Wednesday, 22 May 2013

Didiklah Anak Dengan Hikmah

Teks: Ashikin Hashim

Khas Buat Guru Pra-Sekolah



Mendidik anak-anak bukanlah satu tugas yang mudah. Kita sebagai ibubapa mahupun guru telah diamanahkan agar mendidik anak-anak di bawah jagaan kita dengan penuh hikmah. Anak-anak ini dilahirkan dengan tiada dosa dan kita sebagai guru seharusnya mendidik mereka dengan landas-landas syariat yang ditetapkan.

Apakah didikan yang dikatakan berhikmah itu?
Pertamanya, anda sebagai guru, mesti jauhi perkara-perkara di bawah ini.

  1. Jangan menggunakan kata-kata yang negatif kepada anak seperti ‘ Kenapa Adam NAKAL sangat ni’. ‘ Adam ni dah MELAMPAU LA. Berdiri atas kerusi!’
  2. Jangan mengugut seperti ‘ Kamu bising lagi cikgu akan panggil polis! ‘ atau kata-kata seperti ini ‘ Kalau kamu NAKAL, cikgu       tak bagi makan.’
  3. Jangan pilih kasih. Semua anak adalah sama dan sepatutnya mendapat layanan dan didikan yang serupa.
    4. Jangan lokek senyuman dan pelukan. Anak-anak di bawah umur 7 tahun seharusnya dididik dengan kemesraan dan kasih    sayang. Bercakap dengan mereka dengan senyuman dan sentuhan yang akan mesra. Inilah yang akan membantu anak yang nakal menjadi lembut.

    5. Jangan menjerit. Ramai guru yang tidak sedar ketika mereka marah, mereka akan mula meninggikan suara dan menjerit kepada anak-anak. Ini adalah tindakan yang tidak wajar.
    6. Jangan menghukum. Tidak sesuai bagi umur di bawah 7 tahun kita menghukum dia dengan berdiri di luar kelas, berdiri di atas kerusi, meninggalkan mereka di satu sudut dan memalukan mereka di hadapan kawan-kawan yang lain.

    Tindakan-tindakan di atas akan hanya melemahkan mereka dan tidak membina sahsiah diri.


    Tip menangani anak-anak yang mencabar (bukan nakal!):

    1. Pergi ke arah mereka. Jika anda ternampak mereka membuat sesuatu perkara yang tidak elok, jangan terus menjerit. Pergi ke arah mereka. Bercakap dengan mereka dan nasihati mereka dengan lembut.
      2. Selalulah mengulangi kata-kata nasihat. Jangan tunggu sehingga anak-anak ini buat masalah baru  nak nasihat. Nasihat ini sepanjang masa. Ketika anak sedang gembira adalah waktu yang sangat sesuai untuk menasihati mereka.

      3. Bercerita (story telling). Bercerita juga adalah salah satu cara yang baik untuk mendekati, menasihati dan bermesra dengan anak-anak.

4. Mulakan pembelajaran dengan mengambil wudhuk, berdoa kepada Allah agar memudahkan tugasan anda mendidik anak-anak.

5. Jika anda berada dalam keadaan yang sangat marah, minta bantuan cikgu yang lain untuk membantu anda menangani masalah ini.

Wahai guru yang dirahmati Allah, didiklah anak-anak jagaan kita dengan penuh kasih sayang. Usahkan mengugut, memarahi mereka dengan cara menjerit ataupun menghukum mereka. Mereka hanyalah anak kecil yang mungkin tidak mendapat perhatian di rumah. Di sekolah lah mereka ingin mendapat perhatian dan kasih sayang. Yang menghukum, mengeluarkan kata-kata negatif, biarlah kerja ibubapa di rumah.
Semoga kita akan jadi guru yang terbaik setiap hari.

Sebelum itu, hayati status Facebook saya ini:
Bicara Seorang Ummi | Memang tidak patut seorang anak murid meninggikan suara kpd gurunya. Tidak bermakna pula seorang guru boleh menjerit dan memarahi dgn cara yg tiada berhikmah terhadap anak muridnya.

Apa yg saya selalu katakan kpd guru-guru saya, biar lah kerja marah, kerja jerit, kerja rotan dan pukul, kerja mengugut diambil oleh ibubapa kerana itu anak mereka. Tapi di sini kami mengamalkan positive disipline yang menerapkan kasih sayang dan keseronokan ketika belajar. Kasihi mereka kerana jika mereka mati sblm baligh sudah tentu syurga tempatnya.
Sekian. Moga ada manfaatnya walau sedikit :)

Wassalam.

Ashikin Hashim

Pentingnya Ayah Dalam Pendidikan Awal Anak

 Oleh: Ashikin Hashim

Assalamu’alaikum wrt wbt



Seorang pakar Sosiologi, Dr David Popenoe di dalam kajiannya mengatakan bahawa:

Seorang ayah bukan sekadar orang dewasa di dalam sebuah rumah. Ia lebih daripada itu. Seorang ayah memberikan impak yang besar kepada keperibadian seorang anak.

Kajian di luar negara banyak menunjukkan bahawa, keluarga tanpa didikan ayah akan menyumbangkan banyak gejala sosial di dalam masyarakat.

Jom, kita pandang suami kita dengan pandangan kasih sayang. Dalami jiwanya. Sentuh sanubarinya. Lihat dia sebagai ketua yang sangat berpengaruh dan penting di dalam keluarga. Anak-anak kita sangat memerlukan seorang ayah dalam kehidupan mereka. Libatkan suami kita di dalam setiap perkara yang kita lakukakan bersama anak. Mereka mempunyai hak untuk tahu segala perkembangan anak-anak. Sebagai seorang ayah juga, mesti mengambil tahu akan perkembangan anak-anaknya. Keluarga tanpa didikan seorang ayah, akan tempang sebelah. Tidak lengkap dan kurang sempurna.

Baiklah. Saya ingin bercerita tentang seorang lelaki yang berstatus AYAH.
Pepatah Arab ada menyatakan: Al waladu sirru abiihi. Maksudnya, seorang anak itu adalah bayangan ayahnya.

Pentingkah seorang ayah di dalam pendidikan anak-anak? Masyarakat sering mengaitkan mendidik anak-anak hanya terletak kepada seorang ibu sahaja. Walhal amanah serta tanggungjawab ini adalah tanggungjawab bersama.
Mengapa ayah penting kepada anak-anak?

1. Komunikasi seorang ayah adalah berbeza dengan seorang ibu. Ayah itu adalah pelengkap kepada pentarbiyyah serta pendidikan anak-anak. Jika ibu tidak berjaya menasihati anaknya, mungkin komunikasi ayah yang berbeza dapat membantu.

2. Seorang ayah membina jati diri dan keyakinan anaknya. Lihat sahaja contohnya ketika anak belajar menaiki basikal. Saya sebagai seorang ibu sangat takut melepaskan anak di jalan tetapi suami sayalah yang memberikan semangat serta keyakinan kepada anak-anak saya untuk berani berbasikal. Jika hanya saya yang berkata-kata, entah bila anak saya akan pandai berbasikal.

3. Seorang ayah mendisiplinkan anaknya dengan cara yang berbeza. Perbezaan memang perlu dalam beberapa perkara. Berbeza dengan ibu bukan bermakna cara didikan ibu itu berbeza dan tidak bersetuju dengan didikan itu, tetapi ianya saling melengkapkan

4. Ayah ialah contoh kepada anak-anak. Cara ayah makan, berpakaian, mencari rezeki akan dicontohi anak. Jika tanpa ayah, maka anak-anak tiada rujukan dan panduan. Tempanglah sebuah keluarga. Longgarkan sebuah institusi.
Ketika ibu sedang sibuk di dapur atau sedang membasuh pakaian, siapakah yang akan memerhati serta berbual-bual dengan anak-anak? Pastilah ayah. Ayah melengkapkan sebuah keluarga. Ayah role model. Ayahlah raja. Ayahlah cerminan akhlaq anaknya.

Duhai ayah, engkau bukan sekadar dipinggiran. Engkau sangat perlu. Engkau aset penting. Engkau pemimpin.

Ibu dan ayah mesti berpegangan tangan dan berganding bahu. Memasang tekad dan niat bagi memberikan pendidikan serta pentarbiyyahan yang terbaik buat anak-anak.

Selamat mendidik
Selamat mengasuh
Selamat mentarbiyyah

Semoga ada manfaatnya :)

Salam Perkenalan Dari Ashikin Hashim

Teks: Ashikin Hashim

Assalamu'alaikum wrt wbt

Salam Ukhwah Salam Persahabatan

Alhamdulillah dengan izin Allah swt jua lah dapat saya mewujudkan blog Pendidikan Awal Anak Dalam Islam ini. Semoga dengan adanya wadah ini akan menjadi medan untuk saya menyebarkan ilmu serta berkongsi pengalaman kepada anda semua. Bukanlah kerana saya pakar dalam bidang ini tetapi dengan ilmu yang sedikit sebagai seorang bonda kepada 3 orang anak dan pengetua di salah sebuah pusat perkembangan kanak-kanak, saya suka untuk berkongsi dengan anda semua.

Sebelum pergi jauh, suka untuk saya memperkenalkan diri saya sebagai Ashikin Hashim. Saya dilahirkan di Batu Pahat Johor tetapi dibesarkan di Shah Alam Selangor Darul Ehsan. Membesar dan hidup di bandar Shah Alam, saya rasa sungguh bertuah....entahlah saya suka Shah Alam :) Alhamdulillah. Bersekolah rendah dan menengah juga di Shah Alam dan selepas itu melanjutkan pelajaran dalam jurusan Ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Di bumi Universiti Islam Antarabangsa, saya mengenali Islam dengan lebih dekat. Islam sangat segar dan mekar di sini. Segala pengisian rohani, usrah dan aktiviti membangunkan Islam saya tidak mahu ketinggalan. Sahabat-sahabat dan pensyarah di UIA juga banyak membantu saya.

Di bumi UIA ini jugalah saya bertemu dengan jodoh saya iaitu suami saya sekarang. Suami yang belajar di fakulti Ilmu Wahyu, menambahkan lagi kesyukuran ini. Beliau banyak mengajar kami tentang Islam juga. Alhamdulillah kini sudah 9 tahun kami melayari bahtera rumahtangga dan dikurniakan 3 orang anak lelaki yang selalu mencuit hati.

Saya mula bertugas sebagai pengetua di pusat perkembangan kanak-kanak sejak bulan
Julai 2011. Alhamdulillah, Allah beri saya peluang untuk sampai ke tahap ini. Saya ditugaskan untuk menjaga bahagian pendidikan anak-anak di sekolah saya. Saya juga akan memberi pengisian dan latihan kepada guru-guru di sekolah ini.

Tugas saya ini memerlukan saya untuk sentiasa peka dengan perkembangan anak-anak. Saya suka membaca kajian-kajian dan ilmu tentang anak-anak, berbincang dan berkongsi pengalaman dengan semua orang. Setiap hari saya akan menulis status di Facebook saya berkenaan info dan pengalaman yang saya dapat.

Projek terbaru saya, saya sedang membangunkan sebuah ebook untuk saya kongsikan segala tip, ilmu dan pengalaman saya tentang pendidikan awal anak di dalam Islam.

Selamat berkenalan buat semua. Terima kasih kerana sudi membaca blog saya ini. Saya juga boleh ditemui di blog saya Bicara Seorang Ummi.

Semoga anda mendapat walau sedikit manfaat dari blog ini :)

Wassalam

Ashikin Hashim