Saturday 12 October 2013

Membina Perkahwinan Yang Barakah

Teks: Ashikin Hashim
Kebahagiaan didamba semua pasangan

Ingatlah bahawa:

Kehidupan berkahwin itu adalah satu destinasi indah yang perlu kita selusuri mengikut hukum yang telah Allah tetapkan. Hanya dengan barakah daripada Allah maka kita mendapat nilai-nilai ibadah di dalam perkahwinan.

Siapakah pasangan kita?
Persoalan ini sememangnya berat untuk difikirkan oleh insan yang ingin berkahwin. Bukan persoalan mudah malah tidak boleh langsung diambil ringan. Dua insan yang bakal disatukan perlulah hadir dalam keadaaan yang benar-benar baik rohani dan jasmaninya.

Sebelum berkahwin, kita perlu:
Bersiap sedia dari awal agar menjadi insan yang kaya jiwanya dengan ruh Islam. Sekurang-kurangnya anda mesti belajar untuk menjadi manusia yang diredhai oleh Allah swt.

Yakin bahawa persediaan anda untuk menjadi pasangan yang terbaik akan memudahkan jalan untuk mencari pasangan yang terbaik juga. Itu semua di atas ketentuan Allah yang Maha Esa.
Menyediakan pelan pembangunan keluarga yang merangkumi faktor ekonomi dan sosial keluarga anda kelak. Tanpa perancangan yang rapi, maka sukarlah bagi anda mengharungi cabaran di dalam alam rumahtangga.

Bersedia untuk menjadi mama dan papa kepada anak-anak anda kelak. Sebagai seorang Muslim, melahirkan generasi Islam adalah suatu ibadah dan sangat dituntut. Menyekat atau menafikan hak untuk menjadi ibubapa adalah sangat dilarang.
Sentiasa berdoa dan bertawakkal kepada Allah swt bahawa segala usaha kita untuk menjadi insan yang terbaik akan memudahkan pula untuk mencari pasangan hidup yang terbaik.

Pelan Pembangunan Keluarga Barakah

Pelan Pembangunan Keluarga Barakah ini adalah sangat penting bagi pasangan Muslim yang ingin memiliki keluarga yang bukan sahaja bahagia tetapi juga sentiasa diberkati oleh Allah swt.
Ianya merangkumi pelbagai aspek di dalam alam rumahtangga seperti rohani, ekonomi dan sosial. Sebagai pasangan Muslim, seharusnya kita sentiasa bersedia dan menyediakan keluarga dengan pelan pembangunan ini bagi memastikan keluarga mendapat kesejahteraan hidup di dunia juga di akhirat.
Sebelum membina keluarga iaitu dengan ikatan perkahwinan, kita perlulah tahu bahawa perkahwinan barakah itu bermula sebelum berkahwin lagi.

Pasangan yang ingin berkahwin perlu menjaga adab dan tatasusila walaupun sudah bertunang. Berpegangan tangan, berpelukan apatah lagi berzina amatlah dilarang dan haram di sisi Islam.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

Wahai golongan remaja, jika kamu mampu untuk berkahwin maka berkahwinlah kerana dengan berkahwin mampu mengawal pandangan mata dan kemaluan, bagi yang tidak mampu maka berpuasalah kerana dengan puasa mampu mengawal diri daripada menurut runtunan nafsu

Pelan Pembangunan Keluarga Barakah terdiri daripada:

Aspek Rohani
Di dalam aspek ini semua ahli di dalam keluarga wajib memainkan peranan mereka. Mereka wajib menunut ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah bagi memenuhi tuntutan rohani ini. Sebagai seorang suami, adalah menjadi tanggungjawabnya mengajar serta mendidik ahli keluarganya bagi mendalami ilmu Islam. Jika dia tidak mampu, maka wajib pula ke atasnya mencarikan guru untuk ahli keluarganya belajar tentang Islam.

Aspek Ekonomi
Pembangunan ekonomi di dalam sesebuah keluarga adalah aspek yang amat penting. Tanpa ekonomi yang baik dan kukuh, agak sukar bagi generasi Islam membangunkan keluarga dan seterusnya negara. Seorang suami perlu mempunyai pekerjaan tetap bagi menyara keluarganya. Jika isteri ingin membantu, maka perlu difikirkan pekerjaan yang sesuai dengan fitrahnya sebagai seorang isteri dan juga ibu.

Aspek Sosial
Keluarga yang diredhai Allah swt akan mempunyai hubungan yang baik dengan ciptaan Allah yang lain seperti saudara mara, sahabat handai, jiran tetangga, haiwan dan persekitarannya. Aspek sosial berkaitan juga bagaimana kita berkomunkasi dengan persekitaran agar ciptaan Allah swt yang lain dapat membantu kita membangunkan keluarga yang barakah.

Ceklist Suami :
*Saya boleh menjadi seorang Imam
*Saya sedang/sudah mendalami ilmu fardhu ain
*Saya boleh membaca al-Qur’an dengan baik
*Saya boleh mendidik isteri dan anak-anak
*Saya mempunyai pekerjaan tetap
*Saya sudah menyediakan

Ceklist Isteri :
*Saya sedang/sudah mendalami ilmu fardhu ain
*Saya boleh membaca al-Qur’an dengan baik
*Saya sudah menutup aurat dengan sempurna
*Saya bersedia membantu suami dari segi ekonomi
*Saya bersedia menjadi seorang mama
*Saya sudah menyediakan Pelan Pembangunan Keluarga Barakah

Renung seketika
Dari Abdullah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Hai para pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah sanggup memikul tanggungjawab berumahtangga, maka kahwinlah! Kerana perkahwinan itu dapat menundukkan mata dan kemaluan (dari dosa). Siapa yang belum sanggup, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat menundukkan nafsu berahi.” (Muslim)

No comments:

Post a Comment