Monday 24 February 2014

Rangsang Minda Anak



Teks: Ashikin Hashim

Anak-anak di dalam linkungan umur di bawah 7 tahun adalah anak-anak yang diumpamakan seperti span. Mudah menyerap apa sahaja yang mereka belajar melalui permainan dan aktiviti, membaca melalui buku dan apa jua yang didedahkan kepada mereka. Anak-anak yang banyak menghabiskan masa dengan gajet dan tidak diberikan masa yang sangat cukup untuk bermain tidak mendapat stimulasi yang mencukupi dalam perkembangannya.

Satu kajian yang dilakukan oleh American Academy of Pediatrics menunjukkan bahawa kanak-kanak yang berumur di bawah umur 2 tahun perlu dihadkan waktu mereka menonton televisyen mahupun menggunakan komputer dan gajet. Jadi, bagaimana kita mengisi masa mereka setiap hari? Sudah tentu dengan permainan dan aktiviti yang merangsang minda dan membantu perkembangannya.

Pernahkah anda membaca kisah seorang abang berusia 4 tahun terlanggar adik sendiri yang berumur 2 tahun ketika beliau sedang asyik bermain stereng kereta bapa mereka? Sedang terlalu asyik, tiba-tiba kereta melantun ke hadapan dan melanggar adik yang sedang memakai selipar untuk turut serta bersama abangnya.

Anak kecil ini mungkin memandang kereta bapanya seperti kereta Ferrari merah yang sangat menawan. Ia pasti sangat laju. Berimaginasi membawa kereta bersama adik pasti sesuatu yang sangat menggembirakan. Mana mungkin tergamak untuk kita memarahinya sedangkan itu yang berada di dalam fikiran mudanya.
Itulah anak! Anak yang dilahirkan berimaginasi tinggi dan sangat kreatif. Jadi kita berperanan untuk memberikan mereka ruang yang secukupnya untuk mereka berimaginasi, bermain dengan selamat dan dapat belajar dari permainannya.

Zaman pula semakin berubah. Dahulu ketika kita tidak ada gajet seperti PSP mahupun IPAD, alam sekeliling seperti pokok, padang rumput, daun, ranting kayu, pasir dan tanah menjadi barang permainan anak-anak di ketika itu. Namun kini, anak-anak hanya berada di bilik dan tidak banyak bergerak mahupun berkomunikasi.

Ditambah pula ibubapa kini yang sibuk dengan kerjaya masing-masing, tugas dan peranan ibubapa speerti digantikan oleh gajet-gajet canggih ini. Kita tidak mahu anak-anak seperti robot yang tiada perasaan, dan tidak berkomunikasi dengan baik.

Amat besar peranan kita bagi memastikan anak-anak kita terdidik dengan baik dan mempunyai hubungan yang akrab dengan ibubapa. Mereka adalah amanah terbesar kita untuk kita bentuk dan jadikan sebagai generasi yang bakal berbakti kepada agama. 

Buku Ashikin Hashim

Alhamdulillah syukur saya rafakkan kepada Allah SWT kerana hanya dengan izinNya jualah saya dapat terus menulis dan menulis. Kecintaan saya terhadap pendidikan awal kanak-kanak saya lampiaskan di dalam bentuk penulisan. Selain aktif dalam penulisan blog yang hampir menjejak angka 15000 pembaca.

Melangkah ke tahap seterusnya saya menulis pula ebook yang bertajuk PESONA DIDIK ANAK CARA SUNNAH. Sehingga ke tahap ini ebook yang dijual melalui blog dan Facebook ini telah terjual hampir 50 salinan dalam masa 2 bulan.

Kini, PESONA DIDIK ANAK CARA SUNNAH sudah diterima oleh syarikat penerbitan KEMILAU PUBLIKA untuk diterbitkan sebagai buku fizikal. InsyaAllah ianya akan terbit dalam tahun ini juga. Semoga Allah memudahkan penerbitan buku ini.

Selain itu juga, anda boleh mengikuti penulisan saya di dalam majalah ERA MUSLIMAH setiap bulan di dalam ruangan PENDIDIKAN ANAK. Saya adalah kolumnis tetap di dalam ruangan tersebut.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pembaca setia blog dan penulisan saya. Anda sentiasa memberikan inspirasi kepada saya untuk terus menulis dan berkongsi ilmu tentang pendidikan awal kanak-kanak ini. 

Semoga Allah sayang.
Semoga Allah Redha.

No comments:

Post a Comment