Monday 1 July 2013

Kepentingan Aktiviti Seni dan Kraf Untuk Anak-anak

Teks: Ashikin Hashim

 Anakanda Wajdi 3 tahun 2 bulan

Pernahkah anda melihat anak-anak anda mewarna, melukis, menampal, menggunting atau pun mencantum? Bagaimana rupa mereka pada ketika itu? Anda pasti dapat melihat betapa fokusnya mereka ketika mereka mahu mewarna agar ia tidak keluar dari garisan atau mencampurkan warna kegemaran mereka agar ianya nampak cantik dan menarik. Sungguh bebas mereka waktu itu!

Aktiviti seni dan kraf adalah salah satu aktiviti yang baik dan berfaedah untuk anak-anak. Mereka akan berfikir dan berimaginasi tentang apakah kraf yang akan mereka lakukan dan ini akan meningkatkan daya kreativiti mereka. Bukan itu sahaja! Banyak lagi yang mereka belajar dari aktiviti sebegini.

Ada yang tidak pernah pun membenarkan anak-anak mewarna menggunakan warna air dan bebas melukis di atas kertas. Ibu bapa mungkin khuatir anak-anak akan membuat sepah. Namun bukankah kita boleh masukkan nilai-nilai murni seperti mengemas selepas menggunakannya dan menjadikannya syarat jika mahu menggunakan warna air. Berikut adalah kebaikan yang diperolehi daripada aktiviti seni dan kraf:

1. Skil Komunikasi. Ketika anak melukis atau mewarna, mereka pasti akan berkomunikasi dengan orang sekelilingnya bagi membantunya melaksanakan aktiviti tersebut. Mereka akan menyebut warna yang akan digunakan, menyatakan bentuk yang akan dilukis atau pun memberikan idea di manakah akan digantung lukisannya kelak. Mereka juga akan bertanya adakah lukisan mereka cantik kepada kita. Itu semua melibatkan skil komunikasi. Nyata sekali aktiviti sebegini merangsang anak-anak berkomunikasi dan menambah kosa kata mereka.

2. Skil sosial dan emosi. Apakah kaitan aktiviti aktiviti sebegini dengan skil emosi dan sosialnya? Lihat bagaimana anak kita berkongsi warna bersama adik beradik dan kawan-kawannya. Mereka akan berkomunikasi sesama mereka dan belajar sabar ketika menunggu giliran. Kadang kala mereka akan rasa kecewa kerana lukisan mereka dikatakan tidak cantik oleh kawan-kawan atau mungkin mereka sangat gembira ketika dipuji oleh ibu kerana mewarna dengan baik. Ini semua melatih emosi anak dan membuatkan mereka cepat matang.

3. Skil menyelesaikan masalah. Apabila mereka melakukan aktiviti kraf, pelbagai idea yang datang menerjah ke dalam fikiran mereka. Apa yang saya hendak buat? Apa warna yang catik untuk buah epal ini? Bagaimana saya mahu menjadikan ia bertambah menarik? Mereka akan mencuba cara yang terbaik atau pun mencari idea baru untuk menjadikan kraf mereka cantik dan menarik.

4. Skil motor halus. Aktiviti seni dan kraf sangat penting bagi meningkatkan skil motor halusnya. Memegang benda kecil dan halus, menggunting, menampal antara latihan yang dapat melatih skil motor halusnya. Ini sangat penting kerana jika otot-otot kecil seperti di jari tidak digerakkan dan dilatih, anak akan sukar membuat aktiviti seperti menulis, mewarna atau membutang baju.



 Lihatlah betapa fokusnya Wajdi mewarna!


 5. Fokus. Aktiviti sebegini dapat melatih anak-anak untuk fokus dengan lebih lama lagi. Ini penting bagi meningkatkan daya tumpuannya terutama apabila mereka sudah melangkah ke alam persekolahan nanti.

6. Ekspesi diri dan kreativiti. Hebatnya seni dan kraf ini, kita dapat melihat emosi dan ekspresi anak pada waktu tersebut. Mereka melukis wajah ayah dan ibu kerana rindu yang teramat sangat atau melukis suasana kampung kerana ingin pulang ke kampung.

7. Mengeratkan hubungan. Luangkanlah masa bersama-sama anak-anak. Mereka pasti gembira jika kita dapat bersama-sama mereka melukis dan mewarna. Rasakan kebebasan serta keseronokan ini dan pasti mereka akan berkongsi dengan kawan-kawan bahawa ibu bapa mereka adalah yang paling 'cool' di dunia!

8. Tip mengurangkan aktiviti tidak berfaedah. Ada yang bertanya, bagaimana untuk mengurangkan aktiviti menonton televisyen atau bermain permainan video. Inilah solusinya. Adakan aktiviti kraf ini bersama mereka. mereka pasti tolak televisyen dan gajet yang lain ke tepi.



Inilah hasil kerja Wajdi!

Tunggu apa lagi duhai ibu bapa yang budiman. Rancanglah aktiviti ini sekurang-kurangnya sebulan sekali. Beli dan kumpul segala peralatan dan bahan. Kongsi kegembiraan dan rapatkan hubungan dengan anak-anak. Selamat berbahagia!

Semoga kita disayang Allah.

1 comment:

  1. Salam puan...saya ada anak yg usianya 3 tahun 4 bulan..sekarang dia suka sangat tengok utube, dulu upin ipin sekarang dah tak suka, lebih kepada ultraman, spiderman,ironman..ada juga beraktiviti seperti di atas tapi sekejap saja,,kemudian dia akn kembali tengok utube. mcm na ye nak bagi kurangkan atau tak tgk langsung..
    rumah saya takde tv.
    terimakasih

    ReplyDelete