Tuesday, 23 July 2013

Kebaikan Bercerita Kepada Anak-Anak

Teks: Ashikin  Hashim


Dalam dunia gajet yang serba canggih sekarang ini, ramai ibu bapa yang memandang sepi tentang kepentingan bercerita kepada anak-anak. Anak-anak telah lebih dahulu dijajah oleh kehebatan visual gajet terkini seperti PSP dan Ipad. Hilang sudah komunikasi dua hala antara ahli di dalam keluarga.

Tahukah anda bahawa bercerita itu banyak kebaikan dan faedahnya kepada anak-anak. Cubalah ajak mereka duduk di sebelah dan di ribaan anda, pasti sahaja mereka tidak sabar mendengar cerita hebat anda. Mereka akan mula berimaginasi dan mula bertanya pelbagai soalan.  Bercerita dapat mengalirkan emosi dan perasaan kepada yang mendengarnya.

Berikut adalah kebaikan bercerita kepada anak-anak:

1. Bercerita adalah salah satu cara atau teknik pembelajaran yang berkesan. Contohnya, dengan bercerita, kita dapat memperkenalkan nombor dan huruf. Ini dapat menarik perhatian serta memudahkan pembelajaran anak-anak.

2. Bercerita dapat meningkatkan ilmu pengetahuan anak-anak. Melalui bercerita semakin cepat anak-anak menyerap masuk ilmu dan informasi kerana ia disampaikan dengan gaya dan bersahaja. Anak-anak akan mudah faham berbanding membaca.

3. Bercerita bagi anak-anak yang berumur 6 tahun ke bawah, amat membantu mereka memahami sesuatu. Dalam umur begini kebanyakannya masih lemah atau tidak tahu membaca. Jadi dengan bercerita, mereka akan tahu dan faham.

4. Bercerita dapat menambah kosa atau perbendaharaan kata anak. Kadang-kadang kita terkejut bagaimana seseorang anak itu boleh bercakap dengan perkataan yang tidak pernah dia jumpa di dalam buku. Apabila kosa kata bertambah, maka mereka akan lebih yakin untuk berkomunikasi.

5. Bercerita dalam melatih skil pendengaran mereka dengan lebih baik lagi.

6. Bercerita dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan antara kita dan anak-anak.

Pengalaman saya, bercerita memudahkan saya untuk mengawal mereka. Mengapa saya katakan begitu? Sebagai contohnya, jika saya mahu pergi membeli belah bersama anak-anak, saya mahu mereka berkelakuan baik ketika di kompleks membeli belah nanti. Bagaimana saya ingin sampaikan mesej tersebut? Tentulah dengan bercerita. Saya sudah praktikkan dan ianya sangat berkesan.

Lapangkan waktu anda untuk duduk bersama mereka. Usah biarkan gajet mengambil alih tugas anda sebagai ibu dan bapa. Waktu muda mereka ini hanya datang sekali sahaja. Maka manfaatkan sebaiknya.

Moga kita disayang Allah

Hubungi Ashikin Hashim untuk jemputan ceramah/motivasi pendidikan awal kanak-kanak untuk ibubapa dan guru tadika di 0193354522 

Friday, 5 July 2013

Positive Parenting vs Strict Parenting

Teks: Ashikin Hashim
  

Saya petik salah satu pengalaman saya dengan anakanda Wajdi di dalam status Facebook saya.

Kisah Wajdi dan buah tembikai.

Malam ini snek kami adalah buah tembikai. Anakanda Wajdi berlarian ke dapur untuk meminta sepotong. Saya hulurkan satu kepadanya.

Wajdi: Ala...tak nak!!!

Mesti ada yang tidak kena jika dia bersikap begitu. Ambil kira, umur 1 hingga 3 tahun adalah sangat mudah untuk mereka melampias tantrum.

Tanpa banyak tanya (bertanya dalam waktu dia sedang marah adalah sangat tidak sesuai dan dia tidak akan menjawab soalan) saya hulurkan sepotong lagi. Saya buat andaian, samada yang pertama tadi ada biji, tidak sedap atau terlalu kecil potongannya.

Wajdi: Tak nak kacang!

Oh, tidak mahu yang ada biji rupanya.

Semasa dia sudah ok dan berada dalam mood yang baik, saya panggil Wajdi.

Ummi: Wajdi, lain kali Wajdi kena cakap elok-elok. Ummi, Wajdi tak nak yang ada kacang, Ummi.(saya kekalkan 'kacang' supaya dia cepat faham. Selepas ini saya akan betulkan ke 'biji' pula)

Alhamdulillah selepas itu dia meminta dan menolak dengan baik. Tapi benda begini akan berulang dan kita pun mesti mengulang nasihat berkali-kali.

Menurut kajian, anak-anak memerlukan sekurang-kurangnya 200 kali peringatan untuk dia ingat. Bukan sekali dua. Ingatan boleh berbentuk contoh yang baik kepada mereka.

Sesiapa yang mengalami anak-anak yang temper tantrum, bersabarlah. Mereka sedang membina skil komunikasi yang baik.

Perkongsian di atas mendapat respon yang baik daripada sahabat-sahabat saya di facebook. Saya ingin bawa anda semua kepada satu istilah yang kini sedang giat dipopularkan oleh pakar keibubapaan barat, iaitu Positive Parenting.

Apakah yang dimaksudkan dengan Positive Parenting?

Dr Laura Markham, seorang pakar keibubapaan mengatakan bahawa:

Positive parenting - sometimes called positive discipline, gentle guidance that keeps our kids on the right path, offered in a positive way that resists any temptation to be punitive. Studies shows that's what helps kids learn consideration and responsibility and makes for happier kids and parents.

Positive Parenting memberi makna ibu bapa mengendali dan mendidik anak itu dengan cara yang paling baik. Tidak melibatkan pukulan, jeritan, penghinaan dan pelbagai tindakan negatif yang boleh melemahkan anak dan menjadikan anak lebih cenderung untuk mempunyai masalah.

Saya ingin berkongsi pengalaman saya sendiri di sini. Saya pernah mencuba positive parenting kepada anak seperti yang saya ceritakan di atas. Sungguh ia memberikan impak positif kepada saya dan anak. Pernah juga saya melalui pengalaman saya tidak sabar dan memarahi anak. Memarahi sahaja melambatkan proses pemulihan anak tersebut, inikan pula memukul dan menjerit.

Apa pula pandangan Islam tentang Positive Parenting ini? Dr Abdullah Nasih Ulwan, yang lebih dikenali sebagai bapa pendidikan Islam ada menggariskan tentang cara-cara menangani masalah akhlaq dan cara pentarbiyyahan yang terbaik menurut segala sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw. 

Hadith berkenaan kewajipan solat menyatakan bahawa kita dibenarkan memukul anak yang tidak solat pada umur 10 tahun. Ini bermakna cara didikan di bawah umur 10 tahun bukan dengan memukul, merendahkan maruah anak atau mendidik secara negatif tidak diajar oleh Nabi Muhammad saw.

Diceritakan bahawa Nabi Muhmad saw amat berlemah lembut dengan anak-anak kecil dan menyantuni mereka dengan cara yang paling baik. Nabi Muhammad selalu bergurau dan bermain dengan anak-anak kecil terutamanya cucu-cucu baginda Hassan dan Hussin.

Ia disebut di dalam riwayat yang masyhur, Rasulullah pernah lama sekali sujud. dalam solatnya, maka salah seorang sahabat bertanya,” Wahai Rasulullah, sesungguhnya anda lama sekali sujud, hingga kami mengira ada sesuatu kejadian atau anda sedang menerima wahyu. Nabi Muhammad SAW, menjawab, “Tidak ada apa-apa, tetaplah aku di tunggangi oleh cucuku, maka aku tidak mau tergesa-gesa sampai dia puas.” Adapun anak yang di maksud ialah Al-Hasan atau Al-Husain Radhiyallahu Anhuma.

Lihatlah betapa baiknya akhlaq Nabi terhadap anak-anak. Inilah yang disebut oleh bentuk pendidkan terkini sebagai Positive Parenting yang sebenarnya telah pun diajarkan oleh Nabi Muahammad saw. Bagaimana pula kita hendak aplikasikannya di dalam kehidupan kita bersama anak-anak?

Saya berikan satu situasi. 

Seorang anak yang berumur 3 tahun memukul abangnya lalu abangnya menangis. Sebagai seorang ibu, bapa atau pengasuh, apakah yang akan anda lakukan? Tanpa berfikir panjangkita mungkin akan terus memarahi si adik dan mungkin juga pantas memukulnya. Atau mungkin kita tidak langsung respon terhadap perbuatan tersebut sehingga si abang terasa yang dia sudah tidak disayangi lagi da adik boleh melakukan apa sahaja tanpa dimarahi sesiapa.

Mungkin kita boleh pertimbangkan beberapa perkara di bawah:

1. Ketika berlaku perkara sebegini, hentikan dengan segera. Pisahkan adik dan abang supaya pergaduhan tidak melarat. Namun jika masih di tahap biasa, bukan tahap memukul atau mencederakan iaitu sekadar mahu berebut barang, lihat dahulu apa yang bakal berlaku. Biar mereka belajar bagaimana untuk menanganinya sendiri.

2. Dalam keadaan abang yang mungkin kesakitan dipukul adik, kita perlu menenangkan si abang dahulu. Pujuk dan lihat tempat yang sakit. Letak ubat jika perlu. Adik yang memukul tadi pasti sedang memerhati. Biarkan dia. Dia mungkin sedang marah, geram atau tidak puas hati.

3. Apabila abang sudah berhenti menangis, tugas untuk menasihati adik pula. Lihat keadaannya dahulu. Adakah dia masih marah dan cuba cari punca kemarahannya. Kemarahan mungkin disebabkan masalah kominikasi. Mungkin si abang tidak memahami si adik dan si adik marah. Tanya dengan baik kenapa adok melakukan perkara tadi. Ajak dia berbual-bual bukan menyoal siasat.

4. Dengan perlahan-lahan kita tunjukkan cara yang betul untuk bermain. Kita mengajar anak untuk menangani kemarahan dengan cara kita menunjukkan bagaiaman kita mengwndali masalah ini di hadapan merek. Ibu tidak terus marah atau menjerit. Itu sudah menunjukkan petanda baik. Jika kita trtus menkerit untuk menghentikan pergaduhan, maka anak akan menganggap cara itu boleh diterima.

5. Nasihat dan terus nasihat. Ini adalah proses yang berterusan. Nasihat melalui gurau senda dan bercerita. Segera memuji jika anak melakukan sesuatu yang baik. InsyaAllah anak-anak dapat berkelakuan baik.

Anak juga mempunyai hak untuk dihormati. Mereka tidak mahu disakiti dan tidak suka juga kita mejerit kepada mereka. Mereka belajar menghormati dengan melihat bagaimana kita menghormati mereka.

Wednesday, 3 July 2013

Panduan Pertama Kali ke Tadika



Teks: Ashikin Hashim
 

Sudah masuk bulan 7 kini, maka sudah ramai ibu bapa yang mula mencari-cari tadika terbaik untuk anak mereka tahun hadapan. Ibu bapa nampaknya lebih risau memilih tadika daripada sekolah rendah dan menengah. Mungkin kerana inilah permulaan kepada fasa pembelajaran mereka. Kata mereka, jika baik tadika itu, maka baik jugalah nanti penerimaan anak-anak. Mudahlah nanti untuk melangkah ke tahun satu. Mungkin benar!

Dengan pengalaman yang ada sebagai seorang pengetua dan ibu kepada 3 orang anak, saya ingin kongsikan kepada anda semua tentang persediaan anak-anak untuk mereka ke sekolah nanti. 

1. Berbual dan bercerita. Jika anak anda sekarang berumur 3 tahun dan bakal memasuki tadika pada umur 4 tahun di tahun hadapan, mulalah berbual-bual dengannya tentang alam persekolah. Dedahkannya tentang bentuk dan suasana sekolah dan apa yang bakal dia hadapi di sekolah kelak.

2. Pilih bersama. Anda pasti ingin membuat tinjauan tadika yang terbaik di internet atau berjalan-jalan di sekitar perumahan. Bawa anak bersama untuk memilih tadika yang sesuai untuk anak. Apabila anda sudah mempunyai pilihan, nyatakan pilihan itu kepada anak dan katakan kepadanya mengapa anda memilih tadika tersebut.

3. Bawa melawat. Ketika anda hendak mendaftar atau pun mengetahui lebih lanjut tentang sekolah yang telah dipilih, bawalah anak bersama ke sekolah tersebut. Mohon kebenaran pengetua untuk membawa anak meninjau keadaan tadika tersebut dan beri kebebasan kepada anak untuk bertanya. Tunjukkan kelas, tempat bermain, tandas, papan putih, buku dan lain-lain kepada anak. Semoga dia mendapat gambaran yang lebih jelas tentang tadika tersebut.

4. Ceritakan pengalaman anda dahulu. Ceritakan kepada anak tentang pengalaman anda bersekolah dahulu. Kongsikan kenangan manis dan bina sifat-sifat positif dalam diri anak supaya dia dapat rasakan bahawa sekolah itu adalah tempat yang seronok dan selamat.

5. Biasakan anak berdikari. Apabila bermula alam persekolahan maka bermulalah juga episod hidup tanpa ibu dan ayah di sisi. Sesekali tinggalkan anak kepada orang yang dikenali dan katakan kepadanya bahawa anda akan kembali. Inilah yang akan berlaku semasa anak anda mula bersekolah. Kepada yang baru melangkah ke alam persekolahan, ditinggalkan ibu adalah sesuatu yang ditakuti. Berikan kata-kata jaminan dan semangat kepada anak. Katakan kepadanya bahawa anda sayang kepadanya dan akan kembali mengambilnya.

6. Latihan ke tandas. Latihan ini sangat penting. Ke tandas adalah satu keperluan dan cikgu pasti tidak menang tangan untuk menemani anak anda ke tandas. Terangkan kepada anak tentang keselamatan ketika ke tandas dan berada di tandas. Begitu juga bagaiman menjaga kebersihan tandas.

7. Beli barang sekolah bersama. Bawa anak membeli barangan sekolah seperti beg dan alat tulis bersama. Berikan dia sedikit kebebasan untuk memilih warna yang dia suka. 

8. Ibu ayah mesti positif. Bukan anak sahaja yang mesti bersedia, ibu dan ayah juga mesti positif menerima perubahan bahawa anak anda sudah besar dan kini tiba masa untuk mereka bersekolah. Sentiasa positif bahawa anak anda mampu untuk ke sekolah.

9. Ibu ayah mesti faham. Bersekolah bermaksud anak akan mula belajar bergaul dengan kawan-kawan baru, bermain bersama, makan bersama, dan belajar juga bersama. Skil komunikasi anak ketika ini sedang berkembang pesat. Kadang-kadang mereka akan bergaduh, menangis dan kecewa. Fahamilah bahawa ini adalah proses bagi mereka. Bantu mereka untuk berhadapan dengan situasi begini dengan baik.

Semoga panduan ini dapat membantu anda mempersiapkan anak-anak yang baru mula melangkah ke alam persekolah.

Moga kita disayang Allah.

 Hubungi Ashikin Hashim untuk jemputan ceramah/motivasi pendidikan awal kanak-kanak untuk ibubapa dan guru tadika di 0193354522

Monday, 1 July 2013

Tantrum in the parking lot

Sabarnya ibu ini melayani anaknya yang sedang mengamuk.

Kepentingan Aktiviti Seni dan Kraf Untuk Anak-anak

Teks: Ashikin Hashim

 Anakanda Wajdi 3 tahun 2 bulan

Pernahkah anda melihat anak-anak anda mewarna, melukis, menampal, menggunting atau pun mencantum? Bagaimana rupa mereka pada ketika itu? Anda pasti dapat melihat betapa fokusnya mereka ketika mereka mahu mewarna agar ia tidak keluar dari garisan atau mencampurkan warna kegemaran mereka agar ianya nampak cantik dan menarik. Sungguh bebas mereka waktu itu!

Aktiviti seni dan kraf adalah salah satu aktiviti yang baik dan berfaedah untuk anak-anak. Mereka akan berfikir dan berimaginasi tentang apakah kraf yang akan mereka lakukan dan ini akan meningkatkan daya kreativiti mereka. Bukan itu sahaja! Banyak lagi yang mereka belajar dari aktiviti sebegini.

Ada yang tidak pernah pun membenarkan anak-anak mewarna menggunakan warna air dan bebas melukis di atas kertas. Ibu bapa mungkin khuatir anak-anak akan membuat sepah. Namun bukankah kita boleh masukkan nilai-nilai murni seperti mengemas selepas menggunakannya dan menjadikannya syarat jika mahu menggunakan warna air. Berikut adalah kebaikan yang diperolehi daripada aktiviti seni dan kraf:

1. Skil Komunikasi. Ketika anak melukis atau mewarna, mereka pasti akan berkomunikasi dengan orang sekelilingnya bagi membantunya melaksanakan aktiviti tersebut. Mereka akan menyebut warna yang akan digunakan, menyatakan bentuk yang akan dilukis atau pun memberikan idea di manakah akan digantung lukisannya kelak. Mereka juga akan bertanya adakah lukisan mereka cantik kepada kita. Itu semua melibatkan skil komunikasi. Nyata sekali aktiviti sebegini merangsang anak-anak berkomunikasi dan menambah kosa kata mereka.

2. Skil sosial dan emosi. Apakah kaitan aktiviti aktiviti sebegini dengan skil emosi dan sosialnya? Lihat bagaimana anak kita berkongsi warna bersama adik beradik dan kawan-kawannya. Mereka akan berkomunikasi sesama mereka dan belajar sabar ketika menunggu giliran. Kadang kala mereka akan rasa kecewa kerana lukisan mereka dikatakan tidak cantik oleh kawan-kawan atau mungkin mereka sangat gembira ketika dipuji oleh ibu kerana mewarna dengan baik. Ini semua melatih emosi anak dan membuatkan mereka cepat matang.

3. Skil menyelesaikan masalah. Apabila mereka melakukan aktiviti kraf, pelbagai idea yang datang menerjah ke dalam fikiran mereka. Apa yang saya hendak buat? Apa warna yang catik untuk buah epal ini? Bagaimana saya mahu menjadikan ia bertambah menarik? Mereka akan mencuba cara yang terbaik atau pun mencari idea baru untuk menjadikan kraf mereka cantik dan menarik.

4. Skil motor halus. Aktiviti seni dan kraf sangat penting bagi meningkatkan skil motor halusnya. Memegang benda kecil dan halus, menggunting, menampal antara latihan yang dapat melatih skil motor halusnya. Ini sangat penting kerana jika otot-otot kecil seperti di jari tidak digerakkan dan dilatih, anak akan sukar membuat aktiviti seperti menulis, mewarna atau membutang baju.



 Lihatlah betapa fokusnya Wajdi mewarna!


 5. Fokus. Aktiviti sebegini dapat melatih anak-anak untuk fokus dengan lebih lama lagi. Ini penting bagi meningkatkan daya tumpuannya terutama apabila mereka sudah melangkah ke alam persekolahan nanti.

6. Ekspesi diri dan kreativiti. Hebatnya seni dan kraf ini, kita dapat melihat emosi dan ekspresi anak pada waktu tersebut. Mereka melukis wajah ayah dan ibu kerana rindu yang teramat sangat atau melukis suasana kampung kerana ingin pulang ke kampung.

7. Mengeratkan hubungan. Luangkanlah masa bersama-sama anak-anak. Mereka pasti gembira jika kita dapat bersama-sama mereka melukis dan mewarna. Rasakan kebebasan serta keseronokan ini dan pasti mereka akan berkongsi dengan kawan-kawan bahawa ibu bapa mereka adalah yang paling 'cool' di dunia!

8. Tip mengurangkan aktiviti tidak berfaedah. Ada yang bertanya, bagaimana untuk mengurangkan aktiviti menonton televisyen atau bermain permainan video. Inilah solusinya. Adakan aktiviti kraf ini bersama mereka. mereka pasti tolak televisyen dan gajet yang lain ke tepi.



Inilah hasil kerja Wajdi!

Tunggu apa lagi duhai ibu bapa yang budiman. Rancanglah aktiviti ini sekurang-kurangnya sebulan sekali. Beli dan kumpul segala peralatan dan bahan. Kongsi kegembiraan dan rapatkan hubungan dengan anak-anak. Selamat berbahagia!

Semoga kita disayang Allah.

Peranan Suami Ketika Isteri Hamil

Teks: Ashikin Hashim



Berita hamil adalah satu kegembiraan kepada isteri mahupun suami. Apabila isteri mula hamil maka tanggungjawab suami akan menjadi lebih besar. Ketika hamil, isteri biasanya akan mengalami perubahan hormon dan emosi. Kadangkala mereka akan lebih emosi dari biasa dan perlukan perhatian yang lebih daripada sebelum hamil.

Tidak kiralah kali ini adalah kehamilan yang pertama, kedua magupun seterusnya, seorang suami harus memahami bahawa kehamilan ini hatus dipikul tanggungjawabnya oleh kedua-dua pihak. Berapa ramai yang kita dengar berkenaan suami yang mengabaikan isteri ketika hamil dalam keadaan sedar mahupun tidak.

Berikut adaah panduan buat para suami:

1. Sentiasa mendengar. Suami mestilah jadi pendengar yang setia. Mungkin suami selalu sahaja mendengar keluhan isteri yang selalu sakit-sakit dan lenguh badan. Dengarlah rintihan mereka kerana mereka mahukan perhatian yang tiada berbelah bahagi.

2. Sentiasa membantu. Isteri yang hamil sentiasa mahukan suami yang sedia membantu tanpa diminta. Nampak sahaja baju yag tidak lagi berbasuh atau dapur yang masih bersepah, maka ringan-ringankanlah tangan untuk membantu isteri. Bagi yang sudah mempunyai anak, bantuan suami diperlukan untuk mengendalikan anak-anak yang lain.

3. Sediakan tempat yang selesa. Isteri yang hamil memerlukan tempat yang selesa. pastikan tempat tidur dan istirehatnya baik untuk kehamilannya. Ini bagi memastikan isteri mendapat rehat yang cukup dan baik untuk dia melahirkan anak nanti.

4. Pastikan isteri mendapat makanan yang berkhasiat. Wanita hamil memerlukan makanan berkhasiat bagi memastikan ibu dan bayi berada di dalam keadaan sihat. Menjadi tanggungjawab suami untuk memastikan isteri makan makanan yang berkhasiat dan mendapat vitamin atau makanan tambahan ketika hamil.

5. Pastikan isteri menjalankan pemeriksaan rutin ketika hamil. Pemeriksaan rutin ketika hamil adalah wajib untuk memastikan ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat dan selamat. Cari dan pilihlah klinik atau hospital yang baik untuk isteri menjalankan pemeriksaan rutin.

6. Merancang perbelanjaan keluarga. Apabila isteri hamil, maka perbelanjaan keluarga juga akan meningkat. Masukkan kos pemeriksaan rutin, kos hospital, barang-barang bayi

7. Memastikan barang keperluan bayi dan isteri cukup. Memang ianya nampak remeh tetapi ianya sangat penting. Barang-barang bayi seperti lampin, baju, sarung tangan dan kaki dan sebagainya perlu disiapkan sebelum bayi lahir lagi. Barang ibu pula seperti kain batik, lampin pakai buang, baju blaus dan sebagainya perlu ada dalam senarai barang yang disenarai suami. Duduklah bersama-sama isteri dan rasai pengalaman indah ini!

8. Mencari dan memilih bidan yang baik dan sesuai untuk isteri. Bagi orang Melayu, penjagaan selepas bersalin amat penting. Bidan yang dipilih akan mengurut dan menadikan bayi untuk beberapa hari selepas bersalin.

9. Fahamilah isteri. Wanita yang mengandung mengalami pelbagai perubahan. Bukan sahaja perubahan fizikal tetapi juga emosi. Selalulah bertanya, belai, atau urut isteri bagi meringankan kesukaran isteri.

10. Berdoa dan solat. Suami janganlah lepas daripada menjalankan tanggungjawabnya solat samada yang wajib mahupun sunat. Lazimi solat sunat seperti solat sunat dhuha dan hajat dan sentiasa mendoakan agar isteri dan anak yang bakal lahir akan selamat. Amalkan juga membaca al-Quran kerana al-Quran mempunyai 1001 kebaikan dan penawar.

Semoga dengan kehamilan ini akan menambahkan lagi kasih sayang di antara suami isteri.

Google+ Followers