Monday, 17 February 2014

Tip Menghadapi Anak Yang Suka Menggigit



Teks: Ashikin Hashim

 
Anda tentu terkejut jika suatu hari anda mendapat tahu daripada guru atau pengasuh anak anda yang dia telah menggigit kawannya di taska atau sekolahnya. Anak anda menggigit jika dia tidak dapat mengawal keadaan kerana rasa takut, marah atau kecewa. Ada juga anak yang sedang mengalami perubahan akibat mendapat adik baru di dalam keluarga atau berpindah rumah. Dalam keadaan yang lain, apabila merasa terlalu gembira atau ingin menyatakan rasa sayang, anak akan menggigit. Apa yang perlu anda lakukan jika anak anda menggigit?

a)      Pastikan Selamat. Ibu  bapa atau pengasuh mesti memastikan anak dan kawannya yang ada potensi untuk digigit, dipisahkan atau dijarakkan daripada mudah digigit. Sebagai ibu bapa dan pengasuh anda mestilah tahu waktu dan keadaan bila kejadian ini bakal berlaku. Anda perlu tahu menjangka apa yang akan berlaku.

b)      Awasi selalu. Petanda seperti menghentak-hentak kaki, menangis, menjerit biasanya akan mengakibatkan kejadian menggigit. Awasi anak anda dan hentikan perlakuannya sebelum dia menggigit. Peluk dia berdekatan anda dengan meletakkan wajahnya ke bahu atau dada atau meletakkan tangan anda ke mulutnya dengan lembut tetapi tegas dan katakan kepadanya, ” Menggigit menyakitkan” atau ” Adik tak boleh sakiti kawan”.

c)      Bertenang, Jangan Menyalahkan atau Menghukum. Anda mungkin akan merasa marah dengan tindakan anak anda yang menggigit orang lain. Hukuman yang keras akan hanya membuatkan anak akan lebih memberontak dan melakukannya lagi.

d)     Bantu Mereka. Anak yang menggigit dan digigit memerlukan perhatian. Selain daripada bantuan seperti memeriksa luka yang mungkin ada pada anak yang digigit dan menenangkannya, anda jangan lupa kepada anak yang menggigit. Tunjukkan rasa prihatin anda padanya dan ingin tahu apa yang membuatkannya marah dan kecewa. Mereka masih kecil untuk dihukum dan dimarahi.

e)      Jangan gigit anak anda balik. Ada ibu bapa yang menggigit anak mereka dengan harapan anak mereka akan tahu bagaimana rasanya apabila digigit. Ini adalah tindakan yang salah kerana ia akan menyebabkan anak anda akan melakukannya semula. Bergurau dengan menggigit anak anda juga adalah sesuatu yang perlu dielakkan.

f)       Galakan anak anda untuk dia mencari anda jika dia sedih dan kecewa. Anda mungkin tidak ada bersamanya jika dia sedang melalui saat sukar seperti kecewa dan marah ketika barang mainannya dirampas atau diusik oleh orang lain. Katakannya padanya jika dia rasa marah dan kecewa, minta pertolongan orang lain seperti ibu bapa atau pengasuh. Apabila anak datang mengadu tentang perasaannya, berikanlah perhatian kepadanya.
 
g) Bercerita tentang apa yang berlaku. Apabila keadaan tenang, bertanyalah kepada anak anda tentang perasaannya dan apa yang patut dia lakukan. Lakukan sedikit contoh lakonan seperti anda merampas mainan daripadanya dan katakan padanya jika ini berlaku beritahu kepada anda atau pengasuh. Ramai anak yang menggigit tetapi tidak akan melakukannya lagi jika kita tahu bagaimana untuk mengendalikannya

Belajar tenang dan positif.

Tip Mengenali Pengasuh Yang Baik

Teks: Ashikin Hashim



Memilih pusat jagaan atau taska yang baik bukan sahaja tertumpu kepada persekitaran atau suasana yang bagus dan menyakinkan. Aset paling penting yang perlu mama titik beratkan adalah pemilihan pengasuh atau guru kepada anak anda. Bagaimana anda mengenali pengasuh yang baik untuk anak anda? Ikuti tip ini.

a)      Pengasuh mengamalkan cara hidup Islam yang syumul. Sebagai seorang Muslim, tentu anda mahu pengasuh anak anda seorang Islam. Ini adalah amat penting kerana penampilan, perwatakan dan tingkah laku pengasuh sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada anak. Pengasuh yang baik akan sentiasa memelihara aurat dan akhlaqnya. Dia bukan sahaja memakai tudung dan berpakaian sopan yang menutup aurat, tetapi dia juga berilmu. Pengasuh boleh membaca doa-doa harian yang mudah, membaca al-qur’an dan berzikir.

b)  Pengasuh mengetahui tentang penjagaan bayi dan kanak-kanak. Ilmu Pendidikan awal kanak-kanak amatlah penting kepada seorang pengasuh. Bukan sahaja dia tahu menukar lampin dan membuat susu, malah dia juga tahu bagaimana menangani anak yang bergaduh atau mengendalikan anak yang menggigit.

c)     Anak anda selesa dan suka kepada pengasuhnya. Ini mungkin mengambil masa yang lama untuk anak anda mesra dan selesa ketika berada bersama pengasuh. Mama perlu ingat, walau pengasuh yang terbaik sekalipun tidak dapat menggantikan tempat seorang mama. Selepas beberapa hari anak anda bersama pengasuhnya, anda mesti dapat mengesan adakah anak anda selesa dan mesra bersama pengasuh atau tidak. Jika anak masih tidak mahu kepada pengasuhnya, ini mungkin bermakna pengasuh tidak dapat memberikan kemesraan sewajarnya dan personaliti pengasuh yang tidak baik.

d)   Pengasuh gembira apabila melihat anak anda. Mama akan dapat lihat jika pengasuh benar-benar gembira menjaga dan mengasuh anak anda dan anak anda juga dapat merasakannya. Kasih sayang dan kemesraan akan terserlah ketika mereka bersama-sama.

e)  Pengasuh akan membantu anda menyelesaikan sebarang masalah dan memberikan penjagaan yang sewajarnya kepada anak anda. Jika anak anda susah untuk makan, pengasuh akan cuba menarik perhatian anak untuk makan seperti meletakkan permainan berhampirannya untuk menjadikan waktu makan anak lebih menarik. Jika anak anda tidak mahu tidur, pengasuh akan bertanya kepada anda nasihat tertentu. Berkerjasama dengan mama dan melakukan pelbagai usaha dalam mengasuh anak anda adalah petanda bahawa pengasuh melakukan kerjanya dengan serius.

f)    Pengasuh menghormati masa anda. Pengasuh yang baik akan membuka pusat jagaan sebelum anda sampai atau memberitahu sebarang kemungkinan kepada anda seawal yang mungkin. Jika berlakunya tiada pengasuh pada satu-satu masa, pengganti akan dicari.

g)     Pengasuh akan sentiasa berkomunikasi dan berhubung. Pengasuh yang bertanggungjawab akan memberitahu tentang sebarang perkembangan dan apa yang berlaku sepanjang hari sewaktu di dalam penjagaannya. Mungkin dengan hanya secebis nota yang diselitkan di beg anak, mama tentu rasa dihargai dan menghargai usaha pengasuh.

h) Anak anda bersih. Kebersihan petanda kepada pengasuh yang baik. Sebagaimana anda meninggalkan anak dalam keadaan yang bersih, begitu juga anda mengharapkan pengasuh akan menyerahkan kembali anak anda dalam keadaan yang bersih tanpa meninggalkan sebarang kekotoran pada anak.

i)        Kemalangan jarang berlaku. Sudah tentu kemalangan kecil seperti terjatuh atau bergaduh dengan kawan akan berlaku. Tetapi, pengasuh yang baik akan memastikan keselamatan anak anda adalah keutamaannya. Pengasuh akan sentiasa mengawasi anak ketika bermain dan memastikan pagar sentiasa ditutup dan berkunci.

Semoga Allah sentiasa melindungi anak-anak kita.

Tip Mengajar Anak Matematik



Teks: Ashikin Hashim

Anakanda Wafi (9 tahun) dan anakanda Wasim (7 tahun) sangat suka subjek matematik. Guru yang paling rajin mengajar mereka mengira dan cinta kepada subjek ini adalah Abi mereka. Bagaimanakah Abi mereka mengajar matematik kepada mereka? 

Anak kami mempunyai satu buku nota yang mencatat segala transaksi harian mereka. Apa sahaja yang berkaitan wang dan urusniaga, mereka akan menulisnya di dalam buku ini. Jika mereka menginginkan sesuatu, mereka dilatih untuk melakukan pekerjaan dan akan mendapat ganjaran atau upah selepas selesai melakukan tugas tersebut.

Contohnya, jika mahu makan aiskrim, maka mereka harus bertanya apakah tugasan yang mereka boleh lakukan bagi mendapat upah dan seterusnya mendapat upah. Apabila wang sudah mencukupi, barulah mereka boleh membeli aiskrim tersebut.

Mereka juga mempunya seekor hamster yang dibela dengan baik sekali. Segala keperluan hamster tersebut seperti makanan, akan dibeli orlh anakanda dengan menggunakan duit yang sudah dikumpul. Begitu juga jika memerlukan untuk membaiki basikal mereka.

Alhamdulillah. Tidak perlu latih tubi. Mereka belajar secara rutin dan natural. Anakanda Wafi pernah menang tempat pertama kuiz Matematik semasa darjah satu dan mendapat BAND 5 dan 6 (darjah 1 dan 2) untuk subjek matematik.

Tip berikut juga boleh digunakan oleh anda di rumah bagi menggalakkan anak-anak suka Matematik.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Matematik adalah salah satu subjek di sekolah yang paling tidak disukai oleh sesetengah pelajar. Anda boleh memulakan langkah awal dengan memperkenalkan konsep matematik semasa dia masih kecil. Bukanlah untuk mengajar apa itu algebra atau apa jua konsep yang sukar, namun anda hanya memperkenalkan nombor dan konsep mudah.

a) Gubahlah lagu anda sendiri. Contohnya ” Satu, satu saya sayang Allah, dua, dua saya sayang Rasul ” dan seterusnya. Contoh lain ” One little, two, little three, little Wafi.Four, little five, little six, little Wafi….”

b) Kaitkan dengan nombor. Apabila melakukan sesuatu kaitkan dengan nombor. Contohnya menaiki tangga, kiralah tangga bersama-sama anak. InsyaALLAH nombor 1 hingga 20 pasti cepat dia mengingati.

c) Beri tugasan. Jika anda ingin anak membantu anda mengambil sesuatu, kaitlah dengan nombor. Contohnya, “Wafi, tolong ummi ambil satu pampers.” dan ulang pula dalam english ” One only” sambil jari anda menunjukkan satu jari.

d) Cinta buku. Belikan buku seawal umurnya masih bayi. Memanglah bayi tidak boleh membaca tetapi anda boleh membacakan untuknya. Pemilihan buku juga sangat penting. Pilihlah yang mempunyai tulisan yang besar dengan font yang menarik dan sesuai untuk dibaca. Warna juga adalah penting. Biarkan anak anda memegang buku dan belajar bahawa membaca itu tabiat yang baik.

e) Belajar melalui persekitaran. Tentu anda banyak menghabiskan masa bersama anak di dalam kereta kan? Jangan biarkan anak anda di dalam kereta tanpa dia belajar sesuatu daripada alam sekeliling yang dilihatnya. Jika anda nampak stesen minyak, kenalkan kepada anak anda ” Tengok tu Wafi Petronas.” ” Yang tu pulak Shell” kemudian anda tanya berapa lori yang Wafi nampak? Kiralah bersamanya. Jika lalu di TOL, katakan padanya anda perlu membayar sejumlah wang bila ada tol. Sesekali berikan dia wang untuk diberikan sendiri kepada petugas tol. Pasti dia suka.

f) Belajar menabung. Kenalkan anak anda pada TABUNG. Belikan tabung yang menarik. Ajarkan mereka menabung.Tiba masa anda kira berapa tabungannya dan simpanlah di bank.

g) Ajar berulang kali. Ketika membacakan untuk anak atau menunjukkan kad imbas padanya, tunjukkan dengan jari anda dan ulang berkali-kali. Contohnya, ‘ This is number ONE ‘.

h)     Bahasa. Bahasa apa yang anda hendak ajarkan kepada anak? Tentu konflik juga dengan suami bagi menentukan bahasa yang dia patut belajar. Ramai mengakui bahawa bahasa Inggeris lebih banyak dipilih oleh ibu bapa sekarang kerana tuntutan semasa. Namun bahasa Melayu tidak seharusnya dipinggirkan. Jepun dan Korea boleh maju dengan bahasa ibunda mereka, mengapa kita tidak. Jadi tidak salah jika anda menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris untuk mendidik anak. Caranya, sebut di dalam Inggeris dan kemudian ulang pula ke bahasa melayu. Contohnya, ” What is this?” dia akan jawab ” Umbrella”. Bila ulang bertanya di dalam bahasa Melayu ” Ini apa? ” dia akan menjawab ” Payung”. Semuanya perlu diajar dan pimpin oleh anda.

Semoga disayang Allah :)

Wednesday, 5 February 2014

Anak Mengamuk atau Tantrum

Teks: Ashikin Hashim 
Foto: Google


Bismillah.

Anak yang kecil boleh membuat aksi berguling yang 'hebat' di sebuah pasaraya. Atau anak kecil yang menghuni sebuah rumah boleh mengegarkan. Badan sahaja kecil, namun seorang ayah pun kadang tidak mampu menenangkannya dan lepas dari pelukan.

Mengamuk kerana mahu mainan, itu NORMAL.
Mengamuk kerana makanannya tidak sedap, itu NORMAL.
Mengamuk kerana tidak dapat memakai baju kesukaannya, itu NORMAL.
Mengamuk kerana mahu ikut ibu ke tempat kerja, itu NORMAL.

Anak mengamuk bukan refleksi stail parenting anda gagal.
Anak mengamuk bukan refleksi anda ibubapa yang bermasalah.

Anak juga ada rasa kecewa.
Anak juga ada rasa marah.
Anak juga ada rasa tidak puas hati.
Anak juga ada rasa takut ditinggalkan.

Raikan perasaanya.
Didiknya mengurus emosi.
Teruskan usaha tanpa putus asa.
Positif yang anak akan faham dan matang bila tiba saat dan ketikanya.

Tahniah kerana anda ibu bapa yang hebat!

Monday, 20 January 2014

Membaca Buku DR HARVEY KARP





Teks: Ashikin Hashim
Foto: Google







Saya sangat suka buku ini dan Dr Harvey Karp juga!
Beliau adalah seorang yang sangat berpengalaman. Apa yang saya boleh kongsikan adalah 2 teknik yang diperkenalkannya iaitu Fast Food Rule (FFR) dan juga Toddler-ese.

Saya kongsikan di sini.

Fast-Food-Rule

- Whoever is most upset talks first, the other person listens, repeats back what they're told, and only then do they take their turn to talk.

Toddler-ese

- You can translate anything into Toddler-ese with three simple steps: short phrases, repetition and mirroring a bit of your child's feelings using your tone of voice and gestures.

Dapatkan buku beliau.
Selamat mencuba dan membaca! :)

Komunikasi Berkesan Dengan Anak



Teks: Ashikin Hashim
Foto: Google


Tantrum adalah normal
Bukan mudah berkomunikasi dengan anak yang sedang meluahkan perasannya seperti marah dan mengamuk. Anak akan mudah menunjukkan ekspresi wajah jika dia tidak suka atau marah. Anak begini, jika kita sebagai ibu bapa dan guru tidak dapat membantunya untuk mengatasi kemarahannya, dia akan belajar cara mengekspresi perasaan dengan cara yang salah.

Ramai di antara kita mengambil jalan mudah dengan memarahi semula anak yang sedang marah atau mengamuk, seperti:

* " Kenapa nak marah-marah ni. Kalau nak apa-apa cakaplah elok-elok."

* " Kan ibu dah cakap, kalau nak ikut ibu, jangan nangis-nangis! "

* " Lain kali tak payah ikut! "

Sedar ataupun tidak, cara kita berkomunikasi dengan anak dan bertindak balas terhadap emosinya itu akan menyebabkannya kecewa dan tidak tahu bagaimana cara yang sebenar untuk menerangkan ketidakpuasan hatinya. Dia akan merasakan bahawa ibu atau bapanya tidak memahami mereka.

Sepanjang pengalaman saya di dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak ini, tantrum di kalangan anak-anak di bawah umur 7 tahun adalah sesuatu yang normal. Mereka sangat mudah dikendalikan jika kita tahu cara yang betul untuk menangani anak yang sedang marah, tidak puas hati atau mengamuk.

Sudah tentulah cara marah dan pukul tidak akan menyelesaikan masalah. Mereka akan lahir dan membesar sebagai orang yang suka memberontak dan tidak dapat mengawal perasaan. Mereka memandang bahawa, pukul dan marah itu adalah sesuatu yang boleh diterima dan cara menyelesaikan masalah dengan mudah dan cepat.

Satu cara bagi memenangi hati dan berkomunikasi dengan anak yang sedang marah, adalah dengan membiarkan dahulu dia meluahkannya. Contohnya, kita membawa anak kita ke sebuah padang permainan. Tiba masa untuk pulang, anak tidak mahu kerana belum puas bermain.

" Ibu, Nina tak nak balik! Nina nak main lagi! "

1. Dengar dahulu

Dengar dahulu luahan hati anak. Jangan terus tarik dia keluar dari padang. Duduk sama tinggi dengan anak dan biarkan dia beberapa ketika.

2. Ulang semula.

Kita ulang semula ketidak puasan hati anak.

" Nina nak main lagi ya? Nina suka padang permainan ni? "

Pada tahap ini, anak akan mula tenang kerana kita dikatakan sudah mula memahami perasaannya. " Oh, Ibu tahu aku suka main di sini. "

3. Masukkan peranan kita

Apabila anak sudah tenang, barulah kita memainkan peranan kita untuk mengajaknya pulang.

" Ibu pun suka sangat main di sini. Ada buai, ada jongkang jongkit. Tapi sekarang dah nak maghrib. Esok Ibu bawa Nina datang sini lagi ya. "

Pengalaman Saya

Sebagai seorang ibu dan pengetua, saya berhadapan dengan situasi ini setiap hari. Saya akan sering mengalami situasi ini ketika kami sekeluarga membeli beli di pasaraya. Anak pasti akan tertarik dan meminta kita untuk membelikan permainan buat mereka sedangkan semalam baru sahaja kita membelikannya.

" Ummi, nak mainan. "

Saya tidak terus mengatakan 'tidak boleh'. Saya akan katakan:

" Wajdi nak mainan? Yang macamana? "

Wajdi: Mainan kereta. Laju, Ummi.

Saya: Oh, yang laju tu ya. Best kan main kereta laju-laju. Macam kita main kat rumah tu kan. Macam kereta merah Wajdi tu. Kereta biru pun ada. Kereta hitam pun ada.

Di sini kita tidak menafikan perasaannya yang sangat suka kepada kereta. Kita raikan. Kita juga gembira dengan kesukaan dan kegemarannya itu. 

Kemudian barulah kita ingatkan atau nasihatkan anak bahawa mereka tidak dibenarkan membeli mainan pada waktu itu. Beritahu dengan cara terbaik. Cara yang tidak akan mengecewakan mereka.

" Semalam kita baru beli kereta warna merah kan Wajdi. Balik nanti Ummi main kereta dengan Wajdi. Kita main lumba-lumba, nak tak? "

InshaAllah, saya sangat suka menggunakan teknik ini. Alhamdulillah tidak pernah gagal dalam memujuk dan tidak pernah anak-anak baring berguling untuk dibelikan mainan. Semuanya dengan menggunakan teknik yang betul.

Selamat mencuba! :)