Friday 5 July 2013

Positive Parenting vs Strict Parenting

Teks: Ashikin Hashim
  

Saya petik salah satu pengalaman saya dengan anakanda Wajdi di dalam status Facebook saya.

Kisah Wajdi dan buah tembikai.

Malam ini snek kami adalah buah tembikai. Anakanda Wajdi berlarian ke dapur untuk meminta sepotong. Saya hulurkan satu kepadanya.

Wajdi: Ala...tak nak!!!

Mesti ada yang tidak kena jika dia bersikap begitu. Ambil kira, umur 1 hingga 3 tahun adalah sangat mudah untuk mereka melampias tantrum.

Tanpa banyak tanya (bertanya dalam waktu dia sedang marah adalah sangat tidak sesuai dan dia tidak akan menjawab soalan) saya hulurkan sepotong lagi. Saya buat andaian, samada yang pertama tadi ada biji, tidak sedap atau terlalu kecil potongannya.

Wajdi: Tak nak kacang!

Oh, tidak mahu yang ada biji rupanya.

Semasa dia sudah ok dan berada dalam mood yang baik, saya panggil Wajdi.

Ummi: Wajdi, lain kali Wajdi kena cakap elok-elok. Ummi, Wajdi tak nak yang ada kacang, Ummi.(saya kekalkan 'kacang' supaya dia cepat faham. Selepas ini saya akan betulkan ke 'biji' pula)

Alhamdulillah selepas itu dia meminta dan menolak dengan baik. Tapi benda begini akan berulang dan kita pun mesti mengulang nasihat berkali-kali.

Menurut kajian, anak-anak memerlukan sekurang-kurangnya 200 kali peringatan untuk dia ingat. Bukan sekali dua. Ingatan boleh berbentuk contoh yang baik kepada mereka.

Sesiapa yang mengalami anak-anak yang temper tantrum, bersabarlah. Mereka sedang membina skil komunikasi yang baik.

Perkongsian di atas mendapat respon yang baik daripada sahabat-sahabat saya di facebook. Saya ingin bawa anda semua kepada satu istilah yang kini sedang giat dipopularkan oleh pakar keibubapaan barat, iaitu Positive Parenting.

Apakah yang dimaksudkan dengan Positive Parenting?

Dr Laura Markham, seorang pakar keibubapaan mengatakan bahawa:

Positive parenting - sometimes called positive discipline, gentle guidance that keeps our kids on the right path, offered in a positive way that resists any temptation to be punitive. Studies shows that's what helps kids learn consideration and responsibility and makes for happier kids and parents.

Positive Parenting memberi makna ibu bapa mengendali dan mendidik anak itu dengan cara yang paling baik. Tidak melibatkan pukulan, jeritan, penghinaan dan pelbagai tindakan negatif yang boleh melemahkan anak dan menjadikan anak lebih cenderung untuk mempunyai masalah.

Saya ingin berkongsi pengalaman saya sendiri di sini. Saya pernah mencuba positive parenting kepada anak seperti yang saya ceritakan di atas. Sungguh ia memberikan impak positif kepada saya dan anak. Pernah juga saya melalui pengalaman saya tidak sabar dan memarahi anak. Memarahi sahaja melambatkan proses pemulihan anak tersebut, inikan pula memukul dan menjerit.

Apa pula pandangan Islam tentang Positive Parenting ini? Dr Abdullah Nasih Ulwan, yang lebih dikenali sebagai bapa pendidikan Islam ada menggariskan tentang cara-cara menangani masalah akhlaq dan cara pentarbiyyahan yang terbaik menurut segala sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw. 

Hadith berkenaan kewajipan solat menyatakan bahawa kita dibenarkan memukul anak yang tidak solat pada umur 10 tahun. Ini bermakna cara didikan di bawah umur 10 tahun bukan dengan memukul, merendahkan maruah anak atau mendidik secara negatif tidak diajar oleh Nabi Muhammad saw.

Diceritakan bahawa Nabi Muhmad saw amat berlemah lembut dengan anak-anak kecil dan menyantuni mereka dengan cara yang paling baik. Nabi Muhammad selalu bergurau dan bermain dengan anak-anak kecil terutamanya cucu-cucu baginda Hassan dan Hussin.

Ia disebut di dalam riwayat yang masyhur, Rasulullah pernah lama sekali sujud. dalam solatnya, maka salah seorang sahabat bertanya,” Wahai Rasulullah, sesungguhnya anda lama sekali sujud, hingga kami mengira ada sesuatu kejadian atau anda sedang menerima wahyu. Nabi Muhammad SAW, menjawab, “Tidak ada apa-apa, tetaplah aku di tunggangi oleh cucuku, maka aku tidak mau tergesa-gesa sampai dia puas.” Adapun anak yang di maksud ialah Al-Hasan atau Al-Husain Radhiyallahu Anhuma.

Lihatlah betapa baiknya akhlaq Nabi terhadap anak-anak. Inilah yang disebut oleh bentuk pendidkan terkini sebagai Positive Parenting yang sebenarnya telah pun diajarkan oleh Nabi Muahammad saw. Bagaimana pula kita hendak aplikasikannya di dalam kehidupan kita bersama anak-anak?

Saya berikan satu situasi. 

Seorang anak yang berumur 3 tahun memukul abangnya lalu abangnya menangis. Sebagai seorang ibu, bapa atau pengasuh, apakah yang akan anda lakukan? Tanpa berfikir panjangkita mungkin akan terus memarahi si adik dan mungkin juga pantas memukulnya. Atau mungkin kita tidak langsung respon terhadap perbuatan tersebut sehingga si abang terasa yang dia sudah tidak disayangi lagi da adik boleh melakukan apa sahaja tanpa dimarahi sesiapa.

Mungkin kita boleh pertimbangkan beberapa perkara di bawah:

1. Ketika berlaku perkara sebegini, hentikan dengan segera. Pisahkan adik dan abang supaya pergaduhan tidak melarat. Namun jika masih di tahap biasa, bukan tahap memukul atau mencederakan iaitu sekadar mahu berebut barang, lihat dahulu apa yang bakal berlaku. Biar mereka belajar bagaimana untuk menanganinya sendiri.

2. Dalam keadaan abang yang mungkin kesakitan dipukul adik, kita perlu menenangkan si abang dahulu. Pujuk dan lihat tempat yang sakit. Letak ubat jika perlu. Adik yang memukul tadi pasti sedang memerhati. Biarkan dia. Dia mungkin sedang marah, geram atau tidak puas hati.

3. Apabila abang sudah berhenti menangis, tugas untuk menasihati adik pula. Lihat keadaannya dahulu. Adakah dia masih marah dan cuba cari punca kemarahannya. Kemarahan mungkin disebabkan masalah kominikasi. Mungkin si abang tidak memahami si adik dan si adik marah. Tanya dengan baik kenapa adok melakukan perkara tadi. Ajak dia berbual-bual bukan menyoal siasat.

4. Dengan perlahan-lahan kita tunjukkan cara yang betul untuk bermain. Kita mengajar anak untuk menangani kemarahan dengan cara kita menunjukkan bagaiaman kita mengwndali masalah ini di hadapan merek. Ibu tidak terus marah atau menjerit. Itu sudah menunjukkan petanda baik. Jika kita trtus menkerit untuk menghentikan pergaduhan, maka anak akan menganggap cara itu boleh diterima.

5. Nasihat dan terus nasihat. Ini adalah proses yang berterusan. Nasihat melalui gurau senda dan bercerita. Segera memuji jika anak melakukan sesuatu yang baik. InsyaAllah anak-anak dapat berkelakuan baik.

Anak juga mempunyai hak untuk dihormati. Mereka tidak mahu disakiti dan tidak suka juga kita mejerit kepada mereka. Mereka belajar menghormati dengan melihat bagaimana kita menghormati mereka.

No comments:

Post a Comment