Monday 18 February 2019

Mengapa Saya Pilih Vaksin




Assalamu'alaikum waramatullahi wabarakatuh

Baru-baru ini telah berlangsung perbincangan di antara dua panel iaitu Dato' Dr Musa dan Dr Nurul Huda berkenaan isu vaksin. Saya seperti juga ibu-ibu yang lain sangat teruja dengan diskusi ini. Mengapa saya teruja?

1. Saya sangat pentingkan kesihatan anak-anak saya sama seperti ibu yang lain juga. Saya mahu mereka cergas dan cerdas.

2. Saya ingin mengetahui tentang peri penting vaksin kerana sememangnya saya memilih untuk vaksin.

3. Saya ingin mengetahui pandangan Dr Nurul Huda selaku wakil pihak pro choice atau mereka yang memilih untuk tidak vaksinkan anak mereka.



Diskusi berlangsung dengan agak panas juga. Saya sangat berterima kasih kepada Dato' Dr Musa kerana dengan lantang dan professional menerangkan tentang peri pentingnya memvaksinkan anak di samping masih menghormati Dr Nurul Huda dengan pandangan beliau.

Secara terus terang saya hanya mengetahui bahawa saya perlu vaksin anak selepas saya melahirkan anak sulung saya. Pada waktu tersebut adalah tahun 2005 dan saya tidak pula mendengar mana-mana pihak yang lantang mempersoalkan tentangnya pada tahun tersebut. 

Saya vaksin anak seperti biasa dan jururawat bertugas akan memberitahu setiap kali saya vaksin anak bahawa anak mungkin akan demam selepas itu. Dan nasihat yang sering saya terima ketika vaksin ialah, jangan tuam atau sapu apa-apa pada tempat cucuk anak. Saya akur dengan nasihat tersebut dan bersedia dengan paracetamol jika anak saya demam.

Hanya pada tahun 2013-2014 saya mengetahui bahawa wujud golongan yang disebutkan sebagai anti-vaksin atau pro choice yang dikatakan tidak memvaksin anak atas alasan tertentu. Alasan yang paling glamor adalah kerana kesan sampingan selepas vaksin atau AEFI (Adverse Events Following Immunization).

Saya tidak mahu menyentuh persoalan tentang mengapa golongan pro choice memilih untuk tidak vaksin anak. tetapi saya fokus kepada pilihan saya iaitu MENGAPA SAYA PILIH VAKSIN.

Terlebih dahulu izinkan saya berkongsi maksud VAKSIN.

Vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus. 

Pada hari ini, kebanyakan vaksin adalah dalam bentuk kombinasi; iaitu beberapa jenis vaksin digabungkan dalam satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan terhadap beberapa jenis penyakit dengan hanya satu suntikan. Ia menjadikan pemberian vaksin lebih praktikal dan kurang menyakitkan.
(Sumber: My Health, Kementerian Kesihatan Malaysia)

Jadi secara mudahnya, apa yang saya faham adalah, kita memasukkan sesuatu ke dalam badan kita dengan tujuan untuk melindungi diri dari penyakit tertentu. Dan penyakit yang biasanya kita takuiti adalah penyakit berjangkit seperti chicken pox, TIBI, difteria dan sebagainya.

Apa pula kandungi VAKSIN ini?

Vaksin mengandungi bahan aktif dipanggil antigen. Antigen ini sama ada dalam bentuk virus hidup, virus yang telah dimatikan, protein virus yang telah disucikan, toksin bakteria yang telah dilemahkan atau sebahagian dari struktur bakteria. Vaksin juga mengandungi komponen tambahan seperti pengawet, penstabil, adjuvant dan beberapa komponen lain. Setiap bahan yang terkandung di dalam vaksin mempunyai fungsi tersendiri dan menyumbang kepada kualiti, keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin. Vaksin tidak mengandungi bahan yang boleh membahayakan tubuh badan.
Pengawet di dalam sesetengah vaksin berfungsi untuk menstabilkan vaksin serta mencegah pembiakan bakteria dan kulat dalam vaksin. Pengawet yang selalu digunakan ialah thiomersal atau thimerosal. Ia mengandungi sejenis raksa yang dinamakan ethyl merkuri. Ia tiada kaitan dengan sebarang kesan toksik methyl merkuri. Methyl merkuri adalah toksik kepada sistem saraf. Thiomersal yang telah digunakan dalam vaksin sejak 80 tahun lalu, wujud dalam kuantiti yang amat sedikit. Sehingga hari ini tiada sebarang bukti saintifik yang menunjukkan ia berbahaya. 

Setelah mengkaji bukti epidemiologi terkini berkaitan thiomersal dan profil farmakokinetiknya, Jawatankuasa Penasihat Sedunia bagi Keselamatan Vaksin di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah membuat kesimpulan bahawa tiada bukti kesan toksik merkuri ke atas bayi, kanak-kanak atau orang dewasa yang terdedah kepada thiomersal dalam vaksin. Tambahan pula, banyak kajian yang telah dijalankan mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan kecacatan sistem saraf atau perkembangan seperti autisme disebabkan oleh penggunaan vaksin yang mengandungi thiomersal.
Bahan penstabil berfungsi mencegah komponen vaksin dari melekat di dinding botol vaksin. Ia mengekalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin di dalam keadaan dan suhu yang pelbagai. Gelatin dan lactose-sorbitol adalah contoh bahan penstabil.

Adjuvan ditambah ke dalam vaksin untuk meningkatkan tindakbalas system ketahanan tubuh terhadap vaksin. Adjuvan yang sering digunakan adalah garam aluminium (dikenali sebagai alum). Pengambilan aluminium dari vaksin adalah lebih rendah berbanding dengan pengambilan harian dari makanan atau ubat-ubatan seperti antasid. Penelitian semua kajian yang ada berkaitan vaksin difteria, tetanus dan pertussis yang mengandungi aluminium (sama ada secara berasingan atau kombinasi) menunjukkan bahawa tiada bukti garam aluminium di dalam vaksin menyebabkan sebarang kesan sampingan serius atau kesan sampingan jangkamasa panjang. Kemerahan dan bengkak pada tempat suntikan selalunya berkait dengan vaksin yang mengandungi aluminum berbanding vaksin yang tiada kandungan aluminium, namun kesan ini selalunya ringan.
(Sumber: My Health, Kementerian Kesihatan Malaysia)

Baik. Saya faham. Inilah kandungan vaksin sebenarnya. Timbul pula persoalan tentang hukum vaksin. Pasti timbul di fikiran saya tentang keharusannya untuk vaksin. Adakah ianya halal? Apa pandangan Islam tentang perkara ini?

Hukum Menggunakan Vaksin Sebagai Alat Pencegahan Penyakit Sebelum Daripada Berlaku Lagi (Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)
  • Galakan untuk mendapat rawatan dan mendapat ubatan yang bersesuaian. Islam menyarankan umatnya agar sentiasa mencari penawar kepada penyakit yang dihidapi, kerana setiap penyakit ada penawar yang perlu dicari, diterokai dan dikaji. sesuai dengan sabda Nabi SAW:

لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيْبَ دَوَاءُ الدَاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ   

            Maksudnya: “Setiap penyakit mempunyai penawar, apabila penawar menepati penyakit tersebut, nescaya akan sembuh dengan izin Allah.”
(Riwayat Muslim)

  • Dalam hal ini hukumnya adalah harus. Ini kerana rawatan terdahulu sebelum berlaku wabak atau dibimbangi berlaku satu-satu penyakit adalah dibolehkan. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ مِنْ تَمَرِ المدينةِ لمَ ْيضره سِحْرٌ ولا سم       
Maksudnya: “Barangsiapa makan tujuh butir kurma Madinah pada pagi hari, ia tidak akan terkena pengaruh buruk sihir atau racun.”
(Riwayat Bukhari)

Ini termasuk tindakan menghindari penyakit sebelum terjadi. Demikian juga jika dikhawatirkan timbulnya suatu penyakit dan dilakukan immunisasi untuk melawan penyakit yang muncul di suatu tempat atau di mana saja, maka hal itu tidak masalah, karena hal itu termasuk tindakan pencegahan. Sebagaimana penyakit yang datang diobati, demikian juga penyakit yang dikhawatirkan kemunculannya.

  • Benarlah sabda Nabi SAW:

لَا يُورِدَنَّ مُمَرَّضٌ عَلَى مُصَحٍ         
Maksudnya: “Jangan didekatkan yang sakit dengan yang sihat.”
            (Riwayat Bukhari)
           
  • Begitu juga tindakan Saidina Umar Al-Khatab apabila tidak memasuki kawasan wabak taun dan ditanya kepada Amirul Mukminin, adakah kamu takut kepada qada’ Allah dan kamu lari daripadanaya? Saidina Umar Al-Khatab menjawab: “Aku lari daripada qada’ Allah kepada qadarnya.” Hal ini dinyatakan oleh sahabat yang lain, Abdul Rahman bin Auf yang menyebut hadis Nabi SAW:

إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ فِي أَرْضٍ فَلا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا ،
 فَلا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ
                 
                  Maksudnya: “Apabila kamu dapati terdapat penyakit taun di dalam mana- mana kawasan maka janganlah kamu mendekati kawasan tersebut, dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terkena taun, maka janganlah kamu keluar lari daripada kawasan tersebut.”
(Riwayat Bukhari)
            Dalam istilah moden ia dikenali sebagai kuarantin.

Untuk bacaan lanjut, anda boleh baca melalui pautan ini http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2069-30.

Maka saya berpegang kepada hukum HARUS memberi vaksin kepada anak bagi menghindarkan dari penyakit berjangkit.

Seterusnya saya ingin bawa anda semua berfikir sejenak tentang kepentingan VAKSIN di dalam masyarakat. Apakah kesannya jika ada yang tidak vaksin?

 Apakah HERD IMMUNITY?

Imuniti Kelompok atau Herd Immunity adalah keadaan di mana sebuah agen infektif (atau jangkitan) tidak dapat memasuki atau menyebar di kalangan suatu kelompok masyarakat oleh kerana sebahagian besar daripada anggota masyarakat tersebut mempunyai imuniti dan terlindung daripada penyebab jangkitan tersebut. Cara terbaik mencapai Imuniti Kelompok adalah melalui vaksinasi.


Penyakit berjangkit disebarkan secara langsung dari seorang ke seorang. Apabila peratusan yang tinggi daripada penduduk telah diimunisasi, adalah sukar untuk penyakit-penyakit berjangkit merebak, kerana tidak ada ramai orang yang boleh dijangkiti. Sebagai contoh, seorang penghidap measles yang dikelilingi oleh orang-orang yang telah menerima vaksin measles, penyakit ini tidak boleh disebarkan dengan mudah kepada sesiapa sahaja. Oleh yang demikian, penyakit ini akan cepat hilang dan wabak tidak berlaku. Ia adalah kesan herd immunity atau imuniti kelompok. Ia memberi perlindungan kepada orang-orang yang mempunyai risiko tinggi mendapat penyakit berjangkit apabila terdedah, tetapi tidak sesuai diberi imunisasi seperti:
  1. Bayi yang baru lahir (terutama yang belum mencapai berat minima dan mengalami masalah kesihatan)
  2. Orang yang sistem tubuh tidak berfungsi sepenuhnya, seperti pesakit yang telah dibuang kelenjar limpa (splenektomi)
  3. Pesakit yang sedang menjalani kemoterapi
  4. Pesakit HIV/AIDS
  5. Orang tua dan lain-lain pesakit yang sangat kronik

(Sumber: https://kpkesihatan.com/2016/06/27/imuniti-kelompok-herd-immunity/#jp-carousel-6528)

Maka fahamlah saya ini yang dinamakan sebagai HERD IMMUNITY dan bagaimana ianya melindungi anak kita daripada dijangkiti penyakit merbahaya dan berjangkit.

Panjang sungguh perkongsian saya kali ini. Semoga dengan perkongsian ini akan memberikan kefahaman serta manfaat kepada yang membaca.

Saya pilih untuk vaksin anak saya!

Berjumpa lagi di perkongsian yang lain.

Ashikin Hashim





1 comment:

  1. https://mindaahad.wordpress.com/2011/01/30/bahaya-suntikan-vaksin-dan-imunisasi/

    ReplyDelete