Foto: Google
Sebuah keluarga
memainkan peranan yang sangat penting bagi melahirkan generasi yang baik. Jika
baik negaranya, maka baiklah rakyatnya, jika baik rakyatnya, maka baik pulalah
keluarganya. Begitu hebat fungsi sebuah keluarga sehingga ianya menjadi salah
satu elemen terpenting dalam membina sebuah daulah yang diberkati Allah s.w.t.
Di dalam
pendidikan awal kanak-kanak, penglibatan ibubapa adalah sangat penting. Kita
dapat melihat betapa ibubapa yang sangat prihatin dan mengambil perhatian
terhadap pembelajaran anak, akan membantu anak untuk lebih cepat membaca,
menulis serta mengira.
Keluarga adalah
unit terkecil dari masyarakat yang terdiri daripada ketua keluarga dan beberapa
orang yang terkumpul dan tinggal di suatu tempat di bawah satu bumbung dalam
keadaan saling bergantung antara satu sama lain. Keluarga juga sebagai kumpulan
sosial terdiri daripada sejumlah individu, mempunyai hubungan antara individu,
terdapat ikatan, dan tanggungjawab di antara individu tersebut.
Keluarga adalah
merupakan struktur asas bagi keseluruhan sistem sosial dan kebudayaan di dalam
Islam. Ia adalah merupakan satu institusi yang menjamin kestabilan sosial dan
kebudayaan masyarakat keseluruhannya. Ia mengekalkan kehidupan manusia dan
kebudayaan, meneruskan peranan manusia sebagai khalifah Allah di atas muka bumi
ini bergantung kepada berkesannya jentera yang menjamin pembiakan umat manusia.
“ Hai sekalian
manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada
seorang diri dan daripadanya Allah menciptakan isterinya dan daripada keduanya
Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan
bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling
meminta satu sama lain dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya
Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah An-Nisa: 1)
Sebuah keluarga
tidak akan sempurna tanpa adanya proses
yang dinamakan pentarbiyyahan atau pendidikan. Di dalam proses inilah kita
mendidik ahli-ahlinya tentang ibadah dan akhlak. Tiada institusi atau kumpulan
yang lain yang dapat mengambil alih tugas hebat ini kerana ianya adalah satu
proses yang berterusan. Kehebatan fungsi kekeluargaan ini diasaskan oleh rasa
amanah dan tanggungjawab di kalangan ahli keluarga.
“ Hai
orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka
yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (Al-Tahrim:6)
Kes Jenayah Yang Meruncing
Kita sering kali
membaca di dada-dada akhbar dan mendengar berita di televisyen tentang
keparahan masyarakat seperti meningkatnya kes juvana, kes membunuh, kes buli,
kes merompak dan sebagainya. Kisah membuang bayi dan melahirkan anak luar nikah
pula seperti sudah menjadi rencah dalam kehidupan di Malaysia.
Dari keluarga bermula
segala-galanya. Setiap keluarga mempunyai nilai dan maruah yang dipertahankan
oleh ahli keluarganya sendiri. Keharmonian kekeluargaan dicapai melalui
hubungan baik antara semua ahli keluarga. Perhubungan spiritual seperti agama,
emosi seperti kasih sayang , sikap hormat – menghormati dan bertanggungjawab.
Oleh itu institusi kekeluargaan adalah institusi yang terpenting
dalam proses pembentukan individu yang sihat dari segi mental dan fizikal.
Dalam arus kemodenan dan kemajuan
dunia global tanpa sempadan hari ini, banyak berlaku limpahan budaya negatif
yang melanda negara di seluruh dunia. Masyarakat kita pada hari ini bukan
sahaja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing,
tetapi mereka juga semakin diresapi budaya hedonisme - suka berpoya-poya dan
berhibur dengan keterlaluan, terjebak dalam amalan seks bebas ( berzina ),
buang bayi, ketagih rokok, judi, arak, bahan porno (lucah ), bunuh, rogol dan
banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan.
Laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan penglibatan dalam gejala sosial bermula seawal umur 10 tahun lagi.
Laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan penglibatan dalam gejala sosial bermula seawal umur 10 tahun lagi.
Keluarga memainkan peranan yang
sangat penting di dalam pembangunan siasah serta akhlak seseorang anak itu.
Cukup membimbangkan jika di awal usia, anak sudah dilepas bebas ke sana ke mari
dan membuat sebarang keputusan dalam hidup tanpa mengambil kira pendapat serta
pandangan ibubapanya.
Sebagai ibubapa yang prihatin,
sejak anak itu lahir lagi, kita selalu memerhatikan perkembangan dan apakah
yang selalu mereka lakukan. Kita memberikan jalan serta tunjuk ajar. Kita
sebagai orang dewasa bertanggungjawab ke atas setiap perlakuan serta tingkah
laku mereka.
Pentingnya Seorang Ayah
Sebuah keluarga pasti mempunyai
seorang ayah. Seorang ayah yang masih hidup dan mampu, wajib memberikan
keperluan kepada keluarganya. Bukan sahaja wang, makan serta pakaian. Keperluan
rohani juga wajib diberikan kepada setiap penghuni yang berada di bawah tanggungjawabnya.
Seorang pakar sosiologi, Dr David
Popenoe di dalam kajiannya mengatakan bahawa, seorang ayah bukan sekadar orang
dewasa di dalam sebuah rumah. Ia lebih daripada itu. Seorang ayah memberikan
impak yang besar kepada keperibadian seorang anak. Kajian di luar Negara juga
banyak menunjukkan bahawa, keluarga tanpa didikan ayah akan menyumbang banyak
gejala sosial di dalam masyarakat.
Pepatah Arab ada menyatakan: Al
waladu sirru abiihi. Maksudnya, seorang anak itu adalah bayangan ayahnya.
Pentingkah seorang ayah di dalam
pendidikan anak-anak? Masyarakat sering mengaitkan mendidik anak-anak hanya
terletak kepada seorang ibu sahaja. Walhal amanah serta tanggungjawab ini
adalah tanggungjawab bersama.
Mengapa ayah penting kepada
anak-anak?
1. Komunikasi seorang ayah adalah
berbeza dengan seorang ibu. Ayah itu adalah pelengkap kepada pentarbiyyah serta
pendidikan anak-anak. Jika ibu tidak berjaya menasihati anaknya, mungkin
komunikasi ayah yang berbeza dapat membantu.
2. Seorang ayah membina jati diri dan
keyakinan anaknya. Lihat sahaja contohnya ketika anak belajar menaiki basikal.
Saya sebagai seorang ibu sangat takut melepaskan anak di jalan tetapi suami
sayalah yang memberikan semangat serta keyakinan kepada anak-anak saya untuk
berani berbasikal. Jika hanya saya yang berkata-kata, entah bila anak saya akan
pandai berbasikal.
3. Seorang ayah mendisiplinkan
anaknya dengan cara yang berbeza. Perbezaan memang perlu dalam beberapa
perkara. Berbeza dengan ibu bukan bermakna cara didikan ibu itu berbeza dan
tidak bersetuju dengan didikan itu, tetapi ianya saling melengkapkan
4. Ayah ialah contoh kepada
anak-anak. Cara ayah makan, berpakaian, mencari rezeki akan dicontohi anak.
Jika tanpa ayah, maka anak-anak tiada rujukan dan panduan. Tempanglah sebuah
keluarga. Longgarkan sebuah institusi.
Ketika ibu sedang sibuk di dapur atau sedang membasuh pakaian, siapakah
yang akan memerhati serta berbual-bual dengan anak-anak? Pastilah ayah. Ayah
melengkapkan sebuah keluarga. Ayah itu role model. Ayah itu raja. Ayah itu
cerminan akhlaq anaknya.
Seorang ayah yang baik, menjadikan solat itu sebagai tiang kepada
keutuhan rumahtangganya. Anak-anak diimaminya dan masjid menjadi rumah
keduanya. Anak-anak disantuni sebaiknya dan dihormati agar dia juga dihormati
oleh anak-anak. Alangkah hebatnya dunia jika setiap anak mempunyai ayah yang
begini.
Ikat Anak Dengan Al-Qur’an
Diriwayatkan oleh Ath-Thabarani daripada Saidina Ali karamallahu wajhah,
bahawasaya Nabi s.a.w telah bersabda:
“ Didiklah anak-anak kamu atas tiga perkara: Cinta kepada Nabi kamu,
cinta kepada kaun keluarganya serta membaca Al-Qur’an. Sesungguhnya para
pembaca Al-Qur’an itu berada dalam naungan Arasy Allah pada hari tiada naungan
selain naunganNya bersama-sama NabiNya.”
Ibnu Khaldun, Ibnu Sina dan Iman Al-Ghazali juga menyebut di dalam
kitab-kitab mereka tentang peri penting mengajar anak-anak akan Al-Qur’an
kerana Al-Qur’an itu terkandung pelbagai pengajaran dan panduan. Berdamping
akrab dengan Al-Qur’an bermakna bercinta dengan Islam dan terjagalah diri dan
keluarga.
Jadi Contoh Terbaik.
Tiada cara yang paling baik selain daripada menunjukkan akhlak yang baik
terhadap anak-anak. Ibubapa adalah contoh tauladan yang terdekat dan menjadi
panduan buat anak-anak. Rumahtangga yang harmoni bakal membina ahli keluarganya
yang bahagia. Rumahtangga yang kucar kacir akan melampias kegoyahan itu kepada
anak-anak dan seisinya.
Apa yang mereka bawa keluar adalah apa yang mereka bina, lihat dan
lakukan di dalam rumah. Mereka sentiasa memerhati ayah dan ibu mereka
berkelakuan di rumah. Keakraban ibubapa dengan anak, adalah kunci kepada
kecemerlangan anak-anak di luar sana. Kenali rakan-rakan mereka kerana rakan
memberi pengaruh yang besar terhadap anak-anak.
Bukan mudah mendidik anak-anak. Tidak cukup kita sekadar menghampar
kemewahan, membekalkan Ipad seorang satu kepada anak. Ia lebih dari itu. Kasih
sayang, penghargaan, penghormatan, kepercayaan, kesabaran, semuanya diadun
menjadi resepi sebuah keluarga yang bahagia.
No comments:
Post a Comment