Sunday 3 March 2019

Anak Ketagih Gajet? Bagaimana Nak Bantu?

Assalamu'alaikum wrt wbt


Setiap kali saya berjumpa dengan peserta ceramah, program, ibu bapa tadika dan kawan-kawan saya, soalan wajib yang pasti ditanya ialah " Teacher Shikin bagi tak anak main telefon? "

Jika saya kata saya tak bagi pasti sahaja ada yang tidak percaya kan?

Ya. Saya beri anak saya telefon untuk Wafi (14 tahun) dan Wasim (12 tahun). Itu pun baru tahun ini. Selama 14 tahun baru saya dan suami membenarkan setelah yakin anak-anak memahami peraturan yang kami kenakan.

Saya hanya memberikan telefon kepada Wafi dan Wasim pada hari cuti sahaja iaitu Sabtu Ahad dan cuti sekolah sahaja. Alhamdulillah mereka mematuhi peraturan ini.

Apakah yang kita mesti tahu berkenaan gajet supaya anak tidak ketagihan?

1. Jangan beri gajet kepada anak yang berumur 2 tahun ke bawah. Umur begini anak-anak perlukan rangsang secara langsung daripada kita sebagai ibu bapa.

2. Jangan beri gajet lebih dari 2 jam sehari. Selain daripada tidak bagus untuk kemahiran sosial anak, mata anak juga akan terjejas.

3. Kita mesti tegas. Siapa yang menetapkan peraturan? Tentu sahaja kita sebagai ibu bapa. Tentukan peraturan supaya anak tidak ketagih gajet. Contohnya benarkan anak bergajet hanya pada hari Sabtu Ahad sahaja.

4. Jangan biarkan anak bergajet tanpa komunikasi dan interaksi. Jangan biarkan anak menonton youtube dalam satu hala contohnya.  Tetapi kita juga terlibat supaya anak mendapat manfaat.

5. Tetapkan waktu tanpa gajet contohnya waktu makan, waktu tidur.

6. Jika anak mengamuk, kita mesti tegas dan keras hati. Mungkin kita hanya bagi ketika bateri tinggal sedikit atau tutup data telefon. Dan gantikan dengan membuat aktiviti bersama-sama.

7. Jangan larang sahaja tapi kita kena beri alternatif. Gantikan gajet dengan aktiviti seperti melukis, mewarna, main lego dan sebagainya.

Apa akan jadi jika anak ketagih gajet:

1. Anak mungkin lewat bercakap

2. Anak mungkin tidak bersosial

3. Anak mungkin lewat membaca sebab lewat bercakap

4. Anak akan tidur dan bangun lambat

5. Anak tidak fokus

Berikut adalah aktiviti yang boleh bantu anak kita supaya tidak ketagih gajet:

1. Main basikal/skuter

2. Main di padang permainan

3. Melukis

4. Mewarna

5. Basuh kereta dengan ayah

6. Main bola

7. Masak dengan mama

8. Beli barang dapur bersama

9. Main air/berenang

10. Buat buku scrap

Kesimpulannya, tak salah nak beri anak gajet tapi kita jika berlebihan ianya akan memberi mudarat kepada anak. 

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua. 

Ashikin Hashim


Kebaikan Bercerita

Assalamu'alaikum wrt wbt

Salam Isnin yang ceria dan produktif.





Hari ini saya mahu berkongsi berkenaan kebaikan bercerita. Saya suka mempromosi dan menggalakkan ibu bapa untuk bercerita dengan anak-anak kerana bercerita ini akan membantu anak-anak dalam proses belajar membaca. 

Jika di tadika saya, sekali sekala saya akan mengambil kesempatan untuk bercerita dengan anak-anak di sana. Dan percayalah, anak yang bising akan jadi senyap dan fokus bila seorang guru atau ibu bapa mula bercerita. Bagus kan? 



Dalam dunia gajet yang serba canggih sekarang ini, ramai ibu bapa yang memandang sepi tentang kepentingan bercerita kepada anak-anak. Anak-anak telah lebih dahulu dijajah oleh kehebatan visual gajet terkini seperti PSP dan Ipad. Hilang sudah komunikasi dua hala antara ahli di dalam keluarga.



Tahukah anda bahawa bercerita itu banyak kebaikan dan faedahnya kepada anak-anak. Cubalah ajak mereka duduk di sebelah dan di ribaan anda, pasti sahaja mereka tidak sabar mendengar cerita hebat anda. Mereka akan mula berimaginasi dan mula bertanya pelbagai soalan.  Bercerita dapat mengalirkan emosi dan perasaan kepada yang mendengarnya.

Berikut adalah kebaikan bercerita kepada anak-anak:

1. Bercerita adalah salah satu cara atau teknik pembelajaran yang berkesan. Contohnya, dengan bercerita, kita dapat memperkenalkan nombor dan huruf. Ini dapat menarik perhatian serta memudahkan pembelajaran anak-anak.

2. Bercerita dapat meningkatkan ilmu pengetahuan anak-anak. Melalui bercerita semakin cepat anak-anak menyerap masuk ilmu dan informasi kerana ia disampaikan dengan gaya dan bersahaja. Anak-anak akan mudah faham berbanding membaca.

3. Bercerita bagi anak-anak yang berumur 6 tahun ke bawah, amat membantu mereka memahami sesuatu. Dalam umur begini kebanyakannya masih lemah atau tidak tahu membaca. Jadi dengan bercerita, mereka akan tahu dan faham.

4. Bercerita dapat menambah kosa atau perbendaharaan kata anak. Kadang-kadang kita terkejut bagaimana seseorang anak itu boleh bercakap dengan perkataan yang tidak pernah dia jumpa di dalam buku. Apabila kosa kata bertambah, maka mereka akan lebih yakin untuk berkomunikasi.



5. Bercerita dalam melatih skil pendengaran mereka dengan lebih baik lagi.

6. Bercerita dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan antara kita dan anak-anak.

Pengalaman saya, bercerita memudahkan saya untuk mengawal mereka. Mengapa saya katakan begitu? Sebagai contohnya, jika saya mahu pergi membeli belah bersama anak-anak, saya mahu mereka berkelakuan baik ketika di kompleks membeli belah nanti. Bagaimana saya ingin sampaikan mesej tersebut? Tentulah dengan bercerita. Saya sudah praktikkan dan ianya sangat berkesan.

Lapangkan waktu anda untuk duduk bersama mereka. Usah biarkan gajet mengambil alih tugas anda sebagai ibu dan bapa. Waktu muda mereka ini hanya datang sekali sahaja. Maka manfaatkan sebaiknya.

Moga kita disayang Allah

Ashikin Hashim

* Mencari buku untuk bercerita? Saya cadangkan buku ini yang sangat menarik dan bagus untuk anak-anak.



Siri Mari Mengenal Allah ini mempunyai 5 buah buku. Sangat sesuai untuk dibcakan untuk anak atau pun sesuai untuk anak yang baru berlajar membaca. Klik di sini untuk membeli www.wasap.my/60193354522/bukuceritakenalAllah

Friday 1 March 2019

8 Aktiviti Ajar Baca Selain Guna Buku

Assalamu'alaikum wrt wbt

Tulisan Wajdi ketika berusia 5 tahun


Salam hujung minggu yang membahagiakan inshaAllah.

Hari ini saya nak kongsikan 5 aktiviti rangsang minda untuk anak 3 hingga 6 tahun. Aktiviti ini boleh membantu anak kita di dalam proses pembacaannya. Proses membaca adalah satu proses yang panjang dan kompleks. Jadi kita sebagai ibu bapa harus bijak melakukan aktiviti yang menarik dan merangsang minda mereka. Tidak hanya menggunakan buku.

Selamat beraktiviti dengan anak!

Related image


Aktiviti 1
Finger Paint

Bahan-bahan yang diperlukan:

Warna air
Kertas A4 atau Kertas Lukisan
Kad Imbas suku kata - contohnya 'ba'

Cara melakukan aktiviti ini:

1. Terangkan kepada anak tentang aktiviti yang akan dilakukan.

2. Sediakan barang-barang seperti yang dinyatakan.

3. Sebutkan dulu suku kata 'ba' kepada anak

4. Minta anak ulang beberapa kali

5. Minta anak menulis suku kata tersebut dengan menggunkan warna air

Manfaat aktiviti ini:

Kita tidak hanya menumpukan kepada penggunaan buku untuk mengajar anak membaca. Nampak macam lambat kan? Kena buat semua suku kata dengan cara ini? Tidak. Ini hanyalah aktiviti yang membantu anak-anak untuk tidak cepat bosan. Kita bantu anak-anak untuk jadi lebih aktif dan kreatif. Kita juga melibatkan 3 cara pembelajaran yang baik iaitu MELIHAT, MENDENGAR dan juga BERGERAK.

Aktiviti 2
Teng Teng Suku Kata

Bahan-bahan yang diperlukan:

Teng teng suku kata
Kad imbas suku kata
Papan putih bersaiz kecil

Cara melakukan aktiviti ini:

1. Terangkan kepada anak aktiviti yang akan dilakukan

2. Letakkan kad imbas suku kata di dalam kotak teng teng

3. Minta anak melompat ke dalam suku kata yang disebutkan

4. Minta anak ambil kad suku kata tersebut dan tulis di atas papan putih

5. Sebut suku kata 3 kali

Manfaat aktiviti ini:

Anak pasti menyukai aktiviti ini kerana dia dapat melompat! Dalam masa yang sama dia melihat dan mendengar suku kata yang ditunjuk dan disebutkan. Kemudian anak dilatih untuk menulis. Melompat melatih pergerakan moto kasar anak dan menulis melatih pergerakan moto halus.

Aktiviti 3
Snap snap Suku Kata

Bahan-bahan yang diperlukan:

1.  Telefon berkamera/kamera lama

2. Kad imbas suku kata

3. Papan putih bersaiz kecil

Cara melakukan aktiviti ini:

1. Terangkan kepada anak tentang aktiviti ini.
2. Lekatkan kad imbas suku kata di beberapa tempat di rumah. seperti di sofa, dinding, peti sejuk.

3. Tunjuk suku kata di dalam buku - contonya 'ni'. Anak sebut 3 kali.

4. Berikan anak kamera dan minta anak cari dan ambil gambar suku kata 'ni'

5. Minta anak tunjukkan kepada kita gambar yang diambil.

6. Tulis suku kata tersebut di papan putih.

Manfaat aktiviti ini:

Bayangkan perasaan anak apabila kita buat aktiviti ini. Kita telah memberi isyarat bahawa - jadilah aktif dan kreatif. Anak akan bergerak-gerak mencari suku kata yang disebutkan. Ini akan membuka ruang dan peluang untuk di teroka. Selama ini kita hanya beri dia buku untuk belajar suku kata. walhal ada banyak cara untuk menjadikan pembelajaran ini menarik dan tidak membosankan. Anak akan ingat dengan cara yang lebih baik, inshaAllah!

Menarik tak ibu-ibu? Saya yakin ibu-ibu dapat memikirkan aktiviti lain yang lebih kretif dan dapat menarik minat anak-anak.

Aktiviti 4
Tepung Suku Kata

Bahan-bahan yang diperlukan:

Dulang
Tepung/Garam
Kad imbas

Cara melakukan aktiviti ini:

1. Terangkan kepada anak apa yang ingin dilakukan

2. Sediakan bahan seperti di atas bersama-sama anak

3. Tunjukkan kepada anak kad imbas suku kata. Contohnya 'ca'

4. Minta anak sebut suku kata tersebut. Ulang 3 kali

5. Minta anak sebut perkataan yang mempunyai suku kata 'ca' contohnya 'cari', 'cawan', 'cabut'

6. Minta anak menulis suku kata tersebut di atas tepung atau garam

7. Jika anak masih tidak mahir, ibu pegang tangan anak dan lakukan bersama sambil menyebut suku kata tersebut.

8. Ulangi langkah dengan menggunakan suku kata yang lain.

Manfaat dari aktiviti ini:

Anak pasti menyukai aktiviti ini kerana anak bukan sahaja belajar membaca melalui kad imbas tetapi dia dapat melakukan aktiviti sensori. Ini sangat baik untuk perkembangan sensorinya kerana dia dapat merasai tekstur tepung atau garam. Ini dapat merangsang sensorinya.

Aktiviti 5
Kolam Suku Kata

Bahan yang diperlukan:

Kolam atau besen atau baldi
Bola plastik bersaiz kecil - tuliskan suku kata di atas bola
Jaring ikan saiz kecil
Kad imbas

Cara melakukan aktiviti ini:

1. Terangkan kepada anak apa aktiviti pada hari tersebut

2. Sediakan bahan sepeti di atas.

3. Isikan kolam dengan air dan letakkan bola suku kata ke dalam lubang tersebut

4. Tunjukkan kad imbas kepada anak - contohnya 'ha' dan minta anak sebut sebanyak 3 kali

5. Minta anak menangkap bola suku kata dengan menggunakan jaring

6. Minta anak sebutkan lagi suku kata yang telah ditangkap

Manfaat dari aktiviti ini:

Aktiviti air adalah aktiviti yang paling digemari oleh anak-anak. Banyak perkembangan anak yang akan terlibat apabila melakukan aktiviti ini iaitu perkembangan motor kasar dan halusnya, perkembangan bahasanya, perkembangan pendengaranya dan juga perkembangan penglihatannya. Yang paling ketara di dalam aktiviti ini adalah kita dapat melatih anak untuk fokus kepada sesuatu.

Aktiviti 6
Rumah Suku Kata

Bahan yang diperlukan:
1. Kad Imbas suku kata contohnya 'ba', 'ca', 'da', 'fa'.
2. Barang-barang di dalam rumah.

Cara melakukan aktiviti ini:

1. Terangkan kepada anak tentang aktiviti ini
2. Minta anak sebutkan suku kata yang ditunjukkan
3. Minta anak mencari barang di rumah yang mempunyai suku kata yang disebutkan tadi. Contohnya 'ba'. Antara contoh barang adalah 'baju'.
4. Anak diminta melekatkan suku kata tersebut pada barang yang berkenaan.
5. Kemudian anak diminta menulis suku kata tadi di atas papan putih kecil.
6. Tunjukkan beberapa kad imbas untuk disambungkan dengan kad imbas yang pertama tadi. Contohnya 'ja', 'ji', 'ju'. Minta anak cari sambungannya.
7. Tulis suku kata yang lengkap di atas papan putih.

Manfaat dari aktiviti ini:

Aktiviti ini agak mencabar. Tetapi tetap mementingkan aktiviti yang menyeronokkan untuk anak-anak. Anak akan banyak berfikir dan bergerak ketika melakukan aktiviti ini. Dalam masa yang sama anak dapat mengingati suku kata dengan lebih baik.

Aktiviti 7
Botol Suku Kata

Bahan yang diperlukan:

1. Botol mineral kecil - labelkan tutup botol dengan suku kata. Begitu juga badan botol.
2. Kad imbas suku kata
3. Papan putih bersaiz kecil

Cara melakukan aktiviti ini:

1. Terangkan kepada anak aktiviti yang akan dilakukan.
2. Minta anak untuk menyebut suku kata yang ditunjukkan dari kad imbas - ba dan ca
3. Anak mencari gandingan suku kata yang ditunjukkan tadi. Contohnya badan botol mempunyai suku kata ba dan tutup botol suku kata ca.
4. Anak menutup botol dengan suku kata gabungan yang betul.
5. Menulis gabungan suku kata ke atas papan putih.

Manfaat dari aktiviti ini:

Aktiviti ada aktiviti mengembangkan motor halus iaitu menutup dan membuka tutup botol. Anak juga melihat mendengar dan bergerak. Semoga dengan aktiviti yang menarik ini akan membuatkan anak lebih mengingati serta memahami suku kata. 

Aktiviti 8
Blok Suku Kata

Bahan yang digunakan:

1. Blok kayu yang telah ditulis suku kata

2. Kad Imbas suku kata. 

3. Papan putih bersaiz kecil

Cara melakukan aktiviti ini:

1. Terangkan kepada anak aktiviti yang akan dilakukan. 

2. Minta anak menyebut suku kata yang ditunjukkan dari kad imbas - gabungkan dua suku kata. Contohnya baju. 

3. Minta anak mencari blok suku kata yang berkenaan. 

4. Minta anak tulis perkataan tersebut di atas papan putih. 

Manfaat dari aktiviti ini:

Anak akan menjadi aktif dan kreatif apabila melakukan aktiviti ini kerana kita telah menggunakan kaedah selain buku. Terdapat pelbagai cara untuk kita merangsang minda anak walaupun kita mengajar anak membaca. 

Selamat mendidik dengan kasih sayang :)

Ashkin Hashim


Flip Card Iqra'







Flip Card Iqra' yang menarik ini sangat sesuai untuk pembelajaran Iqra' yang lebih efektif.

Whatsapp di www.wasap.my/60193354522/flipcardiqra

Thursday 28 February 2019

Buku Adik Bijak Baca


Buku 1: 
Memperkenalkan vokal a, i dan u serta konsonan.
Penguasaan gabungan konsonan dan vokal dua suku kata.

Buku 2: 
Memperkenalkan dua suku kata pengukuhan, vokal o dan e. 
Memperkenalkan perkataan mudah (suku kata terbuka) dan ayat ringkas.

Buku 3: 
Memperkenalkan penguasaan vokal dan konsonan yang paling kerap digunakan.

Buku 4: 
Memperkenalkan penguasaan vokal dan konsonan yang paling kerap digunakan dalam BM.
Pengukuhan Buku 1 - 3.
Banyak penguasaan tambahan yang menarik untuk kanak-kanak mempelajarinya.

Penggunaan huruf besar hanya diperkenalkan pada Buku 4.

Buku 1: 37 mukasurat
Buku 2: 25 mukasurat
Buku 3: 26 mukasurat
Buku 4: 28 mukasurat
Buku Panduan: 20 mukasurat

Harga RM35

Untuk membeli set buku ini, boleh whatsapp ke www.wasap.my/60193354522/adikbijakbaca


Ajar Baca Bukan Dengan Buku Sahaja

Tip Peringkat Awal Membaca | Bukan Dengan Buku???



Biar benar Teacher Ashikin. Kalau tak guna buku macam mana nak pandai baca ya?

Di sinilah silap kita. Kita sangka nak anak pandai baca buku, kita ajar dia membaca hanya dengan guna buku. Ini silap besar.

Apa akan berlaku bila kita hanya guna buku sahaja?

1. Anak akan dikatakan cepat BOSAN.

2. Anak akan dikatakan asyik MAIN.

3. Anak akan dikatakan LAMBAT belajar.

Ini adalah tuduhan yang tidak adil kepada seorang anak kecil.

Buku bukanlah semata-mata sumber yang kita ada untuk mengajar anak membaca.

Anak belajar melalui bermain. Dan melalui bermain itulah sebenarnya dia boleh membaca. Bagaimana ya?

Mari saya bantu anda. Sebelum nak anak pandai baca, kena ada SYARAT dulu. Apakah ia?

1. Jangan GOPOH atau tergesa-gesa nak anak pandai baca. Anak kita bukan ROBOT. Mereka manusia biasa yang perlukan ruang dan masa untuk belajar.

2. Jangan BANDING kan anak kita dengan anak orang lain. Sedangkan di kalangan adik beradik pun dah berlainan inikan pula anak jiran. Anak kita punya upaya dan kekuatannya yang tersendiri. Jadi, BANTU lah mereka.

3. Jangan TAK TAHU bahawa membaca ini adalah satu proses. Ia bukan berlaku secara tiba-tiba atau anak lahir terus pandai. Ia juga tidak berlaku dengan pantas saat anak masuk tadika. Proses ini panjang dan kompleks. Berlainan mengikut keupayaan anak. Maka BERSABARLAH.

4. Jangan INGAT tadika anak tempat SEPATUTNYA anak pandai baca. Guru hanya pemudah cara tetapi IBU BAPA lah guru PERTAMA dan RUMAH pula sekolah UTAMA. Jadi proses membaca seharusnya bermula dari Rumah.

5. Jangan LUPA siapa yang bagi kita pandai? Ya...ALLAH. Setelah kita berhempas pulas nak pandaikan anak, yang bagi pandai sebenarnya bukan kita tapi ALLAH. Kita minta kepada Allah supaya diberikan kita kekuatan dan ilmu dalam mendidik anak kita. Jika anak kita punya masalah, bawalah kepada yang pakar.

Baik. Ini langkah-langkah yang perlu kita ambil dan mulakan seawal mungkin jika mahu anak ON TRACK. Maksudnya bukan nak minta anak pandai baca umur 2 atau 3 tahun ya. 

Jika 6 tahun atau darjah 1 pun masih BELUM LANCAR, ia masih belum dikira LAMBAT.

Anak saya yang pertama boleh membaca pada umur 4 tahun. Yang kedua pada umur 5 tahun tapi yang ketiga hanya lancar pada umur 7 tahun. Namun mereka kini berada pada tahap ilmu dan keupayaan yang baik mengikut umur mereka.

Saya pernah bertanya kepada seorang OCCUPATIONAL THERAPIST, pada umur berapakah kita perlu risau jika anak masih belum tahu membaca langsung? Beliau berkata pada hujung tahun DARJAH 1.

Jadi, jika anak sekarang baru 4 tahun dan masih belum tahu membaca, ITU NORMAL.

Jika anak sekarang 5 tahun dan masih belum tahu membaca, ini juga masih NORMAL.

Jika anak sekarang 6 tahun dan masih belum lancar membaca, ini juga NORMAL.

Cuma bila anda atau guru mereka mendapati yang anak anda perlukan pemeriksaan pakar kerana sebab-sebab kesihatan dan masalah pembelajaran contohnya, bawalah berjumpa pakar.

Jom kita mula ajar anak membaca cara santai dan tidak STRES.

✔️Mulakan dari bayi lagi. Bagaimana? KOMUNIKASI DAN INTERAKSI dengan anak. Jangan mulakan dengan SKRIN. Maksudnya jangan perkenalkan GAJET. Belum tiba masa.

✔️Ajar anak membaca bukan hanya dengan tunjuk buku semata-mata. Bila kita sempitkan skop membaca hanya dengan buku maka kita tak banyak dapat nak bantu anak kita. Sebenarnya banyak sangat sumber yang boleh bantu dia. Seperti BERCERITA atau BACAKAN BUKU (bacakan buku ya bukan suruh anak baca buku sebelum dia tahu membaca. Beza tu :) ) dapat membantu anak meningkatkan KOSA KATA nya. Bila kosa kata anak banyak, maka bila belajar baca akan jadi mudah. Sebab dia dah kenal banyak bunyi huruf dan banyak kenal benda.

✔️KOMUNIKASI dengan anak sekerap yang mungkin. Ini saya sudah sebut serba sedikit tadi. Walaupun bayi, biasakan bercakap dengannya. Bila anak dah semakin besar berbuallah dengan mereka ketika shopping, ketika pakaikan baju, ketika bermain, ketika memasak, ketika bawa kereta. Komunikasi akan jadi terbantut atau terhalang jika kita hanya berikan anak GAJET.

✔️MAIN, MAIN, MAIN. Berilah peluang dan ruang secukupnya untuk mereka bermain. Bila main anak akan belajar banyak benda termasuklah mengumpul kosa kata, membina ayat, menyoal, menjawab soalan, berinteraksi dengan orang sekeliling. Inilah antara kunci bagi memudahkan proses membaca.

✔️BACAKAN BUKU. Ini pun saya dah sebut di atas tadi. Bacakan buku ini sangat POWERFUL. Selain boleh tambah kosa kata anak, ia juga dapat tambah ilmu pengetahuan am anak. Dan yang paling best dapat rapatkan hubungan kita dengan anak.

✔️Manfaatkan waktu sebelum anak tidur. Iaitu sebelum anak sampai ke peringkat DEEP SLEEP atau tidur lena. Berbuallah (berbual lagi? ) dengan anak. Masa ini sangat bagus untuk nak menasihati anak. Anak dalam keadaan paling relax dan mufah dengar kata.

Inilah peringkat pertama untuk anak-anak membaca. Tiada guna apa-apa metod nak bagi anak pandai baca. Mulakan dengan KOMUNIKASI dengan anak.

BERBUAL

BERCERITA

BACAKAN BUKU

MAIN

Masa inilah anak-anak kumpul perkataan. Masa inilah anak-anak dibiasakan mendengar pelbagai perkataaan.
Jadi, bila sampai peringkat kenal suku kata, anak tak akan terkejut. Mereka dah biasa dengan pelbagai perkataan dan bunyi. Jadi ia memudahkan proses membaca berlaku.

Kita belajar Fun-fun je. Jangan stress. Janganlah guna buku 24 jam. Anak-anak belajar secara hands-on dan bermain.
Belajarlah juga membaca dari tanda jalan, tajuk akhbar, label, senarai barang, poster dan sebagainya.

InshaAllah jika anak kita tiada masalah kesihatan dan pembelajaran, anak kita pasti boleh baca. Kuncinya SABAR dengan proses ini, KONSISTEN dengan usaha dan YAKIN dengan hasilnya nanti.

Selamat mendidik dengan kasih sayang.

Ashikin Hashim

Thursday 21 February 2019

Filem Overboard: Suami dan Ayah Yang Dirindui




Assalamu'alaikum wrt wbt

Salam Jumaat yang penuh barokah. Salam Al-Kahfi.
Semalam sementara menunggu suami pulang, saya menonton sebuah filem yang bertajuk OVERBOARD. Tidak sangka filem ini telah membawa saya bersamanya sehingga saya menitiskan airmata.

Apakah kisah yang dibawa sehingga saya begitu emosi? Ia mengisahkan seorang lelaki kaya bernama Leo yang juga kaki perempuan. Hidupnya terlalu kaya dan juga tidak peduli tentang perasaan orang lain.

Pada suatu hari, Kate, seorang pelajar kejururawatan yang juga melakukan beberapa kerja sambilan untuk menampung 3 orang anak perempuannya, telah diupah untuk membersihkan bilik Leo di sebuah kapal mewah milik Leo.

Di dalam kekagumannya melihat kemewahan hidup Leo, Kate masih berani bergaduh dengan Leo kerana Leo sewenangnya menyuruhnya melakukan kerja seperti pembantunya sedangkan dia hanya datang untuk membersihkan permaidani di bilik Leo.

Leo menolak Kate ke dalam laut bersama perkakas pembersihan permaidani Kate. Leo juga enggan membayar upah Kate. Kate sangat marah dan sedih dengan apa yang berlaku.

Pada suatu hari Leo telah terjatuh ke dalam laut tanpa disedari oleh sesiapa pun. Dan dia terdampar di pantai. Leo hilang ingatan dan tidak langsung tahu tentang dirinya. Kakak Leo yang tamak, merahsiakan tentang Leo yamg masih hidup kerana dia mahu mewarisi kekayaan ayahnya. Ayah Leo menyangka Leo telah meninggal dunia seperti yang didakwa oleh kakak Leo.

Kate terbaca tentang Leo yang berada di hospital tanpa dituntut oleh sesiapa. Dia mengambil kesempatan ini untuk membalas dendam terhadap Leo. Dia mengaku kepada Leo bahawa dia adalah isterinya.

Cerita yang bersulam lucu ini, telah membawa saya menghargai nilai kekeluargaan. Anak-anak Kate yang telah lama dahagakan kasih sayang seorang ayah begitu menghargai kehadiran Leo dan sangat takut jika Leo kembali kepada kehidupan lamanya.

Begitu juga dengan Kate. Niatnya pada mula yang ingin membalas dendam bertukar menjadi cinta dan sayang. Leo yang hilang ingatan adalah seorang yang rajin memasak dan baik hati terhadap Kate dan anak-anaknya.
Babak paling menyayat hati apabila ingatan Leo telah pulih dan dia dibawa pergi oleh ayah Leo dengan kereta mewahnya. Anak-anak Kate mengejar kereta tersebut dan ini telah membuatkan Leo sangat tersentuh.

Leo pada mulanya seakan mahu kembali kepada kehidupannya yang dulu namun dia menyedari bahawa dia sudah jatuh cinta dengan Kate dan menyayangi anak-anak Kate.

Suka untuk saya simpulkan ciri-ciri suami dan ayah yang dirindui dan didambakan di dalam sebuah keluarga yang saya dapat dari filem ini.

1. Leo adalah seorang lelaki yang sangat menyayangi isterinya. Dia romantik dalam caranya yang tersendiri. Jadi, suami yang dirindui oleh seorang isteri adalah suami yang romantik.

2. Leo adalah seorang suami yang ringan tulang. Dia memahami kesibukan isterinya yang sedang belajar dan dengan sukarela membantu di dapur dan menguruskan anak-anak. Saya suka bahagian cerita di mana Leo telah mengemas peti sejuk Kate dan melabel semua makanan di dalamnya. Suami yang dirindui adalah suami yang rajin.

3. Leo adalah seorang suami dan ayah yang rajin bekerja. Dia akan ke tempat kerja seawal pagi dan pulang dalam keadaan yang sangat penat. Selepas gaji dia akan berbelanja untuk keluarganya. Suami dan ayah yang dirindui adalah yang rajin dan tidak kedekut.

4. Leo adalah seorang ayah yang penyayang. Dia rajin melayan anak-anak dan seorang ayah yang sentiasa melindungi. Ayah yang dirindui adalah ayah yang sayang dan cinta akan keluarganya.

4 sikap ini sahaja sudah membuatkan seorang suami dan ayah hebat di mata isteri dan anak-anaknya. Saya ingin menambah dari pandangan Islam pula.

Seorang ayah dan suami yang dirindui adalah yang menjalankan perintah Allah dengan sebaiknya - menjadi imam solat, sering ke masjid, mengajar anak dan isteri mengaji Al Quran dan juga memberikan nafkah kepada keluarganya.

Saya sentiasa mendoakan agar kita semua dikurniakan Allah seorang suami dan ayah kepada anak-anak kita yang sentiasa diredhai Allah. Doakan saya juga.

Sehingga berjumpa di lain perkongsian.

Salam kasih sayang.
Ashikin Hashim