Thursday 14 November 2013

Rangsang Anak Membaca

Teks: Ashikin Hashim

Wajdi sedang belajar menyebut huruf-huruf


Secara dasarnya, semua kanak-kanak suka membaca. Namun, jika kegemaran dan keinginan membaca itu tidak dirangsang, ia akan menyukarkan anak-anak untuk pandai membaca. Di dalam Islam itu sendiri, membaca dan menuntut ilmu itu adalah satu tuntutan yang sangat besar kesannya.

Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Alaq ayat 1-5:

“ Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Ayat inilah yang diajarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w semasa awal perintah dakwah kepada baginda. Intipati kejayaan dakwah baginda ini adalah bermula daripada tuntutan untuk pandai membaca, menuntut ilmu dan kemudian menyebarkannya.

Ruh inilah yang ingin kita ingin tanamkan kepada anak-anak, bahawa dengan membaca maka Islam akan jadi terkenal dengan dakwah lisan dan penulisan. Tanpa tahu membaca, mana mungkin untuk seorang anak yakin kepada dirinya sendiri, berani berhadapan dengan orang lain, berbicara, bercerita dan menulis.

Tahukah anda bahawa, semakin awal kita mendedahkan anak kepada pembacaan, semakin awal anak boleh membaca. Seawal mana dan waktu bilakah yang paling sesuai untuk kita mengajar anak membaca? Jawapannya seawal yang mungkin iaitu ketika bayi lagi.

Pada zaman moden ini, kemahiran membaca adalah amat penting dalam kehidupan manusia. Oleh itu, seseorang itu harus menyedari dan memiliki kemahiran membaca sejak dari awal lagi kerana tanpa kemahiran tersebut, seseorang itu akan mengalami pelbagai kesukaran untuk menjalani kehidupan harian di negara moden.

Pepatah ada menyatakan, ‘a good writer is also a good reader’ bermaksud ‘ penulis yang baik adalah juga seorang pembaca yang baik.’ Imam Syafie adalah seorang tokoh ulama’ contoh yang sangat dikagumi kerana ketokohannya dalam menulis dan bersyarah. Hanya dengan pembacaan yang baik, kita dapat merangsang anak-anak untuk menulis dan berbicara dengan baik.

Cuba kita bayangkan antara anak yang pandai membaca dan tidak mahir membaca? Mereka pasti berbeza dari segi keterampilan dalam menuntut ilmu. Anak yang pandai membaca sangat sensitif terhadap persekitarannya dan teruja untuk mengetahui banyak perkara. Mereka akan banyak bertanya dan mengumpul maklumat melalui pembacaannya.

Berbanding dengan anak yang tidak mahir membaca, mereka akan mudah merendah diri, tidak bergaul mesra dan kadangkala tidak mahu langsung bercampur dengan orang lain. Mereka akan rasa tersisih dan lambat mengetahui tentang sesuatu perkara.

Satu kajian telah dilakukan di Malaysia pada tahun 2009, hampir 90 peratus daripada 3,116,200 orang kanak-kanak bawah umur empat tahun ke bawah tidak mendapat pendedahan sebarang program pendidikan awal kanak-kanak yang sangat penting bagi merangsang perkembangan awal kanak-kanak.

Pelbagai langkah harus diambil bagi mengatasi masalah tersebut daripada berlanjutan di masa depannya. Antaranya ialah ibubapa dan guru perlu memberikan pendedahan awal untuk menggalakkan anak membaca. Oleh yang demikian, ibubapa dan guru boleh merancang aktiviti yang bersesuaian dengan anak.

Ibu bapa dan keluarga merupakan golongan yang paling rapat dengan kanak-kanak. Ini jelas terbukti melalui Teori Ekologi Bronfenbrenner (1979) yang mengatakan bahawa penglibatan keluarga dalam pendidikan awal kanak-kanak mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Jadi, pendedahan awal terhadap pembacaan anak seharusnya bermula dari rumah.

 
Apakah kelebihan membaca bagi anak-anak?

1.      Membaca melatih otak anak

Membaca adalah satu tugas yang lebih kompleks dari menonton televisyen. Dengan membaca, ia dapat menguatkan jalinan-jalinan di dalam otak.

2.      Membaca akan memperbaiki konsentrasi anak

Membaca memerlukan anak untuk duduk dan fokus. Jika ini dipraktikkan dan menjadi rutin, ia dapat melatih tahap konsentrasi anak.

3.      Membaca mengajar anak tentang dunia di sekelilingnya

Membaca membuka minda anak untuk mengetahui banyak perkara. Apabila membaca satu perkataan, dia mungkin bertanya pelbagai soalan.

4.      Membaca akan menambah perbendaharaan kata dan meningkatkan skil bahasa anak

Membaca akan mendedahkan anak dengan perbendaharaan kata yang lebih banyak dan ini akan meningkatkan skil membaca, menulis dan bercakapnya

5.      Membaca akan membina imaginasi anak

Membaca membuka dan meningkatkan imaginasi anak kerana anak suka membayangkan dan kemudian dia akan membina ayat dan pertanyaan.

6.      Membaca akan banyak membantunya ketika di sekolah

Anak yang mahir membaca adalah lebih Berjaya ketika di sekolah.

7.      Membaca juga adalah salah satu bentuk hiburan kepada anak

Membaca juga boleh menjadi salah satu bentuk hiburan dengan mempelbagaikan aktiviti membaca seperti puzzle, suaikan, kuiz dan sebagainya

8.      Membaca boleh merehatkan anak dan menenangkannya.

Membaca memerlukan anak duduk dengan tenang. Ia dapat merehatkan minda dan juga badan.

Bagaimana merangsang anak untuk membaca?

1.      Sebelum anak didedahkan kepada bahan-bahan bacaan, anak-anak didedahkan dahulu dengan proses perkembangan bahasanya. Di rumah kita bercakap dengan jelas kepada mereka dan menggunakan banyak perbendahaaraan kata. Ini akan membantu mereka di dalam proses membaca kerana mereka akan mudah menyebut perkataan-perkataan yang mereka pernah dengar dan praktikkan.

2.      Dedahkan minat membaca ini sejak dari awal lagi iaitu ketika anak masih bayi. Bukanlah sesuatu yang mustahil untuk mengajar anak membaca ketika bayi. Bercakap dengan kerap kepada bayi anda adalah satu proses awal sebelum mendedahkan mereka kepada buku bacaa. Jadi mulakannya dari sekarang!

3.      Galakkan anak-anak untuk bercakap seperti memberikan pandangan dan pendapat. Ini membantu mereka untuk mempraktikkan perkataan-perkataan yang mereka dengar.

4.      Mulakan pembacaan awal dengan buku bergambar. Kita ceritakan tentang gambar tersebut dan kemudian galakkan pula anak untuk bercerita tentang gambar tersebut.

5.      Lakukan aktiviti pembacaan dalam susasana yang gembira dan jauh dari tekanan. Ramai ibubapa yang ingin anak cepat membaca, namun lakukannya dalam cara yang tidak memaksa. Berilah anak kebebasan dan berikan dia sedikit ruang untuk belajar dalam keadaan yang menggembirakannya.

6.      Jadikanlah amalan membaca itu satu budaya di dalam keluarga. Jika kita adalah ibubapa yang suka membaca, maka anak-anak juga akan rasa terangsang dengan membaca. Tiada paksaan dan mereka akan dengan sendirinya memilih buku dan mula melihat gambar-gambar yang menarik.

7.      Adakan ruang khas seperti perpustakaan mini untuk anak. Beri mereka ruang untuk memilih sendiri buku kegemaran mereka. Tidak mengapa jika hanya memilih buku yang sama kerana ia juga bagus untuk langkah awal membaca.

Rangsangan berterusan amat perlu bagi memastikan anak dapat membaca seawal mungkin. Semoga dengan kemahiran membaca ini, anak akan lebih bijak, menjadi anak yang soleh dan solehah demi kepentingan Islam.
* Bengkel Keibubapaan 1: Merangsang Anak Membaca bakal diadakan pada 4hb Januari 2014. Kepada yang berminat, sila nyatakan minat anda dan anda akan mendapat harga Early Bird sebelum 30hb November 2013. Tempat adalah di PKNS BIZPOINT Seksyen 7 Shah Alam.

4 comments:

  1. Assalamualaikum. ..alhamdulilah anak saya memang suka membaca,drp buku sampai kotak ubat semuanya dibaca cuma cabaran saya ialah anak saya kurang fokus atau tidak berminat untuk menulis. .puan ada cara bagaimana untuk mengatasi masalah begini? Ada saya buat latihan bersamanya mengunakan whiteboard dan dia duduk menyalin semula apa yg saya tulis..timer pun saya gunakan. Bila dirumah dapat dilaksanalan tetapi bila disekolah hanya tarikh..hari dan tajuk yg dia salin

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wsalam puan. Boleh saya tahu umur anak puan?

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum puan, saya mempunyai anak berumur 3thn4bulan yg x berminat utk menulis dan mewarna.. Ape yg boleh saya lakukan..

    ReplyDelete