Showing posts with label 1. Kepentingan Pendidikan Awal Anak. Show all posts
Showing posts with label 1. Kepentingan Pendidikan Awal Anak. Show all posts

Friday, 27 September 2013

Apakah Pendidikan Awal Kanak-kanak?

Teks: Ashikin Hashim

Foto: Google


Tahun-tahun pertama adalah sangat penting


Pendidikan awal kanak-kanak adalah pendidikan formal yang diberikan kepada anak-anak yang berumur di bawah umur 8 tahun (definisi yang diberikan oleh National Association for the Education of Young Children). Dalam fasa ini, kanak-kanak biasanya belajar dengan cara bermain kerana kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak belajar dengan efisen melalui permainan.

Dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) menyatakan 'pendidikan prasekolah' (preschool education) bermaksud program pendidikan untuk kanak-kanak berumur dari empat hingga enam tahun. 'Tadika' (kindergarten) bermaksud tempat di mana menempatkan sejumlah kanak-kanak pendidikan prasekolah seramai sepuluh atau lebih. Manakala 'taska' (nursery) merujuk kepada Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) bermaksud program pendidikan untuk kanak-kanak di bawah umur empat tahun iaitu bermula dari lahir hingga empat tahun.

Walaupun ianya disebutkan sebagai pendidikan formal, tetapi para penyelidik di dalam pendidikan awal kanak-kanak percaya bahawa ibubapa adalah pendidik yang paling baik dan utama dalam fasa ini. Walaupun kebanyakan ibubapa menghantar anak ke tadika atau pusat jagaan mahupun pusat perkembangan anak-anak, namun adalah penting bagi ibubapa berperanan dalam pendidikan awal kanak-kanak ini.

Tahun-tahun pertama kanak-kanak adalah fasa kritikal kerana ketika inilah mereka belajar tentang pelbagai perkara dan mudah untuk dididik. Menurut kajian, kanak-kanak yang tidak mendapat didikan yang sewajarnya ketika tahun-tahun pertama ini akan ketinggalan apabila dia melangkah masuk ke alam persekolahan yang sebenar.

Pendidikan awal kanak-kanak tidaklah terikat kepada pendidikan di tadika sahaja, ianya merangkumi banyak cara dan sumber, seperti home-based ataupun school-based.

Apakah yang menentukan keberkesanan pendidikan awal kanak-kanak ini?

1. Kesedaran yang tinggi daripada ibubapa itu sendiri. Mereka tahu akan peri pentingnya pendidikan awal kanak-kanak ini dan berusaha untuk memberikan pendidikan awal yang terbaik untuk anak-anak.

2. Jika anak-anak dihantar ke mana-mana sekolah atau pusat perkembangan kanak-kanak, guru yang mendidik adalah guru yang berkualiti dan tahu tentang peri pentingnya pendidikan awal kanak-kanak ini.

3. Ibubapa adalah guru pertama bagi anak-anak. Setiap apa yang dilakukan oleh anak-anak memerlukan penglibatan ibubapa. Dan ianya adalah proses yang berterusan samada di sekolah mahupun di rumah.

Semoga kita dapat memberikan yang terbaik buat anak-anak demi menjamin masa depan yang baik untuk mereka.

Moga kita disayang Allah

Hubungi Ashikin Hashim untuk jemputan ceramah/motivasi pendidikan awal kanak-kanak untuk ibubapa dan guru tadika di 0193354522

Monday, 17 June 2013

Cara Merangsang Otak Bayi




Teks: Ashikin Hashim


Tahukah anda bahaya otak seorang bayi mempunyai berbilion neuron? Pada tahun pertama kelahirannya, otak seorang bayi telah menghubungkan trillion rangkaian pada sel otaknya. Subhanallah. Sebagai ibu bapa, kita tidak mahu, billion neuron ini akan hilang sedikit demi sedikit tanpa sebarang rangsangan terhadapnya.

Ada beberapa cara untuk kita merangsang perkembangan otak seorang bayi. Antaranya:

1. Amalkan cara hidup sihat sejak anak dalam kandungan lagi. Ibu yang sedang mengandung, amalkanlah pemakanan yang seimbang dan berkhasiat. Ini permulaan bagi melahirkan anak yang sihat.

2. Selalulah berkomunikasi dengan bayi anda. Respon kepada setiap bunyi yang dihasilkannya seperti berkata, 'Cantiknya anak Ummi ', ' Anak Ummi yang soleh' dan sebagainya.

3. Bermain dengan bayi anda. Seorang bayi secara semulajadinya membesar dan mengenali orang serta keadaan sekelilingnya dengan bermain.

4. Biasakan bayi dengan buku yang bersesuaian saiz dan rupa bentuknya dan juga warnanya.

5. Beri respon ketika bayi menangis. Ketika bayi menangis, pujuklah dengan mesra dan lembut.

6. Beri permainan yang bersesuaian dengan bayi. Banyak kini di pasaran permainan yang boleh merangsang minda seorang bayi.

7. Urutan badan. Urutan badan yang lembut dapat memberikan rangsangan kepada bayi. Bayi pra matang yang diurut akan lebih sihat berbanding dengan bayi yang tidak diurut.

8. Menyanyi bersama anak. Jadilah ibu yang periang dan selalu bahagia ketika di samping bayi anda. menyanyi bersamanya akan membuatkan bayi anda cepat belajar untuk bercakap dan berasa selamat dengan keadaannya ketika itu.

9. Waktu makan dan rehat yang positif. Alamilah waktu makan atau menyusu yang positif bukan dalam keadaan yang tertekan. Ketika bayi anda berehat, pasangkan muzik yang menenangkan atau bacaan ayat suci al-Quran.

Wednesday, 22 May 2013

Kepentingan Bermain dan Pendidikan Awal Anak

Teks: Ashikin Hashim





Assalamu'alaikum wrt wbt


Salam Kasih sayang...

Anak anda seorang yang aktif? Anak anda sering bermain? Pantang nampak bola, lori dan kereta mainan? Atau dia akan ralit bermain puzzle atau lego? Anda dapat lihat apa perkembangan dan pelajaran yang dia dapat daripada bermain? Atau anda rasa dia sekadar bermain dan membuang masa dan juga membuat sepah di rumah? Saya bongkarkan rahsia bermain di sini :)

Biasa dengar dialog begini?

“ Ya Allah, siapa buat sampai jadi macam ni???? “
 “ Subhanallah, apa nak jadi kamu ni. Tak boleh duduk diam ke??? “
 “ Apa yang degil sangat ni? Mak pukul nanti! “

Itulah dialog yang sering bermain di bibir ibu bapa yang kurang tahan dengan kerenah anak-anak. Terduga juga dengan ‘kelasakan’ dan ‘keaktifan’ mereka. Tidak cukup dengan mulut, kadang-kadang tangan juga yang sampai ke peha dan lengan anak, dengan tujuan agar yang nakal menjadi baik semula.
Saya termenung seketika. Mengingati dan muhassabah diri sendiri. Saya akui bukan mudah mendidik dan mengasuh anak-anak. Allah telah mengurniakan kita anak yang menjadi amanah yang akbar. Di akhirat nanti pasti Allah persoalkan, adakah amanah yang kita pikul ini, kita jaga dan didik dengan sebaik-baiknya.

Melihat ke wajah Wafi, Wasim dan Wajdi, benar-benar membuatkan saya terfikir. Kadang-kadang nasi bertaburan ketika makan. Minum pun sering kali tertumpah ke lantai. Barang permainan pasti sudah tidak sesempurna seperti ketika mula-mula dibeli. Ada yang hilang tayar, ada yang dilekat dengan permainan yang lain dan macam-macam lagi.

Saya termenung. Berfikir seketika. Iklan Milo dengan tagline ‘Play More, Learn More’ sangat sinonim dengan kanak-kanak.




 Semalam anakanda Wajdi minta diberikan kuih raya Almond London yang masih berbaki. Sangka saya dia akan makan, namun dia lebih suka untuk memicit dan memecahkannya kepada bentuk yang lebih kecil. Itu telah membuatkannya fokus dan ralit bermain sendiri. Mungkin dia sedang ‘bereksperimen’, merasa strukturnya dan ingin tahu apa akan terjadi kepada kuih itu.

Perlukah kita terjerit-jerit memarahinya semata-mata tidak mahu melihat lantai kotor. Membersihkannya tentu memenatkan walaupun ianya tidaklah seteruk mana. Saya cuba mewajarkan. Memandang ke sisi yang lebih positif. Daripada kita bertegang urat memarahi anak, apa kata kali ini kita mendekatinya. Kita teroka dunianya.


“ Sayang, main apa tu….kuih ni lembut. Kalau kita picit, nanti kuih ni berterabur, tak boleh makan. Apa kata, kita kemas sama-sama nak? “

Alangkah indahnya jika kita sebagai khalifah Allah, memandang setiap yang tertaklif sebagai ibadah. Pasti kita tidak akan rasa tertekan dengan kerenah anak-anak. Malahan, keaktifannya itu boleh dijadikan bahan pengajaran berguna buatnya.

Sabda Rasulullah s.a.w. "Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun.” Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)" dimana yang nak dipukul tu? Tapak kakinya... .. bukan muka, punggung, telinga dan ditempat-tempat yang sensitif... . itu salah...

Apakah kebaikan bermain untuk anak?

1. Dengan bermain, mereka akan melompat, berlari, melutut, merangkak, memanjat, mengelungsur dan sebagainya. Ini melatih skil motor kasarnya dan sangat penting bagi perkembangan fizikal serta mental anak. Dengan menggerakkan semua anggota badannya, mereka dapat menggerakkan pula otot-otot kecil mereka.

2. Bermain dapat membina otot-otot kecil seperti di jari jemari anak. Aktiviti seperti mengutip benda kecil, memasukkan benda kecil ke dalam lubang, menyusun, membina blok dapat mengaktifkan jari mereka. Ini dapat membantu anak untuk cepat menulis.

3. Bermain juga dapat melatih anak untuk berkomunikasi dengan orang lain. Mereka akan belajar berkawan, menunggu giliran, mengucapkan terima kasih, meminta maaf dan sebagainya.

4.  Selain daripada itu juga, anak akan belajar mengawal emosinya. Dia akan tahu apa itu marah, kecewa, gembira, sedih, kasihan dan sebagainya.

Ini semua mereka belajar secara tidak formal di rumah mahu pun di luar rumah. Guru mereka andalah kita iaitu ibu bapa mereka sendiri.

Cuba renung-renungkan…ramai yang boleh menjaga anak, namun tidak ramai yang dapat mentarbiyyah mereka dengan nilai-nilai iman dan taqwa yang luhur. Wallahua’lam.

Moga ada sedikit manfaat dari secebis pengalaman.

Wassalam.