Tuesday, 3 September 2013

Pendidikan Berkesan Kepada Anak-anak Dalam Islam

Teks: Ashikin Hashim




Mendidik anak bukanlah satu perkara yang mudah. Anak yang baik adalah lahir dari kesan didikan ibubapanya sejak dari awal perkahwinan ibubapanya. Ianya tidak lahir sendiri dan membesar tanpa panduan dan didikan sesiapa. Ibu bapa seharusnya sejak awal lagi sudah bersiap siaga bagi memastikan amanah untuk mendidik iman dan juga moralnya, mental mahupun jasmaninya, rohani serta sosialnya memenuhi tuntutan Islam dan mereka membesar menjadi insan yang dibanggai Islam.

Dapatkah kita membayangkan anak-anak yang kita tarbiyyah itu membesar dengan begitu baik sekali. Mereka menghormati orang tua, mengerjakan solat, puasa, cemerlang di dalam akademik dan sebagainya. Bukankah itu suatu ketenteraman buat kita sebagai ibubapa? Kita akan sentiasa merasa tenang dan bahagia. 

Namun cuba kita bayangkan, jika anak-anak itu menjadi seorang pemberontak di rumah dan di sekolah, melawan, berlumba di jalanan, berpeleseran dan berfoya-foya. Tentu kita akan rasa tertekan serta gelisah. Jadi, bagaimana kita berperanan dengan sebaiknya bagi memastikan anak-anak yang Allah amanahkan ini menjadi saksi dan pembela di akhirat nanti?

a) Mendidik melalui contoh tauladan yang baik.

Antara cara mendidik yang sangat berkesan adalah dengan memberi dan menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak. Contoh-contoh tauladan yang baik banyak melengkapkan anak-anak dengan akhlaq yang baik dan membentuk rohani serta sosialnya.

Contoh tauladan yang baik di rumah adalah yang paling hampir dengan anak-anak. Jika contoh yang dilihat dan dipamerkan adalah tauladan yang baik, maka akhlaq yang bakal dipamerkan oleh anak juga adalah akhlaq yang baik. Namun jika contoh yang ditunjukkan di rumah adalah contoh buruk dan tidak elok untuk pembangunan akhlaq anak-anak maka tidak hairanlah jika di luar rumah, mereka mempamerkan akhlaq sebegitu juga.

Rasulullah sebagai contoh yang utama

Pernahkah kita menceritakan tentang hebat serta cantiknya akhlaq Rasulullah s.a.w kepada anak-anak? 


Ingatkah kita tentang cerita Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar ketika mereka bersembunyi di Thur? Cerita hebat tentang baiknya akhlaq Rasulullah dan  sahabat baginda boleh dijadikan contoh buat anak-anak. Begitu juga kisah akhlaq Rasulullah s.a.w ketika berhadapan dengan seorang wanita yang selalu mengganggu baginda. Duduk dan berceritalah dengan anak-anak.

Allah telah berfirman:

" Sesungguhnya bagi diri kamu dari Rasulullah itu contoh tauladan yang baik. " (Al-Ahzab:21)

Berapa ramaikah di kalangan kita dan anak-anak yang menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh tauladan? Tidak menghairankan jika hari ini kita mendengar anak-anak menjadikan artis dan superhero televisyen sebagai idola mereka. Kita sebagai ibubapalah yang sepatutnya membentuk pendirian mereka agar tahu memilih siapakah yang wajar dijadikan contoh tauladan.




b) Mendidik melalui nasihat dan bimbingan

Berdoa dan minta kepada Allah semoga kita sentiasa berlapang dada dan tidak bosan untuk selalu memberikan nasihat dan bimbingan kepada anak-anak. Anak-anak selalu inginkan ibubapanya membimbing mereka kerana mereka muda untuk memikirkan terlalu banyak cabaran serta dugaan kehidupan.

Ada beberapa cara untuk kita memberikan nasihat kepada anak:

1. Berilah nasihat ketika anak sedang bergembira.

2. Berikan nasihat dengan cara mendekati dirinya, menyentuh kulit dan memandang mata si anak

3. Memberikan nasihat dengan cara bercerita

4. Memberikan nasihat dengan bergambar

5. Memberikan nasihat ketika hendak masuk tidur

6. Memberikan nasihat dengan memberikan contoh-contoh yang ada di sekeliling


c) Mendidik dengan cara pemerhatian dan pengawasan

Sudah menjadi tanggungjawab ibu dan bapa untuk sentiasa mengawasi dan memerhatikan anak-anak mereka. Lihatlah apa yang terjadi keapada anak-anak yang dibiarkan begitu sahaja tanpa pengawasan dan pemerhatian. Mereka akan berkawan dengan sesiapa sahaja dan berpeleseran. Maka timbullah mat rempit, bohsia bohjan, dadah, rokok dan sebagainya.

Allah berfirman:

" Suruhlah ahlimu (keluargamu) supaya bersembahyang, dan bersabarlah atas mengerjakannya. " (Taha:132)

Apakah yang ingin kita perhatikan?

1. Memerhatikan pergaulan anak-anak

2. Memerhatikan solat anak-anak

3. Memerhatikan pembelajaran anak-anak terutamanya dalam mempelajari al-Qur'an

4. Memerhatikan tahap kesihatan anak-anak

Beginilah besarnya tanggungjawab untuk mendidik anak-anak. Namun haruslah diperhatikan apakah cara mendidik yang benar dan berkesan untuk anak-anak. Mudah-mudahan dengan cara didikan berkesan ini akan dapat mempersiapkan anak-anak kita ke arah insan yang diredhai Allah s.w.t

Cara mendidik yang berkesan yang seterusnya adalah mendidik dengan denda dan hukuman.
InsyaAllah akan dihuraikan dalam artikel selepas ini.

Moga kita disayang Allah.

Hubungi Ashikin Hashim untuk jemputan ceramah/motivasi pendidikan awal kanak-kanak untuk ibubapa dan guru tadika di 0193354522 

No comments:

Post a Comment