Thursday 21 February 2019

Filem Overboard: Suami dan Ayah Yang Dirindui




Assalamu'alaikum wrt wbt

Salam Jumaat yang penuh barokah. Salam Al-Kahfi.
Semalam sementara menunggu suami pulang, saya menonton sebuah filem yang bertajuk OVERBOARD. Tidak sangka filem ini telah membawa saya bersamanya sehingga saya menitiskan airmata.

Apakah kisah yang dibawa sehingga saya begitu emosi? Ia mengisahkan seorang lelaki kaya bernama Leo yang juga kaki perempuan. Hidupnya terlalu kaya dan juga tidak peduli tentang perasaan orang lain.

Pada suatu hari, Kate, seorang pelajar kejururawatan yang juga melakukan beberapa kerja sambilan untuk menampung 3 orang anak perempuannya, telah diupah untuk membersihkan bilik Leo di sebuah kapal mewah milik Leo.

Di dalam kekagumannya melihat kemewahan hidup Leo, Kate masih berani bergaduh dengan Leo kerana Leo sewenangnya menyuruhnya melakukan kerja seperti pembantunya sedangkan dia hanya datang untuk membersihkan permaidani di bilik Leo.

Leo menolak Kate ke dalam laut bersama perkakas pembersihan permaidani Kate. Leo juga enggan membayar upah Kate. Kate sangat marah dan sedih dengan apa yang berlaku.

Pada suatu hari Leo telah terjatuh ke dalam laut tanpa disedari oleh sesiapa pun. Dan dia terdampar di pantai. Leo hilang ingatan dan tidak langsung tahu tentang dirinya. Kakak Leo yang tamak, merahsiakan tentang Leo yamg masih hidup kerana dia mahu mewarisi kekayaan ayahnya. Ayah Leo menyangka Leo telah meninggal dunia seperti yang didakwa oleh kakak Leo.

Kate terbaca tentang Leo yang berada di hospital tanpa dituntut oleh sesiapa. Dia mengambil kesempatan ini untuk membalas dendam terhadap Leo. Dia mengaku kepada Leo bahawa dia adalah isterinya.

Cerita yang bersulam lucu ini, telah membawa saya menghargai nilai kekeluargaan. Anak-anak Kate yang telah lama dahagakan kasih sayang seorang ayah begitu menghargai kehadiran Leo dan sangat takut jika Leo kembali kepada kehidupan lamanya.

Begitu juga dengan Kate. Niatnya pada mula yang ingin membalas dendam bertukar menjadi cinta dan sayang. Leo yang hilang ingatan adalah seorang yang rajin memasak dan baik hati terhadap Kate dan anak-anaknya.
Babak paling menyayat hati apabila ingatan Leo telah pulih dan dia dibawa pergi oleh ayah Leo dengan kereta mewahnya. Anak-anak Kate mengejar kereta tersebut dan ini telah membuatkan Leo sangat tersentuh.

Leo pada mulanya seakan mahu kembali kepada kehidupannya yang dulu namun dia menyedari bahawa dia sudah jatuh cinta dengan Kate dan menyayangi anak-anak Kate.

Suka untuk saya simpulkan ciri-ciri suami dan ayah yang dirindui dan didambakan di dalam sebuah keluarga yang saya dapat dari filem ini.

1. Leo adalah seorang lelaki yang sangat menyayangi isterinya. Dia romantik dalam caranya yang tersendiri. Jadi, suami yang dirindui oleh seorang isteri adalah suami yang romantik.

2. Leo adalah seorang suami yang ringan tulang. Dia memahami kesibukan isterinya yang sedang belajar dan dengan sukarela membantu di dapur dan menguruskan anak-anak. Saya suka bahagian cerita di mana Leo telah mengemas peti sejuk Kate dan melabel semua makanan di dalamnya. Suami yang dirindui adalah suami yang rajin.

3. Leo adalah seorang suami dan ayah yang rajin bekerja. Dia akan ke tempat kerja seawal pagi dan pulang dalam keadaan yang sangat penat. Selepas gaji dia akan berbelanja untuk keluarganya. Suami dan ayah yang dirindui adalah yang rajin dan tidak kedekut.

4. Leo adalah seorang ayah yang penyayang. Dia rajin melayan anak-anak dan seorang ayah yang sentiasa melindungi. Ayah yang dirindui adalah ayah yang sayang dan cinta akan keluarganya.

4 sikap ini sahaja sudah membuatkan seorang suami dan ayah hebat di mata isteri dan anak-anaknya. Saya ingin menambah dari pandangan Islam pula.

Seorang ayah dan suami yang dirindui adalah yang menjalankan perintah Allah dengan sebaiknya - menjadi imam solat, sering ke masjid, mengajar anak dan isteri mengaji Al Quran dan juga memberikan nafkah kepada keluarganya.

Saya sentiasa mendoakan agar kita semua dikurniakan Allah seorang suami dan ayah kepada anak-anak kita yang sentiasa diredhai Allah. Doakan saya juga.

Sehingga berjumpa di lain perkongsian.

Salam kasih sayang.
Ashikin Hashim

No comments:

Post a Comment