Sunday 3 March 2019

Anak Ketagih Gajet? Bagaimana Nak Bantu?

Assalamu'alaikum wrt wbt


Setiap kali saya berjumpa dengan peserta ceramah, program, ibu bapa tadika dan kawan-kawan saya, soalan wajib yang pasti ditanya ialah " Teacher Shikin bagi tak anak main telefon? "

Jika saya kata saya tak bagi pasti sahaja ada yang tidak percaya kan?

Ya. Saya beri anak saya telefon untuk Wafi (14 tahun) dan Wasim (12 tahun). Itu pun baru tahun ini. Selama 14 tahun baru saya dan suami membenarkan setelah yakin anak-anak memahami peraturan yang kami kenakan.

Saya hanya memberikan telefon kepada Wafi dan Wasim pada hari cuti sahaja iaitu Sabtu Ahad dan cuti sekolah sahaja. Alhamdulillah mereka mematuhi peraturan ini.

Apakah yang kita mesti tahu berkenaan gajet supaya anak tidak ketagihan?

1. Jangan beri gajet kepada anak yang berumur 2 tahun ke bawah. Umur begini anak-anak perlukan rangsang secara langsung daripada kita sebagai ibu bapa.

2. Jangan beri gajet lebih dari 2 jam sehari. Selain daripada tidak bagus untuk kemahiran sosial anak, mata anak juga akan terjejas.

3. Kita mesti tegas. Siapa yang menetapkan peraturan? Tentu sahaja kita sebagai ibu bapa. Tentukan peraturan supaya anak tidak ketagih gajet. Contohnya benarkan anak bergajet hanya pada hari Sabtu Ahad sahaja.

4. Jangan biarkan anak bergajet tanpa komunikasi dan interaksi. Jangan biarkan anak menonton youtube dalam satu hala contohnya.  Tetapi kita juga terlibat supaya anak mendapat manfaat.

5. Tetapkan waktu tanpa gajet contohnya waktu makan, waktu tidur.

6. Jika anak mengamuk, kita mesti tegas dan keras hati. Mungkin kita hanya bagi ketika bateri tinggal sedikit atau tutup data telefon. Dan gantikan dengan membuat aktiviti bersama-sama.

7. Jangan larang sahaja tapi kita kena beri alternatif. Gantikan gajet dengan aktiviti seperti melukis, mewarna, main lego dan sebagainya.

Apa akan jadi jika anak ketagih gajet:

1. Anak mungkin lewat bercakap

2. Anak mungkin tidak bersosial

3. Anak mungkin lewat membaca sebab lewat bercakap

4. Anak akan tidur dan bangun lambat

5. Anak tidak fokus

Berikut adalah aktiviti yang boleh bantu anak kita supaya tidak ketagih gajet:

1. Main basikal/skuter

2. Main di padang permainan

3. Melukis

4. Mewarna

5. Basuh kereta dengan ayah

6. Main bola

7. Masak dengan mama

8. Beli barang dapur bersama

9. Main air/berenang

10. Buat buku scrap

Kesimpulannya, tak salah nak beri anak gajet tapi kita jika berlebihan ianya akan memberi mudarat kepada anak. 

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua. 

Ashikin Hashim


Kebaikan Bercerita

Assalamu'alaikum wrt wbt

Salam Isnin yang ceria dan produktif.





Hari ini saya mahu berkongsi berkenaan kebaikan bercerita. Saya suka mempromosi dan menggalakkan ibu bapa untuk bercerita dengan anak-anak kerana bercerita ini akan membantu anak-anak dalam proses belajar membaca. 

Jika di tadika saya, sekali sekala saya akan mengambil kesempatan untuk bercerita dengan anak-anak di sana. Dan percayalah, anak yang bising akan jadi senyap dan fokus bila seorang guru atau ibu bapa mula bercerita. Bagus kan? 



Dalam dunia gajet yang serba canggih sekarang ini, ramai ibu bapa yang memandang sepi tentang kepentingan bercerita kepada anak-anak. Anak-anak telah lebih dahulu dijajah oleh kehebatan visual gajet terkini seperti PSP dan Ipad. Hilang sudah komunikasi dua hala antara ahli di dalam keluarga.



Tahukah anda bahawa bercerita itu banyak kebaikan dan faedahnya kepada anak-anak. Cubalah ajak mereka duduk di sebelah dan di ribaan anda, pasti sahaja mereka tidak sabar mendengar cerita hebat anda. Mereka akan mula berimaginasi dan mula bertanya pelbagai soalan.  Bercerita dapat mengalirkan emosi dan perasaan kepada yang mendengarnya.

Berikut adalah kebaikan bercerita kepada anak-anak:

1. Bercerita adalah salah satu cara atau teknik pembelajaran yang berkesan. Contohnya, dengan bercerita, kita dapat memperkenalkan nombor dan huruf. Ini dapat menarik perhatian serta memudahkan pembelajaran anak-anak.

2. Bercerita dapat meningkatkan ilmu pengetahuan anak-anak. Melalui bercerita semakin cepat anak-anak menyerap masuk ilmu dan informasi kerana ia disampaikan dengan gaya dan bersahaja. Anak-anak akan mudah faham berbanding membaca.

3. Bercerita bagi anak-anak yang berumur 6 tahun ke bawah, amat membantu mereka memahami sesuatu. Dalam umur begini kebanyakannya masih lemah atau tidak tahu membaca. Jadi dengan bercerita, mereka akan tahu dan faham.

4. Bercerita dapat menambah kosa atau perbendaharaan kata anak. Kadang-kadang kita terkejut bagaimana seseorang anak itu boleh bercakap dengan perkataan yang tidak pernah dia jumpa di dalam buku. Apabila kosa kata bertambah, maka mereka akan lebih yakin untuk berkomunikasi.



5. Bercerita dalam melatih skil pendengaran mereka dengan lebih baik lagi.

6. Bercerita dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan antara kita dan anak-anak.

Pengalaman saya, bercerita memudahkan saya untuk mengawal mereka. Mengapa saya katakan begitu? Sebagai contohnya, jika saya mahu pergi membeli belah bersama anak-anak, saya mahu mereka berkelakuan baik ketika di kompleks membeli belah nanti. Bagaimana saya ingin sampaikan mesej tersebut? Tentulah dengan bercerita. Saya sudah praktikkan dan ianya sangat berkesan.

Lapangkan waktu anda untuk duduk bersama mereka. Usah biarkan gajet mengambil alih tugas anda sebagai ibu dan bapa. Waktu muda mereka ini hanya datang sekali sahaja. Maka manfaatkan sebaiknya.

Moga kita disayang Allah

Ashikin Hashim

* Mencari buku untuk bercerita? Saya cadangkan buku ini yang sangat menarik dan bagus untuk anak-anak.



Siri Mari Mengenal Allah ini mempunyai 5 buah buku. Sangat sesuai untuk dibcakan untuk anak atau pun sesuai untuk anak yang baru berlajar membaca. Klik di sini untuk membeli www.wasap.my/60193354522/bukuceritakenalAllah

Friday 1 March 2019

8 Aktiviti Ajar Baca Selain Guna Buku

Assalamu'alaikum wrt wbt

Tulisan Wajdi ketika berusia 5 tahun


Salam hujung minggu yang membahagiakan inshaAllah.

Hari ini saya nak kongsikan 5 aktiviti rangsang minda untuk anak 3 hingga 6 tahun. Aktiviti ini boleh membantu anak kita di dalam proses pembacaannya. Proses membaca adalah satu proses yang panjang dan kompleks. Jadi kita sebagai ibu bapa harus bijak melakukan aktiviti yang menarik dan merangsang minda mereka. Tidak hanya menggunakan buku.

Selamat beraktiviti dengan anak!

Related image


Aktiviti 1
Finger Paint

Bahan-bahan yang diperlukan:

Warna air
Kertas A4 atau Kertas Lukisan
Kad Imbas suku kata - contohnya 'ba'

Cara melakukan aktiviti ini:

1. Terangkan kepada anak tentang aktiviti yang akan dilakukan.

2. Sediakan barang-barang seperti yang dinyatakan.

3. Sebutkan dulu suku kata 'ba' kepada anak

4. Minta anak ulang beberapa kali

5. Minta anak menulis suku kata tersebut dengan menggunkan warna air

Manfaat aktiviti ini:

Kita tidak hanya menumpukan kepada penggunaan buku untuk mengajar anak membaca. Nampak macam lambat kan? Kena buat semua suku kata dengan cara ini? Tidak. Ini hanyalah aktiviti yang membantu anak-anak untuk tidak cepat bosan. Kita bantu anak-anak untuk jadi lebih aktif dan kreatif. Kita juga melibatkan 3 cara pembelajaran yang baik iaitu MELIHAT, MENDENGAR dan juga BERGERAK.

Aktiviti 2
Teng Teng Suku Kata

Bahan-bahan yang diperlukan:

Teng teng suku kata
Kad imbas suku kata
Papan putih bersaiz kecil

Cara melakukan aktiviti ini:

1. Terangkan kepada anak aktiviti yang akan dilakukan

2. Letakkan kad imbas suku kata di dalam kotak teng teng

3. Minta anak melompat ke dalam suku kata yang disebutkan

4. Minta anak ambil kad suku kata tersebut dan tulis di atas papan putih

5. Sebut suku kata 3 kali

Manfaat aktiviti ini:

Anak pasti menyukai aktiviti ini kerana dia dapat melompat! Dalam masa yang sama dia melihat dan mendengar suku kata yang ditunjuk dan disebutkan. Kemudian anak dilatih untuk menulis. Melompat melatih pergerakan moto kasar anak dan menulis melatih pergerakan moto halus.

Aktiviti 3
Snap snap Suku Kata

Bahan-bahan yang diperlukan:

1.  Telefon berkamera/kamera lama

2. Kad imbas suku kata

3. Papan putih bersaiz kecil

Cara melakukan aktiviti ini:

1. Terangkan kepada anak tentang aktiviti ini.
2. Lekatkan kad imbas suku kata di beberapa tempat di rumah. seperti di sofa, dinding, peti sejuk.

3. Tunjuk suku kata di dalam buku - contonya 'ni'. Anak sebut 3 kali.

4. Berikan anak kamera dan minta anak cari dan ambil gambar suku kata 'ni'

5. Minta anak tunjukkan kepada kita gambar yang diambil.

6. Tulis suku kata tersebut di papan putih.

Manfaat aktiviti ini:

Bayangkan perasaan anak apabila kita buat aktiviti ini. Kita telah memberi isyarat bahawa - jadilah aktif dan kreatif. Anak akan bergerak-gerak mencari suku kata yang disebutkan. Ini akan membuka ruang dan peluang untuk di teroka. Selama ini kita hanya beri dia buku untuk belajar suku kata. walhal ada banyak cara untuk menjadikan pembelajaran ini menarik dan tidak membosankan. Anak akan ingat dengan cara yang lebih baik, inshaAllah!

Menarik tak ibu-ibu? Saya yakin ibu-ibu dapat memikirkan aktiviti lain yang lebih kretif dan dapat menarik minat anak-anak.

Aktiviti 4
Tepung Suku Kata

Bahan-bahan yang diperlukan:

Dulang
Tepung/Garam
Kad imbas

Cara melakukan aktiviti ini:

1. Terangkan kepada anak apa yang ingin dilakukan

2. Sediakan bahan seperti di atas bersama-sama anak

3. Tunjukkan kepada anak kad imbas suku kata. Contohnya 'ca'

4. Minta anak sebut suku kata tersebut. Ulang 3 kali

5. Minta anak sebut perkataan yang mempunyai suku kata 'ca' contohnya 'cari', 'cawan', 'cabut'

6. Minta anak menulis suku kata tersebut di atas tepung atau garam

7. Jika anak masih tidak mahir, ibu pegang tangan anak dan lakukan bersama sambil menyebut suku kata tersebut.

8. Ulangi langkah dengan menggunakan suku kata yang lain.

Manfaat dari aktiviti ini:

Anak pasti menyukai aktiviti ini kerana anak bukan sahaja belajar membaca melalui kad imbas tetapi dia dapat melakukan aktiviti sensori. Ini sangat baik untuk perkembangan sensorinya kerana dia dapat merasai tekstur tepung atau garam. Ini dapat merangsang sensorinya.

Aktiviti 5
Kolam Suku Kata

Bahan yang diperlukan:

Kolam atau besen atau baldi
Bola plastik bersaiz kecil - tuliskan suku kata di atas bola
Jaring ikan saiz kecil
Kad imbas

Cara melakukan aktiviti ini:

1. Terangkan kepada anak apa aktiviti pada hari tersebut

2. Sediakan bahan sepeti di atas.

3. Isikan kolam dengan air dan letakkan bola suku kata ke dalam lubang tersebut

4. Tunjukkan kad imbas kepada anak - contohnya 'ha' dan minta anak sebut sebanyak 3 kali

5. Minta anak menangkap bola suku kata dengan menggunakan jaring

6. Minta anak sebutkan lagi suku kata yang telah ditangkap

Manfaat dari aktiviti ini:

Aktiviti air adalah aktiviti yang paling digemari oleh anak-anak. Banyak perkembangan anak yang akan terlibat apabila melakukan aktiviti ini iaitu perkembangan motor kasar dan halusnya, perkembangan bahasanya, perkembangan pendengaranya dan juga perkembangan penglihatannya. Yang paling ketara di dalam aktiviti ini adalah kita dapat melatih anak untuk fokus kepada sesuatu.

Aktiviti 6
Rumah Suku Kata

Bahan yang diperlukan:
1. Kad Imbas suku kata contohnya 'ba', 'ca', 'da', 'fa'.
2. Barang-barang di dalam rumah.

Cara melakukan aktiviti ini:

1. Terangkan kepada anak tentang aktiviti ini
2. Minta anak sebutkan suku kata yang ditunjukkan
3. Minta anak mencari barang di rumah yang mempunyai suku kata yang disebutkan tadi. Contohnya 'ba'. Antara contoh barang adalah 'baju'.
4. Anak diminta melekatkan suku kata tersebut pada barang yang berkenaan.
5. Kemudian anak diminta menulis suku kata tadi di atas papan putih kecil.
6. Tunjukkan beberapa kad imbas untuk disambungkan dengan kad imbas yang pertama tadi. Contohnya 'ja', 'ji', 'ju'. Minta anak cari sambungannya.
7. Tulis suku kata yang lengkap di atas papan putih.

Manfaat dari aktiviti ini:

Aktiviti ini agak mencabar. Tetapi tetap mementingkan aktiviti yang menyeronokkan untuk anak-anak. Anak akan banyak berfikir dan bergerak ketika melakukan aktiviti ini. Dalam masa yang sama anak dapat mengingati suku kata dengan lebih baik.

Aktiviti 7
Botol Suku Kata

Bahan yang diperlukan:

1. Botol mineral kecil - labelkan tutup botol dengan suku kata. Begitu juga badan botol.
2. Kad imbas suku kata
3. Papan putih bersaiz kecil

Cara melakukan aktiviti ini:

1. Terangkan kepada anak aktiviti yang akan dilakukan.
2. Minta anak untuk menyebut suku kata yang ditunjukkan dari kad imbas - ba dan ca
3. Anak mencari gandingan suku kata yang ditunjukkan tadi. Contohnya badan botol mempunyai suku kata ba dan tutup botol suku kata ca.
4. Anak menutup botol dengan suku kata gabungan yang betul.
5. Menulis gabungan suku kata ke atas papan putih.

Manfaat dari aktiviti ini:

Aktiviti ada aktiviti mengembangkan motor halus iaitu menutup dan membuka tutup botol. Anak juga melihat mendengar dan bergerak. Semoga dengan aktiviti yang menarik ini akan membuatkan anak lebih mengingati serta memahami suku kata. 

Aktiviti 8
Blok Suku Kata

Bahan yang digunakan:

1. Blok kayu yang telah ditulis suku kata

2. Kad Imbas suku kata. 

3. Papan putih bersaiz kecil

Cara melakukan aktiviti ini:

1. Terangkan kepada anak aktiviti yang akan dilakukan. 

2. Minta anak menyebut suku kata yang ditunjukkan dari kad imbas - gabungkan dua suku kata. Contohnya baju. 

3. Minta anak mencari blok suku kata yang berkenaan. 

4. Minta anak tulis perkataan tersebut di atas papan putih. 

Manfaat dari aktiviti ini:

Anak akan menjadi aktif dan kreatif apabila melakukan aktiviti ini kerana kita telah menggunakan kaedah selain buku. Terdapat pelbagai cara untuk kita merangsang minda anak walaupun kita mengajar anak membaca. 

Selamat mendidik dengan kasih sayang :)

Ashkin Hashim


Flip Card Iqra'







Flip Card Iqra' yang menarik ini sangat sesuai untuk pembelajaran Iqra' yang lebih efektif.

Whatsapp di www.wasap.my/60193354522/flipcardiqra