Showing posts with label 1. Kepentingan Pendidikan Awal Anak. Show all posts
Showing posts with label 1. Kepentingan Pendidikan Awal Anak. Show all posts

Wednesday, 29 May 2013

Didik Anak Sejak Dalam Kandungan




Teks: Ashikin Hashim


Assalamu'alaikum wrt wbt

Di dalam Islam, kita disarankan agar pendidikan itu berlaku sejak bayi berada di dalam kandungan lagi. Pendidikan pada peringkat ini adalah pendidikan yang berbentuk kerohanian. Mendidik anak agar apabila dia lahir dan membesar nanti akan menjadi anak yang soleh.

Apa yang ibu dan bapa boleh lakukan ketika anak berada dalam kandungan adalah:

1. Para ibu bapa disarankan untuk membaca al-Quran. Di antara yang mempunyai fadhilah tertentu seperti Surah Yusuf, Maryam, At-Taubah dan Luqman. Bacalah dan niatkan semoga anak yang bakal lahir itu, sihat sempurna, menjadi anak yang mengerjakan solat dan beramal soleh.

2. Para ibu bapa mesti sentiasa berdoa dan berharap kepada Allah swt supaya anak yang berada dalam kandungan itu sentiasa terpelihara. Berdoa juga dari awal agar ibu dapat melahirkan dengan mudah nanti. Amalkan juga doa Nabi Ibrahim alaihissalam di dalam surah As-Shafaat ayat 100 yang bermaksud:

" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah aku anak yang terhitung di kalangan orang yang soleh. "

3. Para ibu bapa mestilah mencari rezeki yang halal untuk diberikan kepada anak dan keluarga. Rezeki yang halal sangat penting bagi membentuk anak yang soleh.

4. Ibu yang hamil disarankan untuk makan makanan yang memberikan khasiat kepada ibu itu sendiri dan juga bayi. Dilarang sama sekali memakan makanan yang memberi mudharat seperti minum alkohol dan menghisap rokok. Antara makanan yang digalakkan ialah kismis, kurma, sayur-sayuran dan buah-buahan.

5. Ibu dan bapa hendaklah sentiasa berada dalam keadaan tenang dan selalu berzikir. Positif sentiasa bagi melahirkan anak yang sihat dan bahagia.

Semoga ada manfaatnya walaupun sedikit.

Wassalam :)


Anugerah Yang Tidak Ternilai




Teks: Ashikin Hashim


Assalamu'alaikum wrt wbt

Jika ditanya, apakah hadiah yang paling bernilai buat pasangan suami isteri? Pasti jawapannya adalah anak. Anak adalah anugerah Allah swt kepada hambanya dan ianya tidak dapat ditukar ganti  dengan sesuatu yang lain. Berapa ramai pasangan suami isteri di dunia ini yang menginginkan anak tetapi tiada rezeki.  Berapa ramai juga yang diduga Allah dengan anak yang kurang upaya tetapi mereka tetap bersabar dan menjaga amanah Allah itu dengan penuh tanggungjawab.

Apabila lahirnya seorang anak di muka bumi ini, maka sudah menjadi tanggungjawab ibu bapanya untuk membentuk anak itu sebaik-baiknya. Allah bakal memperhitungkan amanah ini di akhirat kelak. Samada kita menjadikan dia beriman atau pun tidak.

Anak yang baru dilahirkan umpama sehelai kain putih yang menunggu saat untuk dicorakkan ibu bapanya. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Seorang anak itu dilahirkan tanpa sebarang dosa. Mereka lahir suci bersih dan selepas itulah ibu bapa yang akan mencorakkan kehidupannya. Dengan berbekalkan iman dan juga taqwa, maka anak itu akan menjadi insan yang solihin. Namun jika anak itu hidup tanpa panduan al Quran dan Sunnah, maka anak itu nanti akan terkapai-kapai mencari arah tuju penghidupannya.

Rasulullah SAW bersabda : “Orang-orang penyayang selalu disayang oleh ALLAH Yang Maha Penyayang. Sayangilah orang yang ada di bumi, maka kamu akan disayangi oleh yang ada di langit.” - Hadis Riwayat Thabrani

Kasihanilah, cintailah dan sayangilah anak-anak kita kerana mereka adalah antara punca dan penyebab untuk kita menuju redha dan syurga Allah.

Apakah hikmah anak?

1. Anak dapat memberikan kita ketenangan. Lihat sahaja ketika mereka gembira bermian dan ketika mereka tidur. Sungguh menenankan, bukan? Duduk dan bermain bersama mereka akan membuatkan kita hilang segala kedukaan.

2. Anak membuatkan seorang ayah itu untuk bekerja lebih kuat lagi. Seorang ayah akan berusaha keras untuk mencari nafkah halal dan mencukupi untuk diberikan kepada isteri dan juga anak-anak.

3. Anak itu menjadi penyebab kepada ibu bapanya untuk mendapat pahala dan syurga.

4. Anak itu melatih ibu bapanya menjadi penyabar dan menahan diri daripada marah.

5.  Anak yang soleh akan mendoakan ibu bapanya ketika mereka sudah meninggal dunia

6. Anak dapat menjaga ibu bapanya setelah tua atau pun ketika sakit

Pandanglah anak kita dengan pandangan penuh belas. Pandangan penuh belas itu juga sudah mengalirkan pahala buat kita. Keikhlasan kita menjaga serta mendidik mereka akan meyebabkan segala urusan kita yang lain mendapat kemudahan daripada Allah swt.

Wassalam.



Tuesday, 28 May 2013

Hebatnya Otak Bayi!

Teks: Ashikin Hashim


Assalamu'alaikum wrt wbt

Ada yang mungkin mengatakan, apa pentingnya mendidik anak di awal usia? Mereka mengganggap anak-anak belajar secara semulajadi. Tidak perlu dipimpin dan tidak perlu diajar. 

Oh sungguh meleset tanggapan itu! Anak-anak yang kecil inilah yang perlu diberi petunjuk. Mereka memerlukan ibubapa serta guru di dalam kehidupan mereka. Sentuhan, kasih sayang, perhatian dan belaian adalah termasuk di dalam bab pendidikan awal anak-anak.

Ketahui fungsi otak bayi kita. Otak mereka sangat hebat menyerap segala info, perlakuan, perbuatan, serta percakapan kita. Contoh paling mudah untuk mengetahui bagaimana otak seorang bayi itu berfungsi adalah dengan membanding Bayi A dan Bayi B yang hidup di dalam dua keadaan yang berbeza.

Bayi A hidup dengan didikan ibu bapanya yang penuh kasih sayang dan aura positif. Walau sekecil-kecil perkara seperti memberikan sesuatu kepada ahli keluarga yang lain, mereka memberi dengan cara yang baik. Saling mengucapakan terima kasih dan  membalas senyuman. Natijahnya Bayi A membesar menjadi seorang anak yang kuat jati dirinya dan sentiasa positif di dalam kehidupan.

Bayi B pula hidup dalam keadaan yang penuh dengan suasana negatif. Ibu bapa mereka saling bertempik dan mencampakkan barang. Tidak mengucapkan terima kasih dan kurang bersentuhan. Natijahnya Bayi B membesar menjadi anak yang kurang jati diri, tidak yakin dan sentiasa negatif di dalam kehidupannya.

Tiga tahun pertama dalam kehidupan kanak-kanak merupakan waktu di mana perkembangan otak berlaku dengan pesat. Walaupun perkembangan otak terus berlaku selepas itu tetapi tiga tahun pertama merupakan waktu yang paling kritikal. Ketika ini otak lebih fleksibel dan bersedia untuk mempelajari sesuatu. Berat otak bayi ketika dilahirkan ialah 25% daripada berat otak orang dewasa. Ketika mencapai usia 3 tahun, otak bayi telah berkembang menjadi berjuta- juta sel (yang terdiri dari neurons dan sel-sel otak yang lain). Sel-sel ini kemudiannya bercantum untuk membentuk berjuta-juta “jalinan” (synapses). Jalinan antara sel ini kemudian membentuk pusat kawalan yang kompleks bagi perkembangan mental, emosi, fizikal dan spiritual.





Pengalaman-pengalaman awal, samada positif atau negatif yang dialami oleh bayi dan kanak-kanak mempunyai kesan terhadap pembentukan  sel-sel otak. Hanya jalinan sel-sel yang sentiasa digunakan sahaja yang kekal. Perkembangan bahasa merupakan satu contoh terbaik untuk menunjukkan otak beroperasi mengikut perinsip tersebut. Pada usia 3 bulan, otak bayi berupaya membezakan pelbagai bunyi percakapan. Beberapa bulan selepas itu, otak mula belajar mengenali bunyi yang didengarinya. Pada peringkat awal, otak bayi mampu menyimpan bunyi yang pernah didengarinya. 

Ini menjadi penyebab mengapa kanak- kanak lebih mudah mempelajari pelbagai bahasa selain dari bahasa ibunda. Pada umur 10 tahun kebolehan ini semakin berkurangan dan jika masih tidak digunakan ia akan terus hilang. Kanak-kanak yang berumur 10 tahun ke atas masih mampu mempelajari bahasa asing tetapi memerlukan usaha yang lebih. Kita boleh bayangkan ketika berusia seperti kita, mampukah kita mempelajari bahasa asing dengan mudah semudah kanak-kanak di bawah usia 10 tahun?

Oleh kerana perkembangan otak bayi berkembang dengan aktif dan bayi pula sentiasa berada bersama ibubapa pada peringkat awal, maka tidak hairanlah ibubapa mempunyai pengaruh yang kuat terhadap perkembangan mereka. Sentuhan, pendengaran dan semua benda yang dilihat dan dihidu oleh bayi membantu pembentukan jalinan sel-sel otak. Sebab itulah ibubapa digalakkan meransang kesemua deria bayi dengan penuh kasihsayang untuk memastikan otak berkembang dengan sempurna. Perkembangan otak akan terhenti sekiranya ransangan tidak diberikan secara berterusan. Kanak-kanak yang dibesarkan tanpa ransangan yang sempurna biasanya mempunyai otak yang kecil berbanding dengan kanak- kanak yang mendapat ransangan dan didedahkan kepada pelbagai pengalaman. Para doktor mendapati, kanak-kanak yang dibesarkan di persekitaran yang kurang ransangan, otak mereka lebih menyerupai otak pesakit "Alzheimer's". Binatang-binatang yang dipelihara di zoo memunyai otak 20% - 30% lebih kecil daripada binatang-binatang liar yang hidup di hutan.

Satu kajian yang telah dibuat ke atas 1000 orang kanak-kanak yang terbiar tanpa ransangan, sentuhan, kasihsayang dan pengalaman yang sedikit dengan alat-alat permainan (toys). Kajian tersebut mendapati kanak-kanak tersebut mempunyai otak 20% - 30% lebih kecil dari kanak-kanak yang sebaya mereka yang mendapat ransangan sempurna. Separuh daripada kanak-kanak tersebut di dapati bahagian otak yang tidak mendapat ransangan telah hilang begitu saja.

Satu lagi kajian mendapati, kanak-kanak yang mengalami trauma seperti di dera dan melihat pembunuhan yang ngeri, mengalami kesan fizikal dan emosi yang berterusan walaupun kejadian itu telah lama berlalu. Kanak-kanak yang trauma ini mempunyai debaran jantung yang kuat, kadar hormon "stress" yang tinggi dalam darah dan mengalami gangguan tidur. Semua ini adalah disebabkan pengalaman ngeri yang mereka alami yang kekal tersimpan di dalam otak mereka. Sekiranya trauma ini tidak ditangani dengan baik, kanak-kanak tersebut akan mengalami masalah emosi, tingkah laku dan pembelajaran.

Kajian juga menunjukkan, anak yang membesar tanpa didikan dan contoh tauladan daripada seorang insan bernama ayah akan menyumbang anak itu kepada terjerumusnya dia ke arah kebejatan sosial. Mereka kekurangan panduan dan tunjuk ajar. Anak yang membesar dengan didikan ayah dan ibu yang sempurna akan menjadikan anak itu mempunyai jati diri yang kuat.


Bayi dan kanak-kanak akan mempelajari sesuatu melalui interaksi dengan persekitaran. Bayi menangis ketika lapar dan tidak selesa, Apakah tangisan itu mendapat perhatian atau sebaliknya? Sekiranya ibubapa memberi respon yang positif terhadap tangisan dan memenuhi keperluannya, bayi itu akan merasa selamat (secure) dan memfokuskan perhatian untuk meneroka persekitarannya. Ini akan membantu perkembangan otak bayi tersebut. Sebaliknya, kalau tangisan dan keperluannya tidak mendapat perhatian dan tidak dihiraukan ataupun mendapat perhatian secara negatif (seperti herdikan atau tengkingan), bayi tersebut akan merasa tidak selamat dan memfokuskan seluruh perhatiannya untuk memastikan keperluannya dipenuhi. Ini akan menyebabkan bayi tersebut akan hilang tumpuan dan mengalami kesukaran untuk berinteraksi dengan persekitaran (manusia dan objek). Lama kelamaan, sekiranya keadaan ini berterusan perkembangan otak akan terbantut.

Jom kita mulakannya sekarang! Wujudkan suasana famili yang berkasih sayang dan positif bagi membina anak yang sihat fizikal dan mentalnya.



Wassalam.

Moga dapat menfaatnya walau sedikit :)