Wednesday, 22 May 2013

Salam Perkenalan Dari Ashikin Hashim

Teks: Ashikin Hashim

Assalamu'alaikum wrt wbt

Salam Ukhwah Salam Persahabatan

Alhamdulillah dengan izin Allah swt jua lah dapat saya mewujudkan blog Pendidikan Awal Anak Dalam Islam ini. Semoga dengan adanya wadah ini akan menjadi medan untuk saya menyebarkan ilmu serta berkongsi pengalaman kepada anda semua. Bukanlah kerana saya pakar dalam bidang ini tetapi dengan ilmu yang sedikit sebagai seorang bonda kepada 3 orang anak dan pengetua di salah sebuah pusat perkembangan kanak-kanak, saya suka untuk berkongsi dengan anda semua.

Sebelum pergi jauh, suka untuk saya memperkenalkan diri saya sebagai Ashikin Hashim. Saya dilahirkan di Batu Pahat Johor tetapi dibesarkan di Shah Alam Selangor Darul Ehsan. Membesar dan hidup di bandar Shah Alam, saya rasa sungguh bertuah....entahlah saya suka Shah Alam :) Alhamdulillah. Bersekolah rendah dan menengah juga di Shah Alam dan selepas itu melanjutkan pelajaran dalam jurusan Ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Di bumi Universiti Islam Antarabangsa, saya mengenali Islam dengan lebih dekat. Islam sangat segar dan mekar di sini. Segala pengisian rohani, usrah dan aktiviti membangunkan Islam saya tidak mahu ketinggalan. Sahabat-sahabat dan pensyarah di UIA juga banyak membantu saya.

Di bumi UIA ini jugalah saya bertemu dengan jodoh saya iaitu suami saya sekarang. Suami yang belajar di fakulti Ilmu Wahyu, menambahkan lagi kesyukuran ini. Beliau banyak mengajar kami tentang Islam juga. Alhamdulillah kini sudah 9 tahun kami melayari bahtera rumahtangga dan dikurniakan 3 orang anak lelaki yang selalu mencuit hati.

Saya mula bertugas sebagai pengetua di pusat perkembangan kanak-kanak sejak bulan
Julai 2011. Alhamdulillah, Allah beri saya peluang untuk sampai ke tahap ini. Saya ditugaskan untuk menjaga bahagian pendidikan anak-anak di sekolah saya. Saya juga akan memberi pengisian dan latihan kepada guru-guru di sekolah ini.

Tugas saya ini memerlukan saya untuk sentiasa peka dengan perkembangan anak-anak. Saya suka membaca kajian-kajian dan ilmu tentang anak-anak, berbincang dan berkongsi pengalaman dengan semua orang. Setiap hari saya akan menulis status di Facebook saya berkenaan info dan pengalaman yang saya dapat.

Projek terbaru saya, saya sedang membangunkan sebuah ebook untuk saya kongsikan segala tip, ilmu dan pengalaman saya tentang pendidikan awal anak di dalam Islam.

Selamat berkenalan buat semua. Terima kasih kerana sudi membaca blog saya ini. Saya juga boleh ditemui di blog saya Bicara Seorang Ummi.

Semoga anda mendapat walau sedikit manfaat dari blog ini :)

Wassalam

Ashikin Hashim


No comments:

Post a Comment

Google+ Followers