Saturday, 12 October 2013

Penyusuan Ibu Eksklusif

Teks: Ashikin Hashim
 
 
Selalu niatkan untuk menyusukan bayi kita

Islam amat menggalakkan para ibu untuk menyusukan anak dengan susu ibu. Malah di dalam Al-Quran ada disebutkan tentang saranan agar anak-anak diberikan susu ibu sehingga berumur 2 tahun.
Malangnya, tidak ramai mama yang tahu tentang kepentingan serta kebaikan penyusuan ibu. Amat menyedihkan, umat Islam amat keterbelakang sekali di dalam ilmu penyusuan ini jika dibandingkan dengan orang barat yang bukan Islam. Mereka lebih mengetahui tentang kebaikan penyusuan ibu.

Sebelum memulakan penyusuan ibu, marilah kita lihat apakah kebaikan susu ibu kepada anak.
Susu ibu dapat melindungi bayi daripada masalah sistem pemakanan, masalah paru-paru dan jangkitan telinga. Bayi yang menyusu susu ibu jarang mendapat penyakit seperti cirit-birit yang biasa dihidapi oleh bayi yang minum susu formula. Kolostrum yang dihasilkan pada awal pengeluaran susu ibu pula dapat menghalang jangkitan kuman dengan cara pembentukan lapisan perlindungan pada lapisan mucus di hidung, tekak dan usus. Penyusuan ibu juga dapat melindungi bayi daripada radang usus.

Susu ibu dapat melindungi bayi daripada alahan. Penyusuan ibu selama 6 bulan atau lebih dapat mengelakkan bayi anda daripada mendapat alahan makanan atau pernafasan. Penyusuan eksklusif pula dapat mengurangkan risiko penyakit asma sebelum berumur 6 tahun. Asid lemak dan sistem imun seperti IgA di dalam susu ibu dapat mengelakkan reaksi alahan dengan menghalang protein luar daripada masuk ke dalam sistem bayi.

Protein di dalam susu lembu adalah salah satu alahan biasa yang menjadi penyebab kepada alahan bagi bayi yang menyusu susu lembu berbanding bayi yang menyusu susu ibu.
Susu ibu dapat meningkatkan kebijaksaan anak. Ada kajian yang menunjukkan kaitan antara susu ibu dengan tahap IQ yang tinggi. Asid lemak yang dihasilkan oleh susu ibu memainkan peranan yang besar di dalam perkembangan otak bayi.

Ada satu kajian yang masih dijalankan oleh pengkaji tentang kaitan susu ibu yang dapat mengurangkan risiko  daripada berlakunya barah seperti lymphoblastic dan myeloid leukemia. Kajian ini mendapati bahawa sistem antibodi di dalam susu ibu dapat meningkatkan sistem imun dalam badan bayi.
Susu ibu dapat membantu mama menurunkan berat badan kerana semasa proses penghasilan susu ibu, berlakunya pembakaran kalori dalam badan.

Susu ibu dapat menurunkan tahap tekanan ibu dan mengurangkan pendarahan yang berlaku selepas bersalin. Ini terjadi kerana semasa menyusukan bayi, satu hormon yang dinamakan oxytocin dilepaskan dan ini dapat memberikan ketenangan kepada ibu. Oxytocin juga dapat membantu rahim kembali kepada saiz asal.

Susu ibu juga dapat mengurangkan risiko kepada sebahagian barah. Semakin lama ibu menyusukan anak, semakin mereka terlindung daripada barah payudara dan ovari.
Ada beberapa perkara yang Mama perlu ambil kira bagi mengamalkan penyusuan secara eksklusif.

Niat. Tanamkanlah niat jika anda mahu menyusukan anak secara eksklusif. Niat yang baik ini perlu disertakan dengan usaha dan doa yang berpanjangan. Sebagai seorang Muslim, tuntutan Islam untuk menyusukan anak dengan susu ibu perlu dianggap sebagai satu kewajipan dan mama mesti mengusahakan agar anak dapat menyusu badan kerana itulah haknya.

Tambahkan ilmu. Menyusukan anak bukanlah sekadar menyusukan tanpa mama mengetahui tentang ilmu penyusuan. Mama perlu tahu tentang kebaikan, bagaimana ingin memberikan susu dengan cara yang betul, cara menyimpan susu yang telah dipam dan banyak lagi. Rajin-rajinlah mencari tentang ilmu penyusuan ini di dalam mana-mana majalah, buku dan internet. Mama juga perlu rajin bertanya kepada Mama senior yang lebih berpengalaman.

Apakah penyusuan eksklusif?
Penyusuan eksklusif adalah anda memberikan hanya susu ibu kepada bayi anda sekurang-kurangnya 6 bulan dan dilanjutkan sehingga 2 tahun tanpa mencampurkan ia dengan air atau makanan lain.

Sokongan. Suami, keluarga dan kawan sekerja anda andalah orang yang paling dekat dengan anda. Jadi, anda amat memerlukan sokongan daripada mereka bagi menjayakan penyusuan eksklusif. Tanpa sokongan suami contohnya, amatlah sukar bagi anda menyusukan anak kerana ketika anda menyusukan anak, anda pasti memerlukan suami yang ringan tulang untuk membantu menguruskan rumah. Begitu juga dengan rakan sekerja anda. Anda memerlukan waktu untuk mengepam ketika waktu kerja, jadi tanpa rakan kerja yang memahami akan menyukarkan anda untuk mengepam susu di pejabat.

Pam yang sesuai. Penyusuan eksklusif tidak berjaya tanpa menggunakan pam yang sesuai dan efektif. Carilah pam di pasaran yang mempunyai stimulasi yang sama dengan cara penyusuan anak. Anda memerlukan pam untuk mengepam susu anda ketika bayi anda tidak ada di sisi. Anda sudah boleh mula mengepam sewaktu anda masih lagi di dalam pantang dan bersedialah menyimpan stok susu bagi kegunaan semasa anda bekerja nanti.

Kemudahan peti sejuk. Peti sejuk amatlah penting untuk anda menyimpan stok susu ibu. Bukan sahaja di rumah, pastikan juga kemudahan peti sejuk ada di pejabat anda. Jika tiada, anda boleh menggunakan cooler bag sebagai tempat untuk menyimpan susu.

Bagaimana ingin memulakan?
Setiap kali ingin memulakan penyusuan, mulakanlah dengan kalimah basmallah dan mulakan dengan payudara kanan dahulu.
Penyusuan ibu perlu dimulakan seawal mungkin sejurus selepas melahirkan anak. Susu pertama ibu yang mengandungi kolostrum sangat baik untuk bayi kerana ia dapat melindungi bayi dari jangkitan.
Mama jangan terlalu panik. Penyusuan ibu menuntut kepada nilai kesabaran yang sangat tinggi. Penyusuan yang berjaya hanya dapat dilakukan dengan banyak berlatih. Mama dan anak melakukan latihan bersama dan jangan malu untuk bertanya kepada doktor atau jururawat untuk memberikan tunjuk ajar.

Bagi bayi pramatang, bayi akan diletakkan di dalam inkubator dan berada di dalam pengawasan doktor. Biasanya anak tidak dapat menyusu badan secara terus dari payudara mama pada waktu itu. Mama jangan risau. Apa yang mama boleh lakukakan adalah dengan mengepam susu anda dan beri susu kepada anak melalui botol atau tiub.

Mulut bayi anda seharusnya menutup bahagian besar aerola di bawah puting dan puting mama mestilah berada jauh ke dalam mulut bayi. Jika percubaan pertama menyakitkan mama, masukkan jari kecil mama ke dalam mulut bayi di antara gusi dan puting mama agar dia melepaskan puting mama dan cuba penyusuan sekali lagi.

Anda mesti menyusukan bayi anda sekerap yang mungkin. Semakin kerap mama menyusukan bayi, semakin cepat susu matang akan keluar dan semakin banyak susu yang akan dihasilkan. Kebiasaan bayi menyusu selama 15 minit untuk satu payudara dan 8 sehingga 12 kali setiap hari.

Bayi yang menangis adalah tanda terakhir yang menyatakan dia lapar. Jadi susuilah bayi anda sebelum dia menangis. Tanda awal bahawa bayi anda hendak menyusu seperti membuka mulutnya apabila dekat dengan payudara mama. Anda mesti mengejutkan bayi anda yang tidur jika dia tidak menyusu melebihi 4 jam.

Bagi memastikan anda menyusukan bayi anda dengan baik, anda mestilah menyusukan dia dalam posisi yang selamat dan selesa. Pegang bayi anda di dalam posisi yang tidak akan menyakitkan tangan dan belakang anda. Ada 4 posisi yang selamat dan selesa untuk anda menyusukan bayi iaitu;

The Cradle Hold: tampung kepala bayi dengan lengan mama dan baringkan bayi di atas peha. Tangan anda menyokong leher, belakang dan punggung bayi. Ini sesuai untuk kelahiran normal.

The Cross-Over Hold: jika menyusu sebelah kanan, gunakan tangan kiri mama dan lengan untuk memegang kepala bayi. Pusingkan bayi ke arah anda supaya dada dan perutnya menghadap mama. Dengan jari anda yang memegang kepala bayi, pandulah anak anda agar mulutnya menuju ke payudara mama. Cara ini sesuai untuk bayi yang kecil.

The Clutch or Football Hold: letakkan bayi anda di bawah lengan seperti pemain football atau membawa beg tangan. Bayi mesti menghadap mama dengan hidung mestilah sama dengan paras puting mama dan kakinya mengarah ke belakang mama. Sokong kepala dan belakang bayi dengan tangan mama. Cara ini sesuai untuk mama yang melahirkan melalui Caesarean.

Reclining Position: posisi ini mama menyusukan bayi dalam keadaan baring dan letaklah beberapa bantal di belakang anda bagi menyokong belakang anda. Dekatkan bayi anda ke arah anda dan tangan anda yang di atas merangkul kepala bayi dan tangan anda yang di bawa berada di bawah kepala anda.

Apakah yang Mama Perlu Makan?
Mama boleh makan seperti biasa iaitu dengan mengamalkan pemakanan yang berkhasiat seperti makan makanan berbijirin, buah-buahan, sayur-sayuran dan mengambil makanan yang mengandungi protin, kalsium dan zat besi. Hadkan mengambilan kafein, bercoklat dan pedas. Mama juga perlu minum dalam kuantiti yang banyak kerana hormon yang dikeluarkan semasa mama menyusukan bayi akan menyebabkan anda kehilangan banyak air dalam badan (dihidrasi).

Masalah Yang Bakal Mama Hadapi
Mama mungkin menghadapi masalah seperti bengkak susu dan puting luka. Bengkak susu akan berlaku 2 atau 3 hari selepas mama melahirkan anak. Mama akan mendapati payudara membengkak, sakit apabila dipegang dan seperti dicucuk-cucuk dan mama tidak selesa dengan keadaan payudara  yang terlalu penuh. Mama akan merasai bengkak melarat sehingga ke bawah lengan. Demam ringan juga akan berlaku kepada mama.

Bengkak susu ini berlaku kerana selepas bersalin, susu akan banyak dihasilkan dan sedia untuk diberikan kepada bayi. Darah akan semakin banyak mengalir ke payudara mama dan ini menyebabkan tisu payudara menjadi bengkak.

Mama perlulah bersikap positif apabila berlakunya bengkak susu kerana ini menandakan mama sedang menghasilkan susu kepada anak anda. Anak anda akan membantu anda mengatasi masalah ini dengan menghisap susu dan mama dapat menghasilkan susu dengan jumlah yang sesuai untuk bayi.
Pakailah pakaian dalam yang dapat menampung payudara mama dan susuilah anak mama seperti biasa iaitu 2 ke 3 jam sekali. Hindari anak mama daripada menghisap ketika aerola mama terlalu tegang kerana ia boleh menyebabkan kecederaan pada puting. Bagi melembutkan aerola mama, cuba mama pam dahulu sehingga aerola mama lembut. Mama juga boleh mengurut payudara atau pun meletakkan pek sejuk ke payudara bagi melancarkan pengaliran susu.

Cara menyimpan Susu
Pam susu setiap 2 ke 3 jam sekali ketika anda berada di pejabat.
Simpan susu anda ke dalam botol kaca atau plastik atau beg plastik khas untuk menyimpan susu.
Labelkan botol susu dengan nama anda dan tarikh ia dipam dan apabila hendak digunakan, gunakan susu yang dipam dahulu.
Mama boleh sejukkan susu di dalam peti sejuk (refrigerator) selama 3 ke 5 hari.
Jika disejuk beku (frozen), susu boleh disimpan selama 3 ke 6 bulan.
Susu yang disejuk beku, perlu dicairkan dahulu sebelum direndam dengan air suam. Jangan sekali-kali mama menyejukkan sekali lagi dan ia perlu dibuang jika tidak habis. Jadi, bagi mengelakkan pembaziran, pamlah mengikut kebiasaan anak menyusu (3 oz atau 4 oz dalam satu penyusuan)

Menyusukan anak dengan susu ibu adalah saat-saat indah yang mama tidak harus lepaskan. Berikanlah dia hak untuk menyusukan susu ibu kerana itulah yang terbaik buatnya. Selain daripada khasiat susu ibu yang banyak, mama dapat mengeratkan lagi kasih sayang mama dan anak.
Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakan penyusuannya (2:233)

Ceklist Mama:
*Saya sudah bersedia untuk kembali bekerja dan meneruskan penyusuan secara eksklusif
*Saya sudah membeli set pam penyusuan untuk kegunaan saya nanti
*Saya sudah mula menyimpan stok susu untuk diberikan kepada anak saya semasa ketiadaan saya nanti

Ingatan Buat Mama
Tahniah kepada Mama yang sudah pun memasang niat untuk menyusukan si manja dengan susu ibu. Bukan mudah bagi Mama untuk merealisasikan impian ini. Perkara penting yang Mama perlu ada adalah sentiasa positif  kerana jika Mama rasa tertekan, ia akan mengganggu proses penyusuan Mama. Bantuan dan sokongan daripada suami, saudara mara dan sahabat handai amatlah diharapkan oleh Mama.

Di samping itu juga Mama jangan mudah terpedaya dengan dakyah atau kata-kata negatif yang akan mematahkan semangat Mama. Kuatkan semangat dan selalu tingkatkan ilmu pengetahuan dalam penyusuan ibu ini.

FAKTA
Malaysia masih dikatakan jauh ketinggalan dalam meningkatkan pengetahuan penyusuan ibu jika dibandingkan negara-negara barat. Walhal Islam amat menggalakkan penyusuan ibu kerana ia banyak memberi faedah kepada ibu dan bayi.
Bagi ibu yang bekerja, masih banyak majikan yang tidak menyediakan ruang untuk Mama mengepam susu dan menyusu, begitu juga tempat-tempat awam seperti pusat membeli belah dan stesen-stesen minyak. Jika keperluan Mama dapat dipenuhi, pasti produktiviti dapat ditingkat kerana Mama akan lebih seronok bekerja.

1 comment:

Google+ Followers