Assalamu'alaikum wrt wbt
|
Tulisan Wajdi ketika berusia 5 tahun |
Salam hujung minggu yang membahagiakan inshaAllah.
Hari ini saya nak kongsikan 5 aktiviti rangsang minda untuk anak 3 hingga 6 tahun. Aktiviti ini boleh membantu anak kita di dalam proses pembacaannya. Proses membaca adalah satu proses yang panjang dan kompleks. Jadi kita sebagai ibu bapa harus bijak melakukan aktiviti yang menarik dan merangsang minda mereka. Tidak hanya menggunakan buku.
Selamat beraktiviti dengan anak!
Aktiviti 1
Finger Paint
Bahan-bahan yang diperlukan:
Warna air
Kertas A4 atau Kertas Lukisan
Kad Imbas suku kata - contohnya 'ba'
Cara melakukan aktiviti ini:
1. Terangkan kepada anak tentang aktiviti yang akan dilakukan.
2. Sediakan barang-barang seperti yang dinyatakan.
3. Sebutkan dulu suku kata 'ba' kepada anak
4. Minta anak ulang beberapa kali
5. Minta anak menulis suku kata tersebut dengan menggunkan warna air
Manfaat aktiviti ini:
Kita tidak hanya menumpukan kepada penggunaan buku untuk mengajar anak membaca. Nampak macam lambat kan? Kena buat semua suku kata dengan cara ini? Tidak. Ini hanyalah aktiviti yang membantu anak-anak untuk tidak cepat bosan. Kita bantu anak-anak untuk jadi lebih aktif dan kreatif. Kita juga melibatkan 3 cara pembelajaran yang baik iaitu MELIHAT, MENDENGAR dan juga BERGERAK.
Aktiviti 2
Teng Teng Suku Kata
Bahan-bahan yang diperlukan:
Teng teng suku kata
Kad imbas suku kata
Papan putih bersaiz kecil
Cara melakukan aktiviti ini:
1. Terangkan kepada anak aktiviti yang akan dilakukan
2. Letakkan kad imbas suku kata di dalam kotak teng teng
3. Minta anak melompat ke dalam suku kata yang disebutkan
4. Minta anak ambil kad suku kata tersebut dan tulis di atas papan putih
5. Sebut suku kata 3 kali
Manfaat aktiviti ini:
Anak pasti menyukai aktiviti ini kerana dia dapat melompat! Dalam masa yang sama dia melihat dan mendengar suku kata yang ditunjuk dan disebutkan. Kemudian anak dilatih untuk menulis. Melompat melatih pergerakan moto kasar anak dan menulis melatih pergerakan moto halus.
Aktiviti 3
Snap snap Suku Kata
Bahan-bahan yang diperlukan:
1. Telefon berkamera/kamera lama
2. Kad imbas suku kata
3. Papan putih bersaiz kecil
Cara melakukan aktiviti ini:
1. Terangkan kepada anak tentang aktiviti ini.
2. Lekatkan kad imbas suku kata di beberapa tempat di rumah. seperti di sofa, dinding, peti sejuk.
3. Tunjuk suku kata di dalam buku - contonya 'ni'. Anak sebut 3 kali.
4. Berikan anak kamera dan minta anak cari dan ambil gambar suku kata 'ni'
5. Minta anak tunjukkan kepada kita gambar yang diambil.
6. Tulis suku kata tersebut di papan putih.
Manfaat aktiviti ini:
Bayangkan perasaan anak apabila kita buat aktiviti ini. Kita telah memberi isyarat bahawa - jadilah aktif dan kreatif. Anak akan bergerak-gerak mencari suku kata yang disebutkan. Ini akan membuka ruang dan peluang untuk di teroka. Selama ini kita hanya beri dia buku untuk belajar suku kata. walhal ada banyak cara untuk menjadikan pembelajaran ini menarik dan tidak membosankan. Anak akan ingat dengan cara yang lebih baik, inshaAllah!
Menarik tak ibu-ibu? Saya yakin ibu-ibu dapat memikirkan aktiviti lain yang lebih kretif dan dapat menarik minat anak-anak.
Aktiviti 4
Tepung Suku Kata
Bahan-bahan yang diperlukan:
Dulang
Tepung/Garam
Kad imbas
Cara melakukan aktiviti ini:
1. Terangkan kepada anak apa yang ingin dilakukan
2. Sediakan bahan seperti di atas bersama-sama anak
3. Tunjukkan kepada anak kad imbas suku kata. Contohnya 'ca'
4. Minta anak sebut suku kata tersebut. Ulang 3 kali
5. Minta anak sebut perkataan yang mempunyai suku kata 'ca' contohnya 'cari', 'cawan', 'cabut'
6. Minta anak menulis suku kata tersebut di atas tepung atau garam
7. Jika anak masih tidak mahir, ibu pegang tangan anak dan lakukan bersama sambil menyebut suku kata tersebut.
8. Ulangi langkah dengan menggunakan suku kata yang lain.
Manfaat dari aktiviti ini:
Anak pasti menyukai aktiviti ini kerana anak bukan sahaja belajar membaca melalui kad imbas tetapi dia dapat melakukan aktiviti sensori. Ini sangat baik untuk perkembangan sensorinya kerana dia dapat merasai tekstur tepung atau garam. Ini dapat merangsang sensorinya.
Aktiviti 5
Kolam Suku Kata
Bahan yang diperlukan:
Kolam atau besen atau baldi
Bola plastik bersaiz kecil - tuliskan suku kata di atas bola
Jaring ikan saiz kecil
Kad imbas
Cara melakukan aktiviti ini:
1. Terangkan kepada anak apa aktiviti pada hari tersebut
2. Sediakan bahan sepeti di atas.
3. Isikan kolam dengan air dan letakkan bola suku kata ke dalam lubang tersebut
4. Tunjukkan kad imbas kepada anak - contohnya 'ha' dan minta anak sebut sebanyak 3 kali
5. Minta anak menangkap bola suku kata dengan menggunakan jaring
6. Minta anak sebutkan lagi suku kata yang telah ditangkap
Manfaat dari aktiviti ini:
Aktiviti air adalah aktiviti yang paling digemari oleh anak-anak. Banyak perkembangan anak yang akan terlibat apabila melakukan aktiviti ini iaitu perkembangan motor kasar dan halusnya, perkembangan bahasanya, perkembangan pendengaranya dan juga perkembangan penglihatannya. Yang paling ketara di dalam aktiviti ini adalah kita dapat melatih anak untuk fokus kepada sesuatu.
Aktiviti 6
Rumah Suku Kata
Bahan yang diperlukan:
1. Kad Imbas suku kata contohnya 'ba', 'ca', 'da', 'fa'.
2. Barang-barang di dalam rumah.
Cara melakukan aktiviti ini:
1. Terangkan kepada anak tentang aktiviti ini
2. Minta anak sebutkan suku kata yang ditunjukkan
3. Minta anak mencari barang di rumah yang mempunyai suku kata yang disebutkan tadi. Contohnya 'ba'. Antara contoh barang adalah 'baju'.
4. Anak diminta melekatkan suku kata tersebut pada barang yang berkenaan.
5. Kemudian anak diminta menulis suku kata tadi di atas papan putih kecil.
6. Tunjukkan beberapa kad imbas untuk disambungkan dengan kad imbas yang pertama tadi. Contohnya 'ja', 'ji', 'ju'. Minta anak cari sambungannya.
7. Tulis suku kata yang lengkap di atas papan putih.
Manfaat dari aktiviti ini:
Aktiviti ini agak mencabar. Tetapi tetap mementingkan aktiviti yang menyeronokkan untuk anak-anak. Anak akan banyak berfikir dan bergerak ketika melakukan aktiviti ini. Dalam masa yang sama anak dapat mengingati suku kata dengan lebih baik.
Aktiviti 7
Botol Suku Kata
Bahan yang diperlukan:
1. Botol mineral kecil - labelkan tutup botol dengan suku kata. Begitu juga badan botol.
2. Kad imbas suku kata
3. Papan putih bersaiz kecil
Cara melakukan aktiviti ini:
1. Terangkan kepada anak aktiviti yang akan dilakukan.
2. Minta anak untuk menyebut suku kata yang ditunjukkan dari kad imbas - ba dan ca
3. Anak mencari gandingan suku kata yang ditunjukkan tadi. Contohnya badan botol mempunyai suku kata ba dan tutup botol suku kata ca.
4. Anak menutup botol dengan suku kata gabungan yang betul.
5. Menulis gabungan suku kata ke atas papan putih.
Manfaat dari aktiviti ini:
Aktiviti ada aktiviti mengembangkan motor halus iaitu menutup dan membuka tutup botol. Anak juga melihat mendengar dan bergerak. Semoga dengan aktiviti yang menarik ini akan membuatkan anak lebih mengingati serta memahami suku kata.
Aktiviti 8
Blok Suku Kata
Bahan yang digunakan:
1. Blok kayu yang telah ditulis suku kata
2. Kad Imbas suku kata.
3. Papan putih bersaiz kecil
Cara melakukan aktiviti ini:
1. Terangkan kepada anak aktiviti yang akan dilakukan.
2. Minta anak menyebut suku kata yang ditunjukkan dari kad imbas - gabungkan dua suku kata. Contohnya baju.
3. Minta anak mencari blok suku kata yang berkenaan.
4. Minta anak tulis perkataan tersebut di atas papan putih.
Manfaat dari aktiviti ini:
Anak akan menjadi aktif dan kreatif apabila melakukan aktiviti ini kerana kita telah menggunakan kaedah selain buku. Terdapat pelbagai cara untuk kita merangsang minda anak walaupun kita mengajar anak membaca.
Selamat mendidik dengan kasih sayang :)
Ashkin Hashim