Monday, 20 January 2014

Komunikasi Berkesan Dengan Anak



Teks: Ashikin Hashim
Foto: Google


Tantrum adalah normal
Bukan mudah berkomunikasi dengan anak yang sedang meluahkan perasannya seperti marah dan mengamuk. Anak akan mudah menunjukkan ekspresi wajah jika dia tidak suka atau marah. Anak begini, jika kita sebagai ibu bapa dan guru tidak dapat membantunya untuk mengatasi kemarahannya, dia akan belajar cara mengekspresi perasaan dengan cara yang salah.

Ramai di antara kita mengambil jalan mudah dengan memarahi semula anak yang sedang marah atau mengamuk, seperti:

* " Kenapa nak marah-marah ni. Kalau nak apa-apa cakaplah elok-elok."

* " Kan ibu dah cakap, kalau nak ikut ibu, jangan nangis-nangis! "

* " Lain kali tak payah ikut! "

Sedar ataupun tidak, cara kita berkomunikasi dengan anak dan bertindak balas terhadap emosinya itu akan menyebabkannya kecewa dan tidak tahu bagaimana cara yang sebenar untuk menerangkan ketidakpuasan hatinya. Dia akan merasakan bahawa ibu atau bapanya tidak memahami mereka.

Sepanjang pengalaman saya di dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak ini, tantrum di kalangan anak-anak di bawah umur 7 tahun adalah sesuatu yang normal. Mereka sangat mudah dikendalikan jika kita tahu cara yang betul untuk menangani anak yang sedang marah, tidak puas hati atau mengamuk.

Sudah tentulah cara marah dan pukul tidak akan menyelesaikan masalah. Mereka akan lahir dan membesar sebagai orang yang suka memberontak dan tidak dapat mengawal perasaan. Mereka memandang bahawa, pukul dan marah itu adalah sesuatu yang boleh diterima dan cara menyelesaikan masalah dengan mudah dan cepat.

Satu cara bagi memenangi hati dan berkomunikasi dengan anak yang sedang marah, adalah dengan membiarkan dahulu dia meluahkannya. Contohnya, kita membawa anak kita ke sebuah padang permainan. Tiba masa untuk pulang, anak tidak mahu kerana belum puas bermain.

" Ibu, Nina tak nak balik! Nina nak main lagi! "

1. Dengar dahulu

Dengar dahulu luahan hati anak. Jangan terus tarik dia keluar dari padang. Duduk sama tinggi dengan anak dan biarkan dia beberapa ketika.

2. Ulang semula.

Kita ulang semula ketidak puasan hati anak.

" Nina nak main lagi ya? Nina suka padang permainan ni? "

Pada tahap ini, anak akan mula tenang kerana kita dikatakan sudah mula memahami perasaannya. " Oh, Ibu tahu aku suka main di sini. "

3. Masukkan peranan kita

Apabila anak sudah tenang, barulah kita memainkan peranan kita untuk mengajaknya pulang.

" Ibu pun suka sangat main di sini. Ada buai, ada jongkang jongkit. Tapi sekarang dah nak maghrib. Esok Ibu bawa Nina datang sini lagi ya. "

Pengalaman Saya

Sebagai seorang ibu dan pengetua, saya berhadapan dengan situasi ini setiap hari. Saya akan sering mengalami situasi ini ketika kami sekeluarga membeli beli di pasaraya. Anak pasti akan tertarik dan meminta kita untuk membelikan permainan buat mereka sedangkan semalam baru sahaja kita membelikannya.

" Ummi, nak mainan. "

Saya tidak terus mengatakan 'tidak boleh'. Saya akan katakan:

" Wajdi nak mainan? Yang macamana? "

Wajdi: Mainan kereta. Laju, Ummi.

Saya: Oh, yang laju tu ya. Best kan main kereta laju-laju. Macam kita main kat rumah tu kan. Macam kereta merah Wajdi tu. Kereta biru pun ada. Kereta hitam pun ada.

Di sini kita tidak menafikan perasaannya yang sangat suka kepada kereta. Kita raikan. Kita juga gembira dengan kesukaan dan kegemarannya itu. 

Kemudian barulah kita ingatkan atau nasihatkan anak bahawa mereka tidak dibenarkan membeli mainan pada waktu itu. Beritahu dengan cara terbaik. Cara yang tidak akan mengecewakan mereka.

" Semalam kita baru beli kereta warna merah kan Wajdi. Balik nanti Ummi main kereta dengan Wajdi. Kita main lumba-lumba, nak tak? "

InshaAllah, saya sangat suka menggunakan teknik ini. Alhamdulillah tidak pernah gagal dalam memujuk dan tidak pernah anak-anak baring berguling untuk dibelikan mainan. Semuanya dengan menggunakan teknik yang betul.

Selamat mencuba! :)

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers