Wednesday, 29 May 2013

Didik Anak Sejak Dalam Kandungan




Teks: Ashikin Hashim


Assalamu'alaikum wrt wbt

Di dalam Islam, kita disarankan agar pendidikan itu berlaku sejak bayi berada di dalam kandungan lagi. Pendidikan pada peringkat ini adalah pendidikan yang berbentuk kerohanian. Mendidik anak agar apabila dia lahir dan membesar nanti akan menjadi anak yang soleh.

Apa yang ibu dan bapa boleh lakukan ketika anak berada dalam kandungan adalah:

1. Para ibu bapa disarankan untuk membaca al-Quran. Di antara yang mempunyai fadhilah tertentu seperti Surah Yusuf, Maryam, At-Taubah dan Luqman. Bacalah dan niatkan semoga anak yang bakal lahir itu, sihat sempurna, menjadi anak yang mengerjakan solat dan beramal soleh.

2. Para ibu bapa mesti sentiasa berdoa dan berharap kepada Allah swt supaya anak yang berada dalam kandungan itu sentiasa terpelihara. Berdoa juga dari awal agar ibu dapat melahirkan dengan mudah nanti. Amalkan juga doa Nabi Ibrahim alaihissalam di dalam surah As-Shafaat ayat 100 yang bermaksud:

" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah aku anak yang terhitung di kalangan orang yang soleh. "

3. Para ibu bapa mestilah mencari rezeki yang halal untuk diberikan kepada anak dan keluarga. Rezeki yang halal sangat penting bagi membentuk anak yang soleh.

4. Ibu yang hamil disarankan untuk makan makanan yang memberikan khasiat kepada ibu itu sendiri dan juga bayi. Dilarang sama sekali memakan makanan yang memberi mudharat seperti minum alkohol dan menghisap rokok. Antara makanan yang digalakkan ialah kismis, kurma, sayur-sayuran dan buah-buahan.

5. Ibu dan bapa hendaklah sentiasa berada dalam keadaan tenang dan selalu berzikir. Positif sentiasa bagi melahirkan anak yang sihat dan bahagia.

Semoga ada manfaatnya walaupun sedikit.

Wassalam :)


Anugerah Yang Tidak Ternilai




Teks: Ashikin Hashim


Assalamu'alaikum wrt wbt

Jika ditanya, apakah hadiah yang paling bernilai buat pasangan suami isteri? Pasti jawapannya adalah anak. Anak adalah anugerah Allah swt kepada hambanya dan ianya tidak dapat ditukar ganti  dengan sesuatu yang lain. Berapa ramai pasangan suami isteri di dunia ini yang menginginkan anak tetapi tiada rezeki.  Berapa ramai juga yang diduga Allah dengan anak yang kurang upaya tetapi mereka tetap bersabar dan menjaga amanah Allah itu dengan penuh tanggungjawab.

Apabila lahirnya seorang anak di muka bumi ini, maka sudah menjadi tanggungjawab ibu bapanya untuk membentuk anak itu sebaik-baiknya. Allah bakal memperhitungkan amanah ini di akhirat kelak. Samada kita menjadikan dia beriman atau pun tidak.

Anak yang baru dilahirkan umpama sehelai kain putih yang menunggu saat untuk dicorakkan ibu bapanya. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Seorang anak itu dilahirkan tanpa sebarang dosa. Mereka lahir suci bersih dan selepas itulah ibu bapa yang akan mencorakkan kehidupannya. Dengan berbekalkan iman dan juga taqwa, maka anak itu akan menjadi insan yang solihin. Namun jika anak itu hidup tanpa panduan al Quran dan Sunnah, maka anak itu nanti akan terkapai-kapai mencari arah tuju penghidupannya.

Rasulullah SAW bersabda : “Orang-orang penyayang selalu disayang oleh ALLAH Yang Maha Penyayang. Sayangilah orang yang ada di bumi, maka kamu akan disayangi oleh yang ada di langit.” - Hadis Riwayat Thabrani

Kasihanilah, cintailah dan sayangilah anak-anak kita kerana mereka adalah antara punca dan penyebab untuk kita menuju redha dan syurga Allah.

Apakah hikmah anak?

1. Anak dapat memberikan kita ketenangan. Lihat sahaja ketika mereka gembira bermian dan ketika mereka tidur. Sungguh menenankan, bukan? Duduk dan bermain bersama mereka akan membuatkan kita hilang segala kedukaan.

2. Anak membuatkan seorang ayah itu untuk bekerja lebih kuat lagi. Seorang ayah akan berusaha keras untuk mencari nafkah halal dan mencukupi untuk diberikan kepada isteri dan juga anak-anak.

3. Anak itu menjadi penyebab kepada ibu bapanya untuk mendapat pahala dan syurga.

4. Anak itu melatih ibu bapanya menjadi penyabar dan menahan diri daripada marah.

5.  Anak yang soleh akan mendoakan ibu bapanya ketika mereka sudah meninggal dunia

6. Anak dapat menjaga ibu bapanya setelah tua atau pun ketika sakit

Pandanglah anak kita dengan pandangan penuh belas. Pandangan penuh belas itu juga sudah mengalirkan pahala buat kita. Keikhlasan kita menjaga serta mendidik mereka akan meyebabkan segala urusan kita yang lain mendapat kemudahan daripada Allah swt.

Wassalam.



Tuesday, 28 May 2013

Hebatnya Otak Bayi!

Teks: Ashikin Hashim


Assalamu'alaikum wrt wbt

Ada yang mungkin mengatakan, apa pentingnya mendidik anak di awal usia? Mereka mengganggap anak-anak belajar secara semulajadi. Tidak perlu dipimpin dan tidak perlu diajar. 

Oh sungguh meleset tanggapan itu! Anak-anak yang kecil inilah yang perlu diberi petunjuk. Mereka memerlukan ibubapa serta guru di dalam kehidupan mereka. Sentuhan, kasih sayang, perhatian dan belaian adalah termasuk di dalam bab pendidikan awal anak-anak.

Ketahui fungsi otak bayi kita. Otak mereka sangat hebat menyerap segala info, perlakuan, perbuatan, serta percakapan kita. Contoh paling mudah untuk mengetahui bagaimana otak seorang bayi itu berfungsi adalah dengan membanding Bayi A dan Bayi B yang hidup di dalam dua keadaan yang berbeza.

Bayi A hidup dengan didikan ibu bapanya yang penuh kasih sayang dan aura positif. Walau sekecil-kecil perkara seperti memberikan sesuatu kepada ahli keluarga yang lain, mereka memberi dengan cara yang baik. Saling mengucapakan terima kasih dan  membalas senyuman. Natijahnya Bayi A membesar menjadi seorang anak yang kuat jati dirinya dan sentiasa positif di dalam kehidupan.

Bayi B pula hidup dalam keadaan yang penuh dengan suasana negatif. Ibu bapa mereka saling bertempik dan mencampakkan barang. Tidak mengucapkan terima kasih dan kurang bersentuhan. Natijahnya Bayi B membesar menjadi anak yang kurang jati diri, tidak yakin dan sentiasa negatif di dalam kehidupannya.

Tiga tahun pertama dalam kehidupan kanak-kanak merupakan waktu di mana perkembangan otak berlaku dengan pesat. Walaupun perkembangan otak terus berlaku selepas itu tetapi tiga tahun pertama merupakan waktu yang paling kritikal. Ketika ini otak lebih fleksibel dan bersedia untuk mempelajari sesuatu. Berat otak bayi ketika dilahirkan ialah 25% daripada berat otak orang dewasa. Ketika mencapai usia 3 tahun, otak bayi telah berkembang menjadi berjuta- juta sel (yang terdiri dari neurons dan sel-sel otak yang lain). Sel-sel ini kemudiannya bercantum untuk membentuk berjuta-juta “jalinan” (synapses). Jalinan antara sel ini kemudian membentuk pusat kawalan yang kompleks bagi perkembangan mental, emosi, fizikal dan spiritual.





Pengalaman-pengalaman awal, samada positif atau negatif yang dialami oleh bayi dan kanak-kanak mempunyai kesan terhadap pembentukan  sel-sel otak. Hanya jalinan sel-sel yang sentiasa digunakan sahaja yang kekal. Perkembangan bahasa merupakan satu contoh terbaik untuk menunjukkan otak beroperasi mengikut perinsip tersebut. Pada usia 3 bulan, otak bayi berupaya membezakan pelbagai bunyi percakapan. Beberapa bulan selepas itu, otak mula belajar mengenali bunyi yang didengarinya. Pada peringkat awal, otak bayi mampu menyimpan bunyi yang pernah didengarinya. 

Ini menjadi penyebab mengapa kanak- kanak lebih mudah mempelajari pelbagai bahasa selain dari bahasa ibunda. Pada umur 10 tahun kebolehan ini semakin berkurangan dan jika masih tidak digunakan ia akan terus hilang. Kanak-kanak yang berumur 10 tahun ke atas masih mampu mempelajari bahasa asing tetapi memerlukan usaha yang lebih. Kita boleh bayangkan ketika berusia seperti kita, mampukah kita mempelajari bahasa asing dengan mudah semudah kanak-kanak di bawah usia 10 tahun?

Oleh kerana perkembangan otak bayi berkembang dengan aktif dan bayi pula sentiasa berada bersama ibubapa pada peringkat awal, maka tidak hairanlah ibubapa mempunyai pengaruh yang kuat terhadap perkembangan mereka. Sentuhan, pendengaran dan semua benda yang dilihat dan dihidu oleh bayi membantu pembentukan jalinan sel-sel otak. Sebab itulah ibubapa digalakkan meransang kesemua deria bayi dengan penuh kasihsayang untuk memastikan otak berkembang dengan sempurna. Perkembangan otak akan terhenti sekiranya ransangan tidak diberikan secara berterusan. Kanak-kanak yang dibesarkan tanpa ransangan yang sempurna biasanya mempunyai otak yang kecil berbanding dengan kanak- kanak yang mendapat ransangan dan didedahkan kepada pelbagai pengalaman. Para doktor mendapati, kanak-kanak yang dibesarkan di persekitaran yang kurang ransangan, otak mereka lebih menyerupai otak pesakit "Alzheimer's". Binatang-binatang yang dipelihara di zoo memunyai otak 20% - 30% lebih kecil daripada binatang-binatang liar yang hidup di hutan.

Satu kajian yang telah dibuat ke atas 1000 orang kanak-kanak yang terbiar tanpa ransangan, sentuhan, kasihsayang dan pengalaman yang sedikit dengan alat-alat permainan (toys). Kajian tersebut mendapati kanak-kanak tersebut mempunyai otak 20% - 30% lebih kecil dari kanak-kanak yang sebaya mereka yang mendapat ransangan sempurna. Separuh daripada kanak-kanak tersebut di dapati bahagian otak yang tidak mendapat ransangan telah hilang begitu saja.

Satu lagi kajian mendapati, kanak-kanak yang mengalami trauma seperti di dera dan melihat pembunuhan yang ngeri, mengalami kesan fizikal dan emosi yang berterusan walaupun kejadian itu telah lama berlalu. Kanak-kanak yang trauma ini mempunyai debaran jantung yang kuat, kadar hormon "stress" yang tinggi dalam darah dan mengalami gangguan tidur. Semua ini adalah disebabkan pengalaman ngeri yang mereka alami yang kekal tersimpan di dalam otak mereka. Sekiranya trauma ini tidak ditangani dengan baik, kanak-kanak tersebut akan mengalami masalah emosi, tingkah laku dan pembelajaran.

Kajian juga menunjukkan, anak yang membesar tanpa didikan dan contoh tauladan daripada seorang insan bernama ayah akan menyumbang anak itu kepada terjerumusnya dia ke arah kebejatan sosial. Mereka kekurangan panduan dan tunjuk ajar. Anak yang membesar dengan didikan ayah dan ibu yang sempurna akan menjadikan anak itu mempunyai jati diri yang kuat.


Bayi dan kanak-kanak akan mempelajari sesuatu melalui interaksi dengan persekitaran. Bayi menangis ketika lapar dan tidak selesa, Apakah tangisan itu mendapat perhatian atau sebaliknya? Sekiranya ibubapa memberi respon yang positif terhadap tangisan dan memenuhi keperluannya, bayi itu akan merasa selamat (secure) dan memfokuskan perhatian untuk meneroka persekitarannya. Ini akan membantu perkembangan otak bayi tersebut. Sebaliknya, kalau tangisan dan keperluannya tidak mendapat perhatian dan tidak dihiraukan ataupun mendapat perhatian secara negatif (seperti herdikan atau tengkingan), bayi tersebut akan merasa tidak selamat dan memfokuskan seluruh perhatiannya untuk memastikan keperluannya dipenuhi. Ini akan menyebabkan bayi tersebut akan hilang tumpuan dan mengalami kesukaran untuk berinteraksi dengan persekitaran (manusia dan objek). Lama kelamaan, sekiranya keadaan ini berterusan perkembangan otak akan terbantut.

Jom kita mulakannya sekarang! Wujudkan suasana famili yang berkasih sayang dan positif bagi membina anak yang sihat fizikal dan mentalnya.



Wassalam.

Moga dapat menfaatnya walau sedikit :)


Pentingkah Pendidikan Awal Anak?

Teks: Ashikin Hashim

 

Assalamu'alaikum wrt wbt

Duhai ibubapa yang bijaksana,

Cukupkah sekadar kita melahirkan seorang anak dari dalam rahim kemudian dia membesar begitu sahaja tanpa sebarang dorongan, didikan dan pentarbiyyahan? Tidakkah kita mahu anak kita hidup dengan penuh makna di setiap minit penghidupannya? Dia melihat burung, pokok dan ikan dan mengaitkan ia dengan kebesaran Allah lalu dia mengira bilangannya dan mengejanya pula dari gabungan huruf-huruf yang anda telah ajarinya?

Subhanallah...

Allah telah berfirman di dalam kitab suci Al Qur'an:

Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”
 [As-Shafaat :100] 

Melahirkan anak soleh memerlukan ibubapa yang bijaksana. Bijaksana itu adalah ibubapa yang soleh yang sudah tentunya berilmu. Kita tidak akan mensia-siakan amanah Allah swt. Kita mahu anak kita menjadi hamba Allah yang berguna di dunia dan juga di akhirat.
Pentingkah pendidikan awal kanak-kanak?
Ya, ianya sangat penting. Seorang anak yang hidup di dalam keluarga yang berilmu, soleh, sabar, penyayang, bercita-cita tinggi amatlah berbeza dengan seorang anak yang hidup di dalam keluarga yang porak peranda, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, tidak berkasih sayang dan tidak punya arah tuju.

Di dalam Islam, pendidikan awal anak bukan bermula daripada dia lahir. Tetapi ianya bermula daripada sebuah perkahwinan lagi. Seorang suami akan memilih seorang ibu yang baik untuk anaknya. Islam menganjurkan dan menggalakkan umatnya berkahwin adalah kerana perkahwinan itu adalah untuk menjaga maslahah kemasyarakatan.

1. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu untuk memelihara benih-benih manusia.

Allah berfirman di dalam surah An-Nisa' ayat 1:

Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu dari diri yang satu, lalu dijadikan daripadanya pasangan (suami isteri), lalu diperkembang biakkan daripada keduanya lelaki dan wanita yang banyak.

2. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu bagi memelihara keturunan.

Dengan sebuah perkahwinan yang barakah dan halal di sisi syariat Islam, seorang anak itu telah selamat daripada firnah dunia dan manusia. Mereka akan jadi tenteram kerana ada keturunan yang jelas. Ini dapat memelihara mereka daripada terjebak dengan masalah moral dan akhlaq.

3. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu bagi suami isteri membina keluarganya.

Dengan perkahwinan, suami isteri akan sentiasa bercita-cita untuk mendidik dan membangunkan rohani anak-anak. Suami akan berusaha keras mencari rezeki untuk memberi makan kepada anak-anak dan isteri pula akan berganding bahu memberikan pendidikan terbaik buat anak.

4. Bagi melahirkan anak yang baik, perkahwinan itu perlu untuk menyemarakkan kasih sayang dan kecintaan.

Seorang isteri akan sentiasa merindu suaminya. Suami pula akan mencintai isteri. Ibubapa pula akan menyayangi dan mempunyai rasa belas kasihan terhadap anak-anaknya. Perasaan ini akan sentiasa wujud di dalam keluarga yang barakah dan berada di dalam redha Allah. Nilai kasih sayang yang tersebar di dalam sebuah keluarga akan membina keluarga yang bahagia. Apabila keluarga sudah saling sayang menyayangi, maka anak-anak akan membawa satu contoh tauladan kepada masyarakat di luar pula.

Begitulah hebatnya sebuah perkahwinan. Perkahwinan yang barakah dapat melahirkan insan yang hebat iaitu anak-anak anda sekarang.

Selepas berkahwin, maka suami isteri akan bercita-cita untuk mendapat seorang anak. Tiada yang lebih menggembirakan pasangan suami isteri apabila mereka diberitakan bakal menimbang cahaya mata. Namun perlu diambil kira, adab-adab ketika 'bersama' juga akan memberikan kesan terhadap anak yang dilahirkan. InsyaAllah saya akan sentuh berkenaan perkara itu di dalam post saya akan datang.

Apabila sudah lahir seorang bayi, maka bermulalah fasa pendidikan yang seterusnya. Tiga tahun pertama dalam kehidupan kanak-kanak merupakan waktu di mana perkembangan otak berlaku dengan pesat. Walaupun perkembangan otak terus berlaku selepas itu tetapi tiga tahun pertama merupakan waktu yang paling kritikal. Ketika ini otak lebih fleksibel dan bersedia untuk mempelajari sesuatu. Berat otak bayi ketika dilahirkan ialah 25% daripada berat otak orang dewasa. Ketika mencapai usia 3 tahun, otak bayi telah berkembang menjadi berjuta- juta sel (yang terdiri dari neurons dan sel-sel otak yang lain). Sel-sel ini kemudiannya bercantum untuk membentuk berjuta-juta “jalinan” (synapses). Jalinan antara sel ini kemudian membentuk pusat kawalan yang kompleks bagi perkembangan mental, emosi, fizikal dan spiritual.

Segala perbuatan dan percakapan kita terhadap seorang anak walaupun masih kecil, akan mudah diserap oleh mereka. Jadi berhati-hatilah ketika anda berkata dan melakukan sesuatu.

Begitulah peri pentingnya pendidikan awal anak. Ini menentukan peribadinya pada masa akan datang.

Wallahu a'lam.

Moga ada manfaatnya walau sedikit :)

Wednesday, 22 May 2013

Kepentingan Bermain dan Pendidikan Awal Anak

Teks: Ashikin Hashim





Assalamu'alaikum wrt wbt


Salam Kasih sayang...

Anak anda seorang yang aktif? Anak anda sering bermain? Pantang nampak bola, lori dan kereta mainan? Atau dia akan ralit bermain puzzle atau lego? Anda dapat lihat apa perkembangan dan pelajaran yang dia dapat daripada bermain? Atau anda rasa dia sekadar bermain dan membuang masa dan juga membuat sepah di rumah? Saya bongkarkan rahsia bermain di sini :)

Biasa dengar dialog begini?

“ Ya Allah, siapa buat sampai jadi macam ni???? “
 “ Subhanallah, apa nak jadi kamu ni. Tak boleh duduk diam ke??? “
 “ Apa yang degil sangat ni? Mak pukul nanti! “

Itulah dialog yang sering bermain di bibir ibu bapa yang kurang tahan dengan kerenah anak-anak. Terduga juga dengan ‘kelasakan’ dan ‘keaktifan’ mereka. Tidak cukup dengan mulut, kadang-kadang tangan juga yang sampai ke peha dan lengan anak, dengan tujuan agar yang nakal menjadi baik semula.
Saya termenung seketika. Mengingati dan muhassabah diri sendiri. Saya akui bukan mudah mendidik dan mengasuh anak-anak. Allah telah mengurniakan kita anak yang menjadi amanah yang akbar. Di akhirat nanti pasti Allah persoalkan, adakah amanah yang kita pikul ini, kita jaga dan didik dengan sebaik-baiknya.

Melihat ke wajah Wafi, Wasim dan Wajdi, benar-benar membuatkan saya terfikir. Kadang-kadang nasi bertaburan ketika makan. Minum pun sering kali tertumpah ke lantai. Barang permainan pasti sudah tidak sesempurna seperti ketika mula-mula dibeli. Ada yang hilang tayar, ada yang dilekat dengan permainan yang lain dan macam-macam lagi.

Saya termenung. Berfikir seketika. Iklan Milo dengan tagline ‘Play More, Learn More’ sangat sinonim dengan kanak-kanak.




 Semalam anakanda Wajdi minta diberikan kuih raya Almond London yang masih berbaki. Sangka saya dia akan makan, namun dia lebih suka untuk memicit dan memecahkannya kepada bentuk yang lebih kecil. Itu telah membuatkannya fokus dan ralit bermain sendiri. Mungkin dia sedang ‘bereksperimen’, merasa strukturnya dan ingin tahu apa akan terjadi kepada kuih itu.

Perlukah kita terjerit-jerit memarahinya semata-mata tidak mahu melihat lantai kotor. Membersihkannya tentu memenatkan walaupun ianya tidaklah seteruk mana. Saya cuba mewajarkan. Memandang ke sisi yang lebih positif. Daripada kita bertegang urat memarahi anak, apa kata kali ini kita mendekatinya. Kita teroka dunianya.


“ Sayang, main apa tu….kuih ni lembut. Kalau kita picit, nanti kuih ni berterabur, tak boleh makan. Apa kata, kita kemas sama-sama nak? “

Alangkah indahnya jika kita sebagai khalifah Allah, memandang setiap yang tertaklif sebagai ibadah. Pasti kita tidak akan rasa tertekan dengan kerenah anak-anak. Malahan, keaktifannya itu boleh dijadikan bahan pengajaran berguna buatnya.

Sabda Rasulullah s.a.w. "Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun.” Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)" dimana yang nak dipukul tu? Tapak kakinya... .. bukan muka, punggung, telinga dan ditempat-tempat yang sensitif... . itu salah...

Apakah kebaikan bermain untuk anak?

1. Dengan bermain, mereka akan melompat, berlari, melutut, merangkak, memanjat, mengelungsur dan sebagainya. Ini melatih skil motor kasarnya dan sangat penting bagi perkembangan fizikal serta mental anak. Dengan menggerakkan semua anggota badannya, mereka dapat menggerakkan pula otot-otot kecil mereka.

2. Bermain dapat membina otot-otot kecil seperti di jari jemari anak. Aktiviti seperti mengutip benda kecil, memasukkan benda kecil ke dalam lubang, menyusun, membina blok dapat mengaktifkan jari mereka. Ini dapat membantu anak untuk cepat menulis.

3. Bermain juga dapat melatih anak untuk berkomunikasi dengan orang lain. Mereka akan belajar berkawan, menunggu giliran, mengucapkan terima kasih, meminta maaf dan sebagainya.

4.  Selain daripada itu juga, anak akan belajar mengawal emosinya. Dia akan tahu apa itu marah, kecewa, gembira, sedih, kasihan dan sebagainya.

Ini semua mereka belajar secara tidak formal di rumah mahu pun di luar rumah. Guru mereka andalah kita iaitu ibu bapa mereka sendiri.

Cuba renung-renungkan…ramai yang boleh menjaga anak, namun tidak ramai yang dapat mentarbiyyah mereka dengan nilai-nilai iman dan taqwa yang luhur. Wallahua’lam.

Moga ada sedikit manfaat dari secebis pengalaman.

Wassalam.

Ibu Sukses di Pejabat dan di Rumah

Teks:  Ashikin Hashim






Assalamu'alaikum wrt wbt

Pendidikan awal anak-anak adalah kecintaan saya! :)

Menulis juga kecintaan saya.

Dan Keluarga adalah inspirasi saya ;)

Mencintai bidang penulisan bermakna saya mesti bijak bagaimana untuk menggarap pengalaman dan tugasan saya berpadu di dalam tulisan saya. Tentu sahaja saya menyukainya dan mula jatuh cinta kerana bidang penulisan saya juga berkaitan keibubapaan. Setiap hari saya akan bersama dengan kanak-kanak comel yang mempunyai pelbagai ragam dan telatah. Saya membesar dan matang dengan tangisan serta gelak tawa anak-anak ini. Saya juga dapat mengenali ibubapa anak-anak ini dan sekali gus saya dapat menambah pengalaman dan mematangkan penulisan saya.

Ramai ibu di luar sana adalah wanita berkerjaya seperti saya. Mungkin anda adalah seorang doktor, guru, arkitek, jurutera, ahli perniagaan, kerani dan sebagainya. Apa jua pekerjaan anda, pada dasarnya anda dan saya telah sedikit lari dari fitrah sebagai seorang ibu yang dituntut untuk duduk di rumah dan mendidik anak-anak kerana Allah sangat memuliakan seorang wanita itu dan kerjaya yang paling layak dan agung untuk seorang yang bergelar isteri dan ibu adalah sebagai PENGURUS di rumah. Wallahua’lam. Ini dah masuk bab lain ;)

Baiklah, apa pun kita sekarang ini, saya dan anda telah memilih untuk bekerja. Mahu atau tidak, kita mesti melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan cara yang paling baik dan terbaik. Menjadi seorang isteri, ibu dan pada masa yang sama bekerja di luar rumah adalah satu perkara yang sangat berat untuk dilakukan.
Menjadi pekerja yang sukses tidak semudah yang disangka. Banyak perkara yang perlu diambil kira terlebih dahulu, baru kita boleh dikatakan sukses di tempat kerja dan juga bahagia di rumah. Apa perkara-perkara tersebut? Mari kita kongsikan bersama!
  1. Restu suami.

Adakah anda mendapat restu suami anda untuk bekerja? Dia redha anda bekerja? Cuba periksa dan Tanya suami anda sekarang. Jika dia tidak restu dan tidak redha, maka jangan mimpi untuk anda jadi sukses di tempat kerja dan juga bahagia di rumah.

Dari Aisyah ra. yang menceritakan; Aku bertanya Rasulullah; "Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang perempuan ?". Jawab Nabi; "Suaminya". Aku bertanya lagi; "Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang lelaki?". Jawab Nabi; "Ibunya". (HR al-Hakim)

Pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa’ telah menemui Rasulullah SAW lalu berkata: "Aku telah diutus oleh kaum wanita kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka gugur pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah pula balasan kami untuk semua itu ?" Bersabda Rasulullah saw. "Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya TAAT KEPADA SUAMI SERTA MENGAKUI HAKNYA adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, TETAPI SANGAT SEDIKIT DARIPADA GOLONGAN KAMU YANG DAPAT MELAKUKANNYA." (HR Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)

Nabi saw. bersabda, “Apabila seorang wanita redha atas kehamilannya dari suaminya yang sah, sesungguhnya dia mendapat ganjaran pahala seperti ibadah puasa dan mengerjakan ibadah-ibadah lainnya di jalan Allah dan jika dia merasa berat, letih atau lesu, tidaklah dapat dibayangkan oleh penghuni langit dan bumi, betapa kesenangannya disediakan oleh Allah di hari akhirat nanti. Apabila anaknya lahir, maka dari setiap teguk air susu yang dihisap oleh anak, si ibu mendapat kebajikan pahala. Apabila si ibu berjaga malam (kurang tidur kerana anak) maka si ibu mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba sahaya kerana Allah.” (HR Ibn Hibban)

 2. Niat yang baik.

Mengapa anda bekerja? Adakah kerana anda bosan di rumah? Adakah anda ingin membantu suami untuk meningkatkan ekonomi keluarga? Adakah untuk suka-suka? Cuba fikir-fikirkan. Jika niat anda salah dan tidak murni, ia juga tidak menjamin anda untuk sukses di tempat kerja dan juga bahagia di rumah. Jom kita cek!

Murnikan niat kita. Mungkin ada yang bekerja kerana ingin membantu meningkatkan ekonomi keluarga. InsyaAllah ini diterima. Ada juga yang ingin memanfaatkan ilmu yang dipelajarinya dan pelbagai niat murni yang ditanamkan. Mudah-mudahan niat kita itu diterima Allah swt.

Rasulullah SAW. bersabda,"Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk mengharap redha Allah. (HR Abu Daud dan An-Nasa'i)

 3. Keluarga yang utama

Walau tinggi mana pun pangkat dan gelaran kita di tempat kerja, kita masih wajib mendahulukan keluarga dari kerjaya. Sebelum keluar dari rumah pastikan segala tanggungjawab diselesaikan dengan baik. Jika rumah terurus maka hati kita akan tenang. Sekaligus tanggungjawab kita di pejabat juga dapat dilaksanakan dengan baik.

Pernahkah anda bawa pulang kerja pejabat ke rumah? Ketika anda sedang melakukan kerja, tiba-tiba anak anda sangat memerlukan anda pada ketika itu. Adakah anda melayaninya seketika? Atau anda memarahinya kerana mengganggu anda bekerja? Fikir-fikirkan. Adilkah bagi suami dan anak-anak anda jika sejak dari pagi anda melakukan kerja pejabat dan mengabaikan mereka ketika anda berada di rumah?

Ini adalah salah satu kunci sukses anda di pejabat dan bahagia di rumah.

 4. Bertolak ansur dan bekerjasama

Seorang isteri dan ibu yang bekerja memerlukan kerjasama daripada seorang suami. Tanpa kerjasama suami, mana mungkin isteri dapat melaksanakan tanggungjawabnya di rumah dan di pejabat dengan baik. Ini semua menuntut kepada kefahaman dan saling memahami antara satu sama lain.


Jika anda mempunyai lebih dari seorang anak, tanggungjawab anda tentu lebih besar dan sukar dari yang mempunyai seorang anak, bukan? Bayangkan pula bagaimana anda berpagi-pagi hendak ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah mahupun ke taska. Jika ini diuruskan seorang diri, mungkin ibu tersebut akan mudah rasa tertekan dan ini akan terbawa-bawa hingga ke pejabat.

 4. Lazimkan solat Dhuha

Di manakah anda berada di antara waktu jam 8 pagi sehingga 11 pagi? Tentulah di pejabat, bukan? Di antara waktu ini, lakukanlah solat sunat dhuha kerana solat ini banyak fadhilatnya. Amalkanlah dan anda pasti terasa kehebatannya. Anda akan rasa diri anda bermotivasi dan semangat untuk bekerja.

Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:
“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”(Riwayat Ahmad)
Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.

Sesetengah orang mengatakan jika mahu kaya lakukan solat dhuha. Itu bagi saya intepretasi sempit yang hanya memandang kepada harta dunia semata-mata. Rezeki bukan hanya pada harta dan wang ringgit. Dikurniakan anak-anak yang sihat adalah rezeki, dianugerahkan Allah suami yang penyayang dan memahami juga adalah rezeki. Jika pada hari itu anda berasa lapang dan sangat bahagia juga dinamakan rezeki.

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:

“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

 5. Jaga aurat, maruah terpelihara

Setinggi mana pun pangkat kita, aurat kita sebagai seorang wanita masih sama iaitu seluruh badang kecuali muka dan tapak tangan.

Jagalah aurat anda ketika berada jauh dari suami. Janganlah mendedahkan aurat anda kerana itu hanya untuk suami anda sahaja. Maaf jika saya ingin menegur. Kadang-kadang kita ingin terlalu bergaya, berwangi-wangian tetapi di rumah kita sepeti wanita berpantang. Muka pucat lesi dan pakai kain batik sepanjang masa. Kita lebih cantik ketika berada di luar daripada ketika berada di dalam rumah. Bukankah ini sudah salah konsep.


Lagi satu, mari kita sama-sama periksa tudung kita. Adakah ia menepati syariat. Maaf sekali lagi ingin menegur. Dada anda mestilah ditutup. Pakailah tudung yang menepati syariat iaitu tidak menampakkan bentuk dada anda yang bidang itu. Anda sudahlah jauh dari suami. Maka suami orang lain pula yang memandang anda. Nauzubillah!

Inilah juga antara kunci sukses anda di pejabat dan bahagia di rumah. Berpakaian yang menepati syariat, dapat menghindarkan diri kita dari fitnah dan memelihara maruah kita.

Saya rasa cukup setakat ini dulu. InsyaAllah banyak lagi yang ingin saya kongsikan bersama sahabat-sahabat semua. Sehingga berjumpa di lain bicara.

Maaf jika ada salah bicara. Hanya ingin berkongsi rasa :)

Wassalam.

Google+ Followers