Sunday 17 February 2019

Saya Mahu Jadi Ibu Yang Bahagia



Assalamu'alaikum semua. Salam Isnin yang penuh aura positif inshaAllah.

Saya Ibu Yang Bahagia

Bismillah. Alhamdulillah untuk hari yang penuh keberkatan. Sudah kah kita memulakan hari kita hari ini dengan rasa syukur ke hadrat Allah? Jom kita rutinkan rasa syukur dengan setiap nikmat yang Allah kurniakan kepada kita setiap hari.

Alhamdulillah syukur dengan nikmat nafas sehingga kita dapat lagi menikmati hari yang seterusnya. Ada orang yang tak sempat bangun hari ini kerana sudah diangkat bertemuNya. Maka terputus segala amalannya. Kita masih ada ruang dan peluang. Maka nikmati ia dan hargai.

Syukur dengan nikmat anggota badan. Allah kurnia tangan dan kaki untuk terus berkhidmat kepada suami dan anak-anak. Allah kurnia tangan yang boleh memasak. Kaki untuk ke sana sini menguruskan anak-anak. Mata untuk melihat keindahan dunia. Mulut untuk bercakap yang baik-baik. Dan juga akal fikiran untuk mengimbangi yang baik serta yang buruk.

Hari ini kita mahu untuk terus bahagia. Siapa yang tidak mahu bahagia? Saya yakin semua mahu bahagia. Dan kebahagiaan tidak boleh dibeli di kedai atau secara online. Semuanya kena datang dari dalam diri kita sendiri.

Bagaimana untuk jadi ibu yang bahagia?

Bukan mudah untuk menjadi bahagia. Tapi bukan mustahil untuk mengecapi bahagia itu. Setiap hari kita akan mengharungi hari yang penuh cabaran. Setiap hari Allah duga dan uji kita. Kita tak dapat lari dari ujian begini. Maka untuk bahagia kita lah yang harus bijak mengurus kehidupan.

Saya kongsikan 8 tip untuk menjadi ibu yang bahagia walaupun ujian sentiasa datang di dalam kehidupan kita.

1. Perbaiki niat kita setiap hari. Mengapa? Dengan niat yang betul dan jelas, kita akan lebih tenang dan fokus di dalam kehidupan kita. Kita akan jadi ibu yang elegan yang faham potensi dan hala tuju kehidupan. Kita akan tampak hebat dan aggun di mata suami dan anak-anak. Contoh niat: Saya niatkan hari ini untuk berbakti kepada suami, anak-anak dan masyarakat dan ini ibadah saya. Saya buat kerana Allah.

2. Mengiktiraf setiap perasaan yang hadir di dalam diri kita. Kadangkala kita pasti akan ada marah, kecewa, sedih, bosan. Ini normal. Iktiraf perasaan itu dan uruskan ia dengan baik. Jika rasa tertekan misalnya, cuba tarik nafas dalam-dalam, rehat sebentar, lakukan perkara yang kita suka dan ambil masa untuk bertenang.

3. Susun jadual. Siapa pun kita sama ada yang bekerja di rumah mahu pun di luar, jadual sangat penting bagi memastikan rutin kita teratur. Sebelum tidur setiap malam, biasanya diri kita untuk menyenaraikan tugasan dan susun mengikut kesesuaian masa dan kemampuan kita. Kita akan rasa lebih tenang dan teratur bila kita menyusun gerak kerja.

4. Agih tugas. Kita manusia biasa. Ada masa kita sangat kuat melakukan banyak kerja dalam satu masa. Tapi kemampuan kita ada batasnya. Mengagih tugas akan membantu kita meringankan bebanan kerja. Kita yang perlu bijak menyusun. Contohnya ada hari yang kita akan hantar baju ke dobi dan dapat tumpu kepada tugasan lain. Kita juga bahagi tugas kepada suami dan anak-anak. InshaAllah semuanya pasti teratur.

5. Berkongsi cerita. Jika sampai satu tahap kita merasakan perlu meluahkan perasaan dan mengadu, maka lakukanlah supaya kita rasa lapang dan tenang. Dengan siapa yang kita pilih untuk berkongsi cerita terpulang kepada diri kita sendiri. Namun berhati-hati jika ia membuka aib diri dan keluarga. Ada yang memilih bercerita kepada adik beradik, kawan rapat, suami dan ada juga yang berjumpa kaunselor. Terpulang kepada anda.

6. Pilih hobi atau kegiatan masa lapang. Saya sarankan untuk kita mempunyai satu hobi yang akan mengisi masa kita atau pun membantu kita melapangkan fikiran. Ada yang suka deco rumah, melukis, menulis dan sebagainya.

7. Me Time. Kita memerlukan 'me time' untuk merehatkan minda setelah seharian bekerja dan menguruskan rumah. Apa pun bentuk me time yang dipilih terpulang kepada diri kita. Semoga dengan me time ini akan sedikit sebanyak membantu kita menguruskan emosi.

8. Dekatkan diri kepada Allah. Di pengakhirannya setelah semua usaha yang kita lakukan untuk menjadi ibu yang bahagia, kita mohon dan tawakkal kepada Allah agar sentiasa memimpin kita di dalam kehidupan. Allah lah yang mengatur kehidupan kita kepada Dia kita serahkan segala pengharapan. Suami serta anak-anak bukan milik kita. Kita hanya pemegang amanah. Laksanakan tanggungjawab sebaiknya dan selebihnya serahkan kembali kepada Allah.

Semoga dengan perkongsian ini akan dapat memberikan sedikit panduan kepada kita. Kita semua mahu menjadi insan yang bahagia. Maka kitalah yang kena mencari bahagia tersebut.

Ashikin Hashim



*Jika anda sedang mengajar anak membaca, Flip Card Wow ini boleh membantu anda sebagai bahan bantu mengajar tambahan kepada anda. Harga RM100 termasuk postage. Boleh hubungi saya di 0193354522


*Buku Ibu Bijak Anak Bahagia. Harga RM35 termasuk postage. Boleh hubungi saya di 0193354522

No comments:

Post a Comment