kepada isteri dan juga anak-anak.

3. Anak itu menjadi penyebab kepada ibu bapanya untuk mendapat pahala dan syurga.

4. Anak itu melatih ibu bapanya menjadi penyabar dan menahan diri daripada marah.

5.  Anak yang soleh akan mendoakan ibu bapanya ketika mereka sudah meninggal dunia

6. Anak dapat menjaga ibu bapanya setelah tua atau pun ketika sakit

Pandanglah anak kita dengan pandangan penuh belas. Pandangan penuh belas itu juga sudah mengalirkan pahala buat kita. Keikhlasan kita menjaga serta mendidik mereka akan meyebabkan segala urusan kita yang lain mendapat kemudahan daripada Allah swt.

Wassalam.



No comments:

Post a Comment