Assalamu'alaikum wrt wbt
Pendidikan awal anak-anak adalah kecintaan saya! :)
Menulis juga kecintaan saya.
Dan Keluarga adalah inspirasi saya ;)
Mencintai bidang penulisan bermakna saya mesti bijak bagaimana untuk menggarap pengalaman dan tugasan saya berpadu di dalam tulisan saya. Tentu sahaja saya menyukainya dan mula jatuh
cinta kerana bidang penulisan saya juga berkaitan keibubapaan. Setiap
hari saya akan bersama dengan kanak-kanak comel yang mempunyai pelbagai
ragam dan telatah. Saya membesar dan matang dengan tangisan serta gelak
tawa anak-anak ini. Saya juga dapat mengenali ibubapa anak-anak ini dan
sekali gus saya dapat menambah pengalaman dan mematangkan penulisan
saya.
Ramai ibu di luar sana adalah wanita berkerjaya seperti
saya. Mungkin anda adalah seorang doktor, guru, arkitek, jurutera, ahli
perniagaan, kerani dan sebagainya. Apa jua pekerjaan anda, pada dasarnya
anda dan saya telah sedikit lari dari fitrah sebagai seorang ibu yang
dituntut untuk duduk di rumah dan mendidik anak-anak kerana Allah sangat
memuliakan seorang wanita itu dan kerjaya yang paling layak dan agung
untuk seorang yang bergelar isteri dan ibu adalah sebagai PENGURUS di
rumah. Wallahua’lam. Ini dah masuk bab lain ;)
Baiklah, apa pun
kita sekarang ini, saya dan anda telah memilih untuk bekerja. Mahu atau
tidak, kita mesti melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan cara yang
paling baik dan terbaik. Menjadi seorang isteri, ibu dan pada masa yang
sama bekerja di luar rumah adalah satu perkara yang sangat berat untuk
dilakukan.
Menjadi pekerja yang sukses tidak semudah yang
disangka. Banyak perkara yang perlu diambil kira terlebih dahulu, baru
kita boleh dikatakan sukses di tempat kerja dan juga bahagia di rumah.
Apa perkara-perkara tersebut? Mari kita kongsikan bersama!
- Restu suami.
Adakah
anda mendapat restu suami anda untuk bekerja? Dia redha anda bekerja?
Cuba periksa dan Tanya suami anda sekarang. Jika dia tidak restu dan
tidak redha, maka jangan mimpi untuk anda jadi sukses di tempat kerja
dan juga bahagia di rumah.
Dari Aisyah ra.
yang menceritakan; Aku bertanya Rasulullah; "Siapakah yang paling besar
haknya ke atas seorang perempuan ?". Jawab Nabi; "Suaminya". Aku
bertanya lagi; "Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang
lelaki?". Jawab Nabi; "Ibunya". (HR al-Hakim)
Pada
suatu hari seorang wanita bernama Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa’
telah menemui Rasulullah SAW lalu berkata: "Aku telah diutus oleh kaum
wanita kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum
lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika
mereka gugur pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat
rezeki. Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah
pula balasan kami untuk semua itu ?" Bersabda Rasulullah saw.
"Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita,
bahawasanya TAAT KEPADA SUAMI SERTA MENGAKUI HAKNYA adalah menyamai
pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, TETAPI SANGAT SEDIKIT
DARIPADA GOLONGAN KAMU YANG DAPAT MELAKUKANNYA." (HR Al-Bazzar dan
Ath-Thabrani)
Nabi saw. bersabda, “Apabila seorang wanita redha
atas kehamilannya dari suaminya yang sah, sesungguhnya dia mendapat
ganjaran pahala seperti ibadah puasa dan mengerjakan ibadah-ibadah
lainnya di jalan Allah dan jika dia merasa berat, letih atau lesu,
tidaklah dapat dibayangkan oleh penghuni langit dan bumi, betapa
kesenangannya disediakan oleh Allah di hari akhirat nanti. Apabila
anaknya lahir, maka dari setiap teguk air susu yang dihisap oleh anak,
si ibu mendapat kebajikan pahala. Apabila si ibu berjaga malam (kurang
tidur kerana anak) maka si ibu mendapat ganjaran pahala seperti
memerdekakan 70 orang hamba sahaya kerana Allah.” (HR Ibn Hibban)
2. Niat yang baik.
Mengapa
anda bekerja? Adakah kerana anda bosan di rumah? Adakah anda ingin
membantu suami untuk meningkatkan ekonomi keluarga? Adakah untuk
suka-suka? Cuba fikir-fikirkan. Jika niat anda salah dan tidak murni, ia
juga tidak menjamin anda untuk sukses di tempat kerja dan juga bahagia
di rumah. Jom kita cek!
Murnikan niat kita. Mungkin ada
yang bekerja kerana ingin membantu meningkatkan ekonomi keluarga.
InsyaAllah ini diterima. Ada juga yang ingin memanfaatkan ilmu yang
dipelajarinya dan pelbagai niat murni yang ditanamkan. Mudah-mudahan
niat kita itu diterima Allah swt.
Rasulullah
SAW. bersabda,"Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal
yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk
mengharap redha Allah. (HR Abu Daud dan An-Nasa'i)
3. Keluarga yang utama
Walau
tinggi mana pun pangkat dan gelaran kita di tempat kerja, kita masih
wajib mendahulukan keluarga dari kerjaya. Sebelum keluar dari rumah
pastikan segala tanggungjawab diselesaikan dengan baik. Jika rumah
terurus maka hati kita akan tenang. Sekaligus tanggungjawab kita di
pejabat juga dapat dilaksanakan dengan baik.
Pernahkah
anda bawa pulang kerja pejabat ke rumah? Ketika anda sedang melakukan
kerja, tiba-tiba anak anda sangat memerlukan anda pada ketika itu.
Adakah anda melayaninya seketika? Atau anda memarahinya kerana
mengganggu anda bekerja? Fikir-fikirkan. Adilkah bagi suami dan
anak-anak anda jika sejak dari pagi anda melakukan kerja pejabat dan
mengabaikan mereka ketika anda berada di rumah?
Ini adalah salah satu kunci sukses anda di pejabat dan bahagia di rumah.
4. Bertolak ansur dan bekerjasama
Seorang
isteri dan ibu yang bekerja memerlukan kerjasama daripada seorang
suami. Tanpa kerjasama suami, mana mungkin isteri dapat melaksanakan
tanggungjawabnya di rumah dan di pejabat dengan baik. Ini semua menuntut
kepada kefahaman dan saling memahami antara satu sama lain.
Jika
anda mempunyai lebih dari seorang anak, tanggungjawab anda tentu lebih
besar dan sukar dari yang mempunyai seorang anak, bukan? Bayangkan pula
bagaimana anda berpagi-pagi hendak ke tempat kerja dan menghantar anak
ke sekolah mahupun ke taska. Jika ini diuruskan seorang diri, mungkin
ibu tersebut akan mudah rasa tertekan dan ini akan terbawa-bawa hingga
ke pejabat.
4. Lazimkan solat Dhuha
Di
manakah anda berada di antara waktu jam 8 pagi sehingga 11 pagi?
Tentulah di pejabat, bukan? Di antara waktu ini, lakukanlah solat sunat
dhuha kerana solat ini banyak fadhilatnya. Amalkanlah dan anda pasti
terasa kehebatannya. Anda akan rasa diri anda bermotivasi dan semangat
untuk bekerja.
Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:
“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”(Riwayat Ahmad)
Hadis
Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara
faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala
keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.
Sesetengah
orang mengatakan jika mahu kaya lakukan solat dhuha. Itu bagi saya
intepretasi sempit yang hanya memandang kepada harta dunia semata-mata.
Rezeki bukan hanya pada harta dan wang ringgit. Dikurniakan anak-anak
yang sihat adalah rezeki, dianugerahkan Allah suami yang penyayang dan
memahami juga adalah rezeki. Jika pada hari itu anda berasa lapang dan
sangat bahagia juga dinamakan rezeki.
Antara ibadat sunat
yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah solat
sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan
keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:
“Kekasihku
Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak
meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah
mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat
Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada
tiap-tiap bulan”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
“Pada
tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu
bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu
sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai
ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha
.”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
5. Jaga aurat, maruah terpelihara
Setinggi mana pun pangkat kita, aurat kita sebagai seorang wanita masih sama iaitu seluruh badang kecuali muka dan tapak tangan.
Jagalah
aurat anda ketika berada jauh dari suami. Janganlah mendedahkan aurat
anda kerana itu hanya untuk suami anda sahaja. Maaf jika saya ingin
menegur. Kadang-kadang kita ingin terlalu bergaya, berwangi-wangian
tetapi di rumah kita sepeti wanita berpantang. Muka pucat lesi dan pakai
kain batik sepanjang masa. Kita lebih cantik ketika berada di luar
daripada ketika berada di dalam rumah. Bukankah ini sudah salah konsep.
Lagi
satu, mari kita sama-sama periksa tudung kita. Adakah ia menepati
syariat. Maaf sekali lagi ingin menegur. Dada anda mestilah ditutup.
Pakailah tudung yang menepati syariat iaitu tidak menampakkan bentuk
dada anda yang bidang itu. Anda sudahlah jauh dari suami. Maka suami
orang lain pula yang memandang anda. Nauzubillah!
Inilah
juga antara kunci sukses anda di pejabat dan bahagia di rumah.
Berpakaian yang menepati syariat, dapat menghindarkan diri kita dari
fitnah dan memelihara maruah kita.
Saya rasa cukup setakat
ini dulu. InsyaAllah banyak lagi yang ingin saya kongsikan bersama
sahabat-sahabat semua. Sehingga berjumpa di lain bicara.
Maaf jika ada salah bicara. Hanya ingin berkongsi rasa :)
Wassalam.
No comments:
Post a Comment