Monday 17 February 2014

Tip Menghadapi Anak Yang Suka Menggigit



Teks: Ashikin Hashim

 
Anda tentu terkejut jika suatu hari anda mendapat tahu daripada guru atau pengasuh anak anda yang dia telah menggigit kawannya di taska atau sekolahnya. Anak anda menggigit jika dia tidak dapat mengawal keadaan kerana rasa takut, marah atau kecewa. Ada juga anak yang sedang mengalami perubahan akibat mendapat adik baru di dalam keluarga atau berpindah rumah. Dalam keadaan yang lain, apabila merasa terlalu gembira atau ingin menyatakan rasa sayang, anak akan menggigit. Apa yang perlu anda lakukan jika anak anda menggigit?

a)      Pastikan Selamat. Ibu  bapa atau pengasuh mesti memastikan anak dan kawannya yang ada potensi untuk digigit, dipisahkan atau dijarakkan daripada mudah digigit. Sebagai ibu bapa dan pengasuh anda mestilah tahu waktu dan keadaan bila kejadian ini bakal berlaku. Anda perlu tahu menjangka apa yang akan berlaku.

b)      Awasi selalu. Petanda seperti menghentak-hentak kaki, menangis, menjerit biasanya akan mengakibatkan kejadian menggigit. Awasi anak anda dan hentikan perlakuannya sebelum dia menggigit. Peluk dia berdekatan anda dengan meletakkan wajahnya ke bahu atau dada atau meletakkan tangan anda ke mulutnya dengan lembut tetapi tegas dan katakan kepadanya, ” Menggigit menyakitkan” atau ” Adik tak boleh sakiti kawan”.

c)      Bertenang, Jangan Menyalahkan atau Menghukum. Anda mungkin akan merasa marah dengan tindakan anak anda yang menggigit orang lain. Hukuman yang keras akan hanya membuatkan anak akan lebih memberontak dan melakukannya lagi.

d)     Bantu Mereka. Anak yang menggigit dan digigit memerlukan perhatian. Selain daripada bantuan seperti memeriksa luka yang mungkin ada pada anak yang digigit dan menenangkannya, anda jangan lupa kepada anak yang menggigit. Tunjukkan rasa prihatin anda padanya dan ingin tahu apa yang membuatkannya marah dan kecewa. Mereka masih kecil untuk dihukum dan dimarahi.

e)      Jangan gigit anak anda balik. Ada ibu bapa yang menggigit anak mereka dengan harapan anak mereka akan tahu bagaimana rasanya apabila digigit. Ini adalah tindakan yang salah kerana ia akan menyebabkan anak anda akan melakukannya semula. Bergurau dengan menggigit anak anda juga adalah sesuatu yang perlu dielakkan.

f)       Galakan anak anda untuk dia mencari anda jika dia sedih dan kecewa. Anda mungkin tidak ada bersamanya jika dia sedang melalui saat sukar seperti kecewa dan marah ketika barang mainannya dirampas atau diusik oleh orang lain. Katakannya padanya jika dia rasa marah dan kecewa, minta pertolongan orang lain seperti ibu bapa atau pengasuh. Apabila anak datang mengadu tentang perasaannya, berikanlah perhatian kepadanya.
 
g) Bercerita tentang apa yang berlaku. Apabila keadaan tenang, bertanyalah kepada anak anda tentang perasaannya dan apa yang patut dia lakukan. Lakukan sedikit contoh lakonan seperti anda merampas mainan daripadanya dan katakan padanya jika ini berlaku beritahu kepada anda atau pengasuh. Ramai anak yang menggigit tetapi tidak akan melakukannya lagi jika kita tahu bagaimana untuk mengendalikannya

Belajar tenang dan positif.

No comments:

Post a Comment