Monday, 24 February 2014

Rangsang Minda Anak



Teks: Ashikin Hashim

Anak-anak di dalam linkungan umur di bawah 7 tahun adalah anak-anak yang diumpamakan seperti span. Mudah menyerap apa sahaja yang mereka belajar melalui permainan dan aktiviti, membaca melalui buku dan apa jua yang didedahkan kepada mereka. Anak-anak yang banyak menghabiskan masa dengan gajet dan tidak diberikan masa yang sangat cukup untuk bermain tidak mendapat stimulasi yang mencukupi dalam perkembangannya.

Satu kajian yang dilakukan oleh American Academy of Pediatrics menunjukkan bahawa kanak-kanak yang berumur di bawah umur 2 tahun perlu dihadkan waktu mereka menonton televisyen mahupun menggunakan komputer dan gajet. Jadi, bagaimana kita mengisi masa mereka setiap hari? Sudah tentu dengan permainan dan aktiviti yang merangsang minda dan membantu perkembangannya.

Pernahkah anda membaca kisah seorang abang berusia 4 tahun terlanggar adik sendiri yang berumur 2 tahun ketika beliau sedang asyik bermain stereng kereta bapa mereka? Sedang terlalu asyik, tiba-tiba kereta melantun ke hadapan dan melanggar adik yang sedang memakai selipar untuk turut serta bersama abangnya.

Anak kecil ini mungkin memandang kereta bapanya seperti kereta Ferrari merah yang sangat menawan. Ia pasti sangat laju. Berimaginasi membawa kereta bersama adik pasti sesuatu yang sangat menggembirakan. Mana mungkin tergamak untuk kita memarahinya sedangkan itu yang berada di dalam fikiran mudanya.
Itulah anak! Anak yang dilahirkan berimaginasi tinggi dan sangat kreatif. Jadi kita berperanan untuk memberikan mereka ruang yang secukupnya untuk mereka berimaginasi, bermain dengan selamat dan dapat belajar dari permainannya.

Zaman pula semakin berubah. Dahulu ketika kita tidak ada gajet seperti PSP mahupun IPAD, alam sekeliling seperti pokok, padang rumput, daun, ranting kayu, pasir dan tanah menjadi barang permainan anak-anak di ketika itu. Namun kini, anak-anak hanya berada di bilik dan tidak banyak bergerak mahupun berkomunikasi.

Ditambah pula ibubapa kini yang sibuk dengan kerjaya masing-masing, tugas dan peranan ibubapa speerti digantikan oleh gajet-gajet canggih ini. Kita tidak mahu anak-anak seperti robot yang tiada perasaan, dan tidak berkomunikasi dengan baik.

Amat besar peranan kita bagi memastikan anak-anak kita terdidik dengan baik dan mempunyai hubungan yang akrab dengan ibubapa. Mereka adalah amanah terbesar kita untuk kita bentuk dan jadikan sebagai generasi yang bakal berbakti kepada agama. 

Buku Ashikin Hashim

Alhamdulillah syukur saya rafakkan kepada Allah SWT kerana hanya dengan izinNya jualah saya dapat terus menulis dan menulis. Kecintaan saya terhadap pendidikan awal kanak-kanak saya lampiaskan di dalam bentuk penulisan. Selain aktif dalam penulisan blog yang hampir menjejak angka 15000 pembaca.

Melangkah ke tahap seterusnya saya menulis pula ebook yang bertajuk PESONA DIDIK ANAK CARA SUNNAH. Sehingga ke tahap ini ebook yang dijual melalui blog dan Facebook ini telah terjual hampir 50 salinan dalam masa 2 bulan.

Kini, PESONA DIDIK ANAK CARA SUNNAH sudah diterima oleh syarikat penerbitan KEMILAU PUBLIKA untuk diterbitkan sebagai buku fizikal. InsyaAllah ianya akan terbit dalam tahun ini juga. Semoga Allah memudahkan penerbitan buku ini.

Selain itu juga, anda boleh mengikuti penulisan saya di dalam majalah ERA MUSLIMAH setiap bulan di dalam ruangan PENDIDIKAN ANAK. Saya adalah kolumnis tetap di dalam ruangan tersebut.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pembaca setia blog dan penulisan saya. Anda sentiasa memberikan inspirasi kepada saya untuk terus menulis dan berkongsi ilmu tentang pendidikan awal kanak-kanak ini. 

Semoga Allah sayang.
Semoga Allah Redha.

Monday, 17 February 2014

Tip Makan Luar Bersama Anak

Teks: Ashikin Hashim

*Artikel ini sangat sesuai diaplikasikan kepada anak yang berumur 3 hingga 7 tahun.

Makan di luar atau berjalan-jalan dengan anak pasti menjadi igauan ngeri bagi sebahagian ibubapa. Seorang ibu pernah berkongsi pengalamannya tentang bagaimana beliau mempunyai masalah yang besar jika membawa anaknya ke luar makan atau pergi ke rumah orang lain.

Banyak faktor yang menyebabkan anak tidak dapat bertahan lama atau 'buat perangai' di tempat orang atau di restoran. Antara faktor yang saya dapat kesan daripada puan ini adalah, anak beliau terlalu terdedah kepada gajet dan televisyen. Mengapa saya kata begitu?



Beliau mengakui bahawa anaknya banyak bermain permainan video dan menonton televisyen. Keputusan beliau untuk melengkapi kereta dengan TV supaya memudahkan perjalanan pulang ke kampung yang mengambil masa 12 jam, amat memeranjatkan saya. TV atau gajet bukan penyelesaian untuk mententeramkan anak dan memastikannya duduk diam.

Anak-anak tidak digalakkan menonton televisyen atau bermain gajet lebih dari 2 jam sehari. Jika 12 jam??? Gajet dan televisyen sifatnya adalah, segala visual yang keluar, bertukar dengan pantas iaitu dalam beberapa saat sahaja. Jadi mereka sudah terbiasa dengan suasana keadaan sekeliling yang berlaku dengan cepat. Kesannya mereka tidak boleh menunggu lama dan tidak sabar.

Jadi tidak hairanlah jika anak tidak boleh tunggu lama di restoran, rumah orang atau di majlis-majlis. Jom kita bantu anak kita agar mereka jadi lebih fokus dan belajar bersabar.

Sebenarnya fokus saya dalam artikel ini adalah bagaimana membawa anak ke restoran tanpa perlu berperang dengan anak yang mengamuk sementara menunggu makanan tiba. Saya pernah menyaksikan seorang ibu berperang dengan anaknya yang mahu main Ipad ibunya sedangkan ibu mahu menggunakannya. Gajet bukan penyelesaiannya!

----------------------------------------------------------------------------------------------------


Kehidupan anda yang bergelumang dengan kerja di pejabat mahupun di rumah membuatkan anda kadang kala ingin makan dan bersantai di luar. Makan luar bersama anak kadangkala menjadi igauan ngeri bagi sesetengah ibu bapa. Makan malam anda terganggu dengan kerenah anak yang tidak dijangka. Anda tidak dapat menikmati makan malam dengan aman dan sempurna. Akhirnya anda biarkan sahaja makanan tidak terusik kerana tiada selera lagi!




a)      Restoran Pilihan. Restoran pilihan anda adalah restoran yang mesra anak-anak di mana anak anda bebas untuk bergerak ke sana sini dan boleh bermain dengan permainan yang dibawanya. Jangan sekali-kali makan di kedai makan tepi jalan kerana ia sangat merbahaya.

b)      Mainan Dan Buku. Bawalah mainan atau buku kesukaan anak anda. Sedikit sebanyak ia dapat membantu anda untuk ‘melekakan’ anak anda ketika anda sedang menikmati makan malam.

c)      Snek Ringan. Untuk mengelakkan menunggu makanan yang dipesan terlalu lama, anda bawalah makanan snek (yang baik dan berkhasiat) kerana dikhuatiri anak anda akan mengamuk kerana lapar.

d)     Raikan. Jadikan makan luar anda sesuatu yang menarik anak anda. Jika sebelum ini anda larang anak anda makan aiskrim, cuba berikan keizinan untuknya merasa aiskrim. Pasti dia suka dan duduk diam menikmati kelazatan aiskrim. Jadikan ia sebagai ganjaran untuk anak anda. Katakan padanya, jika anda jadi budak yang baik, anda akan bawanya sekali lagi ke restoran itu untuk makan aiskrim.

e)  Haramkan gajet. Gajet tidak dibenarkan dibawa bersama ketika makan. Jadikan makan bersama ini sebagai aktiviti kekeluargaan. Gajet hanya menjadikan ahli keluarga diam, dan kurang berkomunikasi.

Aktiviti Mudah Merangsang Minda Anak

Teks: Ashikin Hashim

1. Kolaj (Umur 2 - 6 tahun)

    Bahan yang digunakan:
    1. Kertas lukisan

    2. Kertas warna

    3. Gam

Aktiviti ini membina kemahiran motor halus anak. Caranya adalah dengan melukis gambar bersaiz besar seperti sebiji buah epal. Anak akan mengoyak sendiri kertas warna menjadi potongan yang lebih kecil. Kemudian anak akan lekatkan kertas warna tersebut mengikut bentuk epal tadi.



2. Give Me Five (Umur 2 - 6 tahun)

 Bahan yang digunakan:
 1. Tangan anak

 2. Magic Color

 3. Kertas warna

 4. Gunting

 5. Gam

Lukis tangan anak mengikut ukuran dan bentuknya. Ajar anak untuk melakukannya sendiri. Kemudian    ajar anak untuk menggunting bentuk tangan tersebut. Lekatkan tangan anak yang tertulis namanya di pintu bilik atau peti sejuk.

3. Fish Puzzle (Umur 4 - 6 tahun)




Bahan yang digunakan:
1. Colored A4 paper

2. Gunting

3. Gam

4. Warna

5. Kertas A4

Lukis bentuk ikan yang mudah. Potongkan kepada kepingan-kepingan. Atau ajar anak potong bentuk-bentuk itu sendiri. Warnakan. kemudian ajar anak untuk mencantum bahagian ikan tersebut dengan melekatkan bahagian-bahagian tersebut.

4. Jom Parking Kereta! (3 - 6 tahun)



Barang yang digunakan:
1. Kereta mainan bersaiz kecil

2. Template parking kereta

Permainan ini amat disukai anak-anak. Mereka dapat mengenal huruf dan juga nombor.

Banyak lagi permainan dan aktiviti yang saya akan kongsikan. Saya akan kumpulkan 100 permainan dan aktiviti ini di dalam ebook saya yang terbaru. Nantikan!

Tip Menghadapi Anak Yang Suka Menggigit



Teks: Ashikin Hashim

 
Anda tentu terkejut jika suatu hari anda mendapat tahu daripada guru atau pengasuh anak anda yang dia telah menggigit kawannya di taska atau sekolahnya. Anak anda menggigit jika dia tidak dapat mengawal keadaan kerana rasa takut, marah atau kecewa. Ada juga anak yang sedang mengalami perubahan akibat mendapat adik baru di dalam keluarga atau berpindah rumah. Dalam keadaan yang lain, apabila merasa terlalu gembira atau ingin menyatakan rasa sayang, anak akan menggigit. Apa yang perlu anda lakukan jika anak anda menggigit?

a)      Pastikan Selamat. Ibu  bapa atau pengasuh mesti memastikan anak dan kawannya yang ada potensi untuk digigit, dipisahkan atau dijarakkan daripada mudah digigit. Sebagai ibu bapa dan pengasuh anda mestilah tahu waktu dan keadaan bila kejadian ini bakal berlaku. Anda perlu tahu menjangka apa yang akan berlaku.

b)      Awasi selalu. Petanda seperti menghentak-hentak kaki, menangis, menjerit biasanya akan mengakibatkan kejadian menggigit. Awasi anak anda dan hentikan perlakuannya sebelum dia menggigit. Peluk dia berdekatan anda dengan meletakkan wajahnya ke bahu atau dada atau meletakkan tangan anda ke mulutnya dengan lembut tetapi tegas dan katakan kepadanya, ” Menggigit menyakitkan” atau ” Adik tak boleh sakiti kawan”.

c)      Bertenang, Jangan Menyalahkan atau Menghukum. Anda mungkin akan merasa marah dengan tindakan anak anda yang menggigit orang lain. Hukuman yang keras akan hanya membuatkan anak akan lebih memberontak dan melakukannya lagi.

d)     Bantu Mereka. Anak yang menggigit dan digigit memerlukan perhatian. Selain daripada bantuan seperti memeriksa luka yang mungkin ada pada anak yang digigit dan menenangkannya, anda jangan lupa kepada anak yang menggigit. Tunjukkan rasa prihatin anda padanya dan ingin tahu apa yang membuatkannya marah dan kecewa. Mereka masih kecil untuk dihukum dan dimarahi.

e)      Jangan gigit anak anda balik. Ada ibu bapa yang menggigit anak mereka dengan harapan anak mereka akan tahu bagaimana rasanya apabila digigit. Ini adalah tindakan yang salah kerana ia akan menyebabkan anak anda akan melakukannya semula. Bergurau dengan menggigit anak anda juga adalah sesuatu yang perlu dielakkan.

f)       Galakan anak anda untuk dia mencari anda jika dia sedih dan kecewa. Anda mungkin tidak ada bersamanya jika dia sedang melalui saat sukar seperti kecewa dan marah ketika barang mainannya dirampas atau diusik oleh orang lain. Katakannya padanya jika dia rasa marah dan kecewa, minta pertolongan orang lain seperti ibu bapa atau pengasuh. Apabila anak datang mengadu tentang perasaannya, berikanlah perhatian kepadanya.
 
g) Bercerita tentang apa yang berlaku. Apabila keadaan tenang, bertanyalah kepada anak anda tentang perasaannya dan apa yang patut dia lakukan. Lakukan sedikit contoh lakonan seperti anda merampas mainan daripadanya dan katakan padanya jika ini berlaku beritahu kepada anda atau pengasuh. Ramai anak yang menggigit tetapi tidak akan melakukannya lagi jika kita tahu bagaimana untuk mengendalikannya

Belajar tenang dan positif.