Wednesday, 20 November 2013

Kepentingan Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Teks: Ashikin Hashim
Foto: Google

Bismillah.

Potensi anak perlu digali seawal mungkin


Duhai ibubapa yang bijaksana,

Cukupkah sekadar kita melahirkan seorang anak dari dalam rahim kemudian dia membesar begitu sahaja tanpa sebarang dorongan, didikan dan pentarbiyyahan?Tidakkah kita mahu anak kita hidup dengan penuh makna di setiap minit penghidupannya? Dia melihat burung, pokok dan ikan dan mengaitkan ia dengan kebesaran Allah lalu dia mengira bilangannya dan mengejanya pula dari gabungan huruf-huruf yang anda telah ajarinya?

 Subhanallah...

Allah telah berfirman di dalam kitab suci Al Qur'an:

Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”

 [As-Shafaat :100] 

 Melahirkan anak soleh memerlukan ibubapa yang bijaksana.Bijaksana itu adalah ibubapa yang soleh yang sudah tentunya berilmu. Kita tidak akan mensia-siakan amanah Allah swt. Kita mahu anak kita menjadi hamba Allah yang berguna di dunia dan juga di akhirat.

Pentingkah pendidikan awal kanak-kanak?

Ya, ianya sangat penting. Seorang anak yang hidup di dalam keluarga yang berilmu, soleh, sabar, penyayang, bercita-cita tinggi amatlah berbeza dengan seorang anak yang hidup di dalam keluarga yang porak peranda, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, tidak berkasih sayang dan tidak punya arah tuju.

Di dalam Islam, pendidikan awal anak bukan bermula daripada dia lahir.Tetapi ianya bermula daripada sebuah perkahwinan lagi. Seorang suami akan memilih seorang ibu yang baik untuk anaknya. Islam menganjurkan dan menggalakkan umatnya berkahwin adalah kerana perkahwinan itu adalah untuk menjaga maslahah kemasyarakatan.

1. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu untuk memelihara benih-benih manusia.

Allah berfirman di dalam surah An-Nisa' ayat 1:

Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu dari diri yang satu, lalu dijadikan daripadanya pasangan (suami isteri), lalu diperkembang biakkan daripada keduanya lelaki dan wanita yang banyak.

 
2. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu bagi memelihara keturunan.

Dengan sebuah perkahwinan yang barakah dan halal di sisi syariat Islam, seorang anak itu telah selamat daripada firnah dunia dan manusia. Mereka akan jadi tenteram kerana ada keturunan yang jelas. Ini dapat memelihara mereka daripada terjebak dengan masalah moral dan akhlaq.

 
3. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu bagi suami isteri membina keluarganya.

Dengan perkahwinan, suami isteri akan sentiasa bercita-cita untuk mendidik dan membangunkan rohani anak-anak. Suami akan berusaha keras mencari rezeki untuk memberi makan kepada anak-anak dan isteri pula akan berganding bahu memberikan pendidikan terbaik buat anak.

4. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu untuk menyemarakkan kasih sayang dan kecintaan.

Seorang isteri akan sentiasa merindu suaminya. Suami pula akan mencintai isteri. Ibubapa pula akan menyayangi dan mempunyai rasa belas kasihan terhadap anak-anaknya. Perasaan ini akan sentiasa wujud di dalam keluarga yang barakah dan berada di dalam redha Allah. Nilai kasih sayang yang tersebar di dalam sebuah keluarga akan membina keluarga yang bahagia. Apabila keluarga sudah saling sayang menyayangi, maka anak-anak akan membawa satu contoh tauladan kepada masyarakat di luar pula.

Begitulah hebatnya sebuah perkahwinan.Perkahwinan yang barakah dapat melahirkan insan yang hebat iaitu anak-anak anda sekarang.

Selepas berkahwin, maka suami isteri akan bercita-cita untuk mendapat seorang anak. Tiada yang lebih menggembirakan pasangan suami isteri apabila mereka diberitakan bakal menimbang cahaya mata. Namun perlu diambil kira, adab-adab ketika 'bersama' juga akan memberikan kesan terhadap anak yang dilahirkan. InsyaAllah saya akan sentuh berkenaan perkara itu di dalam post saya akan datang.

Apabila sudah lahir seorang bayi, maka bermulalah fasa pendidikan yang seterusnya.Tiga tahun pertama dalam kehidupan kanak-kanak merupakan waktu di mana perkembangan otak berlaku dengan pesat.Walaupun perkembangan otak terus berlaku selepas itu tetapi tiga tahun pertama merupakan waktu yang paling kritikal.Ketika ini otak lebih fleksibel dan bersedia untuk mempelajari sesuatu.Berat otak bayi ketika dilahirkan ialah 25% daripada berat otak orang dewasa. Ketika mencapai usia 3 tahun, otak bayi telah berkembang menjadi berjuta- juta sel (yang terdiri dari neurons dan sel-sel otak yang lain). Sel-sel ini kemudiannya bercantum untuk membentuk berjuta-juta “jalinan” (synapses). Jalinan antara sel ini kemudian membentuk pusat kawalan yang kompleks bagi perkembangan mental, emosi, fizikal dan spiritual.

 Segala perbuatan dan percakapan kita terhadap seorang anak walaupun masih kecil, akan mudah diserap oleh mereka. Jadi berhati-hatilah ketika anda berkata dan melakukan sesuatu.

Begitulah peri pentingnya pendidikan awal anak. Ini menentukan peribadinya pada masa akan datang.

Thursday, 14 November 2013

Rangsang Anak Membaca

Teks: Ashikin Hashim

Wajdi sedang belajar menyebut huruf-huruf


Secara dasarnya, semua kanak-kanak suka membaca. Namun, jika kegemaran dan keinginan membaca itu tidak dirangsang, ia akan menyukarkan anak-anak untuk pandai membaca. Di dalam Islam itu sendiri, membaca dan menuntut ilmu itu adalah satu tuntutan yang sangat besar kesannya.

Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Alaq ayat 1-5:

“ Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Ayat inilah yang diajarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w semasa awal perintah dakwah kepada baginda. Intipati kejayaan dakwah baginda ini adalah bermula daripada tuntutan untuk pandai membaca, menuntut ilmu dan kemudian menyebarkannya.

Ruh inilah yang ingin kita ingin tanamkan kepada anak-anak, bahawa dengan membaca maka Islam akan jadi terkenal dengan dakwah lisan dan penulisan. Tanpa tahu membaca, mana mungkin untuk seorang anak yakin kepada dirinya sendiri, berani berhadapan dengan orang lain, berbicara, bercerita dan menulis.

Tahukah anda bahawa, semakin awal kita mendedahkan anak kepada pembacaan, semakin awal anak boleh membaca. Seawal mana dan waktu bilakah yang paling sesuai untuk kita mengajar anak membaca? Jawapannya seawal yang mungkin iaitu ketika bayi lagi.

Pada zaman moden ini, kemahiran membaca adalah amat penting dalam kehidupan manusia. Oleh itu, seseorang itu harus menyedari dan memiliki kemahiran membaca sejak dari awal lagi kerana tanpa kemahiran tersebut, seseorang itu akan mengalami pelbagai kesukaran untuk menjalani kehidupan harian di negara moden.

Pepatah ada menyatakan, ‘a good writer is also a good reader’ bermaksud ‘ penulis yang baik adalah juga seorang pembaca yang baik.’ Imam Syafie adalah seorang tokoh ulama’ contoh yang sangat dikagumi kerana ketokohannya dalam menulis dan bersyarah. Hanya dengan pembacaan yang baik, kita dapat merangsang anak-anak untuk menulis dan berbicara dengan baik.

Cuba kita bayangkan antara anak yang pandai membaca dan tidak mahir membaca? Mereka pasti berbeza dari segi keterampilan dalam menuntut ilmu. Anak yang pandai membaca sangat sensitif terhadap persekitarannya dan teruja untuk mengetahui banyak perkara. Mereka akan banyak bertanya dan mengumpul maklumat melalui pembacaannya.

Berbanding dengan anak yang tidak mahir membaca, mereka akan mudah merendah diri, tidak bergaul mesra dan kadangkala tidak mahu langsung bercampur dengan orang lain. Mereka akan rasa tersisih dan lambat mengetahui tentang sesuatu perkara.

Satu kajian telah dilakukan di Malaysia pada tahun 2009, hampir 90 peratus daripada 3,116,200 orang kanak-kanak bawah umur empat tahun ke bawah tidak mendapat pendedahan sebarang program pendidikan awal kanak-kanak yang sangat penting bagi merangsang perkembangan awal kanak-kanak.

Pelbagai langkah harus diambil bagi mengatasi masalah tersebut daripada berlanjutan di masa depannya. Antaranya ialah ibubapa dan guru perlu memberikan pendedahan awal untuk menggalakkan anak membaca. Oleh yang demikian, ibubapa dan guru boleh merancang aktiviti yang bersesuaian dengan anak.

Ibu bapa dan keluarga merupakan golongan yang paling rapat dengan kanak-kanak. Ini jelas terbukti melalui Teori Ekologi Bronfenbrenner (1979) yang mengatakan bahawa penglibatan keluarga dalam pendidikan awal kanak-kanak mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Jadi, pendedahan awal terhadap pembacaan anak seharusnya bermula dari rumah.

 
Apakah kelebihan membaca bagi anak-anak?

1.      Membaca melatih otak anak

Membaca adalah satu tugas yang lebih kompleks dari menonton televisyen. Dengan membaca, ia dapat menguatkan jalinan-jalinan di dalam otak.

2.      Membaca akan memperbaiki konsentrasi anak

Membaca memerlukan anak untuk duduk dan fokus. Jika ini dipraktikkan dan menjadi rutin, ia dapat melatih tahap konsentrasi anak.

3.      Membaca mengajar anak tentang dunia di sekelilingnya

Membaca membuka minda anak untuk mengetahui banyak perkara. Apabila membaca satu perkataan, dia mungkin bertanya pelbagai soalan.

4.      Membaca akan menambah perbendaharaan kata dan meningkatkan skil bahasa anak

Membaca akan mendedahkan anak dengan perbendaharaan kata yang lebih banyak dan ini akan meningkatkan skil membaca, menulis dan bercakapnya

5.      Membaca akan membina imaginasi anak

Membaca membuka dan meningkatkan imaginasi anak kerana anak suka membayangkan dan kemudian dia akan membina ayat dan pertanyaan.

6.      Membaca akan banyak membantunya ketika di sekolah

Anak yang mahir membaca adalah lebih Berjaya ketika di sekolah.

7.      Membaca juga adalah salah satu bentuk hiburan kepada anak

Membaca juga boleh menjadi salah satu bentuk hiburan dengan mempelbagaikan aktiviti membaca seperti puzzle, suaikan, kuiz dan sebagainya

8.      Membaca boleh merehatkan anak dan menenangkannya.

Membaca memerlukan anak duduk dengan tenang. Ia dapat merehatkan minda dan juga badan.

Bagaimana merangsang anak untuk membaca?

1.      Sebelum anak didedahkan kepada bahan-bahan bacaan, anak-anak didedahkan dahulu dengan proses perkembangan bahasanya. Di rumah kita bercakap dengan jelas kepada mereka dan menggunakan banyak perbendahaaraan kata. Ini akan membantu mereka di dalam proses membaca kerana mereka akan mudah menyebut perkataan-perkataan yang mereka pernah dengar dan praktikkan.

2.      Dedahkan minat membaca ini sejak dari awal lagi iaitu ketika anak masih bayi. Bukanlah sesuatu yang mustahil untuk mengajar anak membaca ketika bayi. Bercakap dengan kerap kepada bayi anda adalah satu proses awal sebelum mendedahkan mereka kepada buku bacaa. Jadi mulakannya dari sekarang!

3.      Galakkan anak-anak untuk bercakap seperti memberikan pandangan dan pendapat. Ini membantu mereka untuk mempraktikkan perkataan-perkataan yang mereka dengar.

4.      Mulakan pembacaan awal dengan buku bergambar. Kita ceritakan tentang gambar tersebut dan kemudian galakkan pula anak untuk bercerita tentang gambar tersebut.

5.      Lakukan aktiviti pembacaan dalam susasana yang gembira dan jauh dari tekanan. Ramai ibubapa yang ingin anak cepat membaca, namun lakukannya dalam cara yang tidak memaksa. Berilah anak kebebasan dan berikan dia sedikit ruang untuk belajar dalam keadaan yang menggembirakannya.

6.      Jadikanlah amalan membaca itu satu budaya di dalam keluarga. Jika kita adalah ibubapa yang suka membaca, maka anak-anak juga akan rasa terangsang dengan membaca. Tiada paksaan dan mereka akan dengan sendirinya memilih buku dan mula melihat gambar-gambar yang menarik.

7.      Adakan ruang khas seperti perpustakaan mini untuk anak. Beri mereka ruang untuk memilih sendiri buku kegemaran mereka. Tidak mengapa jika hanya memilih buku yang sama kerana ia juga bagus untuk langkah awal membaca.

Rangsangan berterusan amat perlu bagi memastikan anak dapat membaca seawal mungkin. Semoga dengan kemahiran membaca ini, anak akan lebih bijak, menjadi anak yang soleh dan solehah demi kepentingan Islam.
* Bengkel Keibubapaan 1: Merangsang Anak Membaca bakal diadakan pada 4hb Januari 2014. Kepada yang berminat, sila nyatakan minat anda dan anda akan mendapat harga Early Bird sebelum 30hb November 2013. Tempat adalah di PKNS BIZPOINT Seksyen 7 Shah Alam.

Saturday, 9 November 2013

Mengatasi Anak Yang Takut ke Sekolah

Teks: Ashikin Hashim
Foto: Google

Bukan mudah untuk anak kita mengharunginya

Tidak lama lagi, musim persekolah 2014 bakal bermula. Mungkin sekarang ibubapa sedang sibuk membuat pendaftaran dan persediaan memasukkan anak-anak di tadika yang terpilih. Bagi anak-anak yang baru pertama kali bersekolah, ini adalah pengalaman yang mungkin sangat mengujakan atau mungkin juga menakutkan.
 
Adakah ia normal?
 
Pertama kali ke sekolah, anak menangis, memeluk erat ayah atau ibu dan tidak mahu lepas. Adakah ini normal? Sudah tentu ia adalah normal. Dalam rutin biasa mereka, mungkin mereka hanya di kelilingi ibu ayah, pembantu rumah, adik beradik, atau datuk dan nenek. Tiba-tiba pada suatu hari dia ditinggalkan di sebuah tempat yang sangat asing baginya. Tentu dia merasa sangat takut. Takut jika ibu dan ayahnya tidak kembali mengambilnya dan takut jika tidak dapat pulang ke rumah.
 
Bagaimana membantunya?
 
1. Dedahkan anak dari awal tentang sekolah barunya. Tunjukkan dan bawa anak ke sekolah.
 
2. Beli barang-barang sekolah bersama agar dia merasai keterujaan untuk pergi ke sekolah.
 
3. Selalu bercerita dengan anak tentang apa yang boleh dilakukan di sekolah - tentang buku, tentang guru dan tentang kawan-kawan
 
4. Selalu berikan anak jaminan bahawa di sekolah adalah selamat dan katakana kepadanya bahawa kita akan kembali mengambilnya
 
5. Jika anak masih takut, letakkan sesuatu seperti barang anda di dalam beg sekolahnya - contoh barang adalah seperti selendang ibu. Katakan kepada anak, jika dia rindu, pegang selendang tersebut.
 
6. Usah ambil lambat - sekali berjanji, mesti ditepati. Jika kita memungkirinya, anak mungkin sukar untuk mengatasi masalah ketakutannya.
 
7. Nasihat dan terus nasihat. Jangan berputus asa.
 
8. Berbincang dengan guru tentang tindakan dan perkembangan anak di sekolah.
 
9. Ibu dan bapa mesti positif dan kuat! - Anak mendapat kekuatan daripada ibu bapa mereka yang juga kuat.
 
Semoga ada manfaatnya.
 
 
 

Friday, 1 November 2013

Tip Menahan Marah

Teks: Ashikin Hashim
Foto: Koleksi Keluarga

Menahan marah adalah satu perjuangan
Bukan mudah untuk menahan marah. Dengan pelbagai kerenah dan ragam anak - yang menangis, yang mengamuk, yang tidak mendengar kata, yang mengusik adik, yang berebut dengan adik - ia bisa mencabar iman dan emosi kita.

Ada beberapa tip yang boleh kita lakukan untuk mengawal rasa masa dan seterusnya dapat mengawal stress:

1. Tarik nafas dalam-dalam. Diam sebentar. Fikir sebentar.

2. Cari ruang untuk bersendirian. Jauh dari anak-anak dan orang lain. Sebentar sahaja.

3. Ambil wudhuk. Baca Al-Fatihah, Ayatul Qursi, 3 Qul dan surah Taha ayat 1-5. Niatkan semoga Allah lembutkan hati kita dan anak-anak.

4. Buat sesuatu yang dapat melupakan sebentar permasalahan kita seperti menulis, mencabut rumput di halaman rumah atas basuh pinggan mangkuk di dapur.

5. Kembali mendapatkan anak. Pandang wajahnya. Bercakap dengannya.

6. Setelah tenang semuanya. Cari punca. Selesaikan dengan tenang.

Semoga Allah sentiasa memberikan petunjukNya.