Memilih pusat jagaan atau taska yang baik bukan sahaja
tertumpu kepada persekitaran atau suasana yang bagus dan menyakinkan. Aset
paling penting yang perlu mama titik beratkan adalah pemilihan pengasuh atau
guru kepada anak anda. Bagaimana anda mengenali pengasuh yang baik untuk anak
anda? Ikuti tip ini.
a)
Pengasuh mengamalkan cara hidup Islam yang syumul. Sebagai seorang Muslim, tentu anda mahu pengasuh anak
anda seorang Islam. Ini adalah amat penting kerana penampilan, perwatakan dan
tingkah laku pengasuh sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada anak.
Pengasuh yang baik akan sentiasa memelihara aurat dan akhlaqnya. Dia bukan
sahaja memakai tudung dan berpakaian sopan yang menutup aurat, tetapi dia juga
berilmu. Pengasuh boleh membaca doa-doa harian yang mudah, membaca al-qur’an
dan berzikir.
b) Pengasuh
mengetahui tentang penjagaan bayi dan kanak-kanak. Ilmu Pendidikan awal kanak-kanak amatlah penting kepada
seorang pengasuh. Bukan sahaja dia tahu menukar lampin dan membuat susu, malah
dia juga tahu bagaimana menangani anak yang bergaduh atau mengendalikan anak
yang menggigit.
c) Anak anda selesa dan suka kepada pengasuhnya. Ini mungkin mengambil masa yang lama untuk anak anda
mesra dan selesa ketika berada bersama pengasuh. Mama perlu ingat, walau
pengasuh yang terbaik sekalipun tidak dapat menggantikan tempat seorang mama.
Selepas beberapa hari anak anda bersama pengasuhnya, anda mesti dapat mengesan
adakah anak anda selesa dan mesra bersama pengasuh atau tidak. Jika anak masih
tidak mahu kepada pengasuhnya, ini mungkin bermakna pengasuh tidak dapat
memberikan kemesraan sewajarnya dan personaliti pengasuh yang tidak baik.
d) Pengasuh gembira apabila melihat anak anda. Mama akan dapat lihat jika pengasuh benar-benar gembira
menjaga dan mengasuh anak anda dan anak anda juga dapat merasakannya. Kasih
sayang dan kemesraan akan terserlah ketika mereka bersama-sama.
e) Pengasuh akan membantu anda menyelesaikan sebarang
masalah dan memberikan penjagaan yang sewajarnya kepada anak anda. Jika anak anda susah untuk makan, pengasuh akan cuba
menarik perhatian anak untuk makan seperti meletakkan permainan berhampirannya
untuk menjadikan waktu makan anak lebih menarik. Jika anak anda tidak mahu
tidur, pengasuh akan bertanya kepada anda nasihat tertentu. Berkerjasama dengan
mama dan melakukan pelbagai usaha dalam mengasuh anak anda adalah petanda
bahawa pengasuh melakukan kerjanya dengan serius.
f) Pengasuh menghormati masa anda. Pengasuh yang baik akan membuka pusat jagaan sebelum
anda sampai atau memberitahu sebarang kemungkinan kepada anda seawal yang
mungkin. Jika berlakunya tiada pengasuh pada satu-satu masa, pengganti akan
dicari.
g) Pengasuh akan sentiasa berkomunikasi dan berhubung. Pengasuh yang bertanggungjawab akan memberitahu tentang
sebarang perkembangan dan apa yang berlaku sepanjang hari sewaktu di dalam
penjagaannya. Mungkin dengan hanya secebis nota yang diselitkan di beg anak,
mama tentu rasa dihargai dan menghargai usaha pengasuh.
h) Anak anda bersih. Kebersihan petanda kepada pengasuh yang baik.
Sebagaimana anda meninggalkan anak dalam keadaan yang bersih, begitu juga anda
mengharapkan pengasuh akan menyerahkan kembali anak anda dalam keadaan yang
bersih tanpa meninggalkan sebarang kekotoran pada anak.
i)
Kemalangan jarang berlaku. Sudah tentu kemalangan kecil seperti terjatuh atau
bergaduh dengan kawan akan berlaku. Tetapi,
pengasuh yang baik akan memastikan keselamatan anak anda adalah keutamaannya. Pengasuh akan sentiasa mengawasi anak ketika bermain dan
memastikan pagar sentiasa ditutup dan berkunci.
Semoga Allah sentiasa melindungi anak-anak kita.
No comments:
Post a Comment